Halaman

Sabtu, 27 September 2014

Persepsi negatif terhadap kakitangan kerajaan

SAYA rasa terpanggil untuk meluahkan kepelikan dan kekesalan terhadap segelintir sikap kakitangan awam yang seolah-olah tidak menghiraukan arahan yang dikeluarkan kepada mereka berhubung waktu rehat dan minum.

Walaupun pekeliling perkhidmatan telah dikeluarkan tetapi seolah-olah seperti "mencurah air ke daun keladi". Buktinya, segelintir mereka ini sentiasa ada di kantin, kedai makan, warung, sedangkan pada waktu itu merupakan waktu mereka bekerja. Dengan bangganya mereka memakai tag nama dan pemakaian baju batik (pada hari Khamis) ketika minum.


Jika pada hari Jumaat pula, (berdasarkan pemerhatian saya di sebuah kompleks membeli belah terkenal di Putrajaya) jam sudah menunjukkan pukul 2.50 petang tetapi segelintir mereka masih lagi mundar mandir di sana.

Saya difahamkan waktu rehat pada hari Jumaat bermula pada jam 12.00 hingga 2.45 petang. Di manakah kualiti perkhidmatan yang diharapkan dapat disampaikan oleh mereka kepada orang ramai?

Tidak malukah mereka pada diri sendiri, pada staf lain dan pekerja swasta yang bertungkus lumus bekerja yang hanya dapat menikmati waktu minum sebelum waktu kerja bermula dan ketika waktu makan tengah hari sahaja. Adilkah?

Pada anggapan saya mungkin mereka berada dalam "zon selesa" kerana pada setiap hujung bulan mereka tetap mempunyai pendapatan. Pergi sahaja ke bank, sejumlah wang telah tersedia dalam akaun masing-masing.

Sedangkan kakitangan swasta mahupun pekerja kilang dalam keadaan ekonomi yang kurang stabil ini berkira-kira dan berfikir adakah akan dibuang kerja.

Pada hemat saya pihak CUEPACS yang memayungi kakitangan kerajaan perlu mengambil kira faktor ini sebelum terlalu meminta kepada kerajaan untuk menaikkan elaun dan sebagainya kepada mereka.

Adilkah nilai yang sama diterima oleh mereka yang bersikap sedemikian dengan kakitangan kerajaan yang kuat bekerja untuk menyara keluarga dalam keadaan ekonomi sebegini? Tepuk dada tanyalah iman masing-masing.

AKMAR HAYATI, Putrajaya
Sumber: Utusan Malaysia tahun 2009.


Ini pula adalah maklum balas kepada luahan hati Akmar Hayati itu yang tiba2 sedang viral sekarang ini sedangkan ia merupakan artikel yang ditulis pada tahun 2009 di forum Labuan.net:
SAYA bersetuju dengan luahan hati Akmar Hayati dari Putrajaya mengenai sikap kaki tangan awam yang makan dan minum tidak tentu masa pada waktu bekerja. Saya juga merasa terpanggil untuk berbicara tentang etika kerja kakitangan awam yang dilihat teruk berbanding dengan pekerja-pekerja swasta.

Mereka ini bukan sahaja makan, minum tidak tentu masa, malah turut melakukan urusan-urusan peribadi di waktu pejabat. Contohnya, berniaga, menjual pakaian, kuih pada waktu pejabat.

Juga datang kerja lewat, balik awal, ponteng kerja dan pelbagai lagi. Malah sesetengah kakitangan awam turut keluar pejabat pada pukul 12.00 tengah hari dengan alasan untuk mengambil anak sekolah dan masuk pada pukul 2.30 petang selepas selesai menghantar anak ke sekolah KAFA.

Tidak bolehkah urusan persekolahan anak ini diselesaikan dengan menggunakan khidmat bas atau van sekolah untuk menghantar dan mengambil anak sekolah?

Sekiranya perkara ini dilakukan pada setiap hari, ditolak waktu makan dan minum, bersembang dan berbual kosong, membaca surat khabar, berapa jam sangatkah waktu kerja yang berkualiti buat golongan ini?

Sesetengah kakitangan awam juga sangat berkira apabila kebetulan datang awal setengah jam dan balik lambat setengah jam, terus dibuat tuntutan kerja lebih masa. Tidak fikirkah berapa banyak waktu yang telah dihabiskan untuk urusan peribadi?

Mengkhianati amanah dengan menghabiskan banyak masa dengan minum atau membuat kerja tidak berfaedah bermaksud makan gaji buta. Bila makan gaji buta ia akan menyentuh pula persoalan apakah gaji yang diterima itu setimpal dengan kerja dan usaha yang dilaksanakan?

Saya tidak nafikan bukan semua anggota perkhidmatan awam bersikap begitu. Namun jika sebahagiannya bersikap sambil lewa dan acuh tidak acuh, maka sudah pasti ia akan menjejaskan imej dan integriti keseluruhan kakitangan awam itu sendiri.

Dicadangkan juga agar ketua-ketua jabatan bersikap tegas menangani masalah-masalah yang berlaku di kalangan kakitangannya sendiri.

Kita perlu fikirkan adakah sumber pendapatan yang diperoleh halal untuk digunakan bagi menyara kehidupan diri, isteri dan anak-anak? Bila sumber tidak halal menjadi tunjang menyara kehidupan, maka keberkatan hidup itu secara automatiknya ditarik oleh Allah SWT dan mengundang berlakunya gejala-gejala negatif dalam diri seorang dan kelangsungan hidup keluarga yang ditanggungnya.

Perubahan minda dan membuang sikap-sikap negatif amat perlu bagi seluruh warga perkhidmatan awam. Barulah nanti kita layak dipanggil warga perkhidmatan awam yang berintegriti, produktif, efisyen dan memiliki minda kelas pertama.

PENCINTA NEGARA

Sumber dari forum Labuan.net.


Dan ini pula adalah jawapan daripada Anuar Manshor, seorang penjawat awam mungkin:
Persepsi 1: Kakitangan kerajaan suka curi tulang dan jalan2 pada waktu bekerja.

Tengah hari ini saya akan ke Mid Valley untuk membuat susulan dengan pihak MPH berkenaan program anjuran ITNM di sana pada Ahad ini. Sebelum itu, saya akan ke PWTC untuk membuat pelbagai tempahan untuk majlis pelancaran buku semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) April nanti dan menghadiri majlis sempena PBAKL.

Adakah ini bermakna saya "berjalan-jalan" di plaza membeli belah? Kadangkala semasa memakai baju batik dalam waktu bekerja pada hari Khamis juga saya berada di tempat-tempat begitu.

Memang ada kakitangan awam yang "curi tulang" dengan berjalan-jalan semasa waktu bekerja di luar pejabat, tetapi saya percaya golongan itu segelintir sahaja. Saya pernah menempah plak di Plaza Pertama. Menurut tuan kedai itu, cawangannya di Alamanda Putrajaya paling banyak tempahan plak atau piala.

Persepsi 2: Kakitangan kerajaan malas mengangkat telefon.

Sudah biasa kita mendengar dakwaan ini. Di pejabat kerajaan, telefon disediakan di setiap meja kakitangan. Namun sukar untuk menghubungi pegawai kakitangan tersebut. Lalu dicop terus semua kakitangan kerajaan malas mengangkat telefon.

Sebenarnya, tugas kakitangan awam bukan semata-mata duduk di mejanya. Mereka juga perlu berurusan dengan bahagian lain, menghadiri banyak mesyuarat ataupun tugasan luar. Tidak adillah dituduh kakitangan awam malas mengangkat telefon.

Persepsi 3: Pejabat kerajaan selalu memindahkan talian (transfer line) telefon.

Saya turut pernah menghadapi situasi ini. Sekarang pun saya selalu sahaja memindahkan talian telefon kepada orang lain. Saya di unit komunikasi korporat, tetapi acap kali talian yang saya dan Shida terima mahu berurusan dengan unit penerbitan, unit sumber manusia dan lain-lain yang memang tidak ada kaitan dengan unit saya.

Bukanlah kami tidak tahu urusan yang diajukan, tetapi lebih baik sekiranya dia berurusan terus dengan orang tertentu. Biasanya yang menjadi masalah pemanggil ialah tidak menyatakan secara terperinci urusannya itu. Maka si penjawab telefon pun keliru pegawai yang sesuai untuk disalurkan talian.

Persepsi 4: Urusan kerajaan lembab.

Ada yang lembab, ada yang terlalu efisien. Semua orang tahu agensi kerajaan yang lembab dan efisien. Contoh paling mudah, kadangkala e-mel yang dihantar, dua minggu lagi baru dilayan. Itupun kalau dilayan. Banyak juga yang tidak dipedulikan.

Efisien atau lembap merupakan masalah kakitangan itu sendiri. Banyak sistem sudah diperkenal seperti Kualiti, Sasaran Kerja Tahunan dan lain-lain. Kalau tidak diambil peduli pun, kenaikan tetap sama, bonus pun sama rata antara kakitangan yang rajin dan malas, dan elaun pun diterima sama.

Tidak semua berkenaan kerajaan itu buruk, tetapi tidak segalanya baik. Saya selalu terfikir, kakitangan awam dapat bonus atau kenaikan gaji, heboh sungguh sehingga naik harga barang. Namun kalau kakitangan Petronas, TM dan lain-lain mendapat bonus sekurang-kurangnya dua bulan, tidak ada pula yang "bising".


Artikel Akmar Hayati dan Pencinta Negara merupakan persepsi dan tanggapan negatif terhadap kakitangan awam oleh orang2 yang bukan kakitangan awam, dan artikel Anuar Manshor pula adalah persepsi positif dan menyanggah segala persepsi negatif yang dilemparkan kepada penjawat awam.

Dulu aku pernah tulis artikel "Dilema seorang penjawat awam" yang menceritakan kisah di sebalik persepsi dan tanggapan orang ramai terhadap kakitangan awam dari sudut seorang penjawat awam sendiri yang pernah bekerja di sektor swasta sebelum masuk berkhidmat di sektor awam.


Cuma apa yang aku nak cakap, daripada cerita rakan2 aku yang juga merupakan kakitangan awam dan pemerhatian aku sebagai orang luar, segala persepsi dan tanggapan negatif dan buruk itu ada benarnya, sebab budaya mengular, birokrasi, berniaga, kerja lambat, masalah disiplin, datang lambat, perkhidmatan helpdesk teruk dan lain2 tu memang dah lama membarah dalam budaya kerja kerajaan.

Namun tak dinafikan masih wujud ramai kakitangan2 awam yang memang betul2 bagus dan rajin bekerja, atau mungkin tidak berpeluang untuk mengular, terutamanya yang bekerja secara langsung dengan orang awam seperti kerani kaunter2 kerajaan, cikgu, petugas hospital dan sebagainya. So yang selalu dilihat mengular ini mungkin kebanyakannya adalah kakitangan awam yang tidak berurusan secara langsung dengan orang awam dan bekerja di pejabat atau luar, sebab mereka memang berpeluang untuk berbuat demikian.


Apa2pun, bak kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Itulah yang boleh aku simpulkan dengan kakitangan awam yang ada pada hari ini. Sebenarnya persepsi orang ramai terhadap kakitangan kerajaan memang dah teruk sangat dah, kerana nilanya terlalu banyak. Macam mana kerajaan nak pulihkan semula imej penjawat awam yang sudah dilihat negatif dan buruk di mata orang awam? Itu bukan kerja aku untuk fikir.

Cuma, macam mana cara nak hilangkan nila pada susu dalam belanga tu? Tambahkan kuantiti susu dalam belanga tu, atau tukar belanga baru, mungkin?




tags: persepsi tanggapan negatif buruk luahan hati ramai kakitangan awam pekerja kerajaan gomen penjawat awam makan gaji buta mengular minum makan pagi sarapan keluar mamak restoran masalah disiplin sikap akmar hayati pencinta negara anuar manshor

25 ulasan:

  1. Bohong... kakitangan awam memang kaki makan haram tak yah nak tegakkan benang basahlah.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Semua kakitangan ker... ada bukti kukuh x... sy nk aju pada menteri ni...

      Padam
    2. masalah ni yg mengular makin banyak mcm noob ckp yg bukan direct dari pelangan yg jenis tu yg bnyk ngular je haih....

      Padam
    3. Boleh bahlul 858 tnye bukti lagi. .. habis yg org duk komplein siang mlm tu dtg dri mne? Cerita dogeng? Cene bahlul 858 dpt kje gomen.. buat rugi duit rakyat tanggung biaesk idup je.

      Padam
    4. Kan dia tanya SEMUA kakitangan ker... ker ko yg bahlul 10.43

      Padam
    5. Klu x makan cili knp nk tanye plak.. biawak hidup. .kc duit gaji dorg kt org miskin lgi bagus.

      Padam
  2. Kerajaan tak tegas dalam disiplinkan pekerja. Sepatutnya buang je yang problem tu. Berlambak lagi tenaga professional kat Msia ni yg boleh diambil bekerja.

    Macam mana nak maju kalau buat kerja pun ala kadar. Tak faham aku kepala otak pengarah2, ketua2 dalam kerajaan. Takkan xreti nak berfikir n bertindak kot....

    BalasPadam
    Balasan
    1. kalau kau lawan boss aje kau kena buang...kalau kau jilat boss, kau akan naik pangkat senang-senang. itu norma kakitangan kera jaan.

      Padam
  3. aku x nafikan mmg belaku apa yg d bincangkan di atas.... ye la org swasta mmg SGT BAGUS.. RAJIN bekeja... blk lewat mlm kadang2 tu... keja PENUH KUALITI... lg pulak kes skrg ni gomen penuh dgn kes... bocor sana sini... rasuah x beintegriti... mana nk dtg kualiti...

    BalasPadam
  4. ni sume byk slh management... dh tau staf korang byk mse dok mlepak kt kantin.. tambah la kerja tuk tngktkan prestasi dan kualiti... tp klu dh org top mnagement pn dlu mls cm2, ps2 naik pngkat pun pkai kabel... no komen la..

    BalasPadam
  5. tak semua.

    tapi mana-mana agensi pun..memang ada benda yang sama. Bukan sektor kerajaan aje.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Swasta duit beberapa pemegang saham lantak le. kerajaan duit rakyat xde rase bersalah ke curi duit semua rakyat?

      Padam
  6. Pada saya, perkara begini berlaku dimana-mana. Swasta dan gomen, sama saja. Sudah 17 tahun saya bekerja kontrak di dalam dan luar negara. Sudah selesa begini, pertama kerana gaji agak tinggi berbaloi dgn kelulusan tak seberapa dan saving pun tinggi.

    Perkara pokoknya ialah sikap "Holier-Than-Thou" setiap orang. Bila menasihati orang, kita ni seolah2 wakil tuhan, ulamak, nabi dan orag suci.

    Dari pengalaman saya di luar negara, sama juga mentaliti kerjanya. Jika gaji dibayar sikit, maka sikitlah sumbangannya kpd organisasi. Jika dibayar banyak, maka lebih sikik sumbangannya. Biasanya yg gaji 1000, jarang bekerja mcm gaji 5000. Bagi yg bergaji 15000, adakah pekerja ini perlu bekerja seperti kaldai bawa beban yg banyak? Pada saya, gaji dibayar berdasarkan perlunya dispesifikkan dalam job description. Gaji dibayar berdasarkan kebolehan? Atau mengikut kadar masa? Kita tidak boleh pukul rata yg gaji dibayar mengikut masa mcm pekerja McD atau KFC atau operator pengeluaran. Jika beliau programmer, adakah perlu dia buat coding 8-9 jam non stop atau bagaimana?

    Setiap kali kontrak kerja diperolehi, saya berbincang dgn jelas dgn majikan, atas kapasiti apakah gaji saya dibayar. Kalau time tu sbg network engineer shift 12 jam, apa yg majikan mahu? Tak logik saya nak monitor secara detail berbelas firewall serta berpuluh fizikal dan beratus virtual server mcm robot sepanjang 12 jam gitu.

    Bagi saya, gaji dibayar berdasarkan skill kerja bukannya jam. Upahnya berbeza kerana jenis kerja dan output yg diharapkan. Jgnlah kita jadi mcm ustaz alim sangat bilamana kita memberi komen yg org bekerja makan gaji tu perlu bekerja mcm robot non stop. Ini sungguh lucah berfikiran begini. Agak2 la sama. Ada pekerja siap boleh solat dhuha 30 minit lagi semasa bekerja. Padahal dhuha ni bukannya solat wajib dan tepat jam 9am!

    Sepanjang bekerja ON-OFF diluar negara pun, staff disana sama saja. Gaji dibayar berdasarkan kebolehan. Bukannya mcm robot ikut jam. Asalkan output yg majikan mahu dapat dipersembahkan, itulah gajinya. Tanya dulu status gaji kita. Jika dibayar ikut jam, kena kerja ikut jam mcm robot gitulah. Jika ikut kebolehan dan kemampuan diri yg dipelajari, kerja ini lebih sesuai. Waktu bekerja itu sebagai waktu aktif perniagaan. Bukannya pekerja perlu aktif mcm robot pd waktu bekerja. Nak nasihat pun, agak2 la. Jgn tetiba time nak bagi nasihat, kita berlagak seolah kita menjadi nabi dan ulamak.

    Polemik holier than thou ni dimana2 pun ada. Tapi di Malaysia agak keterlaluan. Mungkin ini mentaliti kita di tahap Dunia Ketiga ataupun tekanan kerja ataupun tak tahu skop gaji dibayar kerana apa, lalu diserkap jarang dan dipukul-rata. Holier than thou ni akan yerus berlaku sehingga kiamat.

    BalasPadam
  7. Majoriti mentaliti rakyat malaysia suke cakap nak dpt keje gomen sebab ' nak relaks dan tak bnyak keje'. Jadi..lepas dpt keje gomen..itulah yg dia buat.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Separuh benar juga yg ni. Point yg bagus. Pada saya, ruang diberikan orang atasan serta contoh ikutan senior2 lebih besar kesannya drpd mentaliti sebegini.

      Tak dinafikan ada yg guna barang kelengkapan pejabat utk buat projek luar, punch card kendian balik rumah basuh kereta, ini belum kira staff gomen yg bekerja di luar bandar/daerah/dlm-hutan. Fizikal kerja berbeza, namun dibuat contoh ikutan bagi pekerja disektor lain.

      Skop guru tak sama dgn pegawai perlancongan. Tapi kalo guru nak buat perangai mcm pegawai perlancongan, mmg nahas la. Lagipun masyarakat bukannya tau skop kerja setiap pekerja gomen. Mmg terdedah dgn pandangan negatif. Jika jurulatih sukan, bagaimans pulak yer? Perlu bersukan 9 jam tanpa henti jugak ker? Jenis kerja juga perlu diambilkira.

      Padam
    2. senang cite org luar yg byk sgt komen negatif psl kerja gomen ni sbnrnya dia jeles sbb xdpt kerja gomen kah3

      Padam
    3. Mungkin juga. Tapi saya x kerja gomen. Yg salahnya ialah malas membaca, malas berfikir dan malas mengkaji. Swasta pun begini. Skop kerja adalah penting utk kita ketahui. Nak makan minum xdak masalah. Skrg ada henpon. Tau dimana staff berada. Nak panggil, anytime waktu kerja even dlm tandas sedang berak sekalipun.

      Bagi tabiat masyarakat kita, tujuan komplen bukannya nak membina... rata2nya nak menyakitkan hati serta mencari nahas ataupun melepas geram. Pepagi orang lain cari rezeki, kita pulak nak cari nahas. Kang ada tak pasal2 kene tikam dan bunuh, sbb lidah x bertulang.

      Padam
  8. "Cuma, macam mana cara nak hilangkan nila pada susu dalam belanga tu? Tambahkan kuantiti susu dalam belanga tu, atau tukar belanga baru, mungkin?"

    Kalau nak tambah kuantiti kakitangan kerajaan utk cover keburukan kakitangan teruk yg lain rasnya xberbaloi... drpd tambah lagi staff baik buang jela org2 yg bermasalah.. xpun tukar je kerajaan bg kat pakatan rakyat.. pastu dap mansuhkan kuota melayu dlm kerja gomen... pastu ambik lebih ramai org cina kerja gomen, baru org2 melayu kt gomen ni rasa tercabar & buat kerja betul2..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hah? Pada saya senang saja. Semua kerja perlu ikut login jam. Ada CCTV monitor mcm sesetengah pejabat kerajaan.

      Jika anda pernah tinggal di Britain, adakah kualiti hospital gomennya hebat berbanding hospital kerajaan di Malaysia? Kalo tunggu panggil nama pun, tetap 2-3 jam jugak. Begitu juga pejabat gomen yg lain. Ini berdasarkan pengalaman saya dgn kontrak hampir 5 tahun di sana.

      Paling penting untuk tukar semua ini ialah pemahaman yerhadap skop kerja seseorang. Kalau amik Cina terbaik sebaik mana pun, berapa kerat yg punctual dan mampu bekerja seperti rasulullah ataupun robot?

      Saya ada beberapa projek IT dgn 6 kontraktor Cina. Sama juga rileknya dgn kontraktor Melayu. Malah pernah yg ada CCNP pun boleh configure ASA firewall tak cover langsung inside port. Bermaksud pejabat beli firewall untuk block inside ke outside! Sepatutnya firewall atau router ni digunakan utk block outside ke inside. Kalau yg dia certified CCNA, saya tak kesah. Ini kita yg bukan CCNA pun boleh spot kesalahan org yg ada CCNP! Ada juga x boleh buat site to site vpn. Kompeni Cina, engineer pun Cina..siao ada CCNP. Pengenalan bangsa bukannya penentu kualiti. Ini kebolehan individu.

      Ada juga staff saya yg tak pernah ambil subjek firewall router secara rasmi, cam pergi IT Training, tapi ada kesungguhan belajar dgn print spec dan download problem solving serta study dr video youtube, semua configurationnya hampir perfect juga bila kita panggil certified auditor datang semak. Majikan perlu tahu menghidu kebolehan seseorang. Bukannya nak ambil kesempatan keatas kelemahan pekerja yg tidak dicover sepenuhnya oleh akta2 yg sedia ada.

      Menukar kerajaan tidak dapat tukar mentaliti pekerja. Mungkin utk pekerja kontrak mcm saya, senang nak dajalkan. Tapi ingatlah, berpuluh ribu orang lebih gemar bekerja kontrak berbanding kerja tetap dan makan pencen. Biasanya pekerja kontrak mampu memperolehi setahun gaji pekerja tetap bersama bonus, sedangkan kerja meraka hanya 4-6 bulan saja. 6 bulan lagi boleh rehat dan cari projek lain. Utk yg bekerja kontrak, tahu hidu peluang, dgn diploma saja boleh cecah RM70k sebulan. Selamat mencuba. Rezeki dimana2.

      Padam
  9. sorry keluar topik
    PON, kenapa setiap kali aku bukak blog nie guna handphone, dalam 30 saat macamtu terus keluar dengan sendiri dari website ni aa? Pastu keluar bunyi mcm virus detect. Banyak kali kot.

    Anyway, aku interview pagi besok kerja kerajaan, doakan aku guys.

    BalasPadam
    Balasan
    1. kalau guna handphone, jangan guna full view, guna mobile view je, sebab iklan2 yang ada kat situ yang bagi alert bukan2 kat handphone.

      btw good luck untuk interview ko. kalau dapat semoga jadi penjawat awam yang baik.

      Padam
  10. Lantak la diaorg nk curi tulang ke, nak pergi tgk wayang ke. gaji tu dibayar mengikut bulan, dan kalau diaorg ponteng, maka kuranglah keberkatan pendapatan tu. Aku kerja swasta. ada gak mengular. tapi polisi ofis aku, nak keluar boleh tapi hours yang kita takde kat ofis kena ganti dalam minggu yang sama. senang untuk company, senang utk pekerja.

    BalasPadam
  11. Sbb xde KPI mcm swasta..swasta senang je, x perform possible nak buang tinggi. Kalau kerajaan, payah sgt nak buang melainkan kes besar/disiplin/jenayah. So KPI ni sbgi driving factor utk memberi perkhidmatan lebih baik. Tp apakan daya, bonus pun sama je utk semua staff, so baik kerje malas2 sbb bonus sama je. KPI yg ada pun utk kekenterian, bukan perseorangan.

    Melainkan nak buat penswastaan utk giv sektor, nanti merunggut harga perkhidmatan mahal sbb sebelum ni free....tp kalau free service pun tahap 'free' je la...kalau sy jd PM pun payah nak setelkan dgn cara yg bertanggungjwb.

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.