Halaman

Selasa, 20 Februari 2018

Kesilapan pekerja baru yang mengundang kebencian

Selepas seseorang itu keluar dari alam pendidikan dan tamat pengajian di sekolah, kolej atau universiti, atau setelah seseorang itu melangkah ke alam dewasa, perkara pertama yang kebiasaannya orang fikir adalah mencari pekerjaan, atau kerja makan gaji. Maka bermulalah proses yang perlu dilalui oleh ramai orang seperti menghantar resume kepada bakal-bakal majikan, proses temuduga dan akhirnya diambil bekerja. Tak kiralah sekarang ini kita dah bekerja selama 10 atau 20 tahun, tapi pada suatu ketika kita mesti pernah menjadi pekerja yang baru di sesebuah tempat.

Menjadi pekerja baru ini bukanlah suatu yang mudah. Untuk membina reputasi, hubungan baik dan memperoleh kepercayaan di tempat baru, ia mengambil masa yang lama, serta cara yang betul. Silap langkah, kau mungkin akan menjadi orang baru yang paling dibenci di tempat kerja kau. Maka aku antara kesilapan yang biasa pekerja baru lakukan untuk mengelakkan diri dari dibenci pekerja lain.


1. Tidak menghormati orang lama

Sebagai orang baru, perkara yang paling asas dalam menjadi seorang pekerja baru adalah menghormati orang lama, tak kiralah dia tu pangkat apa sekali pun, pangkat lebih tinggi dari kau mahupun yang lebih bawah, tak kiralah berapa umur dia sama ada lagi tua atau lagi muda dari kau, kau kena respek mereka sebagai seseorang yang sudah lama bekerja di situ.

Ini kerana benda pertama yang kau perlu dapatkan bila mula bekerja di tempat baru, adalah respek. Cara nak dapatkan respek orang, adalah dengan kita respek orang lain. Ini belum apa-apa, kau dah cuba nak layan orang lain macam kawan-kawan sekolah kau, bahan orang lebih-lebih, buat lawak tak kena tempat. Kau tengok orang lain buat perangai selamba tu takpe la sebab mereka dah biasa dan dah lama kenal, kau tu baru kerja sebulan dua belum ada lesen lagi untuk buat gila-gila dengan orang lain.

2. Berlebih-lebihan dalam hubungan sesama pekerja

Sebagai orang baru, kau masih masih belum lagi kenal rapat dan mesra dengan pekerja lama yang lain, dan mereka pun belum lagi kenal rapat sangat dengan kau, belum masak lagi dengan perangai sebenar kau, dan tak tahu pun lagi latar belakang kau. Oleh itu kau perlu menjaga hubungan baik kau dengan pekerja lain, terutama mereka yang lebih lama dan tua dari kau.

Kalau kau nampak mereka bergurau kasar, buat lawak bodoh, berbual selamba sesama mereka, tak bermakna kau pun boleh buat macam tu dengan mereka. Kau belum ada lesen. Nak ada lesen kau kena bina dan dapatkan kepercayaan mereka dulu. Dan nak dapatkan kepercayaan orang bukannya sekejap, kadang-kadang kena ambil mas berbulan-bulan dan bertahun-tahun barulah hubungan rapat  tu terjalin secara semulajadi.

Ini belum apa-apa kau pulak yang lebih-lebih mengalahkan orang lama, baru dua tiga minggu kerja dah keluar semua perangai buruk kau, memang lepas tu orang nak tengok muka kau pun rasa meluat. Nak bina kepercayaan ni tak boleh terlalu dipaksa.

2. Tidak mahu belajar

Tak kira kau tu ada degree ke, master ke, PhD ke, masa belajar pointer 4 flat ke, atau jadi pekerja cemerlang kat tempat kerja lama ke, tapi bila kau melangkah kaki je di tempat baru, ilmu pengetahuan kau di tempat baru tak sampai separuh pun, malah mungkin kosong. Sebab di tempat kerja, pengalaman lebih berharga daripada sijil-sijil kau. Maka jangan malu untuk belajar, dan kena berusaha untuk belajar sendiri tanpa perlu banyak disuap.

Apa yang kita belajar dulu sebenarnya tak banyak pun yang akan digunakan waktu bekerja, malah suasana pekerjaan tempat lama dan tempat baru amat berbeza. Kalau tak tahu, belajar. Kalau tak tahu, cari kat Google. Kalau tak tahu, tanya orang lama. Tapi kalau orang lain dah ajar, tulis dan buat catatan. Ini kalau soalan yang sama kau tanya berulang-ulang kali, lepas tu benda sama nak kena suap tiap-tiap hari, jangan salahkan orang lain kalau satu hari kau kena maki.

3. Terlalu ego dan sombong

Sebagai orang baru, kau kena buang ego kau jauh-jauh. Tak kira la sebelum ni kau hebat ke, atau kau dapat kerja jadi bos ke, jangan ego. Jangan rasa diri tu pandai sampai rasa dah boleh sailang orang lain. Kalau tak tahu, cakap je tak tahu atau diam je. Sesungguhnya diam itu lebih baik dari memandai-mandai. Kita pun faham kau tu orang baru, tak expect pun kau tu tahu serba serbi macam dah 5 tahun kerja kat situ. Kalau orang suruh belajar, belajar, jangan ego tak nak belajar.

Dan kalau anak buah kau nak ajar kau, jangan ego. Takde apa yang salah dan nak dimalukan kalau belajar dengan anak buah kau pun. Walaupun kau tu bos dia, tapi dia tu kerja lagi lama dan lebih banyak pengalaman dari kau.

Memang sebagai bos, kau berhak nak mengarah dia buat kerja, tapi ini belum apa-apa kau rasa ego sebab kau bos, buat perangai bossy asyik mengarah anak buah kau buat itu ini dalam keadaan kau tak tahu apa-apa, termasuk suruh dia buat semua kerja yang sepatutnya kau buat, akhirnya kau hanya menjadi seorang bodoh sombong yang dibenci orang. Be a leader, not boss. Baca juga "Hubungan ketua dan orang bawahan hanya sementara".

4. Kuat pertikai dan mempersoal

Ini satu lagi kesilapan yang selalu dilakukan oleh pekerja baru. Belum apa-apa kau dah pertikai dan mempersoalkan macam-macam benda kat tempat kerja baru kau. Kenapa kerja dia macam tu? Kenapa kena buat macam ni? Kenapa guna ini? Kenapa tak guna yang tu? Kenapa dulu dia buat macam ni? Kenapa dulu dia tak buat macam tu?

Apa yang dah ada kat tempat kerja kau tu bukannya baru wujud lepas kau masuk. Benda tu dah ada sejak sekian lamanya, dan semua yang ada kat situ ada sebabnya yang kau sendiri tak tahu pun. Maka sebagai orang baru, belajar untuk adapt atau menyesuaikan diri terlebih dahulu dengan suasana dan persekitaran tempat kerja baru.

Cuba belajar dan fahami dulu kenapa sesuatu kerja dilakukan dengan cara itu atau kenapa sesuatu peralatan itu digunakan di situ. Jangan asyik nak mempertikai dan mempersoal kerja orang lain atau kerja orang terdahulu. Yang dah lepas tu lepas. Kalau kau rasa ada benda yang kau boleh tambah baik, kau buat je terus.

5. Sering 'demand'

Dah nama orang baru, mestilah keistimewaan kau tu kurang sikit dari orang yang dah kerja lama. Contohnya orang lama dapat PC baru, kau dapat PC lama. Orang lama dapat notebook dengan spec tinggi, kau dapat notebook spec rendah sikit. Orang lama dapat partition besar, kau duduk kat partition kecil. Orang lama gaji besar sikit, kau gaji kecik sikit. Orang lama boleh balik on-time, kau kena stayback lama sikit.

So jangan la pulak kau nak pertikaikan kenapa dia dapat PC baru, kau dapat PC lama? Kenapa kau kena stayback, dia boleh balik on-time? Kenapa gaji dia lebih besar dari aku? Lepas tu tak puas hati pergi jumpa management, demand macam-macam nak PC baru, nak notebook power, nak duduk kat bilik besar, nak ada printer sendiri, nak ada PA sendiri, nak ada mesin pembancuh kopi kat sebelah meja dan sebagainya. Kau tu budak baru la gila, belum apa-apa permintaan mengalahkan orang kerja 10 tahun. Orang kerja 10 tahun pun belum tentu nak minta macam-macam.

6. Selalu merungut

Bila kau dah diambil untuk suatu kerja tu, maksudnya kau kena laksanakan skop tugas kau, dan mungkin tugas-tugas lain yang diarahkan oleh bos dari masa ke semasa. So kalau kena buat kerja tu, janganlah merungut! Ini bila bos suruh buat kerja, kau merungut "Ala nak kena buat lagi ke?", "Kerja sini memang macam ni ke?", "Asyik nak kena stayback je", "Memang nak kena buat ke?", "Kalau tak kena isi borang ni tak boleh ke?" dan macam-macam lagi rungutan yang menjengkelkan. Tak cukup dengan merungut, kau buruk-burukkan pula majikan kau yang dah ambil kau kerja.

Tak guna kalau kau belajar tinggi-tinggi pun tapi at the end terlalu banyak rungutan bila orang suruh buat kerja. Kalau banyak sangat songehnya, kau letak je la jawatan, bagi kerja kau kat orang lain. Kalau dah tak suka sangat dengan kerja kau dan majikan kau tu, buat apa kau terhegeh-hegeh minta kerja tu dulu?  Lebih ramai orang kat luar sana yang berebut-rebut nak buat kerja kau tu.

8. Buat perangai yang mendatangkan rasa meluat

Yang terakhir, perkara paling utama yang perlu ada pada ciri-ciri seorang pekerja baru, iaitu jangan buat orang lain meluat. Macam mana tak nak bagi pekerja lain rasa meluat, annoying, jengkel, jelek, menyampah, rimas dan irritating pada kau? Ikuti je langkah-langkah di atas. Selain itu, baca artikel "Tips komunikasi berkesan untuk elak rasa jengkel" ini. Aku bagi contoh yang mudah, kau masuk pejabat dah pasang lagu dan melalak kuat-kuat. Belum apa-apa kau dah timbulkan suasana tidak selesa pada orang lain.

Amat penting untuk kau sebagai seorang pekerja baru menjaga hubungan baik dengan pekerja lama. Kalau awal-awal lagi orang lain dah tak suka kat kau, perjalanan kerjaya kau di situ akan menjadi sukar. Bila kau nak minta tolong, orang lain pun rasa menyampah nak tolong. Bila ada tugasan yang memerlukan kerjasama pekerja lain, diorang nak bagi kerjasama pun susah. Bila kau kena hentam dalam mesyuarat, orang lain nak backing kau pun malas.

Dan yang paling penting bila kau nak turun makan tengahari, kau ajak orang lain takde siapa-siapa pun nak temankan kau. Bila mereka nak turun makan pula, takde sorang pun nak ajak kau turun sekali. Last-last kau pun sedar yang diri kau telah pun dipulaukan dan tak dipedulikan oleh orang lain namun semuanya dah terlambat. Cuma bila dah kena pulau ni, dia sama ada kau memang tak kisah kena sisih jadi kera sumbang, atau kau memang terlalu bodoh untuk menyedari yang kau dah kena pulau dan sedar pun yang orang lain semua tak suka kau.

So kalau kau rasa kau kena pulau kat tempat kerja, atau kat mana-mana, jangan salahkan orang lain. Jangan anggap orang lain semua bermasalah, kerana mungkin yang bermasalah tu diri kau, sebab tu orang lain ramai-ramai menjauhkan diri dari kau. Cuba muhasabah diri dan fikir balik apa sebenarnya problem yang kau dah buat pada orang lain.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.





tags: panduan tips langkah cara teknik pekerja baru agar tidak dibenci disisih dipulau being ignored left out excluded secluded

9 ulasan:

  1. btl la tu..
    kalau ade yang baru masuk kt tpt baru ade plk yg demand
    pastu tanya xkene tempat..
    mmg rimas

    BalasPadam
  2. klu yg baru tu jawatan atasan mcm manager camner ? haa...

    BalasPadam
  3. ��������������������

    BalasPadam
  4. Klw baru mulai masuk kje trus bising2 Mcm org gile cam mane tuh huh?

    BalasPadam
  5. Yg penting, kita bekerja kerana Allah.

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.