Halaman

Khamis, 1 Mac 2018

Majlis pelancaran produk kopiah terbaru di kasino

Baru-baru ini telah berlangsungnya pelancaran kopiah terbaru dari seorang selebriti lelaki terkenal. Namun apa yang menarik perhatian ramai, lokasi koleksi kopiah itu dilancarkan, di mana bertempat di sebuah kasino di ibu kota.

Selain memperkenalkan koleksi kopiah terbaru, selebriti itu juga menyambut majlis ulangtahun ke 36 beliau di sana. Rata-rata netizen terkejut dengan pemilihan tempat haji kesayangan ramai itu, ada juga mempersoalkan mengapa produk seperti kopiah dilancarkan di kasino.

Di Instagram pula, ada yang sempat berkongsikan beberapa video ketika acara berlangsung. Memang meriah, seperti kasino yang biasa kita lihat, muzik rancak berserta dengan tarian daripada kopiahista yang hadir menyokong selebriti tersebut.

Selain itu, ibu dan adik beradik beliau turut hadir bersama. Memang agak pelik idea yang dicetuskan beliau, melancarkan koleksi kopiah di kasino. Pun begitu pasti beliau ada alasannya.

Selebriti itu ada mendedahkan bahawa antara punca dia memilih kasino kerana mahu mengurangkan bajet majlis yang bertemakan permainan. Mereka turut mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan apa-apa daun terup, mesin jackpot, mesin kuda, jenama dan botol minuman keras, gelas serta perkakas diasing dan dikeluarkan sepenuhnya daripada tempat terbabit sebelum majlis berlangsung.

Gambar hiasan.

Lancar kopiah di kasino...

Ya, ia hanya berita rekaan sahaja, tapi ada tak anda rasa janggal baca berita di atas?
Ada rasa awkward, atau kesipuan?

Aku bagi lagi contoh.
 
Lancar bikini dan pakaian dalam di masjid.
Jual baju melayu dan jubah di gereja.
Buat ucapan hari raya Aidilfitri dengan sup babi.
Anjur tarian singa depan surau.
Wanita bertudung peluk artis Kpop atas pentas.
Adakan majlis perkahwinan orang Islam di tokong.
Santa Claus bagi hadiah di perkarangan masjid.
Perempuan bertudung menari ghairah depan orang ramai.
Lelaki pakai kopiah berjubah beratur kat kedai nombor ekor.

Absurd gila kan?
Rasa ia boleh menyentuh sensitiviti masyarakat kan?
Rasa boleh menimbulkan kontroversi, menggugat keharmonian dan mencetuskan kemarahan kan?

Maka takde apa yang pelik pun kan, kalau lancar tudung di kelab malam mengundang kecaman masyarakat?

Benda ni common sense, terutama berkaitan sensitiviti agama dan kaum. Negara kita bukan baru semalam kita hidup berbilang bangsa. Agama Islam bukan baru semalam bertapak kat negara kita. Kita bukan baru semalam hidup bermasyarakat.

Benda ini tak perlu belajar tinggi-tinggi pun, tak perlu ada degree, master atau PhD, untuk kita tahu, sedar, dan faham akan perkara ini.

Kopiah, sinonim dengan orang Islam. Pusat judi, haram di sisi Islam.
Hijab, sinonim dengan orang Islam. Kelab malam, tempat maksiat yang haram di sisi Islam.
Dua benda yang bertentangan sama sekali jika dicampur adukkan pasti akan mencetuskan konflik.

Tudung memang sekadar kain. Kopiah, baju melayu, jubah, semua tu hanya sekadar kain, namun ia sudah sinonim dengan orang Islam. Sama seperti tarian singa yang sudah sinonim dengan Tahun Baru Cina, sari yang sudah sinonim dengan masyarakat India, Santa Claus yang sangat sinonim dengan perayaan orang Kristian.

Pendek kata, sesuatu perkara yang sudah sinonim dan dekat dengan sekumpulan masyarakat dari sudut agama atau bangsa pasti boleh mengundang kontroversi jika dibuat tak kena kena tempat, yang lari dari norma agama dan budaya kaum tertentu.

Malah contoh-contoh yang aku bagi kat atas tadi, memang ada yang pernah berlaku pun di negara kita. Mula-mula ramai orang akan marah, kecam, sindir, tegur dan nasihat. Lepas tu ada pula yang mempertahan dan mengecam pula netizen sibuk hal orang lain, jaga hal sendiri, jangan nak buat kerja Tuhan dan sebagainya. Apa-apa isu pun, balik-balik netizen jelah yang salah, masyarakat jugalah yang tak betul, si pelaku je lah yang tak salah.

Namun setelah dikecam lebih ramai orang termasuk para agamawan dan pihak autoriti, pelaku akhirnya sedar dan memohon maaf. Tidak lama kemudian, berlaku lagi kes lain yang lebih kurang serupa. Pelaku minta maaf lagi. Dan kitaran itu berulang lagi.

Ya, memang manusia itu tidak lari dari membuat kesilapan. Tapi apakah kita tidak belajar dari kesilapan sama yang pernah dilakukan oleh lain sebelum kita?

Aku tidak mahu terus mengecam kerana sudah terlalu ramai orang mengecam.
Aku tidak mahu terus menegur kerana sudah ramai agamawan menegur.

Cuma aku harap, kita belajar lah sesuatu.

Semoga tiada lagi isu seperti ini berulang, terutama dari orang yang mempunyai pengaruh yang besar dan pengikut yang ramai. Semoga kita juga tidak terlalu berlebih-lebihan dalam mengecam dan menghukum.

Kelebihan yang kita ada tidak bermakna kita boleh melakukan apa sahaja dan mahu orang lain mengikut dan menjadi diri kita, sebaliknya ia sudah menjadi suatu tanggungjawab kita untuk membentuk dan membimbing para pengikut kita ke arah yang lebih baik.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.





tags: neelofa lancar tudung hijab di kelab malam zouk joget menari ghairah perempuan kecam mufti tegur surat terbuka minta maaf 

3 ulasan:

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.