Halaman

Isnin, 25 Februari 2019

Sisi negatif bantuan secara tunai dari kerajaan

1. Suatu ketika dahulu kerajaan memberi banyak bantuan kepada rakyat dalam bentuk subsidi pukal di mana subsidi disekalikan dalam harga barang atau perkhidmatan.

2. Antara contoh subsidi pukal dalam harga barang adalah subsidi minyak kenderaan, gula, tepung, beras, minyak masak, LPG dan sebagainya, manakala subsidi pukal dalam perkhidmatan adalah subsidi pendidikan di sekolah dan universiti awam, subsidi kesihatan dalam mendapatkan rawatan dan perubatan di klinik/hospital kerajaan dan sebagainya. Dengan subsidi pukal ini, rakyat dapat membeli barangan serta mendapatkan perkhidmatan tertentu dengan harga yang lebih rendah dari kos sebenar.


3. Namun zaman sekarang semakin banyak pula bantuan dari kerajaan yang diberikan dalam bentuk tunai terus kepada rakyat. Aku tidak pasti adakah ia pernah berlaku pada Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Mahathir (ketika menjadi PM-4), namun apa yang aku ingat pertama kali bantuan berbentuk tunai ini diberikan adalah pada zaman PM ke-5 iaitu Pak Lah pada tahun 2008.

4. Pada tahun itu kerajaan mengambil keputusan untuk tidak lagi memberi subsidi petrol secara pukal, menyebabkan harga jualan petrol naik mencanak. Walaubagaimana pun, subsidi tersebut digantikan dalam bentuk rebat tunai sebanyak RM625 setahun kepada pemilik kenderaan bawah 2000cc dan RM150 setahun bagi pemilik motosikal bawah 250cc. Rakyat yang layak boleh mengambil rebat tunai tersebut di pejabat Pos Malaysia. Selain itu, kenderaan lebih 2000cc mendapat pengurangan cukai jalan sebanyak RM200 dan pengurangan RM50 untuk motosikal melebihi 250cc. Aku tak ingat berapa lama kerajaan bagi rebat tunai ini, rasa macam setahun atau 2 tahun sahaja.

5. Setelah DS Najib menjadi PM ke-6, beliau melancarkan Program Rasionalisasi Subsidi, di mana semua subsidi yang diberi secara pukal pada barangan seperti gula, minyak petrol, diesel, LPG dan sebagainya akan digantikan dengan pemberian subsidi secara bersasar. Ini kerana subsidi pukal sebenarnya lebih menguntungkan golongan kaya, di mana mereka dapat membeli lebih banyak barang dengan harga bersubsidi berbanding orang yang berpendapatan rendah.

6. Sebagai contoh orang kaya membeli RM500 sebulan minyak petrol bersubsidi untuk diisi ke dalam kereta mewah mereka, manakala orang berpendapatan rendah hanya membeli RM50 sebulan minyak petrol bersubsidi untuk diisi ke dalam motosikal kapcai mereka, maka siapa yang dapat lebih banyak subsidi petrol dari kerajaan? Sudah tentu orang kaya. Bukan sahaja orang kaya, malah syarikat juga dapat subsidi yang banyak apabila mereka membeli minyak untuk kegunaan perniagaan mereka.

7. Untuk mengatasi masalah ini, subsidi pukal ini digantikan dengan subsidi bersasar agar subsidi kerajaan dapat disalurkan pada orang yang betul-betul layak. Lalu bermulalah kembali pemberian subsidi secara tunai terus kepada rakyat melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M pada tahun 2012.

8. Disebabkan kerajaan telah mula memberi bantuan secara tunai kepada rakyat, amalan tersebut telah mula menjadi seperti suatu kewajipan kerajaan setiap tahun, bahkan nilai bantuan BR1M itu semakin bertambah setiap tahun. Ini tidak termasuk dengan bantuan-bantuan tunai lain yang telah lama wujud melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pusat Zakat dan sebagainya.

9. Untuk memberi bantuan tunai kepada rakyat ini, kerajaan perlu memperuntukkan perbelanjaan yang besar, dan peruntukan ini sudah pasti meningkat dari tahun ke tahun memandangkan nilai BR1M dan juga jumlah orang yang layak terima juga meningkat.

10. Tak dinafikan bantuan tunai ini memang sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan rakyat, namun secara peribadi aku tidak bersetuju kerajaan memberikan bantuan secara tunai ini sehingga ia menjadi amalan tahunan kerana ibarat pisau bermata dua.

11. Kerajaan mahu berjimat dan mengawal perbelanjaan, namun dalam masa yang sama perlu terus menanggung kos yang besar untuk memberi bantuan tunai kepada rakyat agar tidak hilang sokongan rakyat. Jadi nak tak nak, bertukarlah kerajaan banyak kali pun, kerajaan terpaksa terus bagi bantuan tunai sebab tidak mahu hilang undi. Siapa berani tiba-tiba berhentikan bantuan tunai? Bagi kurang dari tahun sebelumnya pun habis kena kecam.

12. Kalau boleh kembali ke masa lalu, aku harap kerajaan kita tidak memulakan amalan memberi duit tunai pada rakyat, selain dari bantuan sedia ada melalui jabatan dan badan sedia ada seperti jabatan kebajikan, pusat zakat dan sebagainya. Sebaliknya, kerajaan bagi subsidi bersasar kepada rakyat dalam bentuk potongan harga pada mereka yang layak.

13. Seperti contoh, ketika hendak beli minyak petrol, jika harga semasa adalah RM2.00/liter, orang yang layak boleh beli dengan harga bersubsidi RM1.60/liter misalnya. Jika harga tong gas LPG 10kg RM20, orang yang layak mendapat subsidi boleh membeli dengan harga subsidi RM17.00 sahaja. Orang yang layak juga dapat subsidi dengan pelbagai pengurangan kadar seperti cukai jalan, lesen memandu dan sebagainya serta melalui pelbagai program bantuan berbentuk latihan, dana perniagaan, sumbangan peralatan dan lain-lain.

14. Macam mana penjual nak kenalpasti seseorang itu layak dapat subsidi atau tidak, macam-macam mekanisma boleh difikirkan. Mungkin boleh bagi kad khas seperti warga OKU yang mempunyai kad OKU, atau mungkin hanya boleh dikenalpasti melalu kad pengenalan sahaja. Yang penting, kerajaan tak bagi tunai terus kepada mereka sebaliknya mereka hanya akan dapat menikmati subsidi ketika membeli barang keperluan.

15. Ini apa yang berlaku sekarang sudahlah subsidi pukal masih bagi, subsidi bersasar secara tunai juga masih nak teruskan demi untuk tidak hilang undi dan sokongan, yang mana aku pasti ia tidak sihat kepada ekonomi negara dan juga kantung kerajaan.

16. Lalu bagaimana kerajaan hendak memenuhi keperluan semasa ini? Kerajaan terpaksa meminjam lagi demi untuk memberi lebih banyak sumbangan kepada rakyat. Lambat laun, hutang sedia ada masih belum habis bayar, tambah lagi hutang baru. Kita memang tak rasa kesannya sekarang, tapi yang akan rasa kesannya adalah anak cucu cicit kita kelak.

17. Bayangkan kita nak kahwin, kita buat pinjaman yang banyak dengan tempoh bayaran balik yang panjang selama 50 tahun. Majlis memanglah besar dan meriah, jemput pula satu kampung datang majlis perkahwinan kita. Ramai orang dapat makan sedap-sedap dan memuji majlis kita pada ketika itu. Selepas 25 tahun, kita pun bersara, lalu meminta anak kita menyambung baki hutang pinjaman yang kita buat untuk majlis perkahwinan kita dahulu.

18. Samalah macam sekarang, sekarang memanglah kita sedap dapat duit dari kerajaan, tapi sampai bila rasa-rasanya kerajaan akan terus mampu bagi duit tunai pada rakyat, dengan hutang yang bertimbun-timbun lagi. Bila kita dah tua nanti, sampai giliran anak kita meneraju negara, bantuan tunai terpaksa dihentikan kerana kerajaan sudah tidak mampu nak bagi, malah terpaksa pula meningkatkan cukai sana sini demi untuk menampung ekonomi. Demi kesenangan kita pada hari ini, akhirnya ia ditanggung oleh anak cucu cicit kita kelak, rasa-rasa berbaloi ke?

19. Tapi itulah, amalan pemberian duit tunai ini nak ubah pun dah susah sebab dah mula bagi. Rakyat mesti akan mempersoalkan kenapa dulu boleh bagi sekarang tak boleh bagi, kenapa dulu bagi banyak sekarang bagi sikit? Kerajaan pula tidak mahu hilang kuasa, jadi nak buat macam mana.

20. Cuma itulah, bila fikir-fikir balik, sebelum tahun 2012 dan 2008, sebelum wujudnya rebat tunai, BR1M, BSH apa semua tu, rakyat boleh je survive tanpa diberi bantuan secara tunai oleh kerajaan. Tapi sekarang orang bujang tak dapat duit BSH, bising. Kerajaan bagi RM100, bising lagi cakap sikit. Bagi RM100 kat pelajar IPT, pun bising tak cukup.



P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.

https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: bantuan sumbangan duit wang tunai kerajaan kepada rakyat br1m bsh sara hidup 1malaysia subsidi sisi negatif

6 ulasan:

  1. Balasan
    1. Bisjut kepala bapak ko. Lahanat

      Padam
  2. yang memperlekeh RM450 pemberian bujang tu pun org PH sendiri. Tak cukup 1 bulan bayar ansuran kereta Honda City 1 bulan katanya..
    cc: Tony Pua

    BalasPadam
  3. Ko sembang zaman dulu tkda brim boleh survive. Skrg kenapa perlu ada brim. Ko ni ada blaja ekonomi tak?
    Ko ada blaja pasal inflasi tak?
    Ko blaja & hadamkn dulu subjek ekonomi inflasi pastu baru ko cite.
    Apa punya sakai la ko punya pikir nie.

    BalasPadam
  4. Ramai ank muda yg kecewa dgn keaadaan sekarang..rata2 kecewa bila beberapa janji xdpt ditunaikn..boleh kata manifesto bkn kitab suci..aku rasa dlm beberapa hal bn lebih baik berbanding ph..🤐😴😴😴

    BalasPadam
  5. BERITA TERKINI - GUAN ENG GONDOL ANUGERAH BERPRESTIJ
    28 Februari - Selepas pengumuman kereta terbang pertama negara, Malaysia sekali lagi berbangga dengan pencapaian anak tempatan kini dalam bidang matematik.
    Sebentar tadi, dalam satu siaran akhbar International Mathematical Union (IMU) telah mengumumkan pemenang anugerah The Fields Medal, juga dikenali sebagai Anugerah Nobel untuk Matematik dinobatkan kepada Saudara Lim Guan Eng, Menteri Kewangan Kerajaan Pakatan Harapan. Hasil kajian selama 9 bulan, Guan Eng muncul dengan formula dan teori “6.15% lebih tinggi dari 6.7%” dan “RM 100 lebih banyak dari RM 450” selain berjaya menyelesai masalah matematik paling rumit iaitu “titik perpuluhan”.
    Menurut IMU, formula dan teori baharu yang ditemui oleh Guan Eng bakal mengubah dunia dalam bidang matematik. “Ia adalah penemuan dan hasil kajian yang menakjubkan. Sudah lama kita mencari jawapan kepada masalah matematik yang amat rumit ini akhirnya Guan Eng menemuinya! Christopher Clavius orang pertama yang menggunakan titik perpuluhan dan dipopularkan oleh John Napier, warga Scotland. Guan Eng membawa titik perpuluhan ke aras baharu. Amat mengagumkan!” puji IMU.
    Kejayaan tersebut turut disambut oleh anak lelaki Guan Eng menerusi hantaran FB beliau yang berasa amat bangga dengan pencapaian ayahnya. “Hasil penat dan kurang tidur kini berbaloi dan rakyat Malaysia berasa kagum dan bangga dengan pencapaian Ayah” menurut hantaran FB tersebut.
    Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam satu kenyataan akhbar menzahirkan rasa bangga dan beliau akan mengemukan satu usul di Parlimen agar formula dan teori ini wajib diajar di semua Sekolah Jenis Kebangsaan dan diserapkan dalam Sijil UEC.
    Guan Eng yang lebih mesra dengan panggilan Nobita merupakan rakyat Malaysia pertama dinobatkan anugerah tersebut. - Bernamam

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.