Halaman

Jumaat, 15 Mac 2019

Bongkar motif tragedi berdarah masjid New Zealand

1. Jumaat, tanggal 15 Mac 2019, insiden tembakan rambang berlaku di masjid Al Noor dan masjid Linwood di Christchurch, New Zealand ketika umat Islam mahu menunaikan solat Jumaat. Dianggarkan lebih 40 orang terkorban dan lebih 20 orang cedera. Terdapat juga warga Malaysia yang turut menjadi mangsa dalam insiden tersebut. Takziah buat seluruh mangsa yang terlibat.

2. Penyerang yang sangat kejam dan tidak berhati perut ini adalah seorang lelaki warga Australia berkulit putih berusia 28 tahun, menggunakan nama Brenton Tarrant di media sosial, turut menyiarkan serangan itu secara langsung di Facebook.


3. Rakaman tersebut berserta akaun media sosialnya telah dipadam, namun video tersebut telah tersebar luas. Aku mohon jangan tonton dan kongsi video tersebut. Paling aku risau, video tersebut ditonton oleh anak-anak kita yang pasti akan meninggalkan kesan yang sangat dalam terhadap emosi mereka.

4. Walaupun ramai yang mengecam dan mengutuk tindakan pengganas itu yang dianggap sebagai ekstremis anti-imigran dan anti-Islam, namun ada juga golongan yang menyokong tindakan tersebut dan menyanjung lelaki itu sebagai wira.

5. Ini kerana sebelum lelaki itu melakukan keganasan tersebut, dia telah memberitahu perancangannya di sebuah forum Internet 8chan. Turut dilampirkan adalah fail 74 muka surat bertajuk "The Great Replacement" yang mengandungi motif dan motivasi kepada serangannya. Aku dah baca sekali lalu fail tersebut dan apa yang aku boleh rumuskan secara ringkas adalah seperti berikut.

6. Lelaki tersebut merupakan seorang "white supremacist" atau ketuanan bangsa kulit putih (biasanya bangsa Eropah atau Caucasian) yang percaya kaumnya lebih tinggi dan unggul dari semua kaum lain di muka bumi ini, dan mereka harus menguasai dan mendominasi masyarakat dunia.

7. Namun dia ada suatu ketakutan, di mana kadar kelahiran (birth rate) atau tahap kesuburan penggantian (replacement level fertility) bagi bangsa kulit putih semakin rendah. Manusia semakin lama semakin tua dan lemah, dan setiap hari populasi kaumnya semakin kurang.

8. Untuk memahami isu ini, bagi kelangsungan tamadun manusia dari kepupusan, tahap kesuburan penggantian yang ideal adalah 2.1 anak bagi setiap wanita. Ini bermakna secara purata setiap keluarga perlu mempunyai sekurang-kurang 2 orang anak atau lebih, kerana 2 atau lebih anak ini akan menggantikan ibu dan bapanya yang meninggal dunia, jadi semakin lama populasi manusia akan kekal atau bertambah dengan kadar yang ideal.

8. Namun jika purata tahap kesuburan terlalu tinggi pula melebihi 4, ia akan menyebabkan kelebihan populasi (over population) sehingga menimbulkan masalah seperti kekurangan makanan, kekurangan tempat tinggal, kurang penjagaan kesihatan, pengangguran, penularan wabak penyakit dan sebagainya. Masalah ini biasanya wujud di negara-negara miskin dan negara dunia ketiga.

9. Dan jika purata kelahiran kurang dari 2 pula, populasi manusia akan berkurangan selari dengan pergerakan masa menyebabkan semakin lama populasi manusia semakin berkurang dan akhirnya mungkin akan pupus ditelan dek zaman. Biasanya negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan menghadapi isu ini disebabkan oleh arus kemodenan, gaya hidup, kos sara hidup yang tinggi dan sebagainya. Hal ini juga mengakibatkan penurunan penduduk asal negara mereka, sekaligus meningkatkan kadar imigran untuk menampung tenaga kerja di negara mereka.

10. Inilah hal yang paling ditakuti oleh penyerang tersebut dan juga "white supremacist" yang lain. Mereka takut apabila jumlah imigran (pendatang asing yang menetap di negara lain) di negara majoriti bangsa kulit putih seperti Amerika Syarikat, negara-negara Eropah dan Oceania semakin lama semakin ramai.

11. Imigran ini pula yang rata-ratanya orang Islam dari pelbagai negara majoriti Islam (negara Arab, Asia Tenggara) pula biasanya mempunyai kadar kelahiran yang tinggi berbanding mereka. Biasanya keluarga muslim mempunyai kadar kelahiran yang lebih tinggi (purata 2.9) berbanding keluarga kulit putih (bawah 2). Lama-kelamaan jumlah imigran muslim bukan berkulit putih ini akan menjadi lebih ramai dari penduduk kulit putih di negara mereka sendiri.

12. Pendek kata, mereka takut suatu hari nanti golongan imigran muslim ini akan menjadi majoriti di negara mereka manakala kaum mereka pula akan menjadi kaum minoriti di negara mereka sendiri. Mereka takut bangsa kulit putih hilang kuasa, budaya dan warisan di negara mereka sendiri dan dunia amnya. Mereka takut kaum mereka akan hilang identiti dan digantikan dengan kaum lain. Malah dianggarkan populasi umat Islam di dunia akan melepasi populasi penganut agama Kristian dalam 20-30 tahun lagi. Itulah yang dimaksudkan "The Great Replacement" yang mereka sangat takutkan.

13. Jadi apa yang lelaki bernama Brenton Tarrant ini buat untuk mengatasi ketakutan mereka? Dia lakukan pembunuhan beramai-ramai dengan kejam terhadap imigran muslim di negara kulit putih. Dan kalau dilihat di forum 8chan dan media sosial, tindakannya disokong oleh para pendokong "white supremacy" ini malah diangkat sebagai wira.

14. Dari apa yang aku baca juga, penyerang ini tidak bencikan orang muslim yang tinggal di negara mereka sendiri. Dia benci pada orang muslim yang datang dan tinggal di negara kulit putih kerana baginya imigran muslim ini akan menceroboh dan mengambil alih tanah mereka. Dan yang paling dia benci adalah orang dari kaumnya sendiri yang memeluk agama Islam kerana baginya dia adalah pengkhianat yang membelakangkan bangsa, warisan, budaya dan tradisinya sendiri.

15. Bagi aku, penyerang tersebut bukan sahaja seorang pengganas yang jahat dan zalim, malah dia hanyalah seorang "loser" yang menyelesaikan kegagalannya dengan menghukum orang lain. Pada mulanya ia hanya bermula rasa cemburu, bimbang, takut, Islamofobia, taksub dan fanatik, sedikit demi sedikit menghakis sifat rasional dan perikemanusiaan sehingga akhirnya hilang pertimbangan dan kewarasan lalu menjadi seorang ektrimis yang psiko.

16. Golongan "white supremacy" ini mereka dah tahu masalah mereka adalah kadar kelahiran yang rendah, tapi mereka bukan nak perbaiki dan meningkatkan kadar kelahiran mereka, sebaliknya pergi bantai bangsa lain yang mempunyai kadar kelahiran yang tinggi. Ibarat disebabkan kau dapat nombor belakang dalam kelas, bukannya kau nak belajar untuk dapat nombor depan, sebaliknya kau bunuh budak yang dapat nombor depan supaya kurang halangan untuk kau dapat nombor depan.

17. Itulah hidup sibuk sangat dengan kemodenan, hiburan, keseronokan dunia, tak mahu komitmen, tak nak buat anak, nak jadi pula LGBT berhubungan sesama jenis, tak mahu ada anak ramai. Lepas tu bila anak orang lain ramai, salahkan orang lain, lepas tu bunuh pula sebab takut dengan bayang-bayang sendiri. Bangang!

18. Aku harap pengganas bangsat ini akan dihukum sekeras-kerasnya. Ini bukan sekadar kes pembunuhan biasa-biasa, tetapi pembantaian bangsa, penghapusan etnik, genocide, massacre. Dirakam pula secara langsung untuk tontonan dunia. Lelaki ini adalah contoh sebangsat-bangsat manusia zaman sekarang.

19. Aku harap juga semua muslim yang berada di negara lain terutama negara majoriti kulit putih agar lebih berhati-hati dan berwaspada. Kalau dapat pulang ke negara asal, pulanglah. Dan kalau ada yang bercadang nak melancong ke luar negara, elakkan pergi ke negara kulit putih.

20. Aku takut ini hanya permulaan. Aku bimbang peristiwa ini menjadi pencetus kepada serangan seterusnya. Seorang jatuh, akan muncul lebih ramai eksterimis "white supremacist". Manusia mati, tetapi idea dan ideologi yang dibawa sama ada baik atau buruk tidak akan mati dan akan terus diwarisi orang lain.

Trivia:

1. Di dalam rakaman video itu, lelaki itu menyebut "Subscribe to PewDiePie" (seorang Youtuber paling popular dari Sweden) sebelum melepaskan tembakan, menyebabkan Youtuber tersebut diserang netizen di media sosial walaupun beliau sudah berkata dia tiada kaitan langsung dengan insiden tersebut.

2. Ini adalah satu bentuk "diversion" atau lencongan kesalahan supaya orang menyalahkan orang lain atas suatu kesalahan yang orang lain lakukan.

3. Seperti contoh bila ada orang nak bunuh orang dia jerit nama Allah, terus ramai orang bukan Islam akan salahkan Allah dan agama Islam; atau bila ada orang nak pukul orang dia jerit "Hidup Najib!" atau "Hidup Tun M!", terus ramai orang tak pasal-pasal akan kecam Najib atau Tun M akan perbuatan orang itu.

4.  Begitulah mudahnya nak lencongkan kesalahan pada orang lain. Bila nak buat jahat, sebut nama orang lain. Malangnya, ramai juga orang yang begitu mudah terpengaruh dan terpedaya dengan taktik "diversion" itu lalu turut menghalakan kemarahan pada orang yang salah dan tiada kaitan.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.

https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: pengganas terrorist tembakan penembak penyerang rambang bunuh orang islam muslim masjid tragedi peristiwa berdarah christchurch new zealand motif motivasi punca faktor white supremacy supremacist maksud

2 ulasan:

  1. Lihat perang saudara diarab..apa yg mereka sebut setiap kali peluru dilancarkan..ia beri gambaran buruk terhadap imej islam itu sendiri..

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.