2. Aku masuk sekolah asrama sejak Tingkatan 1, masa tu dalam sekitar tahun 90-an. Berbekalkan keputusan UPSR yang baik, aku ditawarkan masuk ke salah sebuah sekolah berasrama penuh (SBP). Untuk makluman, SBP ada 2 jenis iaitu SBP satu jantina (lelaki atau perempuan sahaja) dan SBP dua jantina (campuran lelaki dan perempuan). Biasanya SBP satu jantina ini sekolah yang lebih elit berbanding SBP campuran, contohnya seperti MCKK, STAR, SDAR, SAS, TKC, SSP dan STF. Aku pula masuk SBP campuran di kawasan luar bandar.
PELAJAR CEMERLANG TIDAK SEMESTINYA BAIK
3. Jangkaan orang biasanya kalau budak pandai mesti budak yang baik juga. Yelah, masa zaman sekolah rendah, budak-budak bijak biasanya dilihat baik, skema dan nerd kerana selalu belajar, sering ikut kata cikgu, selalu siapkan kerja rumah, tak campur budak-budak nakal dan sebagainya. Disebabkan itu mereka biasanya jadi anak emas cikgu dan harapan sekolah.
4. Jadi memandangkan yang masuk SBP ini semua murid-murid yang bijak dan cemerlang, sudah tentu kita ingat semuanya mestilah baik-baik belaka. Namun jangkaan itu silap. Bila aku masuk SBP, tetap berlaku kes gaduh, buli, panjat pagar, hisap rokok, cabul dan liwat. Benda ini memang nampak macam sukar untuk dipercayai, tapi siapa yang pernah sekolah SBP mesti tahu yang ia memang benar-benar berlaku.
GENG NAKAL YANG DOMINAN
5. Aku walaupun boleh dikira budak nerd, tapi aku jenis tak terlalu lembik dan tak terlalu nakal, tak terlalu menonjolkan diri, tak terlalu mengasingkan diri, jenis duduk tengah-tengah, play safe dan berkawan je dengan semua orang. Namun bermula dari Tingkatan 1 lagi, sudah ada beberapa murid yang dilihat mahu tunjukkan kuasa dan menjadi dominan. Dan memandangkan geng nakal ini nampak lebih cool dan best, pula dengan tiada pemantauan dari ibu bapa, maka ramai murid lebih mudah terpengaruh untuk termasuk dalam geng-geng nakal ini.
6. Bila ada dormmate yang jenis lembik, kena buli. Yang jenis lembut, kena raba. Yang jenis anak orang kaya manja, makanan kena curi, duit kena pau. Mereka punya nakal, sampai kadang-kadang susah nak percaya yang mereka tu budak pandai, yang dapat semua A dalam UPSR, yang pernah jadi harapan cikgu dan sekolah rendah mereka. Sebab tu berapa ramai murid akhirnya keluar dari sekolah tu, bukan sebab mereka manja atau tak tahan dengan tekanan belajar, tapi sebab tak tahan kena buli. Aku sendiri kalau anak aku kena buli aku keluarkan terus dari sekolah tu.
SENIORITI MELAMBANGKAN KUASA
7. Itu baru budak yang sebaya, yang senior lagi lah. Kat sekolah asrama ni kita ada satu tradisi dan mentaliti, hanya kerana aku lahir beberapa tahun awal dari kau, aku lebih berkuasa dari kau, dan wajib patuh cakap aku. Memanglah pelajar junior perlu hormat pelajar senior, tapi itu tak melayakkan senior pukul, buli, ambil duit dan liwat pelajar junior. Hanya sebab mereka pernah kena tibai dengan senior mereka waktu mereka junior dulu, terus mereka rasa mereka layak untuk membuat perkara sama pada junior mereka bila mereka dah senior.
8. Aku sendiri pernah disuruh basuh baju, kena pau duit, suruh dibelikan makanan dan sebagainya. Disebabkan tak mahu dipukul atau dibuli dengan lebih teruk, aku patuh sahaja. Tapi ada sekali tu kena pau oleh senior dia suruh beli burger, aku beli burger lepas tu kesat daging burger tu kat takungan tempat orang kencing kat tandas lelaki dan bagi dia. Masa aku bagi kat dia dan tengok dia makan, aku rasa puas. Aku mengaku benda yang aku buat tu tak betul, tapi zaman tu pun masih muda tak matang lagi. Lagipun siapa suruh kau buli aku?
9. Budak-budak satu batch dengan aku ada yang kena lebih teruk, locker kena pecah, barang kena curi, kena pukul hanya sebab dia tak bagi salam dan sebagainya. Kalau jenis yang lembut dan muka jambu-jambu sikit, kena panggil senior tidur sekali. Dia kena buat apa dengan senior tu, aku tak tahu. Sebab tu sekarang ni aku kalau jumpa balik senior sekolah aku yang pernah buat dajal, sampai ke sudah aku takkan respek. Kat sekolah ya, aku muda walau 1 tahun dari kau pun aku terpaksa hormat kau, tapi dah dewasa ni kau umur 5 tahun tua dari aku pun tak membawa makna apa-apa.
APABILA SI NAKAL DIBERI KUASA
10. Bila batch aku dah jadi senior, dah masuk tingkatan 4 dan 5, mereka pula ulangi tradisi senior mereka dulu buat jahat pada junior. Lepas tu dah pandai panjat pagar waktu malam pergi kedai depan seludup rokok. Yang lagi tak masuk akal, kebanyakan pengawas cikgu lantik dari kalangan murid-murid nakal ni, dengan harapan mereka berubah dan mereka boleh kawal murid-murid lain dengan pengaruh dan kekuasaan mereka.
11. Jadi bayangkan bila kau kuasa pada orang yang nakal? Kau akan wujudkan penguasa yang korup. Pengawas ini akan cover kesalahan geng-geng mereka sendiri, bilik pengawas jadi tempat lepak dan gudang penyimpanan rokok serta barang-barang terlarang. Yelah, pengawas buat spot check kat dorm lain, siapa je yang nak buat spot check kat bilik mereka sendiri.
DUNIA TERTUTUP DAN TIDAK BERKEMBANG
12. Itu tentang kes buli dan kenakalan pelajar sekolah berasrama. Tapi bila fikir-fikir balik, persekitaran di SBP ini taklah best mana. Bayangkan, setiap hari Isnin hingga Jumaat, pagi kena pergi belajar kat sekolah, tengahari makan, petang pergi balik kelas untuk prep petang, kemudian bersukan, kemudian malam kena pergi lagi prep malam, kemudian tidur. Hari Sabtu setiap 2 minggu boleh keluar bandar, tapi memandangkan sekolah ni pun di kawasan pedalaman, jadi takde tempat yang menarik pun untuk pergi.
13. Bayangkan, itulah rutin yang kau perlu lalui sepanjang 5 tahun. Kehidupan kau di sekolah hanya tentang belajar, bersukan, berpersatuan, itu sahaja. Kau terputus hubungan langsung dengan segala apa yang berlaku di dunia luar. TV pun takde, komputer dan internet pun hanya di makmal komputer yang jarang-jarang kau pergi, suratkhabar pun cuma ada di perpustakaan, pula masa tu tiada telefon bimbit macam sekarang (sekarang tak pasti murid dibenarkan atau tidak bawa smartphone ke sekolah asrama).
14. Lepas tu ada pula peraturan yang agak ketat, seperti murid tak boleh bawa majalah selain akademik, komik, Walkman, Gameboy, seluar jeans dan sebagainya. Benda-benda tu kau masih boleh bawa tapi kena nyorok-nyorok. Biasa orang tinggal kat asrama atau simpan dalam beg balik kampung. Tapi sekali ada spot check, jangankan kena rampas, ada yang kena bakar terus. Jadi kau tak boleh buat apa-apa selain menjadi robot untuk belajar, belajar dan belajar. Kau dibentuk untuk menjadi book smart semata-mata, bukan street smart. Memang kau boleh jadi budak yang pandai akademik, tapi kau tak tahu apa-apa sangat pun pasal dunia luar dalam tempoh 5 tahun tu.
GURU KURANG KOMPROMI
15. Cikgu sekolah asrama ini pula biasanya lain macam sikit dari cikgu sekolah biasa. Mungkin sebab ada di antara mereka yang terpaksa juga tinggal di asrama sekolah, atau menjadi warden asrama, terpaksa berjauhan dari keluarga, terpaksa pantau murid dari pagi sampai malam, jadi mereka pun stress sikit, tu yang susah nak berkompromi dan bertoleransi sikit dengan pelajar. Rampas komik, majalah, seluar jeans, lepas tu bakar kat dataran. Lepas tu orang tak turun surau, kena lempang, kena terajang. Bila orang tidur kat surau, dia masuk sepak-sepak kepala murid yang tengah tidur tu.
16. Biarlah orang kata cikgu berkasar macam tu sebab nak mendidik, tapi bagi orang yang pernah kena macam aku, sampai sekarang aku simpan dalam hati dan tak respect cikgu macam tu. Serius, sampai sekarang aku tak pernah rasa best pun bila kena lempang dan terajang dengan cikgu, malah ia bukan suatu perkara yang boleh dibanggakan pun. Cuma yang peliknya dalam dia garang dan kasar macam tu, ada pula warden yang boleh berkawan baik dengan geng Tingkatan 4/5 yang menghisap rokok, sebab dia juga hisap rokok.
KAWAN TINGGAL JAUH-JAUH
17. Kawan-kawan sekolah kau pula rata-rata datang dari seluruh pelusuk negara. Jadi bila kena macam aku, masuk SBP dari Tingkatan 1, dalam masa yang sama keluarga aku berpindah rumah ke tempat lain, jadi bila balik rumah sahaja, aku mati kutu, sebab tiada langsung kawan sama taman. Kawan sekolah menengah semua duduk jauh-jauh, kawan sekolah rendah pula kat kawasan rumah lama aku, jadi bila balik rumah waktu cuti, aku terperap sahaja di rumah main komputer dan game.
18. Aku masa tu suka melukis, suka main game dan baca komik Jepun macam Dragon Ball dan Yu Yu Hakusho, tapi kat SBP aku ni tak ramai kawan yang sama minat macam aku, jadi nak membentuk atau menyertai sebuah komuniti pop culture game dan komik tu memang takde. Pula kat sekolah tu mana ada kebebasan. Berbeza dengan kalau kau bersekolah di sekolah biasa, kau lebih mudah untuk jumpa orang-orang yang sama minat dengan kau, terutama di zaman Internet ini, kat Facebook dan Instagram pun dah boleh jumpa, jadi kau dah boleh bermula awal untuk groom minat kau.
AKADEMIK ADALAH NOMBOR SATU
19. Di SBP pula, akademik adalah no. 1, dan kau hanya disuruh belajar, dengan harapan boleh jadi doktor atau jurutera sebab masa tu cuma ada aliran sains tulen dan sains kejuruteraan. Kalau kau ada impian bukan konvensional seperti nak jadi penulis, pelukis, graphic designer, video editor, juruanimasi dan sebagainya, boleh lupakan dah cita-cita tu bila kau masuk SBP. Sedangkan kalau kau dapat B dalam Matematik dan Sains masa PMR (sekarang PT3) pun dah boleh kena tendang sekolah.
SINDROM PERASAN ELITIS
20. Kadang-kadang budak SBP ni lepas tamat sekolah akan ada satu perasaan macam kau ni pelajar elit, budak pandai, lain dari yang lain, tak nak bercampur dengan budak lain. Tapi bila masuk universiti, kau akan masuk kelas dengan pelajar yang dari pelbagai latar belakang. Ada yang dari sekolah harian biasa, sekolah teknik, sekolah MRSM dan sebagainya. Kau rasa kau ni budak elit, tapi budak dari sekolah harian biasa pun boleh masuk course sama dengan kau, malah keputusan CGPA dia pun lama-kelamaan lagi bagus dari kau, hingga akhirnya kau sedar yang kau ni takdelah seistimewa mana pun.
21. Pula tu aku tengok ramai kawan-kawan SBP aku, sekarang ni rata-rata end up kerja makan gaji. Memang ada yang jadi doktor, jurutera, arkitek, programmer, kerja gomen dan sebagainya, tapi semua tu kerja makan gaji. Berapa kerat je yang ada perniagaan atau kerja sendiri. Ada yang tak habis belajar kat universiti pun sebab menghadapi tekanan walaupun keputusan SPM dia bagus, last-last kerja biasa-biasa juga macam orang lain. Kalau tengok ahli-ahli perniagaan tu biasanya mereka bukan dari sekolah SBP pun, sebab mereka dah dilatih menjadi street smart sejak dari kecil.
PENGARUH HUBUNGAN HOMOSEKS
22. Dan kenapa kita biasa dengar orang yang mengamalkan kelakuan homoseks dan bisex ini, kalau kita selidik latar belakangnya mesti pernah bersekolah asrama? Sebab persekitaran asrama itu sendiri boleh membuatkan orang cenderung ke arah itu. Selain dari pengaruh senior, bayangkan masa tu kau baru nak meningkat remaja, nak akil baligh. Lepas tu setiap hari meluangkan masa dengan kawan-kawan, main usik mengusik, tidur pun katil sebelah-sebelah, pula ada di kalangan mereka yang jenis lembut dan muka jambu, lama kelamaan ia menimbulkan perasaan lain macam, pula tiada siapa nak pantau atau larang, itulah permulaannya kepada perlakuan songsang ini.
23. Berbeza dengan remaja yang masuk sekolah biasa dan duduk di rumah mak ayah, yang mana ibu bapa masih menjaga dan pantau aktiviti anak-anak, mereka ini hanya menghabiskan masa dengan kawan di sekolah dan waktu bermain petang-petang, tapi kebanyakan masanya dihabiskan di rumah bersama keluarga, ibu bapa dan adik beradik. Kalau nak tidur pun, tidur seorang diri atau dengan adik beradik di bilik. Jadi kecenderungan mereka untuk terdedah pada kelakuan songsang ini kurang.
24. Bukan nak kata semua orang yang sekolah berasrama ini gay, tapi orang yang gay atau bisex biasanya pernah bersekolah asrama, lebih-lebih lagi sekolah asrama satu jantina. Bayangkan tiap-tiap hari kau hadap lelaki sahaja, atau perempuan sahaja. Pegangan agama budak-budak masa tu pun rata-rata bukanlah kuat mana, tu yang mudah nak terjebak ke budaya songsang ini sampai terbawa-bawa ke alam dewasa.
KURANG MESRA DENGAN KELUARGA
25. Begitu juga dengan hubungan kekeluargaan. Masuk sekolah asrama memang sangat mendidik kita untuk menjadi orang yang berdikari. Kena basuh baju sendiri, kemas katil sendiri, bangun pagi sendiri dan sebagainya. Kita menjadi orang berdikari sehingga terlalu berdikari, rasa tak perlu dah bergantung pada ibu bapa. Aku dah mula hidup sendiri dan berjauhan dengan keluarga sejak Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 5, lepas tu sambung lagi duduk di asrama Universiti sehingga umur 24 tahun, kemudian bila dah dapat kerja dah mula tinggal sendiri.
26. Jadi tempoh aku duduk betul-betul bersama keluarga hanya sampai umur aku 12 tahun, selebihnya dah mula kena hidup sendiri sampai dewasa. Sebab tu aku jadi tidak begitu rapat dan mesra dengan ibu bapa aku, dengan adik beradik aku, kesan dari apa yang orang gelar Sindrom Sekolah Asrama. Ada apa-apa masalah aku lebih selesa beritahu kawan-kawan rapat berbanding keluarga aku sendiri. Adik-adik aku yang belajar di sekolah harian biasa duduk di rumah ibu bapa, bila dah dewasa pun hubungan mereka lebih mesra dengan kedua orang tuaku berbanding aku.
KESIMPULAN
27. Kesimpulannya, secara peribadi aku merasakan SBP ini ada kelemahan yang biasanya menjadi open secret di mana orang tahu tapi jarang nak bercakap pasalnya. Kalau aku boleh undur masa balik, aku harap aku tidak masuk sekolah asrama. Tapi tak dinafikan juga kerana masuk sekolah asramalah aku berjaya mencapai cita-cita aku dan menjadi seperti apa yang aku jadi hari ini. Malah kalau memang nak fokus pada pencapaian akademik, sekolah berasramalah tempat yang terbaik.
28. Jadi kalau korang nak masukkan anak ke sekolah asrama, terpulang. Cuma cabarannya lebih besar, kena sentiasa pantau dan ambil perhatian pada apa yang aku nukilkan ini. Menjaga anak di rumah lebih mudah sebab mereka selalu ada di depan mata, berbanding menjaga anak yang kita jumpa 3 4 bulan sekali.
NOTA KAKI
Artikel ini lebih bersifat pemerhatian dan pengalaman peribadi aku dan kawan-kawan seperjuangan aku ketika di asrama dulu, bukannya pendapat dan pandangan aku semata-mata yang orang boleh bersetuju atau tidak.
Jika anda tidak bersetuju sekalipun, ia telah berlaku pun pada diri kami sehingga meninggalkan kesan dalam hati kami. Pengalaman setiap orang tak sama. Ia tidak pernah berlaku pada anda, tidak semestinya ia tidak berlaku pada orang lain. Boleh jadi juga anda tidak melihat ia sebagai suatu masalah, kerana anda melaluinya di pihak pemangsa yang dominan, bukan mangsa.
Jadi apa yang aku kongsikan ini adalah sebuah kisah benar pada diri kami, agar ia boleh dijadikan iktibar dan pengajaran pada orang lain, serta boleh memperbaiki sebarang kelemahan agar ia tidak berulang lagi pada generasi anak-anak kita pada masa akan datang.
Didiklah anak-anak agar dapat mengelak dari jadi mangsa buli, dan juga didiklah anak-anak agar tidak jadi pembuli.
Baca juga artikel berkaitan:
- Sisi gelap sekolah berasrama yang jarang diketahui
- Kenapa ada orang tidak suka hadir reunion sekolah?
P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.
tags: sisi gelap sekolah berasrama penuh asrama sbp keburukan kebaikan sindrom boarding school syndrome open secret gay homoseks lesbian buli nakal
Point terakhir - kurang kemesraan dengan keluarga - itulah kesan paling ketara sekali.
BalasPadamSaya sendiri alami benda ni, selama 10 tahun saya struggling, sejak dari umur 13 sampailah 23, rasa keberatan untuk makan satu meja dengan ahli keluarga, rasa keberatan untuk ke rumah terbuka keluarga, rasa janggal dengan ahli keluarga, menjadi seorang reluctant dalam segala segi.
Sedangkan waktu sekolah rendah saya seorang yang periang.
Yeah aku pun tanak anak2 duduk asrama.
BalasPadamNoob, ko ke yang tulis artikel ni?
BalasPadamPada aku benda ni agak subjektif. Sebagai ibu/bapa; aku galakkan anak-anak aku atas tujuan fitrah kehidupan. Aku ambil yang majoriti saja:
Sejak lahir belum berpisah dengan keluarga. Untuk keluarga bekerja - pengasingan bermula bila hantar anak ke baby sitter. Sampai satu peringkat, baby sitter pula di asingkan bila ke taska/tadika. Kemudian peringkat sekolah rendah.
Ini aturan saikologi tidak langsung dalam mendidik anak-anak belajar berdikari. Bagaimana mereka mendekatkan atau menjarakkan diri dengan keluarga (kita) juga bergantung kepada bagaimana penyampaian kita utk mereka faham.
Anak aku dah 2 orang lepas SBP. Alhamdulillah kerana aku bekas pelajar SBP 1981-1985; meneruskan kesinambungan lagi 2 tahun di perantauan; dan lagi, dan lagi...
Apa yang aku terapkan pada anak-anak - aku ceritakan semua sisi gelap dan sisi terang yang ada di SBP. Terpulang mereka memacu hidup mereka. Aku ada sikit sikit kongsi dalam belog aku hehe tak leh cerita semua.
Sangat subjektiflah Noob...
Apa yang aku tulis bukan pandangan atau pendapat yang berbentuk subjektif atau objektif, sebaliknya sekadar menceritakan pemerhatian dan pengalaman aku. Ada orang yang turut mengalaminya, ada orang yang tidak mengalaminya. Tak dinafikan ada juga pengalaman baik dan manis, tapi pengalaman hitam itu lebih memberi kesan dalam diri aku.
PadamAku tak menghalang sesiapa nak hantar anak ke sekolah asrama, tapi macam yang aku tulis di bahagian kesimpulan, ibu bapa kena sentiasa tahu dan pantau juga kegiatan anak di sekolah. Lagipun memang SBP tempat yang sesuai untuk anak2 fokus pada akademik.
Tapi memandangkan anak2 ko pun dah besar dan lepas SBP, jadi aku yakin ko lebih tahu dan telah berjaya mendidik anak dengan baik, jadi teruskan.
Btw kongsikanlah link post tentang sekolah asrama yang ko tulis dalam blog ko tu, boleh aku baca juga.
Tepat mcm mana pengalaman ambo perintis SBP....
BalasPadam26. Jadi tempoh aku duduk betul-betul bersama keluarga hanya sampai umur aku 12 tahun, selebihnya dah mula kena hidup sendiri sampai dewasa. Sebab tu aku jadi tidak begitu rapat dan mesra dengan ibu bapa aku, dengan adik beradik aku, kesan dari apa yang orang gelar Sindrom Sekolah Asrama. Ada apa-apa masalah aku lebih selesa beritahu kawan-kawan rapat berbanding keluarga aku sendiri. Adik-adik aku yang belajar di sekolah harian biasa duduk di rumah ibu bapa, bila dah dewasa pun hubungan mereka lebih mesra dengan kedua orang tuaku berbanding aku.
BalasPadamYang ni aku setuju 100%, tak hairanla lepas tu aku masuk tentera, lagi jauh tinggal dengan mak ayah,tak rasa rindu ke apa. tapi bestnya jumpa balik "senior" kaki buli dulu bila aku cuti 6 bulan, (tamat latihan) So, aku repeat balik apa yang diaorng buat, masa ni dipanggil "bully beat down". Ko tau tak prince! kaki buli tu tak kuat mana pun, action bila ada kengkawan ramai-ramai.Bila sesorang minta nyawa! Kepada pembuli, hentikanlah perbuatan tu, kalau kena "buku dengan ruas" anda nahas!.
Azmin & anwar ibrahim tu agak2 bisexual gak ke?
BalasPadamBagi saya, street smart ni juga diterap dalam sebilangan SBP tetapi bukan semua SBP.
BalasPadamaku pernah pukul senior sampai patah hidung, terus masuk ward. sampai jadi kes polis, tapi bapak dia tarik kes sebab patah tulang septum jer. tulah sape suruh baling epal kat kepala aku, tak kena pun epal tu tapi panas hati lah. malam tu jugak aku panggil senior tu ke bilik aku, dan beraksilah malas cakap banyak. pastu malam tu jugak lah aku dikelilingi 200 senior yang tak puas hati, tapi ramai jugak senior yang backup aku. sebab aku intake akhir, jadi aku duduk di blok dan dorm sekali dengan senior. aku ni jenis mesra jer dengan semua orang walaupun aku agak pendiam, apa orang cakap aku senyum dan iyakan jer. tapi sebelum masuk asrama aku tanam satu sikap iaitu pemalas, malas nak amik tahu pasal orang, malas nak bercakap benda tak berfaedah, malas nak cari pasal dengan orang dan malas nak berpikir panjang. kalau ada orang mintak tolong, aku tolong jer tak kisah benda buruk ke baik. jadi senior pun mudah masuk kepala dengan aku, hmm begitulah cerita zaman asrama dulu.
BalasPadamHmm, š¤ doakan saya baik2 sahaja nak masuk SBP 6 April ni.
BalasPadamwahh bestnye terkenang zaman dok asrama saya dulu...tq sharing...
BalasPadamfaham tu
BalasPadamAsrama Aku dulu di pedalaman sabah,peraturan ketat, buruk akhlak memang kena panggil.. Warden garang tapi tidak pernah sampai tgn. Senior pula sangat baik dan membantu dah mcm adik beradikš¤£.. Bukan soal sbp itu.. Ianya soal siapa membawa kapal bagaimana dia memimpin?
BalasPadam