Isnin, 1 Julai 2019

4 Sisi cerah sekolah berasrama yang diketahui ramai

1. Selepas aku menulis tentang sisi gelap sekolah berasrama, ramai yang turut berkongsikan pengalaman yang sama. Pengalaman hitam yang pernah aku dan kawan-kawan aku lalui, ada juga yang pernah dilalui oleh orang lain. Aku yakin ramai yang yang turut pernah merasai titik hitam ini, namun tidak mahu menceritakan secara terbuka kerana mahu melupakannya terus atau tidak mahu dikecam, kerana ia seolah-olah membuka pekung di dada sendiri dan juga memburukkan nama sekolah.

2. Namun dalam ramai-ramai yang pernah melalui pengalaman sama, ada juga yang membantah dan mengatakan yang sekolah asrama lebih banyak kebaikannya. Mungkin sama ada mereka tidak pernah melalui pengalaman buruk dan tidak pernah duduk di pihak mangsa, atau pun mereka adalah pemangsa yang dominan di sekolah dahulu. Dan mereka suruh aku tulis pula sisi baik sekolah berasrama, jadi aku tulislah. Ya, tak dinafikan sekolah berasrama juga banyak sisi cerahnya, maka berikut adalah antara sisi cerah sekolah berasrama yang aku rasa ramai pun dah tahu.

Gambar hiasan

MENGAJAR HIDUP BERDIKARI

3. Bayangkan kalau dari kecil sehingga Darjah 6, semua urusan diri ibu bapa yang selalu tolong buatkan. Basuh baju, jemur baju, lipat kain, kemas katil, susun buku, bersiap ke kelas dan sebagainya. Tapi bila masuk sekolah asrama, semua tu kena buat sendiri. Orang yang tak pernah buat pun, dari tak tahu buat terus tahu buat seawal hari pertama lagi. Yelah kalau bukan kau yang buat, siapa lagi nak buat, mak bapak kat rumah. Cadar tilam tak tegang pun boleh kena tindakan, mau tak buat. Lainlah kalau kau dah senior, atau kau jenis kaki buli, boleh suruh je junior atau mangsa buli kau buatkan, kan? Dan orang yang kena buli ni, dia sama ada boleh jadikan kau lebih kental, atau mental break terus.

4. Selain dari tu ada juga aktiviti gotong royong di asrama dan sekolah setiap minggu. Kena cuci dorm sendiri, tandas, tempat basuhan, ruang belajar, surau, padang, kaki lima dan sebagainya. Kalau zaman sekolah rendah dulu menyapu pun kau tak pernah buat, bila masuk asrama nak tak nak kau kena buat, secara tak langsung melatih diri menjadi lebih berdikari. Tapi bila dah Tingkatan 5 biasanya tak turun gotong royong pun. Biasalah, senior berkuasa ma.

5. Tapi nak kata belajar berdikari ni bukan di sekolah asrama sahaja. Anak-anak yang membesar dalam keluarga susah dari kecil dah hidup berdikari, kena bantu ibu bapa uruskan adik-adik, tolong ibu bapa jual kuih dan sebagainya. Orang yang tak pernah masuk asrama, bila masuk universiti secara tak langsung mereka akan terus belajar berdikari uruskan hidup sendiri. Orang yang pernah masuk asrama dulu, ada juga yang lepas sekolah terus jadi malas sebab dah rasa bebas dari kongkongan. Senang kata, manusia akan automatik belajar berdikari apabila terdesak atau tiba masanya untuk berdikari.

MENDIDIK LEBIH BERDISIPLIN

6. Di sekolah asrama, pelajar kena patuhi rutin jadual yang padat dan hampir sama setiap hari. Sebelum Subuh kena bangun, mandi kat kolah, solat kat surau, bersiap pakai uniform sekolah, pergi sarapan kat dewan makan, lepas tu berjalan di laluan gajah menyusur untuk pergi sekolah, habis sekolah berlari pergi dewan makan untuk makan tengahari, siapa lambat kena beratur kat belakang, melainkan kau senior yang boleh sesuka hati potong barisan sebab takde junior yang berani tegur, habis makan pergi solat Zohor, lepas tu pergi prep petang, kemudian balik minum petang, solat Asar dan pergi riadah petang, habis tu pergi makan malam kat dewan makan, kemudian mandi bersiap ke surau untuk solat Maghrib dan prep malam, habis tu berlari lagi ke dewan makan untuk minum malam dan akhirnya kembali ke bilik untuk tidur, dan bersedia untuk mengulangi rutin yang sama pada keesokan harinya.

7. Memandangkan pelajar harus pergi ke surau untuk bersolat fardhu, mereka juga sering mendapat pengisian rohani dan pemantapan sahsiah diri memandangkan kuliah, tazkirah, qiamullail dan program agama sering diadakan di surau selepas solat fardhu. Segala ini secara tidak langsung menjadikan kita seorang yang lebih baik dan berdisiplin, terutama ketika di peringkat junior. Biasanya kita dengar yang tua perlu menunjukkan tauladan yang baik kepada yang muda agar ia dapat dicontohi dan diikuti, tapi di sekolah asrama ini biasanya yang muda hanya disuruhi yang tua, bukan dicontohi. Bila dicontohi, tu yang bila junior dah naik senior, perangai buruk senior mereka pun dicontohi sama. Lepas tu bila tamat sekolah je ada yang terus jadi setan balik, lupa dah segala bagai tazkirah di sekolah.

PEMAKANAN LENGKAP DAN TERATUR

8. Kalau kat rumah biasanya kita makan 3 kali sehari, waktu sarapan, makan tengahari dan makan malam, di sekolah asrama biasanya pelajar akan makan 5 kali sehari, iaitu sarapan seperti nasi lemak, makan tengahari seperti nasi, ayam goreng dan ikan jaket, minum petang seperti roti dan bubur, makan malam lauk lebih kurang macam makan tengahari, dan juga minum malam atau supper dengan makan biskut kering cicah air teh. Hari Jumaat biasanya makan tengahari istimewa sikit macam nasi ayam, nasi tomato dan nasi minyak.

9. Jadi kalau murid yang dari golongan berpendapatan rendah, dapat makan di sekolah asrama lebih-lebih lagi makanan yang berzat adalah suatu nikmat besar bagi mereka. Dapat juga mengurangkan beban ibu bapa untuk memasak dan sediakan makanan untuk anak-anak.

10. Cuma kenangan di dewan makan ini, tidak semuanya indahlah. Kalau lambat, barisan akan jadi panjang, lepas tu ramai kroni atau senior potong barisan. Ayam sepatutnya seorang ambil seketul, ramai ambil lebih. Akhirnya yang kat belakang-belakang tu makan lauk dengan sayur je sebab ayam dah habis. Kalau minum malam, senior yang jadi ahli biro makanan, biasanya dah rembat dulu berkotak-kotak biskut kering bawak balik bilik. Murid lain dapat la merasa sikit je, yang lambat minum air je lah jawabnya. Sebab tu biasanya pergi ke dewan makan ni macam perlumbaan, bila bunyi loceng je ramai-ramai berlari macam orang gila nak ke dewan makan.

KURANGNYA MASALAH SOSIAL

11. Tak dinafikan masalah sosial di kalangan remaja boleh berlaku di mana-mana, sama ada di sekolah asrama, sekolah harian biasa, mahupun di rumah. Namun masalah sosial di asrama adalah lebih kurang sedikit berbanding kes yang berlaku melibatkan sekolah harian biasa. Di sekolah asrama pelajar tidak boleh sesuka hati melakukan perkara buruk kerana sentiasa berada dalam kawasan asrama. Kalau sekolah harian biasa, senang nak ponteng, atau habis je sekolah dah boleh pergi merempit, hisap dadah, berdating, beromen, keluar lepak waktu malam dan sebagainya. Kalau ibu bapa tak kawal aktiviti dan pergaulan anak-anak, habislah.

12. Di sekolah asrama pula masalah sosial masih ada cuma taklah se'hardcore' di luar. Paling tidak pun buli, gaduh, pukul, pau duit, pecah locker, curi barang, suruh basuh baju, suruh belikan makanan, mengejek, penderaan mental dan emosi, meliwat pelajar sejantina, panjat pagar, beli rokok, hisap rokok dan sebagainya. Paling tidak lah.

13. Cuma kesiannya, kalau jadi mangsa kes buli kat sekolah harian biasa, bolehlah mengadu ibu bapa, ibu bapa boleh pergi sekolah atau buat laporan polis. Kalau jadi mangsa kat sekolah asrama, hadap je lah. Paling tidak pun mengadu kat guru. Nak mengadu kat ibu bapa kena telefon pakai telefon awam (dulu lah, sekarang mungkin dah boleh bawa telefon bimbit) atau tunggu waktu cuti. Tapi bila mengadu kat guru, kena pulau pula dengan kawan-kawan cakap mat report lah, anjing cikgu lah. Sudahlah fizikal kena abuse, emosi pun kena abuse. Nak kena hadap dengan mereka pula hari-hari, kat asrama, kat bilik, kat tandas, kat sekolah, kat dewan makan. Jadi akhirnya cuma mampu makan hati hadap je selama 5 tahun atau mohon pindah sekolah.

MENJIMATKAN BELANJA HARIAN
14. Tinggal di asrama sudah tentu dapat berjimat dari segi wang ringgit dan masa. Pelajar tinggal di asrama yang hanya mengambil masa 5 atau 10 minit berjalan kaki untuk ke kelas. Ibu bapa dapat menjimatkan masa kerana tidak perlu menghantar anak setiap hari ke sekolah, dan membelanjakan wang bagi makan dan minum mereka memandangkan semuanya sudah disediakan oleh pihak sekolah.

15. Yuran makanan adalah tetap dan juga murah di asrama, jadi makanan yang disediakan oleh pihak asrama biasanya lebih jimat berbanding masak sendiri di rumah atau makan di kedai. Ibu bapa juga tidak perlu membelanjakan wang menghantar anak ke tuisyen kerana kelas tambahan telah disediakan oleh pihak sekolah.

16. Nak lagi jimat? Pau sahaja duit junior atau pecahkan locker rembat makanan. Takde baju sukan? Pinjam sahaja baju junior lepas tu biar mereka basuh sendiri. Takde kasut sukan? Pakai je kasut siapa-siapa kat luar tu. Nak baca komik? Pinjam je kat kawan lepas tu pass kat kawan-kawan lain sampai komik tu hilang entah ke mana. Apa nak kisah, mereka bukan berani nak melawan atau mengadu kat cikgu pun.

KECEMERLANGAN AKADEMIK DAN KOKURIKULUM

17. Memandangkan nak masuk sekolah asrama terutama Sekolah Berasrama Penuh atau MRSM perlu dapat keputusan yang sangat cemerlang dalam peperiksaan UPSR terlebih dahulu, maka sekolah asrama ini adalah tempat berkumpulnya murid-murid yang bijak pandai. Lagipun memang itu pun antara tujuan sekolah asrama SBP/MRSM ini diwujudkan, iaitu melahirkan insan yang cemerlang akademik, kokurikulum dan sahsiah. Dengan sistem pembelajaran yang intensif, kemudahan yang lengkap, kelas prep yang secara tidak langsung memaksa pelajar untuk belajar, para pelajar pasti dapat mengekalkan prestasi akademik mereka dengan cemerlang. Walaupun ada juga beberapa murid yang tercicir dalam pelajaran kerana tidak fokus dan malas belajar, namun dari sudut statistik dan kolektif prestasi akademik pelajar lebih memihak kepada SBP dan MRSM berbanding sekolah biasa.

18. Begitu juga dalam bidang kokurikulum, biasanya murid SBP/MRSM akan aktif dalam bidang ini kerana, yalah dah duduk di asrama tak boleh nak pergi mana pun, jadi nak tak nak kenalah libatkan diri secara aktif dalam bidang kokurikulum. Kalau yang masuk badan beruniform seperti pengakap, PBSM, pandu puteri dan sebagainya, memang boleh pergi jauh, sertai macam-macam perkhemahan peringkat negeri dan kebangsaan. Sukan juga begitu, kalau yang wakil sekolah dalam sukan kriket dan ragbi memang boleh pergi jauh sebab tak banyak sekolah menengah yang main sukan-sukan tu. Kalau bola sepak susah sikit, lawan sekolah harian biasa sebelah pun susah nak menang. Bola keranjang pula boleh pergi jauh di kalangan SBP sahaja, tapi lawan sekolah Cina peringkat daerah memang lauk dikerjakan.

19. Manakala di sekolah harian biasa pula, murid bijak dan kurang bijak bercampur dalam sekolah yang sama. Pelajar berada di sekolah pula hanya ada pada sesi persekolahan, aktiviti dan kelas tambahan sahaja, selain dari itu pandai-pandai sendiri uruskan kehidupan sendiri di rumah. Aktiviti kokurikulum juga nak dapat penglibatan semua pelajar secara aktif pun susah, sebab habis sekolah mereka boleh cabut. Waktu belajar pun kena pandai-pandai disiplinkan diri, kalau malas memang susah nak berjaya dalam akademik. Kalau ibu bapa tak kawal dan tak pantau, atau mungkin murid itu datang dari keluarga yang bermasalah atau broken family, mungkin pelajar itu mudah terpengaruh dengan gejala tidak sihat di luar rumah.

20. Walaubagaimanapun kalau ibu bapa pandai kawal dan urus aktiviti anak-anak, secara individunya anak boleh jadi berjaya malah lebih berjaya dari pelajar SBP/MRSM sendiri. Buktinya kalau tengok senarai pelajar terbaik SPM negara/negeri yang dapat A dalam semua mata pelajaran kebanyakannya bukan dari sekolah SBP/MRSM pun tetapi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) atau SMK Agama. Jadi tidak semestinya tak boleh berjaya kalau masuk sekolah harian biasa, cuma ibu bapa dan anak kena usaha lebih dan pandai jaga diri.

KELEBIHAN DI PERINGKAT PENGAJIAN TINGGI DAN KERJAYA

21. Biasanya sekolah SBP atau MRSM ini adala kelebihan ketika mahu melanjutkan kaki di peringkat pengajian tinggi. Berbekalkan dengan keputusan percubaan SPM, keputusan SPM sebenar dan juga pencapaian kokurikulum yang cemerlang, ditambah lagi dengan latar belakang datang dari sekolah yang hebat, mereka lebih mudah untuk dipertimbangkan untuk memasuki universiti dan kursus yang dipilih serta penawaran biasiswa seperti biasiswa JPA, MARA, PETRONAS, SHELL, TNB, TM dan sebagainya.

22. Malah di peringkat kerjaya juga, kalau kau pernah bersekolah di sekolah SBP/MRSM, kau akan ada markah lebih dalam pertimbangan mendapat tawaran kerja, lebih-lebih lagi jika tukang temuduga itu dan juga orang-orang atasan syarikat/organisasi adalah alumni atau bekas pelajar sekolah SBP/MRSM, apatah lagi nak mohon jawatan kerajaan macam PTD dan sebagainya kerana pernah bersekolah di sekolah yang mempunyai reputasi hebat.

23. Namun tidak semestinya kau bekas pelajar SBP/MRSM, kau pasti akan berjaya di peringkat universiti dan kerjaya, dan tidak semestinya kalau kau sekolah harian biasa kau susah nak berjaya. Ada yang sekarang berjaya dapat menjadi pegawai kerajaan, ada yang jadi doktor makan gaji, ada yang jadi pengurus kilang makan gaji, ada yang jadi jurutera dalam bidang minyak dan gas kerja di pelantar minyak, ada yang kena buli waktu Tingkatan 1 lepas tu pindah sekolah tapi sekarang dah jadi jutawan hartanah.

24. Ada juga kawan-kawan sekolah aku yang keputusan SPM mereka cemerlang, namun kecundang masa universiti kerana terpilih kursus yang dia tak minat. Ada juga yang terus bawa diri tak mahu sambung belajar kerana kecewa tidak dapat pergi ke luar negara seperti yang dijanjikan oleh pihak pemberi biasiswa akibat kemerosotan ekonomi pada sekitar akhir tahun 90-an. Ada yang tak habis degree dan tukar ambil diploma sahaja, end up kerja Penolong Pegawai Tadbir kerajaan gred N29. Ada yang tak tahu dah dia kerja apa tapi kat Facebook asyik update pasal politik sahaja.

25. Dalam pada itu, orang yang bersekolah biasa seperti Nur Amalina Bakri juga boleh menjadi pelajar terbaik SPM, ditawarkan biasiswa dan dihantar ke luar negara untuk menyambung pelajaran seterusnya mencapai impiannya untuk menjadi seorang doktor. Jadi sama ada kau sekolah mana sekali pun, ia bukanlah penentu masa depan kau. Pencapaian akademik, usaha kau sendiri serta rezeki Tuhan yang akan menentukan masa depan kau.

IKATAN PERSABAHATAN KUKUH

26. Pelajar sekolah asrama ini biasanya datang dari seluruh pelusuk negara, dari Perlis ke Johor, sehingga Sabah dan Sarawak. Jadi bila jumpa orang dari pelbagai latar belakang ini, kita boleh saling mengenali budaya dan cara hidup masing-masing. Orang Selangor pandai cakap Kelantan, orang Terengganu boleh faham cakap orang Kedah, orang Perak boleh belajar cakap orang Sarawak dan sebagainya, secara tidak langsung kita telah mengalami asimilasi negeri.

27. Dari sudut kawan pula ada klik dan puak-puak. Kalau kau jenis budak baik, kau akan geng dengan budak-budak baik. Kau jenis budak surau, kau akan geng surau. Kalau kau jenis budak lembut, kau akan geng dengan geng-geng lembut. Kalau kau jenis budak nerd yang suka buat ujikaji merepek-repek, kau akan geng dengan geng nerd jugak. Kau jenis budak nakal panjat pagar hisap rokok, kau akan geng dengan geng-geng tu jugak. Biasanya geng-geng ni boleh berkawan dan bercampur antara satu sama lain sebab satu kelas atau dorm, cuma geng-geng yang nakal ni biasanya akan jadi lebih dominan dan berkuasa. Kira kalau dalam rantaian makanan tu, mereka tu singa atau harimau lah.

28. Jadi disebabkan kau sering menghabiskan masa bersama sepanjang, belajar di sekolah, tinggal satu asrama, bersukan petang bersama, mandi kolah sama-sama, basuh baju sama-sama, buat aktiviti merapu sama-sama, panjat pagar sama-sama, hisap rokok sama-sama, skodeng asrama perempuan sama-sama, kena buli sama-sama, maka terbentuklah suatu ikatan yang sangat kuat di antara kau dan geng-geng kau. Sebab tu bila habis sekolah sekali pun, kau masih akan berhubungan dan sering berjumpa antara satu sama lain, sebab ikatan persahabatan tu terlalu kuat.

29. Cuma disebabkan masing-masing datang dari tempat yang asing dan jauh, jadi jaranglah kau boleh jumpa mereka pun, malah ada yang kau dah lost contact sekali pun, yelah sebab kau duduk KL, kawan kau duduk Sabah. Paling tidak pun sekarang cuma borak-borak kosong dan buat lawak zaman sekolah dalam group Whatsapp je lah. Kadang-kadang sebulan sekali lepak sama-sama kat kedai mamak, atau pergi camping sama-sama. Tapi kalau nak kata budak sekolah asrama sahaja ada brotherhood yang kuat, geng mat rempit sekolah harian biasa pun brotherhood mereka kuat sampai ke tua, siap boleh lepak sama-sama tiap-tiap hari lagi sebab rumah dekat-dekat satu taman, jadi point ni macam tak berapa valid sangat.

KESIMPULAN

30. Ya, begitulah antara sisi cerah kehidupan di sekolah asrama yang aku sendiri rasai. Dalam gelap-gelap ada juga cerahnya, dan dalam-dalam cerah ada juga gelapnya. Semoga yang cerah ini akan terus mewarnai kehidupan generasi-generasi sekolah asrama di masa mendatang, dan semoga yang gelap tidak akan berulang lagi dan menghantui masa depan mereka.

31. Dan kepada yang asyik kecam dan tak bersetuju dengan penulisan aku tentang sisi gelap sekolah asrama sebelum ini, ia adalah suatu pengalaman peribadi dan bukannya pendapat, jadi sama ada kau setuju atau tidak bukan masalah aku dan aku tidak peduli, kerana kalau kau tak setuju sekali pun, ia memang telah pun berlaku dalam hidup aku dan kawan-kawan asrama aku.

32. Jadi kalau kau ada cerita yang menarik sangat tentang pengalaman hebat kau di sekolah asrama, maka kau tulislah sendiri cerita kau dan kongsikanlah pada orang ramai. Sibuk sangat protes cerita orang, tulislah cerita versi kau sendiri, tidak menjadi kesalahan dan tiada siapa yang nak melarang pun.

Baca juga artikel berkaitan: 


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.


https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: sisi cerah kebaikan sekolah berasrama penuh asrama sbp mrsm keburukan kebaikan brotherhood kuat kental mental disiplin berdikari

4 ulasan:

  1. Tergantung pada diri sendiri sebenarnya..pandai bawa diri ramailah kwn..



    Bisjutt?..🍪

    BalasPadam
    Balasan
    1. Bisjut kepala bapak ko. Lahanat

      Padam
  2. Terima kasih Noob. Aku rajin baca blog kamu. Mungkin aku yang silap. Aku mintak maaf ya.

    Pengalaman kita di SBP melangkaui perbezaan satu dekad jaraknya (lebih sepuluh tahun kot jika kamu ke SBP selepas 1994) di mana masa tu komputer pun belum disediakan di SBP. Aku bermula pada tahun 1981 di mana segala infrastruktur belum lengkap. Kenderaan, jumlah SBP juga boleh dibilang dengan jari dan bila aku perasan benda-benda ni, corak perbandingan ketara. Sebab tu aku kata sangat subjektif – bukan salah atau betul.

    Persekitaran di SBP pada zaman aku berbeza dengan pengalaman yang kamu kongsikan. Maaf sekali lagi ya. Salam Idilfitri.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Takpe ko takde buat salah apa pun, tak perlu minta maaf. Mungkin aku sedikit emosional sebab artikel sebelum ni aku kongsikan di Facebook juga, lepas tu viral. Ramai yang berkongsi cerita pernah mengalami pengalaman yang lebih kurang sama, namun tak kurang juga yang masih menghina dan mencerca.

      Tu yang aku rasa agak marah dan terkilan. Mungkin mereka di sekolah dulu adalah di pihak pembuli, atau benda ni tak berlaku pada mereka, atau tak berlaku pada anak-anak mereka, tu yang mereka senang-senang mengkeji peristiwa hitam orang lain.

      Apa-apa pun terima kasih sebab sudi rajin baca blog aku. Selamat Hari Raya juga.

      Padam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.