Halaman

Rabu, 1 April 2020

Ekonomi gawat, bantuan kerajaan, golongan T20 dan artis

1. Sejak pandemik COVID-19 menular dan juga Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan, ekonomi individu, keluarga dan negara terjejas. Bahkan ekonomi semua negara di dunia ini terjejas teruk.

2. Walau bagaimanapun tak semua sektor terjejas malah terdapat beberapa perniagaan yang memperoleh keuntungan berlipat kali ganda ketika ini.


3. Antaranya pasaraya, kedai runcit, pengeluar bahan makanan dan barang mentah, produk kebersihan seperti sabun dan sanitizer, penjual topeng, kilang sarung tangan, perubatan, perkhidmatan penghantaran, perkhidmatan pembersihan dan sebagainya. Jadi orang yang berniaga dan bekerja dalam sektor ini boleh kata bertuah juga.

4. Manakala sektor perniagaan dan perkhidmatan lain kebanyakannya terjejas, lebih-lebih lagi perniagaan dan perkhidmatan yang tidak boleh dibuka dan dijalankan seperti bengkel, dobi, kedai perabot, kedai hardware, gerai tepi jalan, kedai gunting rambut, pengubahsuaian rumah, taska, panggung wayang, khidmat berkaitan perkahwinan, penjualan kenderaan, bank dan yang sebagainya.

5. Bagi pekerja pejabat makan gaji di sektor kerajaan, GLC dan syarikat swasta, ramai yang bekerja dari rumah (WFH) kerana norma tugas mereka membolehkan mereka buat kerja dari rumah asalkan ada komputer dan Internet, seperti pegawai kerajaan, pekerja IT, jurutera, arkitek, pelukis pelan dan yang sewaktu dengannya.

6. Ada juga yang terpaksa datang juga ke tempat kerja untuk bertugas kerana norma kerjanya tidak boleh dibuat dari rumah seperti barisan hadapan kita iaitu doktor, pegawai perubatan, jururawat, polis, tentera, bomba, termasuk juga pekerja kilang, operator khidmat pelanggan dan sebagainya.

7. Tapi tidak kurang juga ada pekerja yang terpaksa diberhentikan sementara, diberikan cuti separuh gaji atau tanpa gaji kerana kerjanya langsung tidak boleh dibuat di rumah dan juga di pejabat kerana tidak beroperasi seperti juruterbang, pramugari/pramugara, guru tadika, pekerja kaunter dan sebagainya.

8. Disebabkan ramai orang yang ekonominya terjejas, kerajaan telah melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat untuk membantu ramai dengan memberi bantuan kewangan pada golongan B40, penjawat awam, pesara, pemandu e-hailing, elaun petugas barisan hadapan, serta penjimatan bil elektrik, pemberian Internet percuma, penangguhan bayaran pinjaman dan pengeluaran wang KSWP yang dapat dimanfaatkan golongan B40 dan M40 amnya.

9. Namun ada juga pihak yang tidak berpuas hati dengan bantuan ini di media sosial. Antaranya segelintir golongan T20 yang klaim diri mereka pembayar cukai terbanyak tapi tak dapat apa-apa insentif dan bantuan, dan juga sebahagian selebriti yang mahu kerajaan bagi bantuan khusus pada mereka.

10. Untuk golongan T20 tu, aku faham rungutan mereka terutama yang jadi majikan dan pemilik syarikat kerana perniagaan mereka turut terjejas, jadi pasti mereka hadapi kesukaran untuk mengekalkan ekonomi perniagaan mereka kerana mereka perlu membayar sewa kedai, sewa pejabat, bayar pinjaman bank, bayar gaji pekerja dan sebagainya.

11. Jadi aku rasa mungkin kerajaan perlu buat sesuatu untuk membantu para peniaga dan usahawan ini, kalau bukan dari segi kewangan pun mungkin dari sudut lain seperti bantuan pinjaman, dana dan skim perniagaan, kelonggaran bayaran balik dan sebagainya.

12. Untuk golongan artis itu pula, aku pun faham rungutan mereka kerana tidak semua artis Malaysia tu kaya raya, tambah lagi pasukan produksi belakang tabir yang bekerja mengikut jadual dan projek, jadi sepanjang tempoh PKP ini memang menjejaskan ekonomi mereka.

13. Tapi bagi aku kerajaan tak perlu bagi bantuan khusus untuk mereka, cukup dengan golongan bantuan Prihatin tu kalau mereka tergolong dalam golongan B40 dan layak terima bantuan. Artis atau bukan, tetap orang biasa, tiada lebih tiada kurang. Kau kerja ikut jadual dan projek, orang lain juga ramai yang kerja macam tu, jadi aku tak nampak kenapa kau perlu dapat layanan istimewa dari kerajaan.

14. Cuma silapnya sebahagian golongan T20 dan juga artis itu, adalah mereka mengadu bukan di saluran yang betul, sebaliknya merungut di media sosial. Patut level-level korang ni pergi je lah jumpa taikun perniagaan, ahli politik, menteri adukan terus kat mereka secara peribadi atau melalui persatuan, ini merungut kat media sosial, lepas tu hentam dan sindir netizen dan golongan B40 memang mendapat lah.

15. Apa-apa pun, aku ada terbaca yang disebabkan kegawatan ekonomi ini ramai orang suruh berjimat dan simpan duit. Ya, tak salah tentang tu. Ni waktu PKP pun aku dah rasa jimat sangat sebab kurang bayar duit minyak, tol, belanja makan, duit belanja sekolah anak, bayar pengasuh dan sebagainya. Tapi aku harap jangan kita terlalu berjimat dan simpan duit secara berlebihan sampai langsung tak nak berbelanja.

16. Untuk gerakkan ekonomi kita kena berbelanja. Kerajaan bagi banyak bantuan tu bukannya untuk korang simpan semuanya, tapi supaya kita ada kembali kuasa membeli untuk berbelanja. Bila kau berbelanja, orang lain akan dapat manfaat. Bila orang lain berbelanja, kau akan dapat manfaat.

17. Analoginya mudah, kalau kau jual nasi lemak, kau mesti berharap orang lain berbelanja beli nasi lemak kau supaya kau boleh dapat duit untuk sara hidup. Kau pula bila berbelanja contohnya pergi basuh baju di kedai dobi layan diri, nampak macam biasa je tapi sebenarnya di sebalik tu ramai yang akan dapat manfaat, iaitu pemilik kedai dobi, syarikat penyelenggara mesin dobi, penjual sabun basuh, syarikat pembekal air, elektrik dan sebagainya.

18. Bayangkan kau nak berjimat sangat, tapi orang lain pun nak berjimat juga. Jadi kau jual barang, orang lain tak beli sebab diorang berjimat. Syarikat yang kau kerja tak jana keuntungan sebab ramai orang berjimat tak nak beli produk syarikat yang kau kerja, last-last syarikat tutup dan kau hilang pekerjaan. Kalau semua orang kedekut tak nak berbelanja, ia akan mencetuskan efek domino yang bakal melumpuhkan ekonomi negara.

19. Jadi konsep ekonomi ni mudah, aku tolong orang lain, orang lain akan tolong kita balik, samada secara langsung atau tidak langsung. Tapi berbelanja pun jangan boros, biarlah ikut keperluan dan kemampuan. Nanti punyalah nak tolong ekonomi orang lain, sudahnya ekonomi kita sendiri lumpuh.

20. Akhir kata, walaupun mungkin pandemik ini lama lagi nak berakhir, tapi aku harap kita akan terus cari jalan untuk meneruskan kehidupan dan saling bantu membantu demi kelangsungan kita, masyarakat dan negara.

Sekian.


P/S: Mohon rakan-rakan dapat bagi sokongan dan semangat kepada saya untuk buat lebih banyak video dengan Subscribe channel Buasir Otak TV di Youtube (klik gambar di bawah):






tags: musim pandemik covid-19 coronavirus kegawatan ekonomi gawat lumpuh bantuan kerajaan prihatin mak cik kiah artis nak sumbangan merungut golongan t20 media sosial instagram pkp perintah kawalan pergerakan wfh work from home 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.