1. Timbul pula isu kewujudan ibu bapa berhentikan anak-anak dari sekolah kerana dikatakan ilmu dunia tak sepenting ilmu akhirat. Ada juga selebriti yang melakukan hal yang sama dengan alasan sijil akademik belum tentu mampu menyelamatkan manusia dari tipu daya dajjal.
2. Pertama, orang nak bagi pendidikan macam mana kat anak, aku tak peduli. Anak masing-masing, hidup masing-masing. Yang aku tak boleh terima bila ada orang nak tanamkan pemikiran sempit mereka pada orang lain, serta memperlekeh dan downgrade kelulusan akademik orang lain dan juga memandang rendah pada ilmu duniawi.
3. Percayakah anda, ilmu akhirat bukan sekadar melakukan amal ibadah sahaja, akan tetapi ilmu akhirat sebenarnya turut menggunapakai ilmu duniawi? Ini aku bagi beberapa contoh sahaja untuk renungan kita bersama.
4. Nak kira zakat yang perlu dibayar, perlu ilmu Matematik. Nak buat pembahagian faraid harta, kena guna ilmu Matematik. Nak tentukan waktu solat dan sudut arah kiblat, kena guna ilmu Geografi dan ilmu Falak (Astronomi). Nak buat aplikasi waktu solat dan arah kiblat kat phone pun kena guna ilmu Perkomputeran.
5. Nak bina masjid, kena guna pelbagai ilmu Kejuruteraan. Nak pergi Haji dan Umrah, kena naik kapal atau kapal terbang yang tercipta dari pelbagai ilmu Matematik, Sains, Teknologi dan Kejuruteraan. Nak naik kereta atau motorsikal untuk ke masjid sekali pun, ia tercipta dengan ilmu duniawi.
6. Nak jaga kesihatan dan merawat orang sakit agar dapat melakukan ibadah, malah nak berkhatan sekali pun, kena guna ilmu Biologi dan Perubatan. Nak cetak Al-Quran pun, berapa banyak ilmu dunia yang perlu dipelajari dan digunakan agar kilang dan mesin cetak Al-Quran dapat diwujudkan?
7. Nak tahu kisah sejarah para Nabi terdahulu, kena belajar ilmu Sejarah. Nak berkomunikasi dengan orang luar untuk berdakwah atau apa jua tujuan baik, kena belajar ilmu Bahasa. Nak buat urus niaga dalam Islam pun, perlu ilmu Matematik, Ekonomi dan Perakaunan.
8. Nak sembelih haiwan supaya halal dan toyyiban, kena guna pisau tajam yang terhasil dari ilmu dunia. Nak masak makanan yang halal, perlukan api yang kita hasilkan guna ilmu Sains dan Kimia. Nak hasilkan kain untuk buat pakaian yang menutup aurat, guna ilmu dunia. Nak ukur dan korek kedalaman kubur sekali pun, kena guna ilmu Matematik juga.
9. Kita rasa ilmu dunia tu tak penting sebab sekarang ni kita nampak benda yang dah wujud kat dunia ini secara dasar sahaja, sedangkan kalau kita melihat dan kaji sesuatu perkara dengan lebih dalam, kita akan perasan yang sebenarnya yang ilmu dunia ini terpakai dalam segala aspek dalam kehidupan kita.
10. Dan semua ilmu-ilmu dunia itu pula bukan tiba-tiba je wujud zaman sekarang. Ilmu dunia dah lama wujud, dicipta dan ditemukan oleh nenek moyang kita, dan ia sentiasa berevolusi mengikut zaman. Segala jenis teknologi dan kemudahan yang kita rasai pada hari ini adalah kerana evolusi ilmu yang sudah bermula sejak berabad-abad dahulu. Kita je yang tak peduli dengan ilmu-ilmu tu sebab orang lain yang ada ilmu tu dah buatkan untuk kita.
11. Jadi senang cerita, ilmu dunia dan ilmu akhirat ni sebenarnya berkait rapat antara satu sama lain. Kalau kita manfaatkan ilmu dunia untuk perkara yang baik, kita dapat ganjaran. Kalau kita gunakan ilmu dunia untuk benda sia-sia, kita tak dapat apa-apa. Kalau kita salah guna ilmu dunia untuk perkara maksiat, kita dapat dosa.
12. Siapa yang cipta dan jumpa ilmu dunia tu pula tak kisahlah siapa, orang Islam yang cipta ke, orang Jepun yang buat ke, orang Yahudi yang jumpa ke, asalkan ilmu dunia tu dapat dikongsi dan dimanfaatkan untuk perkara kebaikan oleh semua lapisan manusia.
13. Cumanya pada zaman sekarang, nak tahu seseorang itu mempunyai kelayakan dalam suatu bidang ilmu dan pengetahuan, ia memerlukan suatu tanda aras sebagai pengiktirafan dan juga bukti, maka sebab itu segala jenis sijil pendidikan wujud seperti sijil SPM, sijil kemahiran, diploma, degree, master, PhD dan sebagainya.
14. Kalau sijil-sijil ni tak wujud, siapa-siapa boleh klaim dia mempunyai kelayakan dan ilmu dalam suatu bidang walaupun dia sebenarnya takde ilmu atau pun pengiktirafan terhadap ilmu yang dia ada. Siapa-siapa boleh klaim diri dia doktor, cikgu, jurutera, mekanik, saintis, ustaz, polis, akauntan, peguam, hakim dan sebagainya. Memang tiap-tiap hari kena scam je lah kita.
15. Dan kalau kita rasa sijil akademik tu tak penting, senang cerita macam ini lah, kalau kita sakit, nak pergi jumpa doktor yang ada sijil ke, atau doktor yang sekadar belajar kat Youtube? Kalau nak beli rumah, nak beli rumah yang direka dan dibina oleh arkitek dan jurutera yang berkelayakan, atau oleh orang yang belajar buat rumah kat Google? Kalau kita seorang majikan yang nak ambil pekerja jadi akauntan syarikat, kita nak ambil akauntan yang ada kelulusan ke atau orang yang belajar sendiri-sendiri je dan klaim diri akauntan?
16. Tentang hal dajjal tu, jangan kata orang ada degree atau master, siapa-siapa pun belum tentu selamat dengan tipu daya dajjal, tak kira lah orang ada SPM ke, takde SPM ke, ada diploma, degree, master, PhD ke, orang belajar kat Mesir ke, orang miskin ke, orang kaya ke, orang ada pangkat ke, orang biasa ke. Jadi tak perlu nak downgrade pencapaian akademik seseorang dengan dajjal. Benda tu takde kaitan langsung.
Sekian.
P/S: Mohon
rakan-rakan dapat bagi sokongan dan semangat kepada saya untuk buat
lebih banyak video dengan Subscribe channel Buasir Otak TV di Youtube (klik gambar di bawah):
tags: ibu bapa zul yahya yahaya hentikan anak sekolah kerana ilmu akhirat dunia duniawi tak penting
betul2, ilmu dunia sekira dimanfaatkan secara baik akan memberi kebaikan juga pada akhirat kelak.
BalasPadamkalau tak belajar ilmu dunia, macam wujudnya platform untuk belajar ilmu akhirat?
macam mana terciptanya sekolah sekiranya takde arkitek yang membina plan?
siapa nak ajar ilmu akhirat, kalau cikgu tak belajar ilmu untuk mengajar?