Khamis, 28 Julai 2016

5 Kita Islam serba-serbi namun kurang akhlak Islam

Semua orang Melayu itu adalah Islam mengikut perlembagaan.
Agama Islam merupakan agama persekutuan negara Malaysia.
Majoriti penduduk di Malaysia adalah orang Islam.
Masjid dan surau untuk umat Islam beribadat berada di mana-mana.
Pemimpin tertinggi kita adalah orang Islam.
Negara kita mempunyai undang-undang syariah Islam.
Mencari makanan yang halal itu amat mudah di Malaysia.
Terdapat pelbagai agensi, jabatan dan badan Islam yang menjaga hal ehwal orang Islam.
Ada sekolah dan institusi pengajian tinggi berlandaskan agama Islam.
Ada badan zakat yang mengurus bantuan dan kebajikan asnaf.
Ada badan yang mengurus wang dan urusan umat Islam untuk menunaikan haji.
Ada banyak bank yang berlandaskan Islam.
Ada organisasi yang membantu orang Islam berniaga


Pendek kata, orang Islam sudah ada segala-galanya di Malaysia, baik dari segi pemerintahan, undang-undang, rumah ibadat, infrastruktur, pendidikan, kewangan, perniagaan dan sebagainya.
Namun...

Kenapa kita sering dengar hal dan isu yang tidak enak didengar yang dilakukan oleh orang Islam di Malaysia?
Kenapa kita sering dengar kemungkaran dan korupsi yang dilakukan oleh orang Islam di Malaysia?
Kenapa kita sering dengar ramai orang yang membenci kepimpinan orang Islam di Malaysia?
Kenapa kita sering dengar ramai orang Islam di Malaysia memperlekeh agama dan saudara muslim mereka sendiri?
Kenapa kita sering dengar ramai orang bukan Islam yang tidak suka dengan orang Islam di Malaysia?
Kenapa ada rakyat di negara kita yang tidak gembira dengan kehidupan mereka di Malaysia dan mengambil keputusan untuk berhijrah ke luar negara, sedangkan dengan kepimpinan dan pemerintahan yang berasaskan Islam di Malaysia, sepatutnya ia menjamin kesejahteraan, kebahagiaan dan keharmonian semua rakyatnya tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit?

Kenapa?

Kerana kita kurang satu perkara yang paling penting... iaitu akhlak Islam.

Ya kita mungkin ada segala-galanya, sudah serba-serbi Islam, boleh berbangga dengan jumlah orang Islam yang paling ramai di Malaysia, boleh berbangga dengan ramainya pemimpin Islam, boleh berbangga dengan masjid dan surau yang banyak dan cantik-cantik, namun akhlak kita mencerminkan yang sebaliknya.

Pemimpin hidup dengan bermewah-mewah, menabur fitnah, menyebar kebencian, membuat provokasi, memberi pelbagai alasan yang memperbodohkan rakyat, langsung tidak menunjukkan akhlak Islam yang baik yang seharusnya boleh dijadikan contoh kepada rakyat.

Kita orang Islam sendiri juga sering melakukan hal yang tidak menunjukkan akhlak Islam yang sebenar apabila suka bergaduh sesama sendiri, mudah sebar fitnah, suka menghukum orang lain, sering guna kata-kata kesat menghina orang, tuduh menuduh, menjatuhkan orang lain, megah diri dan merasa sombong, memandang hina orang lain, tidak menjaga kebersihan, bersikap mementingkan diri, suka memberi kesusahan kepada orang lain dan sebagainya.

Kita sebenarnya terlalu banyak cakap tapi tidak "walk the talk".

Maka bagaimana kita sebagai orang Islam boleh mendapat penghormatan dan respek dari orang lain terutama dari orang yang bukan Islam? Bagaimana kita mahu menarik orang bukan Islam mendekati Islam dan merasa terjamin dengan orang Islam jika perangai kita sering menunjukkan sebaliknya?

Semua yang baik itu bermula dengan akhlak.

Dengan akhlak yang baik, kau tak perlu susah-susah suruh orang buat itu ini, susah-susah suruh hormat dan pandang tinggi pada diri kau, susah-susah minta orang sokong kau. Kau cuma perlu tunjuk akhlak Islam je.

Ada gaji yang besar atau perniagaan dapat banyak untung, tetap amalkan gaya hidup sederhana dan banyak bersedekah kepada mereka yang memerlukan.
Walaupun mempunyai pangkat dan status yang tinggi, tetap turun bersama-sama bergotong royong bersama masyarakat lain.
Ada kontraktor nak bagi hadiah, tolak dan minta dia sedekahkan sahaja pada badan kebajikan.
Nampak sampah di tengah jalan, kutip dan buang di tong sampah.
Nampak ada motor tersadai di tepi jalan, berhenti dan hulurkan bantuan.
Orang di depan tiada duit syiling ketika di kaunter bayaran, kita bagi sahaja duit syiling yang kita ada.
Jika terbuat suatu kesilapan, tidak malu untuk mengaku kesilapan dan meminta maaf.

Berbuat akhlak yang baik itu juga sebenarnya adalah satu jenis dakwah. Dengan menunjukkan akhlak yang baik, orang di sekeliling pasti akan rasa selesa, senang dan secara tidak langsung akan turut mencontohi akhlak yang baik itu, seterusnya dapat mencerminkan tentang bagaimanakah akhlak Islam dan keperibadian seorang muslim yang sebenarnya.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik. Klik pada gambar di bawah untuk melihat preview komik. Untuk membeli boleh hubungi kami melalui:

Email: princeofnoob[at]gmail[dot]com
PM Facebook: https://www.facebook.com/prince.nub 
Whatsapp/SMS agen kami: SangKancil - 013-9313541

Buasir Otak: The Komik




tags: kita islam serba serbi segala-galanya kurang akhlak moral sivik civic kesedaran

5 ulasan:

  1. Atlist kta owg melayu islam lbih baek dr owg kafir

    BalasPadam
    Balasan
    1. Susah ka terima teguran tuk memperbaiki diri??setiap bangsa ada kelemahan. Bangsa yg terhebat selalu berubah kerarah kebaikan..bukan tunjuk org lain lebih buruk..

      Padam
    2. org islam yg patuh insya Allah akan masuk syurga,tp di dunia tak semestinya asal melayu islam lebih baik dr org kafir. ada je org kafir yg selalu buat kebajikan, bantu org susah, buat yayasan utk penyelidikan penyakit kanser dsb, manakala ada je or melayu islam yg masih merempit, hisap dadah, jd peragut dsb. jgn ingat asal melayu islam je baik, asal kafir je jahat.

      Padam
  2. Sedihnya di Malaysia (dan juga banyak negara majoriti Islam lain) inilah yang berlaku. Bila kita menjadi majoriti, kita selalu rasa selesa dan 'complacent', menyebabkan kita rasa lebih baik daripada kaum lain. Inilah beza antara benar2 memeluk dan menghayati Islam dengan hanya mewarisi Islam.

    Semoga kita semua dapat berubah ke arah lebih baik.

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.