Halaman

Selasa, 7 Julai 2015

Majalah kartun tempatan mati dan terus mati

Saya mengikuti dunia kartun tanahair sejak kecil. Tidak siapa dapat nafikan kehebatan majalah kartun ketika era Gila-Gila meledakkan pasaran pada 1 April 1978 sehingga kemudiannya pasaran menerima lambakan majalah kartun. Gila-Gila seperti sebuah akademi yang melahirkan bintang-bintang. Kebanyakan kartunis era 80-90an atau berumur 30 tahun ke atas hari ini adalah produk Gila-Gila. Secara kasar kiraan saya ada tidak kurang 100 kartunis masih aktif hari ini. Tapi mengapa majalah kartun semakin mati dan kartunis pada hari ini hanya melukis karikatur di sudut kompleks, mall atau di majlis-majlis? Apa sudah jadi?

Gila-Gila masih hidup hari ini tetapi berapa jualannya setiap keluaran? Apa impaknya pada masyarakat? Berapa ramai pengikutnya dulu masih membeli? Atau berapa ramai masih sedar kewujudannya?


Cerita majalah kartun G3 terbitan Karangkraf juga terkubur. Majalah yang menghimpunkan kartunis senior dan baru ini terpaksa akur dengan keadaan hari ini. Karangkraf antara syarikat yang melakar sejarah awal kerana pada hujung 1970an mereka menerbitkan Gelihati dan bersaing hebat dengan majalah Gila-Gila terbitan Creative Enterprise.

Apa masalah hari ini? Ada yang menyatakan kemasukan komik Hong Kong dan manga dari Jepun telah membunuh industri komik dan kartun tanahair. Itu ada benar juga. Tetapi mengapa kita gagal bersaing? Gila-Gila hari ini masih mengulangtayang kartun-kartun lama yang generasi sekarang susah nak hayati. Ia hanya nostalgia sahaja. Cerita-cerita lawak suami isteri berebut nak balik beraya di kampung siapa sudah tidak relevan lagi kerana hari ini lebuhraya sudah siap. Boleh beraya di dua-dua kampung. Lawak apa hari ini?

Baiklah. Sebenarnya sesuatu itu meletup apabila ia bersifat melawan arus. Ini fitrah manusia. Ini hakikat. Majalah Gila-Gila meletup kerana ia melawan arus yang menjadi budaya ketika itu. Kartun dan majalah sebegitu sudah ada (majalah Ha Hu Hum sudah ada) tetapi Gila-Gila tampil penuh bergaya dengan suntikan 'pop' walaupun satira. Karikatur A.R Badul yang ngetop waktu itu menghiasi muka depan Gila-Gila nombor satu. Selepas itu permintaannya terus tinggi, terus meletup. Kartunis bak artis pujaan. Saingan terdekat majalah Gelihati.


Peneraju awal Gila-Gila, kartunis Mishar kemudian menerbitkan majalah Batu Api. Majalah ini kemudiannya meletup sehingga edarannya pada suatu masa mengatasi Gila-Gila. Tahun 1988 tak silap perpindahan beramai-ramai kartunis Gila-Gila ke Batu Api dan Warta Jenaka, sebuah akhbar humor terbitan syarikat yang sama dengan Batu Api.


Gila-Gila terus nombor satu kerana adanya waktu itu kartunis Ujang (Ibrahim Anon). Mengapa? kerana Ujang juga 'counter culture'. Membawa imej anak muda dengan budaya berontak. Karektor Atuk berperangai seperti anak muda, Aku Budak Minang, Aca adalah gambaran waktu itu. Zaman rock, zaman anak muda. Kartunis Gayour di Gelihati juga turut popular kerana imej rock. Malah Lat juga di awal kemunculannya adalah 'counter culture' juga dengan kartun-kartun satiranya. Keluarga Mamat adalah 'counter culture', Kampung Boy. Keluarga Mamat di Berita Harian sangat popular dan Utusan mengimbanginya dengan Din Teksi karya Nan.

Lama kelamaan apabila banyak majalah muncul dengan membawa formula sama, ia sudah jadi budaya. Ia tidak lawan lagi. Ia seperti sebuah lagi restoran tomyam di tepi jalan yang sudah penuh restoran tomyam. Gelihati, Mat Jenin, Batu Api (walaupun beberapa kali cuba dihidupkan, gagal!), Seloka 21, Telatah Olok-Olok, Humor, Jenaka, Boom, Gelagat semuanya mati. Kerana ia tidak membawa formula baru melawan arus maka ia gagal. Sesetengahnya mati kerana masalah pengurusan.

Tetapi apabila kartunis Ujang bersama Kharisma Publication muncul dengan majalah Ujang, suasana kembali berubah. Ujang dengan Gayour, kombinasi ikon anak muda berjaya menjadikan suasana yang baru. Kartunis Aie dari majalah Jenaka tanpa disangka mengatasi mereka. Tetapi itu lebih melonjakkan majalah ini dan membentuk budaya baru. Begitu juga kartunis yang lain yang 'brilliant' seperti Nik. Ujang memberikan imej baru kepada kartunis-kartunis yang sudah bergiat di penerbitan lama tetapi belum popular. Majalah Ujang memperkenalkan muka depan (cover) dilukis dengan akrilik oleh Yaz Malee.

Majalah Ujang juga 'melanggar' formula skema apabila lukisan kartun di'detail'kan dengan latar belakang yang cantik, panel atau bingkai yang bebas tidak terikat, boleh senget-senget sedangkan sebelum itu ia adalah pantang dan termasuk dalam disiplin berkartun. Lawaknya 'cukup-cukup'. Kesan majalah Ujang ini juga telah menenggelamkan majalah 'senior' sebaliknya majalah senior mula terikut corak persembahan Ujang. Rentetan fenomena ini timbul lagi majalah kartun baru yang persembahannya juga ala Ujang. Ternyata yang meniru juga gagal. (Tulisan ini bukan hendak cerita tentang kronologi sejarah dunia kartun maka tidak perlu diperincikan dengan krisis Ujang dengan MOY atau lain-lain)


Hari ini majalah Ujang dan APO? berapa edarannya? masihkah mereka mengekalkan identiti awal penerbitan? Ia terpaksa berubah dan terikut-ikut pula dengan majalah generasi hari ini seperti Gempak dan lain-lain yang saya 'tak boleh masuk'.

Majalah kartun mati kerana ia tidak mendengar suara hari ini. Apa suara hari ini? Ia ada kaitan dengan politik semasa juga. Dato' Lat dalam kenyataannya tidak bersetuju dengan kartun politik yang mengkritik keras pemimpin negara. Dengan tidak menafikan sumbangan Lat yang 'counter culture' saya tidak juga boleh bersetuju dengan Lat. Zunar dan Rossem adalah kartunis yang mula muncul mengkritik pemerintah. Soal kita setuju atau tidak dengan persembahan mereka adalah perkara lain. Bersama Ronasina selaku editor, Jonos (ketua pelukis) dan kawan-kawan seperti kartunis Haili, Enot (sekadar beberapa nama) majalah Gedung Kartun terbitan Sepakat Efektif milik Zunar telah meletup, bukan sahaja menggegar pasaran malah menggegar kerajaan. Majalah ini diharamkan!


Itu jawapannya. Itu noktahnya. Sesuatu itu meletup apabila ia melawan arus dan kebiasaan ketika zaman itu. Siapa dapat nafikan zaman ini zaman pergolakan politik? Impak Gedung Kartun inilah telah menarik perhatian kerajaan untuk memberi peruntukan menerbitkan majalah kartun pro mereka. Sebelum ini ada seterang begitu? Di dunia internet, jika anda layari Malaysian Gags anda akan dapati komik, humor baru telah dimulai mereka dan sambutannya sangat hebat. Ini humor generasi baru. Yang 'lawan budaya'. Istilah hari ini 'troll'. Percayalah! jika kerajaan tidak mengharamkan Gedung Kartun saya yakin ia akan popular, nombor satu, meletup, jadi ikutan, impaknya akan melahirkan banyak lagi majalah sebegitu sehingga pemerintah terancam.

Inilah zaman ini. zaman sesiapa yang mengikut arus menjadi tidak relevan. Apa saja kerja seni yang membodek tidak dilayan oleh generasi hari ini. Filem, drama, teater, lagu apa sahaja akan statik, lembik dan sayur. Kita boleh menafikannya dengan mulut tetapi cuba tanya dalam hati betul-betul. tanpa ada agenda apa-apa, tanpa berpihak mana-mana, benar atau tidak zaman ini zaman kemelut politik? Di pihak mana kartunis berdiri pada era ini, ada tidak mereka mengambil bahagian? Jika kartunis berkata 'aku tidak campur politik di situlah salah kerana politik bukan hal-hal kepartian tetapi politik adalah persekitaran. Kartunis tidak boleh lari merakamkan isu harga barang naik, gaji rendah atau apa isu pun. Tidak kisah menyokong atau membangkang tetapi ia mesti jujur dan penuh tanggungjawab. Paling penting kartunis bukan pak angguk menerima arahan demi perut.

Itu peranan kartunis dan karya kartun mereka.

Komik kisah benar mendiang P.I Bala dalam kes pembunuhan Altantuya. Meletup!

Sumber dari blog KulupSakah oleh kartunis Rosanina yang ditulis pada sekitar tahun 2013.


* * * * * * * * * *

Aku pernah tulis entry "Nasib pelukis dan industri komik tempatan" yang juga ditulis pada tahun 2013. Seperti juga industri animasi tempatan, tak dinafikan industri komik tempatan pada hari ini masih mencari2 arah dan tapak yang kukuh semula yang pernah satu ketika industri ini kecapi, namun sekarang ini industri komik dan kartun ini sudah mula menampakkan kemajuan dan perkembangan yang sihat semula.

Anak2 muda generasi baru kini sudah ramai yang berminat dan berjinak2 dalam seni lukis kartun. Pengkarya dan pelukis komik amatur dan indie sudah mula membina komuniti di alam maya, di Facebook serta mula mengasah bakat. Banyak penerbit2 buku sudah mula menerbitkan komik2 untuk bacaan kanak2 di sekolah.

Malah dengan kewujudan komik online atau web-comic seperti Supreme Comichat dan Mat Komik merancakkan lagi usaha untuk mencungkil2 bakat baru serta memartabatkan industri komik ke peringkat yang lebih tinggi.

Supreme Comichat
Mat Komik

Memandangkan zaman sekarang adalah zaman elektronik, maka penerbitan majalah komik dalam bentuk digital juga perlu lebih banyak dihasilkan seiring dengan perubahan masa, teknologi dan trend. Malah komik juga tidak terhad diterbitkan dalam bentuk majalah tetapi juga dalam bentuk buku kerana buku lebih eksklusif dan dihargai berbanding majalah, menjadikan buku komik juga dapat berdiri sebaris dengan buku novel dan buku2 lain yang sering diletak, disusun dan dijaga rapi di rak2 buku.

Aku harap juga dalam 4 5 tahun ini, industri komik tempatan akan lebih maju di mana kanak2 boleh bercita2 untuk menjadi seorang kartunis dan pelukis komik tanpa dipandang sinis oleh orang dewasa, peminat komik semakin ramai tanpa mengira umur, melukis komik boleh dijadikan sebagai sebuah kerjaya tetap bukan sekadar hobi, komik berjaya diadaptasi ke panggung2 filem dan drama TV, malah komik juga berjaya dijadikan medium untuk membentuk pemikiran masyarakat ke arah yang lebih baik.




tags: mengapa majalah kartun komik tempatan di malaysia mati terkubur gila-gila ujang g3 gelihati batuapi gedung kartun pemburuan pi bala supreme comichat mat komik

13 ulasan:

  1. ulasan terbaik noob :D
    mungkin komik perlu bergerak secara indie agar dapat menyumbang kreativiti tanpa sekatan yang tidak munasabah

    BalasPadam
  2. Sebab-sebab kenapa komik tempatan tak mendapat sambutan :

    1.Kualiti - Cuba bandingkan dengan kualiti lukisan dan keluaran komik-komik dari Jepun dan Hong Kong.Memang jauh berbeza.Sedangkan bila baca komik tempatan macam ujang,APO dsb tengok background pun dah menyampah.Macam cakar ayam, nak tak nak je lukis.

    2.Aspirasi - Idea dan aspirasi baru kurang.Dunia komik tempatan masing mengulang balik komedi yang sama dan lapuk.Tak ada pmbaharuan dan idea fresh lain dari yang lain.Jadi pembaca dah makin muak dengan komik yang tersekat pada mentaliti Malaysia tahun 90an.

    BalasPadam
  3. Sampai sekarang aku beli gila gila

    BalasPadam
  4. Bg sy...setiap manusia ada unsur hiburan masing2 mengikut zaman..sy ingat lagi zaman 90an still baca komik dragon ball dan majalah2 lailain mcm ujang, mangga n lain2...itu je bahan hiburan yg senang dimiliki dan diperolehi..masa 2 xde Internet lagi.

    Bila masuk zaman 20an...sumber hiburan dah slowly berubah bila wujudnya internet...bermula dari wall chat mcm mirc, yahoo messenger n komik boleh dpt online tp Internet slow..bilangan majalah m komik mula menurun.

    Zaman skrg Internet dah laju..so everything dah updated, anime dak kluar jepum boleh tgk on same day, youtube sumber berlambak n free, media sosial dah totally menjadi rujukan utama masa lapang termasuk blog ni.

    Sbnrnya...xde benda yg sustain selama2nya...n benda yg free semakin bersepah..sapa nak beli majalah pakai duit, nak baca majalah ujang lagi...tgk awek kat FB n IG lagi best, tgk porno pun xde sekatan...kalau anda empunya majalah ujang pun xkan nak beli majalah lagi kat kedai.

    Dlm bisnes..kena selalu dinamik, xleh maintain sama je utk berpuluh2 tahun. N selalu think on customer side..then we know the real value on people demand. Tp sy akui org melayu jenis malas berubah n selesa dgn diri mereka skrg..sbb 2 x maju.

    BalasPadam
  5. wow... tahniah pageview dah cecah 7 juta... bile nk wat contest noob?

    BalasPadam
  6. Tgh kemas2 stor kelmarin jumpa majalah APO keluaran pertama, mmg nostalgia betul, sedih pn ada, kartunis petai, sireh

    BalasPadam
    Balasan
    1. Fikir balik mcmana dgn kartunis skrg...dulu maybe masyuk sbb digelar majalah komik paling popular kat msia..paling suka kluaran jumbo aidilfitri....skrg maybe just dduk buat kerje office je kat syarikat biase sbb kerje kartunis xde value lagi skrg

      Padam
    2. Seiring dengan kenaikan harga barang, harga majalah pun dah naik..sekarang APO dah 6.++..petai dan sireh masih ada..sireh paling kurang ada keje sebagai lecturer..yang lain aku xtau

      Setakat ni aku perasan APO dan Ujang je yg masih ada jumbo raya/puasa..yang lain xnampak kat kedai..

      Padam
  7. Gila gila keluaran no1 dan gelihati no1 juga dibaca masa zaman kanak kanak.. masa tu memang kelakar sebab ada kartunis ternama macam zainal, don, kerengge dll.. kartunis era sekarang dah banyak cedok idea orang lain..

    BalasPadam
  8. xsempat melalui zaman majalah kartun Malaysia ni. Mesti best kan.

    BalasPadam
  9. aku x pernah beli komik...pinjam kat kawan je...mak bapak aku mmg x bagi sebab x membantu dalam pelajaran...biasalah mak bapak dulu x open sgt...kadang2 baca komik tu pun sorok2 dari mak bapak...sampai skg ni pun aku x beli komik...sebab x ada masa sgt nak baca...lagipun skg ni boleh download secara haram pdf majalah atau komik...

    BalasPadam
  10. pernah baca hampir semua majalah tu tahun 90-an.

    pernah suatu ketika dulu aku gelak sorang² masa tunggu bas di Jalan Silang..gelak tak berhenti sebab baca majalah Ujang Bumper raya - baca lawak Mamak Tandoori Payat time tu. dulu tiap² bulan beli....makin lama makin hambar...pelukis banyak yang dah keluar.

    sekarang...bile raya..aku beli la bumper / edisi raya...terasa sangat hambar...lukisan makin mengarut, takde identiti..nak kata macam baca manga/komik jepun pun ada (punca kejatuhan majalah Gempaq bila semua komik dah tiru manga ) rasa membazir sangat beli majalah gila-gila, ujang dan apo sekarang nih.

    masa zaman sekolah dulu...ada ramai kawan berbangsa cina yang beli majalah Ujang sebab lawak dia multiculture...paling derang nak tau adalah lukisan -Ah Tuck - pantang larang orang cina.

    Budak2 asrama lak wajib beli ujang sebab ade kisah Budak Hostel (Ubi). Budak2 kolej lak ade ade Leen Mafia. Pasal Genre rock / super hero....Blues Selamanya...ade GAyour....kendian ade Aie -blues untuk aku...dengan stail lukisan yang superb....budak2 baru nak kapel - Kartini (Tembakau). Hang Lekuk....Ali & davidson...Mamak Tandoori Payat....muvi yang dirosakkan....asal usul....perghhhh...UJANG MMG LAJEN...tapi itu dulu...suatu ketika dulu...

    BalasPadam
  11. mungkin BOTK the reloaded akan femes

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.