Halaman

Jumaat, 13 Mei 2016

Gen-Y lebih gemar novel santai berbahasa slanga

Duda Terlajak Laris, Mr. Boss, Miss Stalker, Suamiku Encik Gula, Isteri Duda Terhangat dan Mr. London Ms. Langkawi adalah antara novel Melayu terlaris yang disenaraikan di laman web mphonline.com baru-baru ini.

Trend pembaca khususnya generasi Y, yang juga dikenali generasi milenium (yang lahir tahun 1981-1994), lebih gemar memilih bahan bacaan ringan dan santai. Bahan bacaan mereka menggunakan pelbagai istilah ‘bahasa moden’ yang merangkumi pelbagai slanga terkini, berbanding bahasa Melayu sastera dan bercorak ilmiah, menimbulkan persoalan mengenai 'pengisian' yang bakal mereka peroleh.

Melihat perkembangan ini, Sasterawan Negara ke-13 Datuk Dr Zurinah Hassan berkata trend berkenaan adalah sesuatu yang membimbangkan khususnya dalam pembinaan modal insan berkualiti kepada negara.


Berpendapat ia memberi kesan negatif terhadap penyebaran bahan bacaan berunsur ilmiah selain mengganggu proses pembinaan generasi yang cerdik dan berilmu, beliau pada masa sama berkata ia merupakan ancaman kepada sahsiah dan masa depan bangsa sebagai masyarakat bertamadun yang tinggi nilai sastera dan budayanya.
"Tajuk-tajuk novel seperti itu bukan sahaja menjadi bahan bacaan pilihan golongan muda bahkan menjadi fenomena dan ikutan sehingga terbawa-bawa ke dunia realiti apabila banyak drama dan filem diadaptasi daripada novel-novel tersebut.

"Apa akan jadi jika kita terus melahirkan masyarakat khususnya Melayu, yang asyik berkhayal sedangkan orang lain sibuk memperteguh pendidikan, kemahiran dan memajukan diri mereka untuk merebut lebih banyak peluang yang ada?" katanya kepada Bernama.

Lari daripada realiti

Berpendapat senario itu berlaku ekoran kecenderungan masyarakat yang secara umumnya lebih suka kepada hiburan, Zurinah, 66, berkata sikap masyarakat yang gemar memilih bahan bacaan bersifat 'escapism' iaitu melepaskan diri atau lari daripada masalah dan kemelut kehidupan sebenar, turut menyumbang kepada trend berkenaan.

"Novel-novel yang menggunakan bahasa yang tidak mengikut nahu yang betul atau dengan kata lainnya mengandungi banyak 'pencemaran bahasa' khabarnya sangat laris dan diulang cetak berbelas-belas kali. Hal seperti ini tidak pula terjadi kepada novel-novel yang serius termasuk karya sasterawan negara dan sasterawan besar yang lain.

"Karya-karya sasterawan seperti Keris Mas dan Shahnon Ahmad mendedahkan perihal masyarakat sebenar (realiti kehidupan) dan mengajak pembaca berfikir, malangnya kebanyakan pembaca tidak berminat kepada cerita-cerita berat yang sebenarnya mampu menjana daya dan tahap pemikiran mereka," katanya.

Justeru, bagaimana mengatasi perkara itu?

Menjawab persolan itu, Zurinah yang mula dikenali melalui kumpulan sajak pertama beliau iaitu "Sesayup Jalan" yang dihasilkan pada 1974 berkata kerajaan perlu giat memainkan peranan dalam menyediakan bahan bacaan ilmiah sekurang-kurangnya melalui Komponen Sastera (Komsas).

"Ini kerana, hakikat sebenar adalah masyarakat masih dan kekal berkeperluan kepada bahan bacaan yang dapat membentuk dan membangunkan minda mereka terutama di kalangan generasi muda khususnya pelajar sekolah yang bakal menjadi pewaris bangsa.

"Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga perlu lebih kreatif menyediakan bahan bacaan yang menarik dan tidak menerbitkan bahan semata-mata mengikut selera masyarakat atau yang laris di pasaran. Pendek kata, terbitkanlah bahan bacaan yang dapat membentuk masyarakat bukan bahan bacaan yang dibentuk oleh masyarakat," tambah beliau.

Tarik minat

Zurinah juga berpendapat, golongan sasterawan seperti beliau perlu menghasilkan penulisan yang kekal menjaga nilai sastera tetapi pada masa sama berkeupayaan menarik minat generasi muda ke arah corak penulisan tersebut.

"Inilah yang menguji kewibawaan seorang sasterawan. Pujangga Melayu sememangnya orang yang bijak menggunakan bahan sastera untuk membentuk masyarakat, seperti mana nenek moyang dahulu menggunakan pantun dan nyanyian untuk menyebarkan ajaran dan nasihat berguna.

"Agama Islam sendiri tersebar luas di Nusantara melalui nazam iaitu sejenis puisi lama yang disampaikan dengan nyanyian. Contohnya, Nazam Sifat 20 dan nyanyian lagu Burung Kenek-Kenek iaitu: Burung kenek-kenek, hinggap di atas dahan, pesan datuk nenek, jangan lupa pada Tuhan," ujarnya.

Beliau berkata usaha berterusan perlu dijalankan bagi menyebarkan puisi dan lagu-lagu sama ada melalui cetakan atau menggunakan platform seperti You Tube dan media sosial.

Santai tapi ada nilai

Ditanya bagaimana nilai positif dan aspek ilmiah boleh diterapkan dalam bahan bacaan bercorak santai dan 'ringan', Zurinah berkata pendekatan yang lebih positif, kreatif dan pelbagai perlu disuntik selaras dengan minat generasi muda.

"Dalam menghadapi cabaran ini, kita juga perlu menerima hakikat bahawa semua perkara akan berubah, begitu juga dengan bahasa. Bahasa akan melalui perubahan namun keindahan dan pengisian yang sepatutnya ada pada bahasa itu perlu dikekalkan sampai bila-bila.

"Contohnya, tema kisah cinta yang masih menerapkan nilai tatasusila budaya di samping menyelitkan unsur-unsur pengajaran, nilai murni dan motivasi. Ini wajar dimasukkan sebagai elemen dalam sesebuah penulisan kerana ia dapat membantu dalam pembinaan watak pembaca yang baik sekali gus membentuk masyarakat berilmu dan berakhlak," jelas beliau.

Mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berhubung sambutan terhadap pendidikan sastera di sekolah-sekolah negara ini yang dilihat agak membimbangkan kerana pelajar lebih berminat mengikuti bidang sains, Zurinah menegaskan bahawa kedua-dua bidang tersebut adalah saling bergantungan dan tidak boleh dipisahkan.

"Persepsi dan tindakan majoriti masyarakat pada hari ini yang meminggirkan pendidikan sastera atas alasan kemajuan pembangunan teknologi hanya boleh diperoleh melalui pendidikan sains semata-mata, perlu diperbetulkan.

"Sastera sangat penting dalam membentuk nilai murni. Apa ertinya kemajuan jika ia boleh terhapus dengan tangan-tangan manusia yang rakus termasuklah ahli politik yang mementingkan diri sendiri sehingga mengabaikan maruah bangsa dan negara," katanya. ― Bernama

Sumber The Malay Mail Online.

Bacaan tambahan

* * * * * * * * * *

Buku seharusnya membentuk pemikiran masyarakat, tapi apa yang berlaku hari ini adalah buku-buku ini dibentuk mengikut trend masyarakat. Kerana itu terhasillah pelbagai buku novel cinta khayalan yang mereput pemikiran, lambakan drama murahan yang diapdatasi daripada novel reput, buku novel dan komik yang ada unsur-unsur lucah dan kotor, buku yang dikompilasikan daripada status-status Facebook dan sebagainya.

Bagi aku dalam menerbitkan buku atau apa jua bentuk kandungan di blog, Wattpad dan apa jua platform dan medium yang sasarannya adalah untuk bacaan orang awam, ada 2 elemen penting yang perlu diambil kira:

1. Bahasa yang betul.

Adalah penting untuk kau menulis dalam bahasa yang betul. Tak perlu guna bahasa yang terlalu tinggi tahap kesusasteraannya, nak guna ayat santai pun boleh asalkan ia ditulis mengikut tatabahasa yang betul. Jangan sesekali guna kependekan atau shortform apatah lagi bahasa alien budak-budak baru nak up, sebab penting untuk pembaca faham apa yang kau nak sampaikan.

Penggunaan bahasa rojak, pasar dan slang hanya boleh digunakan pada dialog. Yelah kalau dalam dialog percakapan pun kau tulis bahasa sastera aras tinggi atau ayat skema jadi tak natural lah.

Kadang-kadang orang lebih suka baca penulisan yang santai kerana ia lebih mudah difahami dan lebih dekat di hati pembaca berbanding penulisan yang penuh dengan ayat-ayat yang terlalu bombastik dan bermadah berhelah sampai pembaca pun pening dengan apa yang cuba disampaikan.


2. Kandungan yang baik

Ini adalah elemen paling penting. Sebenarnya tak kisah nak guna bahasa santai atau bahasa aras tinggi pun, tapi kandungannya kena bagus, bermutu dan bermanfaat, sebab kandungan inilah yang akan membentuk pemikiran pembaca.

Kalau kau guna ayat pasar atau bahasa santai pun kalau kandungan kau bermanfaat, adalah lebih bagus daripada kau guna bahasa sastera aras tinggi tapi kandungannya kotor, lucah atau sia-sia tanpa sebarang mesej yang boleh membuatkan pembaca berfikir.

You are what you write, and you are what you read.

Penulis yang baik dan berintelektual menulis untuk memberi manfaat dan buah fikiran yang kritis kepada pembacanya, manakala penulis yang teruk menulis hal yang sia-sia dan perkara yang merosakkan pemikiran.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik. Klik pada gambar di bawah untuk melihat preview komik. Untuk membeli boleh hubungi kami melalui:

Email: princeofnoob[at]gmail[dot]com
PM Facebook: https://www.facebook.com/prince.nub 
Whatsapp/SMS agen kami: SangKancil - 013-9313541

Buasir Otak: The Komik




tags: sasterawan negara unsing gen-y generasi y suka novel santai bahasa slanga slang pasar rojak sastera aras tinggi

5 ulasan:

  1. masih mencari buku novel suamiku pelir boy ,& suamiku si botak bibir pink rindu awaa 2.6biliyyun% .. pm kalu ada

    BalasPadam
    Balasan
    1. rilek la mat kedepan. membaca adalah jambatan ilmu.. lu apa tau, spm pon x pass.

      Padam
  2. Sy rasa bacaan paling ilmiah yg ramai org sokong kaw2 klau membacanya ialah karya dr Zunar....ringkas n mendalam maksudnya, siap popular kat oversea...hahaha

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.