Halaman

Jumaat, 17 Mac 2017

Menangani sindrom takut pada penolakan

Penolakan, atau rejection.

Penolakan itu adalah suatu yang menyakitkan. Penolakan tidak pernah menyenangkan. Penolakan itu tiada sempadan, dalam pelajaran, pekerjaan, perhubungan, sosial dan sebagainya. Semua orang pernah merasa penolakan, dari tolakan kecil yang tidak membawa sebarang kesan sehingga tolakan besar yang memberi kesan luka yang sangat besar terhadap psikologi dan emosi kita.

Penolakan biasanya melibatkan dua pihak, pihak yang menaruh harapan dan pihak yang menolak harapan.


Ibu bapa yang menolak permintaan anaknya untuk membeli permainan.
Kawan yang menolak ajakan kawan untuk pergi makan tengahari bersama-sama.
Wanita yang menolak cinta seorang lelaki.
Suami yang menolak ajakan isteri untuk bersama.
Majikan yang menolak permohonan kerja dari seseorang.
Editor buku yang menolak manuskrip novel seorang penulis.
Jabatan yang menolak permohonan seorang fakir miskin untuk mendapatkan bantuan.





Penolakan itu memang pedih.
Penolakan itu memang sedih.
Penolakan itu memang kecewa.
Penolakan itu memang memalukan.
Semua orang mahukan penerimaan, dan tiada siapa yang suka dengan penolakan.

Walaupun terluka, namun ada yang berjaya bangkit dari penolakan dan terus berusaha cuba dan cuba lagi, walaupun dia tahu dia mungkin akan ditolak lagi.

Ada orang juga masih terus mencuba walaupun dia tahu harapannya untuk diterima sangat tipis atau mungkin langsung tiada harapan.

Namun ada orang yang sudah terlalu banyak mengalami penolakan, sehingga menjadikan dia tidak lagi mahu terus mencuba dan putus harap pada orang lain, kerana dia telah mengalami sindrom takut pada penolakan.

Seorang anak tidak mahu lagi meminta apa-apa lagi dengan ibu bapanya kerana takut kecewa.
Seorang kawan tidak lagi mahu mengajak kawannya pergi makan kerana sudah tahu pasti akan ditolak.
Seorang lelaki sudah tidak mahu lagi mencari cinta wanita kerana tidak sanggup melalui penolakan.
Seorang isteri tiada lagi perasaan untuk mengajak suaminya bersama kerana takut dikecewakan lagi.
Seorang lelaki sudah tidak mahu memohon kerja lagi kerana sudah putus harap.
Seorang penulis menggantung penanya kerana sudah banyak kali kecewa dan tak mahu menghadapinya lagi.
Seorang fakir tidak mahu lagi memohon bantuan kerana tak sanggup menanggung malu ditolak berkali-kali.

Bukan mudah untuk seseorang mengharungi penolakan, apatah lagi berulang-ulang kali. Bukan mudah juga untuk berjalan terus atau move on selepas ditolak.

Namun percayalah, dalam kehidupan ini kita memang tidak boleh mengelak dari menghadapi penolakan. Malah tanpa kita sedar, kita takut pada penolakan tetapi mungkin kita juga yang pernah banyak kali menolak harapan orang lain pada kita.

Maka bagaimana mahu menghilangkan sindrom atau perasaan takut pada penolakan ini? Semuanya adalah bergantung pada mentaliti atau mindset kita, bagaimana kita harus mengubah dari berpemikiran negatif kepada positif.

Berikut adalah 4 cara untuk mengatasi ketakutan pada penolakan:

1. Menyedari yang penolakan mengajar kita bagaimana untuk mengelak dari ditolak.

Ubah pengalaman ditolak ini menjadi pengajaran untuk bagaimana untuk ditolak lagi pada masa akan datang. Bak kata orang, pengalaman itu mematangkan kita. Setiap kali kita ditolak orang lain, mereka pasti ada alasannya mengapa kita ditolak. Maka cuba belajar dan kaji di mana silapnya kita dan cuba elakkan dari berbuat perkara yang sama yang mungkin akan memberi hasil yang sama jika ia diulangi pada masa akan datang.

2. Turunkan tanda aras kejayaan anda.

Salah satu sebab kita ditolak mungkin kerana kita meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Kita menetapkan tanda aras yang terlalu tinggi untuk suatu kejayaan, menyebabkan ia sukar dan agak mustahil untuk dicapai. Malah jika kita gagal untuk mencapainya, kita akan terus kecewa dan putus harapan.

Cuba tetapkan tanda aras kejayaan yang lebih rendah. Sebagai contoh jika sebelum ini tanda aras kejayaan kita untuk memikat seorang gadis adalah dengan berjaya mengahwininya, maka kita turunkan dulu tanda aras kejayaan dengan berkawan dengan dia terlebih dahulu. Maka jika anda dapat berkawan dengannya pun, ia akan menjadi satu kejayaan yang bermakna. Dan jika dia menolak untuk berkawan dengan anda, sekurang-kurangnya anda sudah berjaya untuk mencuba berkawan dengannya daripada langsung tidak ada apa-apa usaha.

3. Sasarkan penolakan sebagai satu matlamat.

Dengan menyasarkan penolakan sebagai satu matlamat, maka kita tidaklah akan menjadi begitu kecewa apabila ditolak. Malah ia sebenarnya boleh menjadi satu terapi, di mana ia membiasakan diri kita untuk menerima dan menghadapi penolakan dengan lebih tenang dan tabah. Ingat, penolakan itu bukan suatu kegagalan, sebaliknya hanya pengalaman pembelajaran dalam kehidupan.

4. Penolakan adalah penapis bagi keserasian.

Anggap penolakan ini sebagai satu penapis kepada keserasian antara kita dan pihak satu lagi. Jika kita ditolak, ia mungkin adalah untuk kebaikan kita sendiri. Kerana jika di pihak di sebelah sana merasa tiada keserasian dengan kita, adalah lebih baik untuk mereka menolak kita dan kita ditolak mereka. Mungkin jika mereka menerima kita juga (kerana terpaksa), ia boleh membawa kepada mudarat dan masalah kepada dua-dua pihak di masa akan datang.

Seperti contoh seorang majikan menolak calon pekerja kerana merasakan dia tidak sesuai atau tidak serasi untuk bekerja dengannya. Jika dia ambil juga, mungkin pekerja tersebut akan merasa tertekan dengan kerjanya lalu berhenti akhirnya.

Atau jika seorang wanita tidak suka pada seorang lelaki yang meluahkan perasaan cinta padanya, namun menerima juga atas dasar kasihan pada lelaki tersebut, pada masa akan datang mungkin akan timbul masalah apabila wanita itu tidak dapat menjadi apa yang diharapkan oleh lelaki tersebut.



P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.





tags: sindrom takut pada penolakan fear of rejection mengatasi tips kegagalan romandis romantik sadis

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.