Halaman

Isnin, 8 Mei 2017

Memoir Seorang Lelaki Nerd: Komputer

Aku dan komputer.

Aku kenal komputer seingat aku masa sekitar aku sekolah rendah dalam darjah 1 atau 2 mungkin pada akhir tahun 80-an. Masa tu komputer memang suatu yang rare kerana tak banyak komputer yang dibuat dan dijual malah harganya pun sangat mahal kalau nak dibandingkan dengan kadar inflasi dan pendapatan pada ketika itu. Aku pula mungkin beruntung kerana berkesempatan menggunakan komputer pada usia yang awal, terima kasih pada bapa aku yang juga minat komputer dan buat pinjaman untuk beli komputer.

Illustrasi oleh Deaday.

Aku tak ingat komputer tu jenama dan model apa, tetapi yang masih aku ingat CPU komputer tu berat gila, pakai casing besi, ada butang turbo dan lubang kunci. Dengan paparan grafik CGA cuma ada 4 warna je kalau tak silap aku. Masa tu takde OS Windows lagi, hard disk pun takde. Nak boot komputer pun kena pakai cakera liut atau disket yang besar gedabak untuk masuk MS-DOS.

Dengan komputer tu aku mula belajar program seperti Wordstar, Lotus 1-2-3, LOGO dan beberapa lagi. Tak lupa juga aku mula belajar main permainan komputer juga dengan komputer itu. Antara game terawal yang aku main kat komputer tu yang masih aku ingat seperti Digger, Centipede, Lode Runner, Prince of Persia, Alley Cat, Tapper, Xenon 2, Moon Bugs, Arkenoid, Sokoban, Buck Rogers Planet of Zoom dan lain-lain lagi.

Sebab aku antara budak yang ada komputer kat rumah, maka ramailah kawan-kawan sekolah dan jiran setaman datang rumah aku untuk tumpang bermain komputer. Tapi bila aku dah masuk darjah 4, masa tu aku dah berpindah ke Selangor, ada seorang budak taman aku yang ada komputer lagi canggih. Paparan grafik komputer dia lebih banyak warna dari komputer aku, dah pakai disket yang lebih kecil dan dah ada hard disk yang kecil. Maka rumah dia pula yang menjadi tumpuan budak-budak di taman itu, termasuklah aku.

Di sekolah rendah ada makmal komputer. Disebabkan dah banyak benda aku tahu, aku selalu jadi tumpuan bila dalam kelas komputer. Masa tu kalau tak silap dah mula belajar MS Word versi awal dan juga LOGO.

Ramai murid kelas aku selalu kerumun termasuk cikgu komputer aku sebab selalunya aku akan buat tugasan lebih dari apa yang diberikan, tambah-tambah pulak kalau ada budak perempuan. Disebabkan kelebihan aku ini juga, makmal komputer dah jadi macam kelas kedua aku, aku nak masuk bila-bila pun cikgu tak kisah. Kadang-kadang masuk makmal semata-mata nak main game Commander Keen.

Masuk sekolah menengah pun sama juga. Masa tu dah mula pakai Microsoft Windows 3.1. Kelas komputer biasanya akan belajar MS Word, Excel dan Powerpoint, tapi sebab aku dah siap awal tugasan yang diberikan, terus aku buka game Empire Soccer.

Masuk tingkatan 3 belajar buat pengaturcaraan atau programming guna BASIC. Cikgu suruh lukis roket, aku buat roket boleh terbang, lepas tu semua tiru aku. Pada tingkatan 4, aku mewakili sekolah masuk pertandingan mencipta perisan pendidikan. Masa tu kumpulan aku buat perisian interaktif tentang topik nuklear dalam subjek Fizik pakai perisian Macromedia Authorware. Zaman tu Internet sangat baru, maka banyak bahan kami dapat dari CD Microsoft Encarta, sebuah perisian ensiklopedia.

Oleh kerana kami perlu gunakan komputer untuk siapkan projek ini, maka kunci makmal komputer kami pegang dan dah pun jadi macam bilik persendirian kami. Masa prep malam je kami lepak makmal komputer sampai pukul 12 malam, tapi kadang-kadang bukan sebab nak siapkan projek pun tapi main game.

Waktu pertandingan peringkat negeri, pasukan kami jadi juara dan dapat jadi wakil negeri Pahang dalam pertandingan peringkat kebangsaan. Ingat jadi juara dah gempak gila dah, sekali masa pertandingan peringkat kebangsaan yang diadakan di sebuah universiti awam, terus jadi lauk. Sekolah wakil negeri lain siap buat grafik 3D dah macam game Doom. Walaupun balik dengan tangan kosong, namun sekurang-kurangnya dapatlah membawa pulang pengalaman yang berharga. Malah ia meningkatkan lagi minat aku untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang komputer.

Selepas SPM, kesemua lima pilihan masa isi borang UPU adalah kursus Sarjana Muda Sains Komputer. Akhirnya aku ditawarkan dalam kursus tersebut di sebuah universiti awam di negeri kelahiran aku. Di sinilah aku mula belajar lebih banyak tentang komputer, perisian, pengaturcaraan, pangkalan data, rangkaian dan macam-macam lagi hal tentang teknologi komputer.

Di sini jugalah aku kenal kawan sekursus yang baru nak kenal komputer dalam hidup mereka, dan orang yang jauh lebih hebat dalam bidang komputer. Namun kerana minat dan pengalaman aku dengan komputer agak banyak, maka aku mudah untuk faham dan skor dalam peperiksaan subjek berkaitan komputer, walaupun kadang-kadang bawa toyol juga.

Pada tahun ketiga, aku masuk dalam bidang pengkhususan rangkaian dan sistem komputer. Aku berjaya tamatkan pengajian aku dalam tempoh 4 tahun setengah. Sepatutnya kursus tu 4 tahun je, tapi aku lanjutkan 1 semester sebab pernah kantoi subjek Kalkulus, sebanyak 2 kali!

Dalam banyak-banyak fasa aku dengan komputer, aku rasa di zaman universitilah pengalaman komputer aku paling menarik sekali. Masa ni baru ada merasa ada komputer sendiri, baru belajar pasang komputer sendiri, beli CD perisian dan filem cetak rompak, belajar cara nak crack perisian, muat turun banyak lagu MP3 guna P2P, tukar tema Windows, sibuk main mIRC dan Yahoo Mesengger nak cari awek, dan paling tak boleh tahan bila jadi hantu game termasuk multiplayer game macam Starcraft, Half Life, Counter Strike, FIFA dan Warcraft. Masa tu genre MOBA tak wujud lagi, DOTA pun masih lagi sekadar custom map dalam Warcraft 3. Cuma tahun akhir jadi hantu online game Ragnarok, sanggup duduk kat kafe siber pagi-pagi buta sampai ke subuh.

Habis belajar, aku diterima kerja dalam bidang IT dan sehingga hari ini, aku baru bekerja dengan 2 majikan sahaja. Kawan-kawan sekursus aku yang masih bekerja dalam bidang IT, ada yang dah jadi manager, ada yang dah jadi pensyarah, ada yang dah jadi pegawai kerajaan, ada yang kerja lari dari bidang asal, ada yang dah kerja sendiri. Aku masih lagi setia dan bertahan dengan kerjayaku sehingga kini walaupun banyak karenah yang kurang menggembirakan.

Hari ini aku masih lagi suka minat dengan komputer, namun tidaklah terlalu teruja seperti dulu. Kerana teknologi hari ini bergerak dengan pantas, sampai satu tahap aku dah tak mampu untuk kejar. Malah ramai orang-orang muda sekarang yang lebih cekap dengan teknologi-teknologi terkini tentang komputer. Aku kini sudah keluar dari persaingan teknologi dan cuma sekadar melakukan kerja aku sahaja.


Siri Memoir Seorang Lelaki Nerd:


2 ulasan:

  1. Teknologi sekarang memang sangat laju. Kalau lambat, ketinggalan la jawabnya

    BalasPadam
  2. betul, skg nk belajar komputer org tak perlu pergi kursus mana-mana dah boleh godek2 sendiri kat rumah even org yg amik course komputer blaja 3/4 tahun untuk mahir tntg komputer tp budak2 zaman skrg lagi cekap guna komputer berbanding org2 yang belajar dalam bidang komputer.

    salam singgah dari saya,
    https://messarah.blogspot.my/

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.