Halaman

Khamis, 4 Mei 2017

Memoir Seorang Lelaki Nerd: Nerda

Nerda.

Aku tak pasti adakah perkataan nerda ini telah menjadi sebuah perkataan Bahasa Melayu yang rasmi terjemahan kepada perkataan inggeris 'nerd' atau mungkin baru di peringkat slanga hipster, tetapi aku perasan ia sudah banyak digunapakai terutama di kalangan warga Internet Malaysia.

Maka kenapa dengan nerda?

Illustrasi oleh Deaday.

Nerda ini biasa digambarkan untuk seorang yang bijak, ulat buku, minat kepada benda-benda yang tak ramai orang suka, tidak pandai bergaya, pakai cermin mata tebal, rambut belah tepi, baju baju kemeja kotak-kotak masuk dalam seluar, sangat pemalu terutama dengan kaum berlawanan, tidak tahu bersosial, tidak pandai bergaya, tidak aktif bersukan, suka duduk depan komputer dan sebagainya. Kalau di kalangan budak-budak Melayu biasanya dipanggil mat skema.

Disebabkan aku ada beberapa ciri-ciri tersebut walaupun bukan semua, maka aku sering dianggap sebagai mat skema di kalangan kawan-kawan aku malah sejak di bangku sekolah rendah lagi. Malah sifat aku yang suka buat sesuatu yang lain dari kebiasaan dan tidak mengikut arus sesama membuatkan ramai orang pelik melihatku.

Tatkala ramai budak main bola sepak, aku main permainan video. Masa budak lain ramai yang sibuk bermain badminton, aku sibuk buat kubu kat bukit belakang rumah dengan seorang dua kawan. Masa budak lain baru nak mula baca majalah Ujang, aku beli komik Dragon Ball bahasa Cina walaupun tak faham. Masa ramai murid lelaki nak masuk kadet tentera dan kadet bomba, aku nak masuk pengakap. Masa orang lain sibuk belajar dalam kelas prep malam, aku sibuk melukis komik. Malah ketika ramai kawan aku dah mula hisap rokok masa kat asrama, aku tak terasa pun nak ikut sampailah hari ini.

Dari segi akademik pula, aku bukanlah seorang yang bijaksana atau genius, cuma aku boleh mudah faham sesuatu dengan cepat, tetapi mudah untuk melupakannya dengan cepat juga. Otak aku bagaikan sebuah komputer yang mempunyai saiz ingatan RAM yang besar tetapi saiz cakera keras yang kecil. Sebab itu aku jenis suka belajar pada masa-masa terakhir, sebab aku kalau belajar awal pun mesti mudah lupa terutama subjek yang perlu hafalan dan banyak ingatan seperti Sejarah, Geografi dan sebagainya.

Bercerita tentang zaman persekolahan aku, waktu sekolah rendah dari darjah 1 sehingga 3, aku bersekolah di sebuah kawasan bandar di Perak, yang mana banyak kelas dan ramai murid. Aku tidak punya banyak ingatan sangat ketika aku di situ malah aku sudah tidak ingat seorang pun kawan dari sekolah itu, tetapi apa yang aku ingat setiap kali peperiksaan aku akan mendapat kedudukan bawah 10 dalam kelas. Nak dapat nombor 1 sehingga 3 tu pernah tetapi amat jarang sekali.

Bila aku berpindah ke Selangor pada tahun 4, aku bersekolah di sebuah sekolah luar bandar yang jumlah muridnya tidaklah seramai kawasan bandar. Kat sekolah ini aku mula menyinar, selalu dapat nombor 1 hingga 3 dalam darjah. Dan disebabkan kat rumah aku ada komputer ayah aku, maka aku selalu conquer makmal komputer sekolah dan tunjuk hebat depan kawan-kawan. Bermula tahun 4 itu juga aku baru mula masuk sekolah agama sesi petang, baru mula belajar membaca dan menulis jawi.

Sewaktu aku menetap di Selangor ini juga aku lebih rapat dengan kawan-kawan dan buat macam-macam pengembaraan dan aktiviti pelik-pelik seperti pergi tangkap udang kat sungai, naik basikal tepi parit, masuk hutan, ikuti perkhemahan sekolah dan sebagainya.

Bila UPSR keluar, hanya ada 2 orang sahaja yang dapat straight A (masa tu cuma 4A sahaja), salah seorangnya adalah aku. Dengan keputusan UPSR itu aku dapat masuk ke sebuah sekolah menengah berasrama penuh (SBP) di Pahang, dan sebaik sahaja aku jejak kaki di sekolah tersebut, ibu bapa aku sudah berpindah ke Negeri Sembilan. Disebabkan zaman itu tiada Internet, email, mIRC, Friendster, Facebook dan sebagainya, maka aku terus lost contact dengan kawan-kawan sekolah rendah aku. Sekarang pun cuma jadi kenalan di Facebook sahaja sebab dah terlalu lama tak berhubung, maka dah jadi janggal untuk berbual mesra macam zaman sekolah.

Berbalik pada cerita di sekolah menengah, disebabkan yang masuk sekolah SBP ini boleh kata semuanya pandai-pandai dan dapat keputusan UPSR 4A, maka waktu itu aku dah tak mampu nak menyinar dan hanya mampu dapat nombor belasan dalam kelas kerana persaingan akademik terlalu tinggi dan hebat.

Samalah masa di universiti pun. Dengan keputusan SPM yang tak lah straight A tapi dapatlah aggregate bawah 10, aku ambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kompuer. Masa tu aku ingat aku kira antara yang hebat lah dengan komputer dalam kelas aku, tapi rupa-rupanya tidak. Ada ramai yang lebih hebat dari aku, lebih nerda dari aku, lebih hacker dari aku. Masa tu baru aku rasa macam, "Wow! Aku bukan sesiapa pun sebenarnya...".

Menjadi seorang nerda ini, bukanlah suatu yang teruk sebenarnya, cuma mungkin sebab kita terlalu fokus terhadap sesuatu yang kita minat, kita jadi kurang kemahiran untuk bersosial dan berkomunikasi dengan orang lain. Sebab itu seorang nerda juga sering distreotaip sebagai seorang introvert. Maka apa yang seorang nerda ini buat adalah belajar dan perbaiki kemahiran bersosial dan berkomunikasi.


Siri Memoir Seorang Lelaki Nerd:


5 ulasan:

  1. pergh cerita yang menarik bos~

    BalasPadam
  2. Menarik, Nora bagi 10 markah

    BalasPadam
  3. Cita-cita aku nk ambil ijazah sains komputer tapi noob telah menghancurkan cita-cita aku melalui nukilan penyesalan menjadi budak sains komputer��

    BalasPadam
  4. Cita-cita nak jadi nerda pon musnah

    BalasPadam
  5. Cita-cita nak jadi nerda pon musnah

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.