Halaman

Khamis, 12 Oktober 2017

Pengajaran kes doktor gigi palsu lulusan Youtube

Hangat di berita dan media sosial tentang seorang gadis graduan Kolej Vokasional yang diperintah membayar denda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah menjalankan perusahaan pergigian tanpa lesen, Januari lalu.

Tertuduh Nur Farahanis Ezatty Adli, 20, menukar pengakuan kepada bersalah semalam, sebelum disabit hukuman hari ini, di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyediakan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) di Bakti Homestay, Jalan Bukit Katil, 10.15 malam, 25 Januari lalu.


Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut subseksyen 4(1) Akta 586 dan boleh dihukum mengikut subperenggan 5(1)(a)(i) akta sama yang memperuntukkan denda hingga RM300,000 atau penjara hingga enam tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh yang diwakili peguam bela Janariah Mustafa, merayu hukuman diringankan atas alasan insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan berkenaan.

"Saya pohon denda seminimum mungkin dan memohon mahkamah untuk melepaskan Orang Kena Saman (OKS) dengan Bon Berkelakuan Baik di bawah Seksyen 173A dan 294 Kanun Prosedur Jenayah," kata Janariah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Kesihatan Nurul Khairiyah Samsudin, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira keselamatan dan kesihatan pesakit, berikutan proses menjalankan pendakap gigi hanya boleh dilakukan doktor bertauliah selain kes berkenaan bukan pertama di Melaka dan Malaysia.

Selepas mendengar kedua-dua hujah dan rayuan, Norma memerintahkan tertuduh membayar denda RM70,000 atau penjara enam bulan jika gagal bayar.
Sumber Harian Metro.

Ini bukan kes pertama tentang doktor dan klinik gigi palsu ni. Sebelum ni pun dah ada beberapa kes tetapi tidak begitu dipeduli oleh netizen.

Kes kali ini menjadi begitu viral mungkin kerana pelakunya seorang gadis muda yang cantik dan popular di media sosial.


Susulan kes ini, persatuan kelab motosikal Dragon76 telah membantu mengumpul dana sebanyak RM70,000 bertujuan mengelakkan Nur Farahanis Ezzaty Adli, 20, atau lebih dikenali sebagai Nara daripada hukuman mahkamah oleh kerana merasakan hukuman yang dikenakan merupakan sesuatu yang zalim dan keterlaluan, tambahan lagi mereka mengenali bapa beliau.

Pada mulanya dikatakan mereka mempertahankan tindakan gadis tersebut dan mengatakan beliau telah dianiaya oleh orang-orang yang dengki dengannya seperti yang diperkatakan dalam video ini, namun kemudiannya bersetuju perbuatan gadis itu yang membuka perusahaan pergigian secara haram satu tindakan yang salah dan boleh memudaratkan kesihatan mereka yang menggunakan khidmat memasang pendakap gigi tidak berlesen itu.



Malah pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang pada mulanya dikaitkan dengan isu ini kerana dikatakan mempertahankan tindakan gadis ini juga turut memberi kenyataan tidak menyokongnya.


Gadis tersebut dikatakan melakukan perkhidmatan memasang pendakap gigi atau braces yang dipelajari dari Youtube. Tak salah nak belajar dari Youtube, tapi tak semua benda sesuai untuk dipraktikkan dan membuat keuntungan dengan hanya berbekalkan ilmu Youtube. Kalau setakat belajar pasal IT ke, cara gunting rambut ke, tutorial tudung ke, cara potong rumput ke, teknik nyanyian ke, cara melukis ke, pastu nak buat bisnes dengan apa yang kau belajar tu takpe la jugak.

Tapi bidang-bidang yang melibatkan kesihatan dan keselamatan orang seperti perubatan, kejuruteraan, polis, tentera dan sebagainya perlukan pendidikan dan pertauliahan yang sewajarnya untuk melayakkan seseorang menjadi pengamalnya.

Benda ni simple je sebenarnya.
Kalau kau sakit jantung, takkan kau nak jumpa doktor bedah yang sekadar belajar kat Youtube?
Kalau kau nak beli rumah, takkan kau nak beli rumah yang dibina oleh orang yang belajar kat Google?
Kalau kau nak naik kapal terbang, takkan kau sanggup nak naik kapal terbang yang di bawa oleh orang yang sekadar belajar dari Flight Simulator?

Aku tak salahkan orang yang nak bantu dia bayar denda dia. Yelah kalau ahli keluarga dan kawan-kawan dia nak bantu takde masalah pun. Kita sendiri pun kalau ada ahli keluarga atau kawan-kawan kita yang dalam kesusahan walaupun dia salah, kita mungkin akan rasa kesian dan rasa nak bantu juga. Yang penting kita mengakui kesilapan tersebut, tidak mempertahankannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Cuma aku harap kalau betul siapa-siapa pun memang minat nak jadi doktor gigi ke doktor falsafah ke apa-apa je lah, gunalah saluran yang betul. Sambung belajar ambil jurusan perubatan pergigian dan belajar seperti orang lain, kemudian dah habis dapat sijil dan layak baru jadi doktor gigi yang sah. Kalau nak jadi doktor falsafah ambil PhD betul-betul bukannya beli lepas tu menipu orang. Ini tidak, guna shortcut cara yang salah, akhirnya ahli keluarga dan rakan-rakan terpaksa cari duit untuk menanggung denda. Kan lebih baik awal-awal kumpul duit biaya sambung belajar kan lebih baik dari kena bayar denda, tak payah susah-susah nak pinjam PTPTN ke apa.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.





tags: doktor gigi palsu braces belajar dari youtube

3 ulasan:

  1. sebab lawa, masih muda dan nampak sopan, kemain ramai yg sokong...cer kalau muka pecah rumah..gerenti netizen mengutuk habis habisan

    BalasPadam
  2. bestnyer dia..pas dpt untung, pastu ada org lain kutip derma nak byr denda..

    oh Malaysiaku -_-'

    BalasPadam
  3. Satu lagi conman, yang ni bekerja di bahagian construction.

    https://kennytangkengboon.blogspot.com/2019/03/hr-tolong-semak-later-belakang.html

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.