Halaman

Khamis, 25 April 2019

Cara undang artis K-Pop tanpa undang kecaman

1. Usaha Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melalui kementeriannya mahu membawa kumpulan K-Pop terkenal BTS sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 menerima kecaman hebat di media sosial.

2. Pertama, beliau dikecam kerana kerajaan dilihat lebih mementingkan hiburan berbanding menunaikan janji manifesto yang masih tertunggak.

3. Kedua, ia dilihat bersifat pilih kasih demi untuk meraih sokongan dan mengambil hati para peminat K-Pop yang ramai, sedangkan peminat muzik genre lain terpinggir.


3. Ketiga, ia menimbulkan persoalan ramai kenapa perlu gunakan khidmat artis luar untuk promosikan Tahun Melawat Malaysia sedangkan lebih ramai penyanyi dan pemuzik tempatan yang boleh diketengahkan.

4. Keempat, peminat K-Pop memang ramai di Malaysia, begitu juga K-Pop haters. Jadi dengan cadangan nak bawa artis K-Pop datang Malaysia sudah pasti mengundang kecaman orang yang tak suka K-Pop.

5. Kelima, orang mempertikai kenapa beliau yang sibuk sangat nak undang artis K-Pop sedangkan beliau Menteri Belia dan Sukan, bukan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya. Memang kebanyakan peminat artis K-Pop adalah di kalangan belia, tapi takkan antara bidang kerja dia memenuhi kehendak hiburan para belia?

6. Beliau kemudiannya membalas kecaman dengan mengatakan beliau nak menjadikan Malaysia destinasi utama untuk sebarang acara antarabangsa seperti persidangan, konsert, acara komedi dan sebagainya di mana sekarang ini banyak tertumpu di Singapura, Jakarta dan Bangkok.

7. Beliau juga menjelaskan kehadiran kumpulan muzik luar negara ke Malaysia bukan bertujuan untuk melalaikan generasi muda, sebaliknya ia perlu dilihat sebagai satu pelaburan dalam industri hiburan yang menguntungkan buat negara.

8. Bagi aku dari sudut ekonomi, benda tu tak salah. Dari dulu sejak PH belum jadi kerajaan lagi pun sudah banyak kali pemuzik luar negara datang Malaysia buat konsert, termasuklah artis Korea, sampai ada kes peminat perempuan peluk bagai. Jadi bila ada konsert antarabangsa, ramailah orang akan beli tiket termasuk pelancong luar negara, dan mereka akan turut berbelanja di Malaysia, secara tak langsung meningkatkan aliran wang masuk ke Malaysia.

9. Cuma kerajaan seharusnya kurangkan penglibatan dan keterujaan dalam bab-bab hiburan ni terutama artis luar negara. Artis luar nak datang buat konsert buatlah, tapi janganlah secara zahir menampakkan macam kerajaan menganjur atau menyokong sangat, sebab akan ada konflik kepentingan dan konflik moral.

10. Walaupun konsert itu mungkin kerajaan tak keluar satu sen pun, sebaliknya guna duit pihak pengurusan acara, penaja dan juga peminat yang membeli tiket, tapi ia boleh disalah tafsir macam kerajaan ada salur peruntukan untuk acara hiburan seperti itu. Itu dari sudut konflik kepentingan.

11. Dari sudut konflik moral pula, ia akan mengundang sentimen yang kerajaan terlalu mengutamakan budaya hedonisme yang terlalu mementingkan hiburan dan keseronokan duniawi, sedangkan kerajaan seharusnya lebih memelihara nilai agama dan budaya ketimuran.

12. Itu juga yang berlaku pada zaman kerajaan BN dulu, bila kerajaan mengundang Psy Gangnam Style dalam sebuah acara sambutan Tahun Baru Cina, mereka dikecam hebat oleh pembangkang ketika itu. Jadi apabila bekas pembangkang menjadi kerajaan, mereka mahu melakukan perihal yang sama, apa cerita?

13. Jadi kalau nak bawa juga artis luar negara datang Malaysia, jangan nampakkan sangat kerajaan terlibat, apatah lagi letakkan ia di bawah program Tahun Melawat Malaysia. Biarlah syarikat swasta atau pihak persendirian yang anjur atau bercakap tentang hal ini. Kalau kena kecam, penganjur yang kena kecam, bukan kerajaan atau menteri. Lepas tu kalau ramai sangat kecam, kerajaan boleh batalkan permit, jadi takdelah orang kecam kerajaan cakap U-turn.

14. Ini nampak macam kerajaan bahkan menteri pula yang nampak beria-ia sangat mahu bawa artis K-Pop buat konsert kat Malaysia. Sama lah tahun lepas macam isu Nurul Izzah nak bawa Radiohead buat konsert di Malaysia, habis kena kecam. Takkan tak belajar-belajar lagi dari sejarah?

15. Jadi bila bab-bab hiburan ni, kerajaan dan para ahli politiknya perlu meminimakan diri dari terlibat. Kalau nak bawa juga, cakap je belakang-belakang kat syarikat swasta untuk anjurkan, tak perlu buat kenyataan umum sampai semua orang tahu. Dari segi political mileage, ia tidak mendatangkan sebarang keuntungan pun malah menghilangkan sokongan dan kepercayaan lagi ada lah. Benda simple macam ni taklah sukar sangat untuk difikirkan.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.


https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: menteri belia dan sukan kementerian kpop kbs bts syed saddiq undang datang malaysia tahun melawat malaysia 2020 kempen

1 ulasan:

  1. Tak da apa yang boleh dibanggakan dengan menteri sukaneka ini, hanya boleh makan gaji buta sahaja...

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.