Halaman

Ahad, 28 April 2019

Konsep pengembaraan masa dalam cerita fiksyen

Banyak karya berbentuk sains fiksyen di dalam novel, drama dan filem berkisarkan tentang pengembaraan masa atau 'time travel' dengan pelbagai kaedah seperti mesin masa, terowong masa, magik, keajaiban, kapal angkasa, lubang cecacing, alam kuantum dan lain-lain lagi.

Namun bagi aku 'time travel' itu sendiri sangat mustahil tak kiralah betapa majunya kemajuan sains yang bakal kita kecapi pada masa akan datang. Ini kerana teori pengembaraan masa itu sendiri sangat tak masuk akal dan melangkaui hukum alam serta qada' dan qadar.

Pergerakan masa ini cuma berlaku sekali sahaja iaitu masa yang sedang kita alami sekarang. Andai kata pengembaraan masa itu wujud, tahun 2050 telah pun berlaku bagi orang yang sedang hidup pada tahun itu, manakala tahun 1950 pula masih ada orang yang sedang mengalaminya bagi orang yang sedang hidup pada zaman itu.


Bayangkan kalau pengembaraan masa wujud, orang dari tahun 3100 mesti dah datang kat zaman kita. Malah orang boleh pergi ke tahun sebelum wujudnya Nabi Adam, atau pergi ke masa hadapan yang mungkin selepas kiamat telah berlaku, jadi ia sebenarnya dah menjangkaui kuasa Tuhan.

Oleh itu konsep 'time travel' ini hanya boleh terpakai dalam siri fiksyen fantasi dan khayalan sahaja, dan ia sebenarnya agak menarik untuk dibincangkan memandangkan konsep ini tak terhad pada satu teori sahaja malah macam-macam teori boleh dibuat memandangkan ia adalah fiksyen.

Gambar rajah berikut adalah antara konsep 'time travel' yang banyak dan pernah digunakan dalam pelbagai siri fiksyen, diterangkan secara 'layman' untuk memudahkan pemahaman.

(* Mengandungi sedikit spoiler tentang plot filem Avengers: Endgame)


Konsep 1: Ubah sejarah mengubah masa depan


Konsep ini menyatakan nasib seseorang boleh diubah, di mana dengan mengubah sejarah, masa depan juga akan turut berubah.

Orang yang melalui kehidupan di garisan masa asli tidak pernah mengalami kunjungan orang dari masa depan. Kedatangan orang dari masa depan adalah suatu peristiwa yang baru dan tak pernah berlaku sebelum ini.

Sebarang perubahan sejarah akan mencipta garisan masa yang baru dan garisan masa yang asli akan hilang dan tidak lagi wujud. Jika orang itu kembali semula ke masa sekarang, dia akan pergi ke garisan masa yang baru.

Sebagai contoh Bo sewaktu kecil pernah mengalami kemalangan jalan raya sehingga menyebabkannya lumpuh. Masa itu dia tidak didatangi sesiapa pun dari masa depan untuk memberi amaran kepadanya.

Bila Bo dah dewasa, dia pergi ke masa lalu untuk memberi amaran kepada dirinya yang kecil agar jangan naik kereta pada hari kejadian. Bo kecil mengikut arahannya dan berjaya mengelakkan diri dari terbabit dalam kemalangan. Secara tiba-tiba Bo dewasa dah tak lumpuh, dan bila dia pergi semula ke zamannya, keadaan sudah berubah dengan realiti dia tak pernah lumpuh.

Antara cerita yang menggunakan konsep ini adalah filem Back To The Future, game Chrono Trigger dan kisah Doraemon yang datang dari masa depan kerana mahu mengubah nasib Nobita.


Konsep 2: Ubah sejarah tidak mengubah masa depan



Konsep ini menyatakan nasib seseorang tidak boleh diubah, di mana walaupun sejarah cuba diubah, masa depan tidak akan berubah kerana cubaan mengubah masa lalu itu juga suatu yang telah ditakdirkan.

Orang yang melalui kehidupan di garisan masa asli pernah mengalami kunjungan orang dari masa depan. Oleh itu kedatangan orang dari masa depan serta cubaan untuk mengubah sejarah bukanlah peristiwa baru, malah ia sebahagian dari sejarah di garisan masa asal.

Jadi sebarang cubaan untuk mengubah sejarah yang cuba dilakukan tidak akan mengubah apa-apa pada garisan masa asli, kerana peristiwa itu telah pun berlaku pada masa lalu.

Contohnya Bo pada masa kecil pernah didatangi oleh Bo yang sudah dewasa yang tidak lumpuh dari masa depan. Dia diberi amaran supaya jangan menaiki kereta pada suatu tarikh supaya tak terlibat dalam kemalangan. Disebabkan itu Bo yang kecil tidak menaiki kereta pada hari tersebut untuk mengelak kemalangan.

Bila Bo sudah besar, dia kembali ke zaman lalu untuk beritahu perkara sama pada Bo kecil dan hal ini terus berulang-ulang. Yang sebenarnya tiada Bo yang pernah terlibat dalam kemalangan pun, sebab semua Bo telah diberi amaran dari Bo dari masa depan. Bo sudah ditakdirkan untuk tidak terlibat dalam kemalangan dan pergi ke masa lalu untuk memberi amaran.

Antara cerita yang menggunakan konsep ini adalah sebahagian episod dalam siri Doraemon dan The Terminator.


Konsep 3: Ubah sejarah mencipta dimensi baru (multiverse)


Konsep ini menyatakan nasib seseorang tidak boleh berubah, tapi dia boleh mengubah sejarah lalu menghasilkan masa depan baru di dimensi atau dunia yang lain.

Ia lebih kurang sama seperti Konsep 1, bezanya garisan masa asli tidak akan hilang dan masih wujud walaupun seseorang telah mengubah sejarahnya. Namun perbuatan mengubah sejarahnya telah mengakibatkan garisan masa baru muncul di dimensi lain.

Orang yang mengubah sejarah itu juga hanya boleh kembali semula ke masa sekarang miliknya sahaja yang tiada apa perubahan. Keadaannya sama sahaja ketika sebelum dia pergi ke masa lalu untuk mengubah sejarah. Namun dirinya yang lain mungkin memiliki kehidupan yang berbeza di dimensi lain.

Dengan konsep ini, lagi banyak sejarah diubah, lagi banyak dimensi baru yang tercipta. Selain dari pengembaraan masa, wujud juga konsep pengembaraan dimensi di mana orang dari suatu dimensi boleh merentas ke dimensi yang lain dan berjumpa dengan dirinya sendiri yang mempunyai kehidupan yang berbeza.

Sebagai contoh Bo sewaktu kecil pernah mengalami kemalangan jalan raya sehingga menyebabkannya lumpuh. Masa itu dia tidak didatangi sesiapa pun dari masa depan untuk memberi amaran kepadanya.

Bila Bo dah dewasa, dia pergi ke masa lalu untuk memberi amaran kepada dirinya yang kecil agar jangan naik kereta pada hari kejadian. Bo kecil mengikut arahannya dan berjaya mengelakkan diri dari terbabit dalam kemalangan.

Kemudian Bo kecil ini membesar dan menjadi dewasa di dimensi lain yang mana dia tidak pernah mengalami kemalangan dan tidak lumpuh.

Manakala Bo dewasa yang datang dari masa depan untuk memberi amaran itu masih lumpuh, dan bila dia pergi semula ke zamannya, keadaannya masih sama dengan realiti dia pernah kemalangan dan lumpuh.

Bo yang lumpuh ini mungkin boleh melompat ke dunia satu lagi dan berjumpa dengan dirinya yang tidak lumpuh.

Antara cerita yang menggunakan konsep ini adalah komik/anime Dragon Ball, game Chrono Cross dan filem Terminator 2/3 dan Star Trek (2009).


Konsep 4: Ubah sejarah adalah peristiwa masa sekarang


Dalam konsep ini, ia menyatakan nasib seseorang tidak boleh berubah. Sebarang cubaan mengubah masa lalu hanya akan menghasilkan masa depan baru di dimensi yang lain. Namun perbuatan pergi ke masa lalu bukan suatu yang telah menjadi sejarah sebaliknya peristiwa masa sekarang yang sedang berlaku, dan perkara yang ada pada masa lalu boleh dimanfaatkan pada masa sekarang.

Konsep ini seolah-olah gabungan Konsep 2 dan 3. Semua peristiwa yang sedang berlaku sejajar dengan garisan masa asli temasuk peristiwa 'time travel' pergi ke masa lampau, cubaan untuk mengubah sejarah dan juga peristiwa kembalinya dia ke masa sekarang.

Garisan masa asli tidak akan berubah walaupun sejarah berubah kerana perubahan itu telah membentuk ke garisan masa baru yang lain.

Sebagai contoh Bo sewaktu kecil mempunyai seekor kucing yang sangat comel, namun kucing itu sudah mati apabila Bo meningkat dewasa. 

Ketika Bo dewasa, pada satu hari ada pertandingan kucing, dan Bo teringat dia pernah ada kucing pada masa lampau. Jadi dia pergi ke masa lalu, ambil kucing tersebut dan gunakannya untuk masuk pertandingan. Setelah tamat pertandingan, dia ada pilihan untuk kembalikan kucing tersebut ke zamannya atau simpan terus di zamannya.

Jika dia kembalikan kucing tersebut, tiada garisan masa baru akan wujud. Jika dia simpan kucing tersebut, satu garisan masa baru akan wujud dengan situasi kucing tersebut hilang. Namun apa jua pilihannya, tiada apa yang tiba-tiba berubah kerana ia tidak akan memberi kesan kepada garisan masanya sendiri.

Antara cerita yang menggunakan konsep ini adalah Avengers: Endgame.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.


https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: time travel travelling concept theory teori pengembaraan mengembara mesin masa depan sekarang kini lampau filem movie drama sains avengers endgame

1 ulasan:

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.