Halaman

Jumaat, 28 November 2025

Novel Sang Gagalis: Bab 20 - Peluang Kedua

Sang Gagalis

"Setiap orang pernah gagal. Tapi tak semua berani bercerita tentangnya"

Bab 20 - Peluang Kedua


Keesokan harinya, selepas kelas petang Cryptography, Bo melangkah perlahan ke kafe Arked Meranti.
Hujan baru berhenti, jalan kampus masih basah, dan langit berwarna jingga keemasan, bayangan matahari senja memantul di lopak air.

Dia sempat tengok bayangan dirinya di permukaan lopak itu.

Lesu, tapi masih bernafas.

Di satu sudut kafe, Amir dan Amirah sudah duduk, dua manusia yang sejak dulu jadi tempat Bo berpaut bila hidupnya goyah.

Amirah tengah sibuk mengacau air milo aisnya dengan straw, sementara Amir tekun skrol telefon.

“Lambat bro,” tegur Amir bila nampak Bo datang. “Kau ni kalau dating dah lama kena tinggal.”

Bo duduk perlahan. “Aku bukan dating, aku datang cari nasihat.”

Amirah angkat kening. “Haa… bunyi dia macam serius je.”

Bo tarik nafas panjang. “Seriuslah, Mir. Aku… tengah serabut sekarang.”

Amir senyum sinis. “Serabut pasal assignment ke, pasal hati?”

Bo jeling dia. “Kau rasa?”

Amirah senyum kecil, menyampuk. “Ni mesti pasal Aila.”

Bo terdiam.

Kadang-kadang dia lupa, Amirah memang punya naluri tajam.

Macam boleh baca isi kepala orang tanpa orang tu bercakap pun.

. . .

Mereka duduk bertiga di meja tepi tingkap.

Bo ceritakan dari awal, mesej yang dia terima malam semalam, pengakuan Aila yang mengejutkan, dan bagaimana dia masih keliru antara perasaan lama dan masa kini.

Amirah dengar dengan tenang. Sesekali mengangguk, sesekali menghela nafas kecil.

Bila Bo selesai bercerita, dia bersandar sambil lipat tangan.

“Bo,” katanya perlahan, “aku tahu benda ni berat. Tapi aku nak tanya satu je, kau masih suka Aila ke tak?”
Bo tunduk, lama diam.

Dia sendiri tak tahu nak jawab jujur atau tidak.

Amir selamba bersuara, “Jujur weh. Ni bukan soalan objektif. Ni soalan esei hati.”

Bo senyum kecil, tapi tawar. “Aku tak tahu, Mir. Separuh diri aku cakap aku dah move on. Tapi bila dia mesej balik semalam, entah kenapa semua memori tu datang semula. Macam luka lama yang belum betul-betul sembuh.”

Amirah pandang Bo, matanya lembut tapi tegas. “Kalau luka tu datang balik bila dia muncul, maknanya kau tak pernah betul-betul sembuh, Bo. Kau cuma letak plaster, bukan rawat.”

Bo angguk perlahan.

. . .

Dia cuba alih topik. “Tapi sebelum Aila mesej, aku sebenarnya tengah kenal sorang perempuan. Julia.”
Amirah dan Amir berpandangan.

“Julia mana pulak ni?” tanya Amirah.

“Budak kelas sebelah yang popular tu,” jawab Bo. “Kami dah lama mesej, tapi tak pernah jumpa pun. Dia yang mula dulu, cakap suka aku. Tapi sampai sekarang tak pernah nak jumpa. Katanya nak jaga reputasi, tunggu habis belajar.”

Amirah buat muka pelik. “Hmm, macam pelik je.”

Bo senyum nipis. “Itu yang aku rasa juga. Tapi aku tak nak prejudis. Kadang-kadang orang ada sebab dia sendiri.”

Amir bersandar di kerusi, mengangkat tangan. “Aku rasa Julia ni sama ada betul-betul pemalu, atau dia bukan siapa yang dia cakap.”

Bo hanya diam. Dia tak nak menghakimi sesiapa, tapi bayangan “tak pasti” tu mula bermain di fikirannya juga.

. . .

Amirah tunduk sekejap, mengacau semula air milonya yang dah cair.

Kemudian dia bersuara lembut, tapi tegas.

“Bo, kalau kau nak tahu pandangan aku, terima Aila.”

Bo terkejut, pandang Amirah. “Hah? Kenapa?”

Amirah pandang tepat ke matanya. “Sebab bukan mudah untuk seorang perempuan turunkan ego dan datang semula kepada lelaki yang dia pernah lukakan. Aku tahu sebab aku perempuan. Bila dia berani confess balik, maknanya dia betul-betul menyesal.”

Dia berhenti seketika, menambah lagi,
“Dan aku tahu kau. Dari dulu kau memang suka dia, kan? Jadi kenapa nak berpura-pura seolah perasaan tu dah mati?”

Bo terdiam. Dia tunduk, jari-jarinya bermain dengan straw kosong di atas meja.

Amir mencelah dengan nada lembut, “Aku setuju dengan Amirah. Kadang, cinta pertama bukan pasal siapa dulu atau siapa terakhir, tapi siapa yang buat kita berani rasa semula.”

Amirah tersenyum pada Amir. “Eh, pandai kau berfalsafah.”

Amir angkat bahu. “Aku dah lama kena dengan Bo. Aku pun dah terjangkit sikit gaya novel dia.”

Bo ketawa kecil, tapi masih nampak bimbang. “Kalau dia datang balik semata sebab kesian?”

Amirah geleng. “Bo, perempuan tak confess sebab kesian. Kami confess sebab yakin. Dan sebab kami tak nak menyesal nanti.”

Bo menghela nafas perlahan. “Entahlah, aku takut. Takut kalau aku bagi peluang, aku kena luka balik.”

Amirah senyum, lembut tapi yakin. “Kadang peluang kedua bukan untuk dia, tapi untuk kau sendiri, supaya kau tahu cinta kau tu masih hidup, atau dah betul-betul mati.”

. . .

Bo tunduk, fikir panjang.

Dia belum sempat balas, tiba-tiba kedengaran suara lembut di belakang mereka.
“Boleh aku duduk sini kejap?”

Mereka bertiga menoleh serentak.

Dan di situ berdiri seseorang yang Bo tak sangka akan muncul hari ini, Aila.

Dia berdiri sambil senyum malu-malu, masih seperti dulu, tapi kali ini dengan aura yang berbeza.

Lebih matang, tapi masih ada cahaya lembut di wajahnya yang Bo kenal dulu.

Amirah cepat-cepat bangun. “Eh Aila! Dah lama tak nampak kau. Duduklah!”

Aila tersenyum, menarik kerusi perlahan. “Terima kasih. Aku nampak korang dari jauh tadi.”

Bo kaku. Tak tahu nak pandang mana. Tangannya gelisah, menggenggam straw kosong.

Amir sengaja buka topik ringan. “Aila, lama tak jumpa. Macam mana projek akhir?”

“Alhamdulillah okay,” jawab Aila. “Cuma pening sikit pasal supervisor aku asyik tukar requirement.”

Amirah ketawa kecil. “Biasalah. Supervisor memang suka test kesabaran student.”

Mereka bertiga berbual rancak, seolah-olah tiada apa yang janggal.

Cuma Bo diam, tenggelam dalam fikirannya sendiri.

Sekali-sekala pandang Aila, tapi cepat-cepat alihkan mata bila Aila menoleh.

. . .

Selepas beberapa minit, suasana perlahan-lahan senyap.

Aila pandang Bo, kemudian bertanya perlahan,
“So, macam mana Bo? Dah ada jawapan ke?”

Soalan itu seolah menikam sunyi di antara mereka.

Amir dan Amirah sama-sama memandang Bo, menunggu.

Bo rasa dadanya ketat. Dia cuba buka mulut, tapi suara tersekat.

Akhirnya dia hanya mampu berkata perlahan,
“Bagi aku masa.”

Aila tunduk sedikit, senyum nipis. “Okay. Aku faham.”

Bo bangun perlahan. “Aku… balik dulu.”

Amir nak bangun sekali, tapi Bo angkat tangan. “Takpe Amir, aku nak balik sorang-sorang.”

Amirah sempat bersuara lembut, “Take your time, Bo.”

. . .

Langit senja sudah mula gelap waktu Bo bergerak menuju ke arah Balai Cerap dengan motornya. Nak balik tadi cuma alasan, sebaliknya dia hanya mahu tenangkan fikiran.

Dia suka tempat tu, tempat paling tinggi di kampus, tempat dia selalu pergi bila nak tenangkan diri.

Angin petang bertiup lembut membawa bau tanah lembap lepas hujan.

Dari atas bukit, Bo nampak sebahagian besar kampus terbentang luas, bangunan CICT, padang bola, menara jam yang berdiri megah di kejauhan.

Lampu-lampu mula menyala satu persatu, macam bintang kecil di bumi.

Dia duduk di lereng bukit, di bawah pokok besar.

Dikeluarkannya sketch book dari beg, bersama pensil mekanikal yang dah tumpul sedikit.

Dia mula melukis perlahan-lahan.

Pertama, langit senja dengan jalur jingga dan ungu.

Kemudian bangunan Balai Cerap yang berdiri megah di puncak.

Dan tanpa dia sedar, tangannya terus bergerak sendiri, membentuk wajah seorang perempuan.

Lembut, dengan senyuman yang dikenali.

Wajah yang dah lama cuba dia lupakan tapi masih kekal di suatu ruang dalam hatinya, Aila.

. . .

Angin malam mula berhembus, membawa bunyi cengkerik dari bawah bukit.

Bo pandang lukisan itu lama-lama.

Dia tersenyum, tapi ada sendu yang menyorok di baliknya.

“Kalau ni peluang kedua,” bisiknya perlahan, “aku cuma harap kali ni, aku tak gagal lagi.”

Dia pejam mata, menghela nafas panjang.

Langit di atas makin gelap, tapi di hatinya, satu cahaya kecil mula menyala semula.

Dan buat pertama kali selepas sekian lama, Bo rasa tenang, walaupun jawapan sebenar masih belum dia temui.

Bersambung... 

(Sambungan novel ini akan diterbitkan pada setiap hari jam 8 malam)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.