Sabtu, 15 November 2025

0 Novel Sang Gagalis: Bab 7 - Kena Main

Sang Gagalis

"Setiap orang pernah gagal. Tapi tak semua berani bercerita tentangnya"

Bab 7 - Kena Main


Sebenarnya semasa naik ke Tingkatan 3, hidup Bo rasa macam jatuh sekejap.

Daripada dulu di kelas “budak depan”, sekarang dia tergolong dalam kelas kedua depan, 3SC2.

Puncanya mudah: markah peperiksaan akhir tahun lepas tak berapa cantik. Dalam kelas dapat nombor lima, dari belakang. Dia bukan tak pandai, cuma... malas.

“Aku pelik la, macam mana boleh jatuh kelas?” tanya Ray masa Bo balik dari asrama selepas cuti.

Bo geleng kepala. “Tak tahu la, Ray. Tapi tak apa lah, turun satu kelas je pun.”

Ray tepuk bahunya. “Kau ni nanti menyesal. Aku ni pun cukup-cukup makan je, tapi dapat la naik satu kelas dari kelas kedua belakang ke kelas tengah, ha ha ha.”

Bo senyum hambar. “Tahniah la, budak pandai.”

. . .

Kelas baru, suasana baru. Tapi bukan dalam erti positif.

Kelas 3SC2 memang lain macam. Riuh. Tak tersusun. Ramai jenis suka menjerit dan ketawa kuat tanpa sebab.

Bo yang jenis pendiam dan suka duduk belakang meja sendiri rasa janggal habis. Dia jadi pemerhati, tengok perangai orang, dengar gelak orang.

Dan dalam kelas tu, ada satu nama yang semua orang “respek”, bukan sebab pandai, tapi sebab ramai takut.

Duan.

Duan ni jenis besar badan, kepala botak nipis, suara garau.

Dia bukan ketua kelas, tapi kalau dia bercakap, semua senyap.

Kalau dia ketawa, semua ikut ketawa. Walaupun lawak dia tak kelakar langsung.

Dan kalau dia tak suka seseorang… alamatnya, tiap hari kena bahan.

Bo tak pernah cari pasal dengan Duan, tapi entah kenapa, dia tetap jadi sasaran.

Mungkin sebab dia nampak “lain”. Tak suka bising, tak ikut geng, tak masuk borak kosong.

“Eh Bo, tadi aku nampak kau jalan sorang. Takde kawan ke?” usik Duan depan semua orang masa rehat.
Bo cuma senyum nipis. “Aku suka jalan sorang.”

“Ha, memang nampak pun loser macam tu,” sambung Duan dengan ketawa besar.

Budak-budak belakang dia pun ikut gelak, macam dah automatik.

Bo tak balas. Dia tahu, kalau dia lawan, lagi panjang cerita.

Cuma dalam hati, dia dah tekad, aku takkan bagi dia peluang jatuhkan semangat aku.

. . .

Satu-satunya tempat Bo rasa tenang ialah makmal komputer sekolah.

Dia memang dari kecil minat komputer. Masa umur 7 tahun, dia dah pandai godek sistem Windows ayahnya.

Dulu-dulu siap belajar HTML, CSS dan Javascript dari Youtube.

Sebab tu masa subjek Asas Sains Komputer (ASK), dia selalu jadi rujukan cikgu.

Cikgu Naza siap bagi dia pegang kunci makmal komputer.

Kalau cikgu lewat, Bo yang buka pintu, hidupkan komputer, dan pastikan makmal siap sedia.
Kadang-kadang cikgu bagi dia tolong pelajar lain yang tak faham kod HTML. Maklumlah, awal tahun dia sampai masuk pertandingan Bina Laman Web Pendidikan ke peringkat kebangsaan, walaupun akhirnya kalah.

Hari tu, masa sesi petang ASK, makmal agak lengang.

Bo tengah duduk depan komputer, semak kod pelajar lain yang tak jadi.

Tiba-tiba, satu suara dari belakang menyapa.
“Bo… boleh tolong ajar aku ASK tak? Aku blur gila bab CSS ni.”

Bo pusing.

Seorang pelajar perempuan berdiri di situ, Shida.

Shida ni budak kelas Bo, tapi tak pernah rapat pun.

Dia jenis kasar sikit bila bercakap, suka ketawa kuat, tapi sebenarnya pandai juga.

Bo angguk perlahan. “Boleh. Kau duduk sini la.”

. . .

Bo pun tunjuk cara.

Dari buka fail, ke ubah warna latar, ke struktur tag HTML.

Shida duduk sebelah, tangan letak atas meja, kepala sedikit tunduk.

Sesekali rambut depan jatuh ke pipi, dia tolak balik ke tepi.

“Bo, kau ni macam pro betul la. Macam mana boleh pandai macam ni?”

Bo senyum kecil. “Main komputer dari kecik. Ayah aku ajar sikit-sikit dulu.”

“Ooo... patutlah. Kau lain daripada budak lain. Cool je.”

Bo tersenyum lagi. Dalam hati, dia rasa pelik. Jarang orang cakap macam tu pada dia.

Biasanya orang pandang nerd. Kali ni… lain macam.

Lepas siap ajar, Shida diam sekejap.

Kemudian dia pandang Bo.
“Bo…”

“Ha?”

“Sebenarnya aku dah lama suka kau.”

Bo terdiam.

Otak dia kosong.
“Ha? Apa dia?”

“Aku suka kau,” ulang Shida dengan muka separuh senyum.

Bo rasa dada dia berdebar. Ini kali pertama seumur hidup ada orang perempuan confess.

Dia pandang Shida, cuba pastikan dia tak salah dengar.

“Serius ke ni?”

Shida angguk. “Serius la. Aku dah lama perhati kau. Kau lain. Tak macam budak lain yang kuat bising.”

Bo tersenyum, rasa sesuatu yang sukar digambarkan.

Dia tak pernah pun terfikir Shida akan suka dia. Tapi dalam hati… dia rasa macam akhirnya, ada juga orang nampak aku.

Bo pandang bawah meja, malu-malu.
“Err… kalau macam tu, aku pun suka kau juga,” katanya perlahan.

Shida tunduk, tangan tutup mulut, dan tiba-tiba ketawa kuat.

Bo terpinga-pinga.

“Eh, kau kenapa?”

Shida gelak makin kuat sampai air mata keluar. “Hahaha! Bo, kau ni mudah betul percaya! Aku main-main je la weh! Nak tengok kau reaksi je!”

Bo kaku.

“Ha?”

Shida dah bangun, jalan ke arah meja belakang, tempat Duan dan geng dia duduk.

“Duan! Jadi weh! Dia percaya! Dia cakap dia pun suka aku! Hahahaha!”

Seluruh kelas ketawa. Duan siap tepuk meja, ketawa terbahak-bahak.

“Bo, kau ni serius la? Hahah, kesian kau weh. Orang main pun percaya.”

Bo rasa jantung dia macam jatuh ke lantai.

Muka panas. Tangan menggigil.

Dia cuma pandang meja, tak mampu balas sepatah pun.

. . .

Lepas waktu tu, dia terus keluar dari makmal tanpa cakap apa-apa.

Dia jalan ke koridor, pandang langit yang makin mendung.

Dalam kepala, cuma satu ayat berulang-ulang,
Kenapa orang macam aku selalu kena macam ni?

Hari-hari seterusnya, Bo diam.

Tak bercakap banyak. Tak pandang Shida.

Kalau terserempak, dia pura-pura sibuk.

Dan yang paling dia tak sangka, Shida langsung tak nampak rasa bersalah. Masih ketawa dengan kawan-kawan macam tiada apa berlaku.

Duan pula makin menjadi. Kadang-kadang usik depan kelas.

“Bo, ada crush baru tak? Ke dah serik?”

Bo tak jawab. Tapi dalam hati dia janji, aku takkan percaya lagi kata-kata manis perempuan.

. . .

Malam tu, lepas prep, dia duduk sorang di tangga blok Kejora.

Bunyi cengkerik sayup-sayup di padang.

Ray datang duduk sebelah.
“Weh, aku dengar cerita tadi. Kau okay?”

Bo tak jawab.

Ray sambung perlahan. “Biasalah, budak-budak. Diorang tak faham apa yang dorang buat tu sakitkan orang lain.”

Bo senyum nipis. “Takpe la. Aku dah biasa kena.”

Ray pandang dia sekejap, kemudian tepuk bahu. “Tapi satu benda aku tahu, bila kau besar nanti, kau mesti akan jadi orang yang kuat.”

Bo tengok jauh ke padang, lampu asrama perempuan berkelip di kejauhan.

Dia tarik nafas panjang.
“Harap-harap la, Ray. Harap-harap.”


Bersambung... 

(Sambungan novel ini akan diterbitkan pada setiap hari jam 8 malam)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.