Halaman

Ahad, 17 Disember 2017

Penggiat komik pencetus pemikiran dan revolusi

Dalam Perhimpunan Agung UMNO yang minggu lepas, Ketua Puteri Umno dalam ucapan pergulungannya telah mengecam sebuah strip kartun yang diterbitkan dalam sebuah akhbar bahasa Melayu yang dianggapnya menjatuhkan wanita.

"Sedang kami sedang sibuk membahas dengan serius cara untuk memenangi pilihan raya, ada cuitan nakal yang merendahkan martabat wanita."

"Dalam ucapan dasar telah saya mengatakan bahawa Islam, sejak dari awal, telah meletakkan taraf wanita sangat tinggi dan memberi mereka ruang yang besar dalam ketamadunan.

"Bagaimanapun, media kita telah mempersendakan perjuangan Puteri (Umno)," kata Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam ucapan penggulungan beliau di Perhimpunan Agung Umno.



"Bagi saya karikatur itu jelas bertentangan dengan perjuangan Puteri dan wanita, yang selaras dengan intipati Bajet Perdana Menteri untuk memperkasakan wanita.

"Mewakili suara wanita di dalam dan di luar dewan ini, saya mengecam penerbitan karikatur tersebut," katanya.

Sumber berita dari The Star.


Kesan daripada itu, dikhabarkan karya-karya pelukis kartun tersebut iaitu kartunis Maro yang komiknya sering menghiasi akhbar-akhbar arus perdana telah diharamkan oleh pihak KOSMO! seperti yang tertulis dari FB Kelab Kartun Nasional:

Karya kartunis Maro ini telah tersiar di akhbar KOSMO! Dan pada PAU 2017 telah dijadikan bahan oleh YB Ketua Puteri Umno dalam ucapan pergulungannya. Berlaku sedikit silap faham dari segi penerimaan dan pemahaman maksud kartun tersebut.

Bagi golongan kartunis usik mengusik adalah perkara biasa. Tiada maksud yg berniat jahat. Namun bagi pihak Ketua Puteri telah menimbulkan rasa tidak puas hati.

Terkesan dari ketidakpuasan hati tersebut karya-karya kartunis Maro yg sangat berbakat besar itu telah di HARAMkan oleh pihak KOSMO!

Sesuatu yang amat memeranjatkan.
Hanya dengan ucapan sebegitu tindakan SEKASAR itu diambil.

Menunding jari kepada ahli politik saja tidak adil sebab kemungkinannya tindakan ini diambil oleh pihak editor tanpa arahan sesiapa.

Apapun adalah diharapkan pihak editor dan pihak YB Ketua Puteri fikir-fikirkanlah. Dunia kartunis sedang memerhati..

Susulan insiden ini, pemain industri komik tanahair telah melancarkan solidariti untuk kartunis Maro.



Walaupun kartun ini dijadikan bahan dalam PAU 2017, mungkin ia hanya sekadar teguran dan tiada ahli politik yang mengarahkan tindakan keras terhadap kartunis tersebut. Hukuman terhadap kartunis tersebut mungkin atas keputusan majikannya sahaja kerana ia telah dijadikan isu dalam PAU 2017.

Pada pandangan aku, aku melihat kartun itu tidaklah merendahkan kaum wanita pun. Ia hanya sekadar satira jenaka dan cuitan nakal yang biasa dilakukan oleh pengkarya komik terhadap isu-isu semasa, yang mana pada minggu itu berlangsungnya PAU 2017.

Malah pada aku kandungannya bukanlah memperlekehnya Puteri UMNO pun, sebaliknya ia sekadar sindiran tajam terhadap sikap miang sesetengah lelaki yang pergi perhimpunan hanya sekadar nak cuci mata sahaja. Mungkin kandungannya disalah erti menyebabkan Puteri UMNO sentap dan triggered.

Nak kata komik macam tu downgrade dan merendahkan martabat kaum wanita? Kat Internet berlambak lagi komik Malaysia yang merendahkan martabat kaum perempuan malah ke tahap yang sangat lucah, teruk dan hina. Jangan kata Internet, yang diterbitkan kat majalah dan buku secara berleluasa pun ada!

Tapi pernah dijadikan isu dan diambil peduli oleh pihak berkuasa dan ahli politik? Langsung tiada. Komik Maro ini pun dijadikan isu oleh mereka sebab ia tertulis Puteri (UMNO). Buang gambar perempuan dan tulisan Puteri di bawahnya, letaklah gambar makanan ke apa, pasti ia tidak akan dipedulikan pun.



Komik strip Mamak Cyber antara karya popular Maro yang lain.

Ini bukan kali pertama golongan kartunis dilayan seperti ini. Pernah juga beberapa kartunis yang aktif beberapa berkarya di akhbar arus perdana, hanya kerana kandungan komiknya menyentuh isu semasa yang melibatkan kerajaan dan parti yang memerintah secara sinikal, mereka diambil tindakan dan terus diberhentikan, sedang editornya yang meluluskan komik tersebut disiarkan tidak pula dikenakan tindakan yang sama.

Kalau nak diikutkan, kebiasaannya kartunis yang berkarya di akhbar arus perdana terutama akhbar Utusan Malaysia dan KOSMO! ini cenderung kepada pemerintah, malah karya-karya mereka juga banyak yang kandungannya pro kepada kerajaan. Maka tidak wajar jika hanya kerana satu dua karya mereka yang dilihat sinis terhadap mereka, terus dikecam dan dimarahi secara beramai-ramai dalam perhimpunan.

Benda ini boleh dibawa bincang di belakang tabir sebenarnya. Kalau nak tegur, boleh terus hubungi editor akhbar tersebut dan bagi teguras secara sembunyi, tak perlu pun besar-besarkan untuk pengetahuan awam. Ini ibarat kau kecam orang di pihak kau sendiri secara terbuka. Sudahlah kartunis yang pro kerajaan tak ramai, kau hentam pulak dia.

Sepatutnya kerajaan perlu menjaga para penggiat kartun/komik tanah air, kerana mereka banyak pengaruh dan boleh mempengaruhi orang melalui karya kartun/komik, bukan membuat musuh dengan mereka. Kita lihat sahaja hari ini berapa bila ada sahaja isu semasa yang melibatkan kerajaan seperti kenaikan harga minyak dan barang, berapa banyak komik yang terhasil di media sosial yang mengkritik dan mengecam kerajaan, dan berapa banyak pula komik yang mempertahan dan menjelaskan keadaan sebenar?

Hari ini banyak pelukis komik tak berbayar dan tak bergaji yang boleh melukis komik secara rela menghentam dan mengkritik pemerintah, tetapi tak banyak malah hampir tak wujud pelukis komik tak berbayar dan tak bergaji yang sanggup melukis komik semata-mata untuk membela kerajaan.

Ini sudahlah tak ramai pelukis yang pro kerajaan, ini kau cari pasal pula dengan mereka dan mengurangkan lagi sokongan terhadap kau orang.

Bila kau sekat kreativiti penggiat dan pengkarya seni tak kira apa jua cabang seni dari memaparkan realiti dan kritikan sosial, sampai bila-bila lah tahap mutu karya Malaysia di takuk lama, sampai bila-bilalah mentaliti masyarakat terus sakit dan dibuai delusi. Lihat sahaja intipati filem dan drama tempatan, balik-balik cinta, cinta, cinta, komedi, seram, aksi, itu sahajalah yang boleh dibikin.

Pernah tengok filem tempatan yang menyentuh ahli politik? Pernah tengok filem tempatan yang memaparkan pemimpin kerajaan? Pernah tengok drama tempatan yang mengisahkan tentang pegawai kanan kerajaan yang korup? Pernah tengok drama tempatan yang menceritakan tentang kritikan sosial dan masalah tipikal yang diharungi rakyat seperti pinjaman pendidikan, kos sara hidup, kemiskinan dan sebagainya? Baca:
Kreativiti penggiat seni filem dan drama telah dihadkan sekian lama, jangan dihadkan pula kreativiti penggiat komik dalam isu kritikan sosial.

Jangan pandang rendah kuasa kartun dan komik. Hari ini orang lukis satu keping strip komik pun boleh dikongsi beribu-ribu orang di media sosial. Harus diingat para seniman seni lukis ini bila mereka bersatu boleh mencetuskan revolusi politik, lebih-lebih lagi di zaman media sosial ini. Baca je komen-komen penggiat seni lukis di ruangan komen FB ini berapa ramai yang mempertahankan rakan seperjuangan mereka. Bahkan dari dulu lagi komik sudah digunakan dalam mencetus revolusi politik di seluruh dunia melalui kartun editorial atau editorial cartoon.

Maka berkawan dan jagalah kebajikan para pekomik tanah air tempatan ini dan jangan sesekali memusuhi mereka. Bayangkan kalau kerajaan berhubungan baik dengan para kartunis tempatan, berapa banyak illustrasi, komik dan kartun yang menyokong kerajaan dihasilkan secara ikhlas untuk dikongsikan ramai orang di media sosial, sekaligus menambah sokongan rakyat terhadap mereka?

Penggiat seni lukis ini bukan pekerja kelas bawahan. Mereka adalah pembentuk mentaliti dan minda masyarakat. Mereka adalah pencetus revolusi!


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.





tags: pelukis komik kartun kartunis maro puteri umno sentap kecam kosmo henti

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.