Halaman

Khamis, 10 Mei 2018

Bagaimana Pakatan Harapan akhirnya menang PRU14?

Pilihan Raya Umum ke-14 yang berlangsung semalam menyaksikan sebuah sejarah baru tercipta, sebuah peristiwa yang belum pernah negara kita lalui lagi, iaitu jatuhnya parti yang telah memerintah negara Malaysia selama 60 tahun sejak merdeka iaitu Barisan Nasional (dulunya Parti Perikatan), dan buat pertama kalinya ia dimenangi oleh parti yang selama ini menjadi pembangkang iaitu gabungan PKR, DAP, PAN, PPBM, WARISAN dan lain-lain yang membentuk Pakatan Harapn.

Syabas dan Tahniah buat Pakatan Harapan!


Pakatan Harapan meraih majoriti mudah di Parlimen untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baharu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah ketika mengumumkan keputusan kerusi Parlimen bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berkata, pakatan itu yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, PKR, DAP dan Parti Amanah Negara meraih 113 kerusi diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 79 kerusi.

Mohd Hashim berkata, PAS pula menang 18 kerusi Parlimen, diikuti Parti Warisan Sabah (8); Parti Solidariti Tanah Airku (1) dan Bebas (3).

Pengumuman penuh bagi kerusi Parlimen itu adalah siri akhir sidang media keputusan rasmi PRU-14 di Bilik Sidang Media, Menara SPR, Presint 2, pada kira-kira jam 4.40 pagi tadi.

MOHD Hashim (kanan) pada sidang media pengumuman keputusan penuh PRU-14 di Putrajaya, pagi ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Sebanyak 222 kerusi Parlimen dipertandingkan pada PRU14.

Keratan berita dari Berita Harian.

Sumber Astro Awani.

Keputusan PRU14 ini menyaksikan iklim politik Malaysia sudah pun berubah, dan majoriti rakyat sudah berani untuk membuat perubahan. Ia juga merupakan titik tolak ke arah politik yang lebih matang di Malaysia.

Sejak blog Buasir Otak ini wujud pada tahun 2011, aku sudah lama berjuang mahukan suatu perubahan dengan menulis banyak artikel tentang politik. PRU ke-13 adalah pilihan raya pertama aku turut serta mengundi, dan turun mengundi buat kali kedua dalam hidup aku pada PRU ke-14 semalam.

Sejujurnya aku rasa sangat beruntung dan bertuah dapat turut serta mengambil bahagian dalam peristiwa sejarah ini. Malah aku sanggup menunggu sehingga jam 4 pagi tadi semata-mata nak dengar pengumuman rasmi daripada SPR yang aku kira tempoh paling lama dalam sejarah yang diambil SPR untuk membuat pengumuman rasmi.

Aku tak faham mengapa SPR kelihatan seperti sedih, terpaksa dan berat hati ketika membuat pengumuman. Ya, memang kita semua terkejut dengan keputusan yang tidak dijangka ini, tetapi SPR seharusnya neutral dan tidak boleh menunjukkan sebarang emosi sama ada gembira atau sedih ketika mengumumkan keputusan.

Mengambil contoh seorang pengadil perlawanan bola sepak, walaupun dia mungkin ada kecenderungan menyokong sebelah pihak, tetapi ketika menjadi pengadil dia perlu bersikap profesional, adil dan neutral, serta tidak boleh menunjukkan sebarang emosi seperti gembira ketika pasukan kegemarannya menang atau sedih ketika pasukan kegemarannya kalah. Aku harap SPR akan turut sama ditransformasikan selepas ini.

Selepas ini aku jangkakan banyak perkara akan berubah. Antara lain yang menjadi tumpuan adalah kebebasan media dan suara. Aku harap media arus perdana akan bebas membuat ulasan dan kritikan secara adil sama ada terhadap kerajaan mahupun pembangkang termasuk TV3, Utusan Malaysia dan sebagainya yang dahulunya sangat pro kepada kerajaan BN.

Maka apa sebenarnya faktor yang membuatkan BN boleh kalah dan PH boleh menang di peringkat persekutuan, walaupun sebelum ini aku menjangkakan yang BN akan menang lagi kerana undi kepada pihak pembangkang ketika itu telah berpecah dua kepada PH dan GS (PAS)?

Berikut adalah analisa 3 faktor yang menyumbang kepada keputusan ini:

1. Faktor Najib

Suka atau tidak, hakikatnya DS Najib telah pun menjadi liabiliti terbesar dalam BN terutama sejak kes 1MDB dan derma RM2.6 billion ke dalam akaun peribadinya. Sepatutnya Najib harus sedar yang pencapaiannya semakin buruk ketika PRU13. Andai Najib letak jawatan ketika itu, aku yakin BN masih boleh terus kekal menjadi kerajaan sehingga hari ini kerana Tun Mahathir pun takkan keluar UMNO.

Sejarah BN dah membuktikan imej parti hanya dapat dipulihkan apabila pengerusi parti bertukar tangan. Dulu ketika tercetusnya reformasi pada tahun 1998, PRU10 pada tahun 1999 menyaksikan penurunan sokongan rakyat terhadap BN, maka Tun Mahathir meletak jawatan kerana mungkin merasakan dia sudah menjadi liabiliti kepada parti lalu memberi laluan kepada Tun Abdullah Badawi untuk mengetuai PRU11 pada tahun 2004.

Hasilnya sokongan kepada BN kembali bertambah kerana rakyat dah move on dari cerita Tun Mahathir. Namun disebabkan skandal Pak Lah pada ketika dia memerintah berkaitan menantunya dan projek budak tingkat 4, sokongan kepada BN kembali menurun pada PRU12 pada tahun 2008. Oleh kerana Pak Lah ketika itu sudah menjadi liabiliti kepada parti, tampuk pemerintahan diberikan kepada DS Najib. Lalu orang pun mula melupakan kisah Pak Lah dan move on dengan buku yang baru.

Malangnya imej DS Najib sudah pun banyak tercalar dengan pelbagai kontroversi seperti imej isterinya yang dilihat agak mewah dan seolah-olah banyak mencampuri urusan kerajaan, ditambah lagi dengan kontroversi 1MDB dan RM2.6 billion, sepatutnya BN sudah sedar yang Najib sudah pun menjadi liabiliti sehingga menyebabkan penurunan sokongan pada PRU13 serta keluarnya tokoh-tokoh utama UMNO seperti Tun Mahathir, namun masih terus memberikan sokongan kepadanya malah Najib masih tidak mahu mengundurkan diri. Hasilnya seperti yang diterjemahkan dalam peti undi semalam.

Tidak dinafikan dalam BN juga ada orang yang bagus-bagus dan disayangi ramai seperti Khairy Jamaluddin, MB Negeri Sembilan Tok Mat, Menteri MITI Tok Pa dan lain-lain lagi. Malah tak dinafikan juga di bawah pemerintahan Najib ada juga dasar dan jasa yang baik kepada rakyat seperti 1Malaysia, BR1M, UTC, RTC dan lain-lain.

Namun rakyat tidak punya pilihan kerana reputasi buruk Najib lebih teruk berbanding jasanya, malah mereka tidak boleh menukar sekadar PM sahaja tanpa menukar parti, maka akhirnya orang lain terpaksa dikorban dan dihukum sekali. Kalau dari awal Najib dan BN sedar lalu menggantikan presiden parti dengan orang lain, mungkin BN masih ada peluang dalam PRU14, namun nasi telah pun menjadi bubur.

2. Faktor Mahathir

Pengaruh Tun Mahathir menjadi turut menjadi faktor penting dalam peristiwa bersejarah ini. BN sangat yakin tanpa Tun Mahathir pun orang Melayu pasti akan memberi sokongan kepada mereka. Malah mereka yakin Tun Mahathir tidak mampu untuk menyebabkanTsunami Melayu, seperti mana DAP sudah pun menyebabkan Tsunami Cina pada PRU yang lepas, kerana alasannya Mahathir sudah terlalu tua dan banyak juga skandal pada zaman pemerintahannya dahulu.

Namun mereka silap. Pengundi hari ini bukanlah seperti pengundi 10 atau 20 tahun yang lalu. Ramai orang yang zaman kanak-kanaknya membesar di zaman Tun Mahathir, sudah pun layak mengundi pada hari ini. Ramai yang masih merasa nostalgik, rindu dan sayang pada Mahathir.

Sekiranya Tun Mahathir hanya tidak memberi sokongan kepada Najib tapi masih lagi berada dalam BN, aku percaya BN masih ada harapan lagi. Namun kalau Tun Mahathir sudah pun menjadi lawan, mereka memang telah silap percaturan.

Dalam ramai-ramai tokoh politik Malaysia di zaman moden ini, bagi aku ada 2 tokoh sahaja yang betul-betul mempunyai ramai pengikut dan ramai orang sayang, iaitu arwah Tok Guru Nik Aziz dan juga Tun Mahathir. Maka kalau Najib rasa dia boleh lawan pengaruh Mahathir, dia silap.

Kalau ada satu orang yang betul-betul boleh terbalikkan undi majoriti orang Melayu terutama orang yang sangat setia dengan UMNO, Mahathir lah satu-satunya orang itu. DS Anwar atau Tok Guru Haji Hadi pun tak mampu menggerakkan Tsunami Melayu. Mahathir PM yang paling lama memerintah, Mahathir jugaklah yang menubuhkan UMNO baru ketika Krisis Perlembagaan Malaysia pada tahun 1988. Maka boleh bayangkan sokongan orang Melayu pada dia macam mana?

3. Angin Perubahan

Faktor ketiga adalah angin perubahan. Ya, ramai orang sudah mahukan perubahan. Ramai orang sudah muak dengan politik kepartian. Muak dengan politik perkauman. Muak menonton saluran berita yang berat sebelah. Muak dengan akhbar yang tidak ada kebebasan bersuara. Muak dengan muka-muka yang sama dalam pentadbiran kerajaan. Muak dengan pelbagai alasan dan kenyataan bodoh menteri. Muak dengan segala skandal dan kontroversi yang tidak ada jawapan.

Justeru rakyat lantas menghukum BN dalam PRU14 ini demi suatu perubahan. Aku percaya bukan semua orang yang memilih PH atau PAS itu suka pada parti itu, aku yakin ada je orang yang masih sokong BN tetapi undi sebaliknya, tetapi mereka mengundi semata-mata mahukan perubahan dengan menolak BN.

Yalah nak tukar Presiden parti UMNO tak boleh sebab hanya ahli UMNO yang boleh pilih, itupun jawatan presiden mesti takde orang nak bertanding. Nak tukar PM pun tak boleh sebab sistem pilihan raya kita bukan macam negara US, melainkan kalau pengundi Pekan tidak undi Najib yang mana sangat mustahil. Maka apa cara yang rakyat boleh buat, adalah tukarkan parti pemerintah terus. Itu yang negeri Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Kedah, Terengganu dan siapa sangka, Malaysia, boleh jatuh kepada parti bukan BN.

Cuma kita boleh tengok pola perubahan ini agak berbeza di pantai timur dan pantai barat. Kedua-duanya mahukan perubahan, kedua-duanya pun menolak BN, cuma di pantai timur, mereka lebih cenderung memilih PAS berbanding PH, manakala di pantai barat mereka lebih cenderung pilih PH berbanding PAS. Ini adalah disebabkan pelbagai faktor seperti pola masyarakat, mentaliti, kepercayaan, idealogi, sejarah dan sebagainya.

Aku harap walaupun negeri Kelantan dan Terengganu diperintah parti pembangkang PAS, manakala Perlis, Pahang, Sabah dan Sarawak di perintah parti pembangkang BN, kerajaan persekutuan PH dapat menjalankan pemerintahan yang adil dan telus kepada semua. Jangan buat lagi perangai BN lama sekat itu ini dan buruk-burukkan negeri pembangkang. Jangan ada menyimpan dendam dan dengki lagi, sama-sama kita bangun dan hebatkan negara kita. Kalau PH pun buat perangai yang sama atau lebih teruk lepas dapat kuasa, jangan pelik kalau rakyat tukarkan mereka jadi pembangkang balik. Rakyat dah cerdik dan matang dalam politik.


Dengan kemenangan PH ini juga, aku harap penyokong parti lawan yang kalah dapat menerima dengan hati yang terbuka. Dan sekali lagi, aku meminta anda semua tak kira sama ada anda penyokong BN, PKR, DAP, PPBM, PAN, PAS, WARISAN dan sebagainya, untuk bookmark atau simpan Manifesto PH PRU-14 berikut untuk kita semua pantau dan tuntut semua janji-janji manis ini.
Jangan kerana anda penyokong PH anda buat senyap pulak kalau pemimpin yang korang pilih ni tak laksanakan janji pilihan raya mereka. Jangan asyik diperbodohkan je, TUNTUT!

Juga dengan berubahnya kerajaan pada hari ini, semoga mentaliti, sikap, adab dan akhlak kita juga turut berubah menjadi lebih baik dari dulu. Tidak guna kalau kerajaan tukar tapi perangai kita masih lagi di takuk lama, saling benci membenci, dengki mendengki, suka bergaduh dan bercakaran, saling jatuh menjatuh, bersikap pentingkan diri dan ignorance dan sebagainya.

Akhir kata, semoga ada sinar baru untuk Malaysia yang baru, dan semoga Allah merahmati kita semua.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.





tags: keputusan pilihanraya pilihan raya umum ke 14 pru14 pru-14 ge14 ge-14 result election malaysia menang kalah winner loser kerusi parlimen dun negeri live update kemaskini terkini 

6 ulasan:

  1. Lama xsinggah BO..noob masih mampu menulis dengan baik..moga semuanya akan menjadi lebih baik..

    BalasPadam
  2. ������

    BalasPadam
    Balasan
    1. Panjang sgt entry kali nii noob..ingat nk copypaste tapii tk muat plk..umno tk biasa klh sebab tuu suasananya lain mvm sikit..apapun rakyat dh buat pilihan dn semua pihak harus trima..lps nii tv dn akhbar akn bebas dari cengkaman politik..hanya astro awani jerr yg berani meraikan perbezaan pendapat..yg lain masih lagii takut2 seperti tv3..heran juga parti lebai mlg boleh mng..puak yg hanya tahu tambah bini saja..berat betul mata nii noob..dkt seminggu kurang tidoq politik punya pasal..kahkahkah..πŸŒ·πŸŒ·πŸŒΊπŸπŸ€πŸŒΉπŸŒΈπŸŒ»πŸŒΌπŸŒ·πŸŒΎπŸŒΏ

      Padam
  3. Lama x komen kat sini....start menyampah nak komen sbb asyik2 komen bodoh nak bisjut dan lain2 yg sama taraf.

    Secara umum pandangan sy x jauh beza dgn Noob..faktor Najib (1MDB dan GST) serta pengaruh Mahathir yg memberi undi Melayu kpd PH

    Tp sy yakin setiap yg berlaku ada hikmahnya....utk PH utk maintain stay lama as Gov byk bergantung dgn manifesto 100 hari serta kekuatan PH yg mempunyai 4 parti berbeza kepala. Mesej utama PRU14 adalah there is no such thing a Gov will last forever, rakyat mampu menukar gov walaupun mereka lama memerintah dan byk berjasa pada negara...mcm konsep anjakan paradigma. Jika anda tidak berubah, nanti anda akan diubah dan disingkirkan di dalam dunia yg serba kompetetif.

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.