Dua bulan berlalu macam angin.
Cepat, senyap, tapi ada meninggalkan kesan yang Bo sendiri tak sangka.
Hari-hari terasa lebih ringan sejak Farah muncul dalam hidupnya.
Dari sekadar kenal dalam forum pertandingan, kini mereka jadi kawan yang hampir setiap malam bermain game bersama, kadang sampai lupa waktu, kadang sampai tertidur depan skrin.
Bo sendiri tak sedar bila perasaan itu mula berubah.
Mula-mula cuma rasa selesa, kemudian rindu kalau tak dengar suara Farah sehari.
Dan lama-lama, dia tahu… dia dah jatuh hati.
. . .
Satu malam, Bo dan Amir tengah makan maggi di dapur rumah sewa mereka.
Bo termenung sambil kacau maggi sampai airnya sejuk.
Amir perasan. “Weh, kau ni kenapa termenung? Maggi tu dah jadi bubur dah.”
Bo tersentak, ketawa kecil. “Kau rasa... patut ke aku luahkan perasaan dekat orang yang aku suka?”
Amir pandang dia lama. “Soalan cliché. Tapi jawapan aku pun sama macam dulu, kalau kau terus simpan, kau akan menyesal.”
Bo gelak. “Kau ni memang dah macam pakar cinta sejak couple dengan Amirah.”
Amir sengih bangga. “Eh, aku dah naik pangkat jadi relationship consultant sekarang. Fee aku teh ais satu.”
Bo tergelak kecil, tapi dalam hati dia tahu, kali ini dia serius.
Dia tak nak ulang kesilapan sama macam dulu, masa Aila.
Kali ni dia nak cuba dengan cara yang lebih matang, lebih berani.
. . .
Keesokan petang, Bo hantar mesej pada Farah.
Bo: “Farah, malam ni free tak?”
Farah: “Kot ye pun tanya terus terang, bagi la sebab dulu haha.”
Bo: “Nak jumpa kejap, dekat bawah KTR. Aku belanja air kotak coklat kau tu.”
Farah: “Haha, aku tahu dah kau nak mintak aku jadi rakan duo lagi kan?”
Bo: “Bukan kali ni. Aku nak sembang sikit. Serius.”
Farah sempat reply:
“Serius? Hmm ok, 8.30 aku turun. Tapi jangan buat muka sedih macam nak confess kat orang tau haha.”
Bo senyum kecil sambil baca mesej tu.
Dalam hati dia berbisik, “Kalau dia tahu apa aku nak cakap nanti, mesti dia gelak dulu.”
. . .
Malam itu, angin kampus lembut.
Langit cerah, ada bintang sedikit.
Bo tunggu di bawah pokok besar depan Kolej Tun Razak (KTR), tempat yang selalu jadi port pelajar perempuan keluar beli makanan atau tunggu Grab.
Dia pegang dua air kotak coklat, macam simbol kecil yang hanya mereka berdua faham.
Beberapa minit kemudian, Farah turun.
Dia pakai hoodie kelabu, tudung hitam, dan spek yang sedikit berwap sebab baru keluar dari bilik berhawa dingin.
“Lama kau tunggu?” tanya Farah sambil ambil air kotak.
“Tak lama. Aku baru sampai,” bohong Bo, walaupun dah menunggu hampir 20 minit.
Mula-mula mereka sembang biasa.
Pasal kelas, pasal game, pasal lecturer yang pelik-pelik.
Farah ketawa macam biasa, tapi Bo nampak tangannya sedikit bergetar.
Dia tahu dia takkan boleh sembunyi lama.
Suasana tiba-tiba senyap sekejap bila Bo berhenti bercakap.
Farah pandang dia pelik.
“Weh, kau kenapa lain macam je malam ni? Tiba-tiba nak menjiwang pulak?” gurau Farah sambil ketawa kecil.
Bo senyum nipis. “Aku... memang nak menjiwang sikit malam ni.”
Farah tergelak. “Okay, scary. Bo yang aku kenal takkan start ayat macam tu.”
Bo tunduk sekejap, kemudian angkat muka.
Matanya tenang, tapi penuh makna.
“Farah... aku suka kau.”
Kata-kata itu keluar perlahan, tapi jelas.
Farah terdiam.
Angin malam meniup lembut, tapi waktu seolah berhenti seketika.
Dia pandang Bo lama, kemudian tunduk.
“Bo... aku tak sangka kau akan cakap benda ni.”
Bo cuba senyum. “Aku tahu. Tapi aku dah tak nak simpan. Aku betul-betul suka kau, bukan sebab game, bukan sebab kita selalu borak. Tapi sebab aku rasa kau lain. Kau bagi aku rasa tenang, dan... aku nak kau tahu tu.”
Farah masih diam. Dia renung air kotak di tangan, jari menggigit straw.
“Bo, aku... aku, kan aku dah bagitau kau sebelum ni, yang aku sebenarnya tak boleh couple,” katanya perlahan.
“Mak ayah aku strict. Diorang tak bagi aku ada hubungan macam tu masa belajar.”
Bo tenang. Dia dah agak jawapan tu. Tapi kali ni dia tak nak menyerah, takkan putus asa.
“Takpe,” jawab Bo perlahan. “Aku sanggup tunggu. Lepas habis belajar, lepas dapat kerja, aku akan jumpa mak ayah kau sendiri.”
Farah pandang dia, wajah Bo nampak jujur, terlalu jujur sampai dia sendiri rasa bersalah.
Dia tarik nafas panjang.
“Bo… aku kena beritahu hal sebenar.”
Suara dia berubah perlahan tapi tegas.
Bo tunduk sedikit, menunggu.
Farah teruskan, “Sebenarnya... aku dah ada boyfriend.”
Bo tersentak.
Matanya kosong seketika, seolah otaknya cuba hadam ayat tu.
Farah sambung dengan nada perlahan, “Dia budak sekolah aku dulu. SMAP Kajang juga. Tapi dia sekarang belajar kat Uniten. Kami jarang jumpa, cuma bila cuti semester je. Jadi... bila aku kat sini, aku rasa sunyi. Sebab tu aku cari kawan lelaki. Tapi tak ramai yang nak berkawan bila tahu aku dah ada boyfriend. Jadi... aku guna alasan mak ayah aku strict tu.”
Bo masih senyap.
Dia tak tahu nak marah, nak kecewa, atau nak ketawa.
Farah tunduk, tak berani pandang wajahnya.
“Maafkan aku, Bo. Aku tak sangka kau akan ambil serius macam ni. Tapi aku... aku memang selesa dengan kau. Aku harap kita masih boleh kawan.”
Bo pandang tanah, jari jemarinya menggenggam straw yang sudah penyek.
Hatinya rasa macam baru dipijak, bukan kuat, tapi cukup untuk buat dia hilang arah.
Dia cuba senyum, tapi senyum itu tawar.
“Takpe, Farah. Aku faham. Aku yang silap baca. Aku yang cepat perasan.”
“Bukan macam tu,” Farah cuba jelaskan.
Bo potong perlahan, “Takpe. Aku okay. Aku cuma perlukan masa sikit.”
Dia bangun perlahan, letak air kotak yang belum habis di tepi bangku.
“Aku balik dulu. Thanks sebab jujur, walaupun lambat.”
Farah pandang Bo pergi, tapi tak bersuara.
Dia tahu, mungkin kali ini, dia dah kehilangan sesuatu yang sebenar, bukan sekadar kawan game, tapi seseorang yang betul-betul ikhlas.
. . .
Beberapa hari selepas itu, Bo lebih banyak diam.
Amir perasan perubahan tu.
“Weh, kau gaduh dengan Farah ke? Tak nampak kau main game dah,” tanya Amir sambil duduk depan TV.
Bo hanya balas perlahan, “Tak gaduh. Cuma dah habis game.”
Amir pandang pelik. “Habislah, maksud kau dah habis apa?”
Bo senyum nipis. “Habislah semua, chat, call, rasa.”
Amir ketawa kecil, cuba menceriakan suasana. “Kau ni kan Bo... kalau hidup ni game, aku rasa kau main story mode paling susah.”
Bo balas dengan lirih, “Tapi aku takkan restart. Aku cuma tukar misi.”
. . .
Sejak malam itu, Bo jarang buka Mobile Legends.
Kalau buka pun, cuma main sekejap.
Kadang Farah mesej, “Weh, jom rank.” Tapi Bo tak jawab.
Sesekali, mereka jumpa dalam match, sama team, tapi tak ada satu pun mesej di chat.
Masing-masing bermain seperti dua orang asing yang cuma kenal melalui nickname.
Dan bila game tamat, nama Farah hanya muncul sekejap di skrin “Victory”,
sebelum hilang, sama seperti kehadirannya dalam hidup Bo.
. . .
Minggu-minggu berikutnya, Bo mula sibuk dengan tugasan projek besar.
Amir dan Amirah masih keluar seperti biasa.
Kadang Amir ajak Bo makan luar, tapi Bo selalu tolak.
Dia lebih suka duduk di bilik, pasang lagu “Orange” dari Your Lie in April,
dan pandang skrin laptop kosong.
Dalam kepala, cuma satu soalan,
“Kenapa setiap kali aku rasa dah bersedia, dunia macam sengaja tarik balik semua rasa tu?”
Tapi kali ni, dia tak menangis.
Dia cuma letih.
Letih kerana sekali lagi, dia percaya pada sesuatu yang tak pernah pasti.
. . .
Beberapa minggu kemudian, Farah masih cuba hubungi dia sekali-sekala.
“Bo, kau okay?”
“Bo, aku rindu main dengan kau.”
Tapi Bo cuma baca tanpa balas.
Dia tahu, kalau dia jawab, dia akan jatuh dalam lingkaran yang sama semula.
Dia tak sanggup.
Lama-lama, mesej itu berhenti datang.
Dan nama Farah kekal diam di senarai friends list dalam Mobile Legends,
tak pernah dibuang, tapi tak pernah disentuh lagi.
. . .
Malam itu, Amir masuk bilik dan nampak Bo tengah termenung depan skrin komputer.
Amir bersandar di pintu. “Weh, kau okay tak?”
Bo senyum kecil. “Aku okay. Cuma... kadang aku pelik. Kenapa bila aku suka orang, mesti ending dia sama?”
Amir senyum simpati. “Sebab kau suka orang betul-betul. Tapi orang lain cuma suka separuh jalan.”
Bo pandang skrin, kelihatan nama FarahFPEND masih online dalam senarai kawan.
Dia senyum pahit. “Kali ni pun sama. Aku sangka teammate, rupanya cuma temporary player.”
Amir duduk sebelah, tepuk bahunya. “Takpe Bo, mungkin jodoh kau tengah load lama sikit. Server delay.”
Bo ketawa kecil, suara bercampur getir. “Harap-harap bukan error 404.”
. . .
Dan malam itu, bila Bo matikan komputer dan baring, dia pandang siling seperti selalu.
Ada rasa hampa, tapi juga sedikit lega.
Dia tahu, cinta bukan sekadar tentang siapa yang datang,
tapi siapa yang benar-benar tinggal.
Dan kali ini, walaupun dia sekali lagi gagal,
dia tahu, dia dah belajar untuk tidak membenci kegagalan itu.
Kerana akhirnya dia faham,
bahawa tidak semua orang yang kita sayang perlu menjadi milik kita.
Sebahagian hanya datang
untuk mengingatkan bahawa hati ini masih hidup.
(Sambungan novel ini akan diterbitkan pada setiap hari jam 8 malam)
- Bab 1 - Si Genius
- Bab 2 - Tugasan Berkumpulan
- Bab 3 - Hari Pembentangan
- Bab 4 - Cinta Pertama
- Bab 5 - Jejaka Perasan
- Bab 6 - Adik Angkat
- Bab 7 - Kena Main
- Bab 8 - Kesedihan Berganda
- Bab 9 - Dewi Pelajaran
- Bab 10 - Budak Pengakap
- Bab 11 - Yang Terakhir
- Bab 12 - Selepas SPM
- Bab 13 - Masih Sama
- Bab 14 - Luahan Hati
- Bab 15 - Gagal dan Gagal
- Bab 16 - Gadis Gamer
- Bab 17 - Kawan Sahaja
- Bab 18 - Kirim Salam
- Bab 19 - Mesej Tak Disangka
- Bab 20 - Peluang Kedua
- Bab 21 - Dan Akhirnya
- Bab 22 (Epilog) - Majlis Konvokesyen

Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.
* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.