Tingkatan 4 hampir berakhir.
Udara hujung tahun di SEMESTA terasa berbeza, bau tanah merah selepas hujan, bunyi cengkerik yang semakin kuat, dan tekanan halus daripada guru-guru yang semakin kerap mengingatkan,
“Kalau kamu gagal kali ni, tahun depan kamu susah nak kejar.”
Pelajar-pelajar lain mula fokus, begitu juga Bo.
Setiap malam, dia rajin stayback di bilik study hingga lewat malam, kadang sampai jam satu, kadang dua pagi.
Lampu kalimantang berkelip samar, kipas berpusing malas, tapi dia terus menulis dan mengira. Kadang-kadang Ray menemaninya, tapi selalunya Ray akan tertidur lebih awal dengan buku terbuka di dada.
Pernah satu malam, Bo tertidur atas meja.
Apabila dia terjaga, jam sudah menunjukkan pukul tiga pagi.
Sunyi. Gelap.
Semua meja kosong.
Hatinya mula berdebar.
Sekolah itu memang terkenal dengan cerita-cerita “keras”, kubur askar Jepun, bunyi guli di koridor, pelajar kena rasuk waktu prep.
Dia panggil perlahan, “Ray?”
Tiada jawapan.
Bo cepat-cepat simpan buku dan kunci pintu bilik study. Sepanjang perjalanan pulang ke asrama, dia membaca apa sahaja ayat yang terlintas di kepala.
Dari jauh, bunyi anjing menyalak. Masa tu kalau hantu keluar pun, Bo takkan lari sebab lututnya dah lembik. Malam itu dia tak terus tidur, sekadar baring sambil mata memandang siling, masih terbayang bayang suasana sepi bilik study itu.
. . .
Balik kepada cerita asal.
Dalam kelas, ada seorang pelajar perempuan yang semua orang kenal, bukan kerana kecantikannya, tetapi kerana kepintarannya.
Namanya Elina.
Dia gadis yang tenang dan pendiam, bertudung labuh, bercermin mata bulat, wajahnya redup dan lembut bila berbicara.
Sejak tingkatan satu lagi dia terkenal sebagai pelajar cemerlang.
Nombor satu dan dua seolah-olah miliknya setiap kali keputusan peperiksaan keluar.
Guru-guru memanggilnya contoh teladan, pelajar-pelajar pula menjulukinya dengan gelaran “Dewi Pelajaran.”
Bo pula tidaklah sepandai itu.
Matematik biasa dia boleh faham, tetapi Matematik Tambahan ibarat mimpi ngeri.
Simbol dan persamaan kompleks membuatkan dia rasa otaknya beku.
Satu petang, dia memberanikan diri menegur Elina.
“Elina, boleh tolong ajarkan saya soalan Add Math ni?”
Elina yang sedang menulis di mejanya menoleh, kemudian mengangguk kecil.
“Soalan mana?”
Bo tunjuk helaian kertasnya. Elina meneliti, kemudian dengan tenang menulis semula jalan kerja di buku contengnya.
“Bahagian ni kamu tersalah tanda. Cuba tukar sini, nanti jawapan dia akan dapat,” katanya lembut.
Bo terangguk-angguk. “Oh, ya ke… saya tak perasan pun.”
Elina tersenyum nipis. “Biasalah. Add Math ni kalau silap satu tanda, semua boleh lari.”
Sejak hari itu, Bo kerap bertanya soalan padanya.
Mula-mula kerana mahu belajar, tapi lama-kelamaan dia sekadar mahu berbual.
. . .
Elina berbeza daripada perempuan yang pernah Bo kenal.
Dia tak seperti Hani yang banyak ketawa, tak seperti Shida yang kasar, dan tak seperti Murni yang penuh semangat dan ceria.
Elina lembut, tenang, dan berjarak, tapi kehadirannya selalu menenangkan.
Bila dia bercakap, Bo rasa dunia seolah-olah bergerak lebih perlahan.
Walaupun hatinya mula terpaut, Bo tahu batasnya.
Elina bukan jenis yang akan layan hal jiwang remaja.
Dia pelajar contoh, yang hidupnya berputar antara buku, surah hafazan, dan nota Matematik.
Namun setiap kali dia menunduk menulis, Bo tetap mencuri pandang.
Dia sendiri tidak tahu mengapa.
. . .
Suatu malam, kejadian memalukan berlaku, berpunca daripada Duan dan idea bodohnya.
Semasa prep malam, semua pelajar sedang ulang kaji dengan serius.
Tiba-tiba Duan berdiri dan bersuara lantang,
“Weh semua, kita dah stress gila ni. Aku ada idea nak hilangkan tension!”
Bo yang duduk di belakang hanya menjeling malas. “Kalau idea kau, mesti merepek.”
Duan ketawa. “Eh tak, kali ni betul-betul lawak.”
Dia pandang semua pelajar lelaki.
“Kita keluar kelas, lepas tu beratur kat belakang koridor. Masuk balik kelas sambil buat gaya tarian Mesir Purba. Jalan macam gaya Firaun! Confirm semua orang gelak!”
Suasana mula riuh. Beberapa pelajar lelaki bersorak kecil.
Bo menggeleng. “Aku tak nak join. Gila ke apa.”
Duan menjeling sinis. “Ala, kau ni pengecut ke? Sekali je la. Kau depan, kami ikut belakang.”
Akhirnya Bo kalah dengan desakan ramai. “Okay la, sekali ni je.”
. . .
Beberapa minit kemudian, mereka keluar kelas.
Bo berdiri paling depan. Duan dan kawan-kawannya konon beratur di belakang.
“Ready?” tanya Bo.
“Ready!” jawab Duan sambil tahan gelak.
Bo pun mula berjalan masuk ke kelas semula, gaya tangan tegak seperti patung Mesir. Muka serius, langkah perlahan.
Tapi baru dua langkah, dia perasan sesuatu pelik, tiada bunyi langkah di belakangnya.
Dia berpaling. Kosong.
Hanya kedengaran ketawa bergema dari koridor.
Dari dalam kelas, pelajar-pelajar mula menoleh.
Ada yang menutup mulut menahan tawa, ada yang terus ketawa berdekah-dekah.
Bo terpaku.
Dan di antara semua wajah itu, matanya tertancap pada satu wajah, Elina.
Elina tidak ketawa besar, cuma tersenyum kecil sambil menunduk.
Tapi bagi Bo, senyuman itu sudah cukup untuk membakar seluruh muka.
Dia cepat-cepat tunduk dan keluar kelas, meninggalkan semua yang masih ketawa.
Dari belakang, suara Duan bergema,
“Hahaha! Firaun sorang je yang masuk, hamba-hamba semua lari!”
Bo terus berjalan laju ke asrama tanpa menoleh.
Hatinya bergetar antara marah, malu dan kecewa.
Malam itu dia langsung tidak bercakap dengan sesiapa.
. . .
Di dorm, Ray sempat menegur.
“Weh, kenapa muka kau macam kena tampar?”
Bo hanya menjawab pendek, “Tak ada apa.”
“Duan kenakan kau lagi ke?”
Bo senyum hambar. “Lebih kurang la.”
Ray ketawa kecil. “Sabar la. Dunia ni memang penuh orang suka buat lawak bodoh. Tapi jangan sampai diorang buat kau rasa bodoh juga.”
Bo tak menjawab.
Dia hanya termenung. Dalam hati, bukan marah yang membuak, tapi rasa malu, malu kerana dipermainkan depan orang yang dia sukai.
. . .
Selepas malam itu, Bo tidak lagi menegur Elina.
Kalau Elina lalu depan kelas, dia tunduk.
Kalau cikgu suruh buat kumpulan, dia pilih meja lain.
Dia bukan membenci, tapi segan.
Beberapa minggu kemudian, keputusan peperiksaan akhir tahun keluar.
Seperti biasa, nama Elina berada di tangga teratas, nombor satu lagi.
Bo pula di kedudukan ke-sepuluh.
Bagi dia, itu sudah cukup baik.
Petang itu dia duduk di tangga asrama bersama Ray.
Ray bawa dua keping roti Gardenia.
“Weh, kau tahu tak? Elina nombor satu lagi.”
Bo mengangguk perlahan. “Aku tahu.”
“Dan kau nombor sepuluh. Boleh tahan jugak la tu.”
Bo senyum kecil. “Kalah dalam cinta, menang sikit dalam markah pun jadilah.”
Ray ketawa. “Ha, bagus. Sekurang-kurangnya jatuh pun ada guna.”
Mereka berdua diam sejenak.
Angin petang bertiup lembut membawa bau padang dan bunyi cengkerik dari jauh.
Dalam hati Bo terlintas,
Entah berapa kali lagi aku akan jatuh suka pada orang yang takkan pandang aku.
Tapi kali ini, dia tidak terlalu sedih.
Dia tahu, sedikit demi sedikit, dunia sedang mengajarnya untuk kuat.
(Sambungan novel ini akan diterbitkan pada setiap hari jam 8 malam)
- Bab 1 - Si Genius
- Bab 2 - Tugasan Berkumpulan
- Bab 3 - Hari Pembentangan
- Bab 4 - Cinta Pertama
- Bab 5 - Jejaka Perasan
- Bab 6 - Adik Angkat
- Bab 7 - Kena Main
- Bab 8 - Kesedihan Berganda
- Bab 9 - Dewi Pelajaran
- Bab 10 - Budak Pengakap
- Bab 11 - Yang Terakhir
- Bab 12 - Selepas SPM
- Bab 13 - Masih Sama
- Bab 14 - Luahan Hati
- Bab 15 - Gagal dan Gagal
- Bab 16 - Gadis Gamer
- Bab 17 - Kawan Sahaja
- Bab 18 - Kirim Salam
- Bab 19 - Mesej Tak Disangka
- Bab 20 - Peluang Kedua
- Bab 21 - Dan Akhirnya
- Bab 22 (Epilog) - Majlis Konvokesyen

Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.
* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.