Khamis, 27 November 2025

0 Novel Sang Gagalis: Bab 19 - Mesej Tak Disangka

Sang Gagalis

"Setiap orang pernah gagal. Tapi tak semua berani bercerita tentangnya"

Bab 19 - Mesej Tak Disangka


Tahun keempat.

Semester kelapan.

Kampus UTM dah mula terasa berbeza bagi Bo.

Tempat yang dulu meriah dengan tawa dan keletah rakan-rakan kini terasa sunyi, macam bangunan-bangunan itu pun sedang bersedia melepaskan generasi pelajarnya ke dunia sebenar.

Bo dan Amir, semester ini juga tidak lagi tinggal di rumah sewa, tapi di Kolej 10.

Bagi kebanyakan pelajar tahun empat, semester ini adalah penamat.

Tapi bagi Bo, ini hanya tambahan masa.

Dia dah pun extend satu semester lagi, untuk fokus pada Final Year Project dan dua subjek yang tertinggal.

Subjek Computer Security yang menghantuinya selama dua semester akhirnya lulus pada percubaan ketiga di semester enam.

“Bukan A, bukan B, tapi cukup untuk lepas,” kata Bo dengan senyum nipis waktu itu. Amir siap belanja dia teh ais sebagai tanda “graduasi mini”.

Tahun keempat semester tujuh, Bo buat Latihan Industri di MIMOS, Bukit Jalil.

Kerja bukan main sibuk, tapi dia suka. Dia rasa hidupnya kembali teratur, ada rutin, ada semangat.

Amir pula intern di SIRIM, Shah Alam, dekat dengan rumahnya, senang nak ulang alik.

. . .

Hubungan Bo dengan Julia masih kekal di tahap sama.

Dah hampir setahun mereka berkenalan, tapi peliknya, tak pernah sekalipun mereka jumpa secara berdepan.

Tak pernah keluar makan, tak pernah lepak. Semua cuma melalui mesej.

Bo kadang tertanya juga, adakah ini hubungan atau sekadar bayangan hubungan?

Sebab setiap kali dia ajak jumpa, Julia akan elak.

“Tak sesuai la. Orang nanti pandang lain. Tunggu habis belajar nanti. Kalau ada jodoh, kita jumpa.”
Ayat yang sama, berulang-ulang.

Dan setiap kali, Bo cuma balas,
“Okay, aku tunggu.”

Dia tak tahu kenapa Julia suka dia, sebab Julia sendiri pun tak pernah bagi alasan jelas.

Kadang Bo terfikir, mungkin Julia cuma sunyi. Atau mungkin sekadar nak seseorang untuk bercerita bila malam-malam sepi.

Tapi dia tetap layan. Sebab bagi Bo, lebih baik sunyi yang ditemani mesej daripada sunyi tanpa sesiapa.

. . .

Satu malam di pertengahan semester lapan, Bo tengah tekun mengulang Introduction to Cryptography, subjek yang ditangguh dari semester kelima.

Meja belajarnya berselerak dengan nota, kertas formula, dan satu mug kopi yang dah suam.

Tiba-tiba, telefon atas meja bergetar.

Satu mesej WhatsApp masuk.

Bo pandang sekilas, nombor tak bernama.

Tapi entah kenapa, nombor tu macam pernah dia lihat.

Dia buka mesej perlahan-lahan.
“Hai, Bo. Lama tak dengar khabar. Kau sihat?”

Bo terdiam.

Nombor itu… dia kenal.

Tapi dia dah lama padam nama tu, lama sangat.

Nama yang dia ingat tapi cuba lupakan: Aila.

Bo berasa macam masa berhenti seketika.

Dah hampir setahun setengah mereka tak bercakap.

Tidak di WhatsApp, tidak di kampus.

Cuma sesekali dia terserempak dari jauh, dan sejak semester enam, dia perasan Aila jarang lagi bersama Fahmi.

Bo letak telefon di meja. Dia tak balas.

Tapi mesej kedua masuk.
“Aku tahu kau mesti pelik. Tapi aku cuma nak tanya khabar.”
“Aku nampak kau masa hari pembentangan projek tadi. Tiba-tiba teringat masa kita buat pembentangan satu kumpulan dulu masa subjek Web Programming. Tapi kau… nampak makin kurus.”
“Serius, kau okay tak?”

Bo helakan kepala, senyum nipis yang tak bernyawa.

Dia tak tahu kenapa tiba-tiba Aila muncul semula.

Apa yang dia nak?

Dia cuba abaikan. Tapi selepas beberapa minit, mesej masuk lagi.
“Bo, tolong la reply. Aku ada benda nak cakap.”

Bo akhirnya buka jendela chat dan menaip ringkas:
“Aku okay. Kau kenapa tiba-tiba mesej?”

Lepas itu, datang satu mesej panjang.

. . .

Aila: “Aku rasa aku kena jujur dengan kau. Aku sebenarnya dah lama nak mesej kau. Sejak semester 5 lagi.”

Bo: “Kenapa tak mesej masa tu?”

Aila: “Sebab aku malu. Dan aku takut kau fikir aku nak mainkan perasaan kau lagi.”

Bo: “Mainkan perasaan aku?”

Aila: “Aku tahu apa aku buat dulu salah. Aku minta maaf, Bo.”

Bo: “Salah apa?”

Aila: “Pasal Fahmi.”

. . .

Bo berhenti menaip.

Nama itu masih mampu buat dadanya bergetar walau dah berbulan lamanya berlalu.

Aila: “Sebenarnya aku dengan Fahmi... dah lama putus. Sejak semester 5 lagi.”

Aila: “Masa akhir semester 4 tu, kami couple balik sekejap je. Lepas sebulan masuk sem 5, aku yang putuskan.”

Aila: “Sebab aku baru nampak siapa dia sebenarnya. Dia jarang ajak jumpa, jarang layan mesej. Katanya sibuk, tapi rupanya, dia memang takde hati pun kat aku.”

Bo: “Takde hati? Habis tu kenapa dia nak getback balik dengan kau.”

Aila: “Kau kenal Sarah kan. Budak fakulti kita juga. Cantik, popular. Fahmi suka dia dari dulu lagi. Masa aku dengan dia dulu, Fahmi tinggalkan aku sebab Sarah. Bila Sarah reject dia, barulah dia datang balik cari aku konon nak baiki hubungan. Tapi sebenarnya cuma nak cover malu.”

Bo: “…”

Aila: “Aku bodoh masa tu, Bo. Aku sayang dia sebab dia cinta pertama aku. Tapi lepas aku sedar semua tu, aku betul-betul menyesal.”

. . .

Bo terdiam lama.

Matanya tertumpu pada skrin, tapi fikirannya jauh melayang.

Dia tak tahu nak rasa apa, marah? simpati? atau kosong?

Aila: “Sebenarnya masa sem 5 lagi aku nak minta maaf dekat kau. Tapi aku takut kau fikir aku datang balik sebab nak rebound.”

Aila: “Tapi sekarang... dah nak habis belajar. Aku tak nak bawa benda ni sebagai penyesalan.”

Aila: “Aku nak kau tahu... aku suka kau, Bo.”

Aila: “Dulu aku buta. Sekarang baru aku nampak mana kaca, mana permata.”

. . .

Bo letak telefon perlahan di meja.

Dia pandang kosong ke dinding bilik.

Kipas siling berputar laju, tapi yang kedengaran cuma bunyi jantungnya sendiri.

Dia tak tahu nak balas apa.

Hatinya berperang.

Kalau ikut logik, dia dah move on.

Tapi jauh di sudut hati kecilnya, nama Aila masih ada.

Macam lagu lama yang tiba-tiba terpasang balik selepas senyap bertahun.

Dia capai telefon, taip tapi padam, taip lagi tapi padam semula.

Akhirnya, dia letak telefon di sisi meja dan bersandar ke kerusi.

“Kenapa sekarang, Aila?” bisiknya perlahan.

. . .

Keesokan paginya, Bo keluar sarapan dengan Amir di kafe Arked Meranti.

Tempat yang pernah jadi saksi tawa mereka berempat dulu.

Amir tengah suap nasi lemak, tiba-tiba Bo bersuara, “Mir, kau pernah dapat mesej dari masa lalu?”
Amir angkat muka, blur. “Hah? Mesej dari siapa?”

Bo letak telefon atas meja, tunjuk skrin. “Aila.”

Amir terdiam. “Aila? Weh, kau biar betul.”

Bo angguk perlahan. “Dia mesej malam tadi. Panjang gila. Cakap dah putus dengan Fahmi lama dah. Katanya suka aku.”

Amir senyum separuh. “Wah. Plot twist datang balik.”

Bo tunduk. “Aku tak tahu nak buat apa, Mir. Aku dah move on… tapi entah kenapa hati aku bergetar balik. Macam baru semalam semua tu jadi.”

Amir letak sudu. “Soalan aku satu je, Julia macam mana?”

Bo tarik nafas. “Julia? Entahlah. Kami masih contact, tapi tak rapat. Tak pernah jumpa pun. Kadang aku rasa dia pun tak serius.”

Amir angguk perlahan. “So sekarang, dua-dua muncul. Satu dari masa depan yang tak pasti, satu dari masa lalu yang kau dah tinggal.”

Bo senyum nipis. “Kau pandai la buat ayat novel.”

Amir ketawa kecil. “Kau yang hidup macam novel. Aku cuma jadi side character yang bijak.”

Bo ketawa juga, tapi cepat reda. Dia tunduk, termenung pada pinggan nasi lemak yang dah separuh habis.
“Mir… kalau kau jadi aku, kau bagi peluang kedua tak?”

Amir terdiam sekejap sebelum jawab, “Benda ni soal hati, Bo. Bukan orang lain boleh tentukan. Tapi apa pun, jangan buat keputusan waktu hati kau separuh yakin. Sebab nanti kau sendiri yang luka semula.”

Bo angguk. “Aku tak tahu nak ikut otak atau hati.”

Amir senyum, “Kalau otak dan hati tak sependapat, esok kita jumpa Amirah. Kau tahu dia memang pakar bahagian ni. Lagipun, Aila tu kan kawan dia.”

Bo ketawa kecil. “Kau nak aku jadi topik bualan perempuan ke?”

“Kalau itu boleh elak kau dari buat silap, aku sanggup,” jawab Amir, tersengih.

. . .

Malam itu, Bo baring di katil, pandang siling.

Skrin telefon menyala perlahan, mesej Aila terakhir masih belum dibalas.
“Aku suka kau, Bo. Aku harap kau bagi aku peluang.”

Di sudut lain, mesej Julia pula masih belum dibaca,
“Goodnight, Bo. Jangan stress sangat study. Proud of you.”

Bo pejam mata.

Dalam kepala, dua suara bergaung, satu dari masa lalu, satu dari masa kini.

Dan di tengah-tengah, dia sendiri tak tahu mana arah yang patut dia tuju.

Bersambung... 

(Sambungan novel ini akan diterbitkan pada setiap hari jam 8 malam)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.