Halaman

Selasa, 26 September 2017

Narsisistik: Merasa kagum terhadap diri sendiri

Narsisistik.

Narsisistik atau narcissistic adalah sejenis gangguan/kecelaruan personaliti atau personality disorder di mana seseorang itu cenderung untuk memuja, obses atau me­nga­gumi diri sendiri secara berlebihan. Orang yang mempunyai personaliti ini sentiasa mahu orang lain rasa kagum dengan dirinya, merasakan dirinya jauh lebih penting dari orang lain, sentiasa merasakan dirinya betul, sentiasa mahu menang dan tidak mahu mengakui kekalahan dalam apa jua perseteruan serta memiliki daya empati yang rendah terhadap orang lain. Dia merasakan dunia ini hanya berkisarkan tentang dirinya semata-mata.


Namun di sebalik perasaan bangga yang begitu tinggi dalam dirinya, ia sebenarnya agak rapuh dan mudah runtuh hanya dengan sedikit kritikan. Tatkala dia kuat mengkritik dan menghentam orang lain, dia sebenarnya terlalu mudah untuk terasa dan sentap apabila menerima kritikan daripada orang lain, lalu cenderung untuk memandang rendah dan menghina orang yang mengkritiknya sebagai lemah dan berakal rendah.

Orang yang memiliki personaliti narsisistik ini bukanlah bodoh atau tidak berpelajaran. Kebanyakannya memang bijak, hebat, berbakat, berpangkat tinggi, kaya, hartawan, dermawan dan sebagainya. Malah mereka menjadi narsis pun biasanya disebabkan oleh kelebihan yang mereka ada. Tetapi disebabkan kelebihan itu menjadi mereka rasa besar diri, mereka rasa layak untuk memberi pandangan dan mempertikaikan segala macam hal walau diluar bidang mereka sehingga kadangkala mengundang kontroversi dan perbalahan.

Apabila ramai orang menegur kesilapannya, dia akan meminta maaf hanya untuk menjaga air muka dan namanya namun masih terus kekal dengan pendiriannya dengan merasakan yang dia sebenarnya tidak salah. Lalu dia terus merendah-rendahkan orang lain yang tidak sefahaman dengannya hanya kerana mereka tidak bersetuju dengannya. Dia merasakan segala kelebihan yang dia ada dan segala kebaikan yang dia pernah buat sebagai lesen untuk bercakap apa sahaja dan menghina orang lain.

Personaliti narsis ini boleh wujud dalam diri sesiapa sahaja tak kira umur, jantina, kaum, status, pekerjaan, darjat dan sebagainya. Malah dengan teknologi Internet dan perkembangan media sosial yang wujud pada hari ini, kita boleh lihat banyak netizen yang menonjolkan ciri-ciri narsis mereka di Internet. Ramai orang yang sebenarnya mempunyai personaliti ini tanpa mereka sendiri sedari, atau mungkin mereka sedar namun tidak mengakuinya. Yalah, orang gila pun tak mengaku dia gila. Orang narsis pun tak mengaku dia tu narsis.

Adakah anda juga seorang narsis? Apakah tanda-tanda gejala narsisistik ini? Mari tengok adakah anda mempunyai perwatakan narsisi ini:
  • Menilai diri sendiri terlalu tinggi jika dibandingkan dengan orang lain secara berlebihan.
  • Menganggap diri lebih superior daripada orang lain atas kelebihan yang ada pada dirinya.
  • Membesar-besarkan pencapaian, keupayaan dan bakat diri sendiri dengan cara yang tidak realistik.
  • Mengagung-agungkan diri sendiri dan merasa diri begitu istimewa berbanding orang lain.
  • Meyakini diri sendiri sebagai seseorang yang superior dan meyakini bahawa hanya orang-orang yang sama istimewa sepertinya yang dapat memahami hal tersebut.
  • Memiliki jangkaan atau pemikiran yang dipenuhi dengan fantasi mengenai kejayaan, kekuasaan, kepandaian, kecantikan/ketampanan, mengenai pasangan yang sempurna dan sebagainya secara melampau.
  • Memiliki keperluan untuk selalu dipuji atau dikagumi oleh orang lain.
  • Merasa dirinya mempunyai ramai peminat, pengikut dan penyokong yang sentiasa memuji dan mempertahankan tindakannya.
  • Mengganggap dirinya harus dihormati, disegani dan wajar mendapat layanan istimewa oleh orang lain.
  • Percaya bahawa dia tidak memerlukan orang lain dalam pelbagai hal, namun sering pula mempergunakan orang lain untuk mendapatkan apa yang diinginkan lalu menuntut kejayaan tersebut terhasil disebabkan olehnya seorang.
  • Merasa suatu perkara akan gagal dan kejayaan tidak boleh terhasil tanpanya.
  • Hanya mementingkan perasaan sendiri dan tidak mampu untuk merasa atau menyedari perasaan serta  keperluan orang lain.
  • Sering merasa cemburu terhadap orang lain dan merasakan orang lain selalu cemburu terhadap dirinya.
  • Memiliki perilaku yang angkuh dan sombong.

Personaliti narsisistik ini boleh menjadi lebih teruk apabila seseorang itu mengalami sindrom delusi grandiose atau grandiosity delusional, apabila dia mempercayai bahawa dirinya mempunyai kelebihan tersendiri yang melampaui orang lain di dunia ini. Contohnya dia percaya bahawa dirinya adalah nabi yang turun untuk menyelamatkan dunia ini, percaya dirinya boleh berkomunikasi dengan Tuhan, percaya bahawa diri­nya boleh mencipta kenderaan untuk sampai ke bulan dengan sekelip mata, percaya bahawa dirinya raja memerintah dan lain-lain lagi delusi kemegahan yang diciptanya sendiri.

Maka apakah kesan daripada personaliti narsisistik ini? Jika kau seorang narsisistik, adakah kau wajar mengubahnya?

Dari segi perubatan dan kesihatan diri, simptom ini tiada kesan apa sangat. Namun dari sudut sosial dan masyarakat, ia memberi banyak kesan terutama pada orang lain kerana tatkala kau merasa hebat dengan percakapan dan perbuatannya, ada pihak lain yang begitu terkesan dengannya. Paling tidak pun, kau cuma akan dikritik, dikecam dan mengalami penolakan dari orang-orang sekitar dan masyarakat.

Senang cerita, tak ramai lah orang nak berkawan sangat dengan kau. Kalau kau rasa kau ada ramai kawan tu maksudnya mereka berkawan kerana ada kepentingan atas kelebihan yang kau ada, atau sekadar nak jaga hati kau. Yelah, kau kan seorang special snowflake. Maka yang tinggal pun cuma sekadar fake friends sahaja.

Jadi terpulanglah sama ada kau mahu terus menjadi seorang narsis atau tidak. Tapi aku rasa tak mungkin kau akan berubah, sebab sebagai seorang narsis, kau pasti takkan bersetuju dengan aku, takkan bersetuju dengan artikel ini, dan kau sendiri pun takkan mengaku yang kau seorang narsis.

Kah kah kah.

Baca juga artikel lain berkaitan:


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.




tags: gejala sindrom gangguan kecelaruan personaliti personality disorder narsisistik narcisistic narsis narcist grandiose grandiosity delusi delusional hidup dalam bayang sendiri psikologi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.