Jumaat, 24 Jun 2016

5 Megalomania: Merasa diri begitu hebat dan berkuasa

Dalam kehidupan seharian tiada seorang pun dapat menghindari diri daripada berkata-kata. Tetapi apabila kita berkata-kata secara berlebihan atau dalam erti kata yang lain bercakap besar, kita  sesungguhnya telah melakukan kesilapan. Kesan kepada tabii bercakap  besar ini boleh mewujudkan sifat-sifat negatif di kalangan masyarakat  seperti benci-membenci dan berlakunya kerenggangan komunikasi di  kalangan mereka. Lebih-lebih lagi bila kata-kata yang didengar itu diyakini kebenarannya meskipun dalam banyak hal tidak masuk akal.

Cakap besar yang melebihi batas sebenarnya merupakan sejenis penyakit. Bidang psikiatri mengistilahkannya sebagai Megalomania iaitu penyakit  merasa diri paling hebat dan berkuasa. Perkataan megalomania terdiri  daripada dua patah perkataan, iaitu 'mega' yang bererti besar dan 'mania' bermakna melampaui batas. Berdasarkan gabungan makna yang dijelaskan tadi, pengertian megalomania dirumuskan sebagai suatu pemikiran atau gagasan maha besar di luar batas tentang penting dan berertinya diri seseorang.


Pengidap penyakit ini amat gemar bercakap besar mengenai dirinya. Misalnya, dia mengatakan yang dirinya adalah tenaga penting yang akan  menentukan untung rugi syarikat tempat dia bekerja. Kononnya kejayaan syarikat terletak di bahunya Walaupun realitinya dia hanya seorang kakitangan rendah sahaja.

Megalomania merupakan suatu delusion atau waham iaitu suatu pemikiran dan keyakinan yang sukar atau tidak mungkin diperbetulkan. Oleh keranaitu, pemikiran megalomania juga disebut sebagai Delusion of Grandeur atau waham kebesaran.

Apabila keadaan megalomania semakin berlanjutan, individu yang menghidapinya berkeyakinan bahawa dirinya adalah manusia pilihan yang sangat berkuasa sama seperti seorang presiden, raja atau panglima tentera yang berkuasa dalam bidang masing-masing.

Sekiranya pengidap ini merujuk kepada keagamaan, dia beranggapan bahawa dirinya adalah utusan Tuhan atau penyelamat dan sebagainya. Penghidap penyakit ini juga boleh memperkenalkan dirinya melalui pelbagai cara.Misalnya, sebagai seorang doktor sekaligus seorang arkitek atau pakar ekonomi sekaligus sebagai pakar astronomi. Dia seolah-olah mempunyai pengetahun dalam segala hal. Dia mudah mematikan hujah orang lain ketika membicarakan sesuatu isu bukan kerana kebijaksanaannya tetapi disebabkan cakap besarnya yang membuat orang lain meluat.

Namun demikian, tidak jarang pula ditemui cara pemikiran atau pendapat mereka yang boleh diterima akal fikiran yang waras.

Punca megalomania

Banyak faktor yang boleh menjadi punca sindrom megalomania. Salah satunya seperti usaha menutup kekurangan dalam diri seseorang. Atau orang yang selalu membayangkan perkara yang indah dan cantik  tetapi tidak terjangkau atau tidak sesuai dengan kenyataan yang sebenarnya. Pendek kata dia mempunyai impian yang agak luar biasa.

Megalomania paling kerap berpunca daripada penyakit mania atau maniakal dan paranoid ataupun curiga berlebihan. Maniakal adalah gangguan ketika seseorang mengalami "fight of ideas" iaitu banyaknya gagasan dan fikiran hingga memberikan kesan kekusutan atau fikiran yang kacau.

Di samping itu penghidap megalomania boleh berbual dan bertindak secara pantas terus menerus seolah-olah tidak kenal penat.

Mania pula merupakan salah satu bahagian daripada mania kodepressiva, iaitu gangguan berganda. Berganda di sini bermaksud dalam suatu masa dia menampilkan diri sebagai berkeadaan mania dan di ketika yang lain pula dia menampilkan diri sebagai depresi.

Kejadian ini memakan masa yang singkat dan prosesnya boleh berjalan beberapa hari atau beberapa minggu. Kemudian, penghidap akan mengalami  periode tenang tetapi akan tergelincir dalam keadaan depresi.

Penghidap kerap tidak menyedari keadaan ini. Bahkan menganggap dirinya sentiasa sihat. Lantaran itu sangat sukar untuk meyakinkan penghidap  bahawa dirinya perlu rawatan disanatorium kesihatan jiwa. Dia boleh mengamalkan perbuatan cakap besarnya itu dan bergaul bebas dengan masyarakat. Juga boleh terjadi satu perilaku ganjil, berani di luar batas atau berlaku agresif dan suka menyerang hingga boleh mengganggu persekitaran.

Keadaan ini kerap menimbulkan konflik dan pergaduhan dalam rumahtangga atau di tempat kerja. Dalam keadaan seumpama ini, ada baiknya sipenghidap diberi saran untuk berehat dan bercuti di tempat yang tenang di mana tidak berkemungkinan terjadinya konflik. Misalnya, di kawasan pergunungan, pantai atau balik ke kampung halaman.

Andainya cara ini tidak memberi kesan, si penghidap disaran supaya dihantar ke rumah sakit jiwa untuk memperolehi pengawasan yang rapi daripada pakar sakit jiwa.

Paranoid pula diertikan sebagai tindak balas dari sikap curiga yang berlebihan atau suatu penyakit di mana seseorang memberi tindak balas yang berlebihan terhadap suatu pengalaman yang dianggapnya sangat mengecewakan atau menghina dirinya.

Individu yang peka atau sensitif lebih mudah mengembangkan reaksi paranoid ini. Pesakit paranoid menganggap dirinya menjadi tumpuan dan perhatian dari persekitaran, di sekelilingnya atau merasa seolah-olah semua orang sedang memperbualkan urusan peribadinya. Pada hal apa yang diduga dan dikhuatirinya terpesong daripada keadaan yang sebenar.

Menghindari megalomania

Ada dua cara yang boleh mengelakkan diri daripada terkena megalomania yang boleh dilakukan sendiri oleh penghidap. Pertama, pesakit jangan  terlalu bercakap yang bukan-bukan. Bercakap hanya mengenai perkara-perkara yang perlu sahaja. Kedua, sentiasa berjaga-jaga atau  mengawal diri dan menyedari akan kemampuan serta kekurangan dalam diri. Seperti kata pakar sakit jiwa, silent is golden.

Tiga kaedah pengubatan boleh dilakukan untuk mengatasi kes megalomania ini. Pertama, terapi simptomatik, seperit ubat tidur. Kedua, terapi casual iaitu mengubati puncanya. Dan ketiga, cara psikoterapi, dengan memberi nasihat dan bimbingan kepada pesakit.

Selain kaedah yang dijelas di atas, fungsi rakan-rakan rapat, keluarga dan masyarakat sekeliling juga diperlukan untuk memberi sokongan dan pengawasan. Dengan adanya usaha sedemikian akan membantu doktor memperolehi data atau informasi keadaan pesakit yang sebenar.

Sekiranya anda tidak mahu dikatakan sebagai penghidap megalomania maka eloklah anda berkonsultasi dengan pakar jiwa, ketika anda mengesyaki megalomania mendiami diri anda.

Bahasa mudah difahami, megalomania ialah kecenderungan untuk menilai diri sendiri secara berlebihan atau menghargai diri sendiri melampaui batas.

Adakah megalomania ini sama erti dengan riak, takbur atau ujub?

RIAK ialah melakukan ibadah dengan niat mendapat perhatian atau pujian manusia. Melakukan amal soleh agar dilihat oleh manusia lain agar dirinya mendapatkan pujian, kedudukan atau penghargaan atau keuntungan duniawi.

Riak ialah melakukan sesuatu bukan kerana Allah.

Orang tidak tahu jika kita riak. Kita juga tidak boleh mengatakan orang lain itu riak. Ini adalah kerana riak adalah niat atau perasaan atau tujuan di dalam hati. Niat di hati adalah rahsia Allah yang tidak diketahui oleh sesiapa pun. Tetapi ALLAH maha mengetahui niat dan hasrat di hati kita.

Tetapi walaupun ia rahsia, namun ulama ada mengenal pasti tanda-tanda atau panduan untuk menilai kemungkinan terjadi riak.

1. Rajin beramal jika mendapat pujian atau sanjungan dan malas atau berkurang amal jika mendapat celaan dan kecaman.

2. Rajin beramal apabila bersama-sama dengan orang lain dan malas atau tidak beramal bila bersendirian.

3. Menjauhi larangan Allah jika bersama orang lain dan melanggar larangan-larangan-Nya jika ia sedang sendiri dan jauh dari penglihatan manusia.

Ibadah orang yang riak akan ditolak serta tiada nilai disisi Allah.

Rasulullah saw. bersabda, "Sesungguhnya Allah tidak akan menerima amal kecuali amal yang dilaksanakan dengan ikhlas dan dilakukan semata-mata untuk mengharap redha Allah. (HR Abu Daud dan An-Nasa'i)

TAKBUR ialah meninggi diri,bangga, atau sombong.

Sebab yang boleh membawa seseorang kepada sifat takbur atau menyombongkan diri.Antara sebabnya ialah :
  • Nasab Keturunan.
  • Kuasa Pemerintahan.
  • Kecantikan.
  • Kekayaan.
  • Kelebihan Ilmu.
  • Banyak pengikut.
  • Banyak Ibadat

SOMBONG atau takbur (takabbur) adalah sifat hati yang terkeji (madzmumi) dan merupakan satu daripada penyakit hati yang membawa akibat kebinasaan diri.

Pengertian tentang takbur dapat difahami daripada maksud beberapa hadis yang berikut :

· Rasulullah saw bersabda, "Dianggap sebagai takbur itu ialah menolak apa yang benar dan mengganggap hina kepada orang lain". (HR. Muslim).

· Bersabda Rasulullah saw kepada sahabatnya, Abu Dzar : "Takbur itu meninggalkan kebenaran dan engkau mengambil selain kebenaran. Engkau melihat orang lain dengan pandangan bahawa kehormatannya tidak sama dengan kehormatanmu, darahnya tidak sama dengan darahmu".

· Rasulullah saw bertanya kepada sekumpulan Sahabat, "Tahukah kamu, orang gila yang sebenar-benarnya?" Para Sahabat menjawab, "Tidak tahu, ya Rasulullah". Lalu Rasulullah menjelaskan, "Orang gila ialah orang yang berjalan dengan takbur, memandang rendah kepada orang lain, membusungkan dada, mengharapkan syurga sambil membuat maksiat dan kejahatannya membuat orang tidak aman dan kebaikanya tidak pernah diharapkan. Itulah orang gila yang sebenarnya".

Ujub ialah PERASAAN kagum atas diri sendiri. Merasa diri HEBAT. Bangga diri. Terpesona dengan kehebatan diri.

Perasaan ujub boleh datang pada bila-bila masa.

Orang yang rajin ibadah merasa kagum dengan ibadahnya.
Orang yang berilmu, kagum dengan ilmunya.
Orang yang cantik, kagum dengan kecantikannya.
Orang yang dermawan, kagum dengan kebaikannya.
Orang berjawatan tinggi, kagum dengan jawatannya.

Orang yang bijak berpidato, kagum dengan pidatonya,
Orang yang petah berbicara, kagum dengan kepetahannya
Orang yang berdakwah, kagum dengan dakwahnya.

Sufyan at-Tsauri mengatakan ujub adalah perasaaan kagum pada dirimu sendiri sehingga kamu merasa bahawa kamu lebih mulia dan lebih tinggi darjat.

Manakah antara takbur, ujub dan riak yang hampir kepada megalomania? Atau sebenarnya megalomania itu adalah rangkuman sifat-sifat riak, ujub dan takbur?

Fikir-fikirkanlah wahai sahabat semua...

Artikel ditulis oleh Ummi Munaliza dari forum Halaqah.net.

* * * * * * * * * *

Zaman sekarang ramai orang yang merasa diri begitu hebat, berkuasa, selalu betul dan tak pernah salah. Mereka sangat kagum dengan dirinya dan mahu orang lain turut juga mengkaguminya.

Hakikatnya...

Orang yang benar-benar jahil akan sedaya upaya mempertahankan kejahilannya secara terang-terangan.
Orang yang benar-benar berilmu tidak perlu beria-ria mahu orang lain mengangkatnya menjadi role model.
Orang yang benar-benar rendah diri tidak akan mencanang betapa rendah dirinya dia pada orang lain.
Orang yang benar-benar baik tidak perlu beritahu orang lain sebanyak mana kebaikan yang dia lakukan.
Orang yang benar-benar beriman tidak akan bersusah payah mahu orang lain tahu betapa berimannya dia.

Kekaguman, penghormatan, populariti dan respek manusia bukan untuk diminta-minta. Buatlah sesutu dengan ikhlas tanpa mengharap sebarang balasan daripada manusia lain. Jika manusia lain memberikan anda semua itu, itu adalah suatu bonus dan anugerah, tetapi kita sendiri tak perlu mengemis kekaguman orang, kerana ia hanya mengundang sifat ujub, takbur dan riak dalam diri.


Baca lagi artikel berkaitan berikut:



P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik. Klik pada gambar di bawah untuk melihat preview komik. Untuk membeli boleh hubungi kami melalui:

Email: princeofnoob[at]gmail[dot]com
PM Facebook: https://www.facebook.com/prince.nub 
Whatsapp/SMS agen kami: SangKancil - 013-9313541

Buasir Otak: The Komik




tags: ujub takbur riak sombong megalomania diri hebat berkuasa kagum

5 ulasan:

  1. Muhasabah diri supaya lebih berhati-hati.

    BalasPadam
  2. astafirullah al azim..Alhamdulillah ada artikel macam nie...Harap sentiasa sedar diri dan sentiasa menginsafi diri

    BalasPadam
  3. makin terang2terangan timbul spesies mcm ni kat medi sosial..

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.