Isnin, 27 Jun 2016

12 Kewajaran makan secara terbuka di bulan Ramadhan

Selepas dimalukan secara terbuka, Mrym Lee mempersoal kewajaran orang ramai menegur dan menghina terhadap golongan wanita yang makan pada bulan Ramadan.

Mrym Lee, yang juga merupakan seorang aktivis menimbulkan satu perdebatan mengenai isu pengawasan moral di negara ini menerusi akaun Facebooknya.

Dia berkongsi kisah bagaimana dia dan rakannya ditegur apabila kedua-dua mereka memutuskan untuk membantah gejala pengawasan moral dengan sengaja menjamu selera di khalayak ramai pada bulan Ramadan.

Gambar hiasan

Mrym Lee menyatakan baru-baru ini seorang pengurus restoran di sebuah pusat membeli-belah Kuala Lumpur memarahinya kerana makan di restoran itu secara terbuka.

Menurut aktivis itu, dia cuba memahamkan pengurus tersebut kenapa dia terkecuali, namun beliau menyifatkan tindakan Mrym sebagai “menghina agama’,

“Encik, makan dan minum bukan salah di sisi undang-undang," Mrym menjawab

"Ye lah tapi awak buat macam ini mencalarkan imej Islam," kata pengurus itu kepada Mrym.

“Saya kemudian menjelaskan kepada pengurus itu bahawa dia gagal menghormati saya sebagai pelanggan, namun beliau menjelaskan bahawa pihak berkuasa boleh menjatuhkan hukuman jika menjual makanan kepada orang Islam pada bulan Ramadan," tulis Mrym.

Jelas Mrym, lima minit kemudian, seorang pelanggan Melayu yang berada di restoran itu turut mempersoal haknya untuk makan di khalayak ramai.

“Abang tahu perempuan ada masalah. Apa hak kau nak makan kat tempat umum ni, dik”

Tambah Mrym, ia lebih menyedihkan apabila mereka menghukum wanita kerana biologi mereka.

"Tiada apa masalah langsung dengan wanita yang tidak boleh puasa," jawab Mrym terhadap kecaman lelaki itu.

Mrym berkata pengawasan terhadap kepercayaan peribadi dan ritual orang lain merupakan satu mentaliti yang membimbangkan.

“Berilah perhatian kepada isu yang lebih besar. Banyak perkara yang perlu diberi perhatian. Tinggalkan amalan agama sebagai peribadi orang, sokong satu sama lain untuk berbuat baik, barulah kita akan melihat kemajuan," ujar Mrym.

Susulan itu, posting Mrym menjadi viral di sosial media, sekali gus mengundang pelbagai pandangan daripada netizen.

Ada yang menyokong, ada yang mengecam kenyataan tersebut.

Baca sepenuhnya laporan berita dari Astro Awani ini.

* * * * * * * * * *

Isu ini menarik dan membuka mata sebenarnya. Sebelum ini aku pernah tulis tentang "Berpuasa tak perlu kalut dan menggelabah" bila mana ada orang Muslim marah kepada orang bukan Islam yang makan di tempat terbuka, tapi kali ini adalah tentang orang Muslim marah orang Muslim lain yang makan di tempat terbuka.

Walaupun ada yang mengecam status FB Mrym Lee tersebut, tapi bagi aku ada suatu yang kita boleh fikirkan dalam hal ini. Dan walaupun ramai yang tidak bersependapat dengan beliau, aku harap kalau nak berhujah tu, berhujah secara baik. Usah menghina, mencerca, mengeji, mengutuk dan mencarut.

Analoginya mudah. Seorang gadis Melayu yang datang bulan, tidak boleh berpuasa, pergi shopping mall, rasa nak makan tengahari, masuk restoran untuk makan. Itu sahaja.

Sejujurnya, aku tiada masalah dengan itu. Lagipun restoran memang tempat untuk makan, dan perempuan Muslim ada alasan kukuh untuk tidak berpusa dan makan. Sama seperti kanak-kanak Muslim, atau orang tua Muslim, jika aku ternampak mereka makan di restoran atau di mana-mana tempat awam pun, aku takkan kisah, sebab kanak-kanak tak wajib lagi berpuasa, dan orang tua mungkin tidak berpuasa kerana uzur dan perlu makan makan ubat.

Maka jika aku ternampak orang Muslim yang aku tidak kenali tidak berpuasa di siang hari, di tempat terbuka mahupun tertutup, walaupun orang lelaki sekalipun, aku tak peduli dan tak kisah. Aku tidak akan pergi kepada mereka, tanya mereka kenapa tak puasa, atau marah mereka, atau halang mereka dari makan.

Yalah dah aku pun tak kenal mereka, so kenapa aku tak pasal-pasal nak marah dan memalukan mereka? Dan mereka pun mungkin ada alasan tersendiri untuk tidak berpuasa seperti datang bulan, sakit, musafir dan lain-lain. Kalau mereka memang sengaja tak nak berpuasa, itu antara dia dengan Tuhan.

Melainkan jika aku ternampak kawan lelaki aku tidak berpuasa, walaupun dia makan senyap-senyap kat bawah meja, aku mungkin akan tegur dan tanya "kenapa tak puasa?", bukan kerana aku sibuk hal dia, tapi kerana aku prihatin mungkin dia ada kesakitan yang tidak membolehkan dia puasa.

So dalam hal ini, aku tak bersetuju dengan tindakan orang menghukum, marah dan memalukan Muslim lain yang tidak berpuasa dan makan di tempat awam. Yang salah tetap salah. Itu bukan cara kita orang Islam. Islam ada adab, dan yang pasti memalukan orang di tempat awam itu bukan adab yang baik.

Ok sekarang tentang keinginan seseorang Muslim yang tidak berpuasa makan di tempat awam pula. Apa yang aku tulis ini bukanlah suatu teguran, kemarahan, hukuman dan sebagainya, ia cuma suatu bentuk nasihat. Nak ikut atau tidak terpulang kepada masing-masing.

Seperti yang kita maklum, di bulan puasa majoriti orang Islam akan berpuasa, kecuali orang yang tidak boleh berpuasa atau sengaja tidak mahu berpuasa. Jika mengikut undang-undang syariah, pemerintah boleh mengenakan hukum dan tindakan terhadap orang Muslim yang makan dalam bulan Ramadhan tanpa sebarang sebab kukuh seperti yang terkandung dalam Enakmen 2 Tahun 1985, Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985, Bahagian II - Kesalahan-kesalahan, Seksyen 26. Makan dalam bulan Ramadan:
Sesiapa yang tidak harus berbuka puasa pada Hukum Syarak didapati makan atau minum atau menghisap sebarang tembakau atau seumpamanya pada siang hari dalam bulan Ramadan adalah bersalah atau suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ratus ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Malah sebenarnya kalau ikut undang-undang syariah di negara kita , peniaga tidak boleh menjual makanan dan juga orang Islam tidak boleh makan di tempat terbuka seperti yang terkandung dalam Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilaya Persekutuan) 1997, Bahagian III - Kesalahan yang berhubungan dengan kesucian agama Islam dan institusinya, Seksyen 15. Tidak menghormati Ramadhan:
Mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan:-

(a) menjual kepada mana-mana orang Islam atau membeli apa-apa makanan atau minuman atau rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap dalam waktu itu;

(b) secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau apa-apa benda lain yang seumpamanya,

adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya. 

Maka tindakan peniaga itu melarang wanita itu makan di restoran mungkin kerana dia tahu akan kewujudan undang-undang ini, manakala wanita itu pula mungkin tidak tahu akan undang-undang ini, ataupun mungkin dia tahu tapi mahu perjuangkan hak orang Islam makan di tempat terbuka di bulan Ramadhan.

Kita faham jika ada orang Islam yang tidak boleh berpuasa dan mahu makan, tetapi sekali lagi, dalam Islam ada adab. Adabnya adalah tidak makan di tempat terbuka sebagai tanda menghormati saudara seagama lain yang sedang berpuasa.

Seperti mana aku cakap atas tadi, tidak salah nak makan di tempat terbuka pun, tetapi adalah lebih baik dan manis jika makan di tempat tertutup agar tidak mengundang rasa ketidakselesaan saudara Muslim lain yang berada di sekitar.

Ada sesetengah orang bukan Islam pun tidak akan makan di hadapan orang Islam lain yang sedang menjalani ibadah puasa, kenapa kita sendiri yang merupakan orang Islam tidak boleh menghormati saudara seagama kita yang lain?

Aku bagi beberapa analogi lain.

Kau tahu sekarang bulan puasa. Kau boleh je post gambar makanan sedap-sedap dan mewah-mewah di FB kau kerana itu hak kau. Aku takkan peduli dan suruh kau delete pun gambar tu. Tapi jika kau peka, sensitif dan ada nilai ihsan dan empati dalam diri kau, kau takkan post gambar makanan itu kerana mahu menghormati rakan-rakan lain yang berpuasa dan yang serba kekurangan.

Kau lalu di hadapan seorang pengemis, lalu kau makan ayam KFC di hadapannya. Ya tak salah pun kau nak makan KFC, dan ia adalah hak kau untuk makan KFC, akan tetapi adakah ia suatu perkara yang wajar makan KFC di hadapan orang yang nak makan nasi sehari pun susah? Kau makanlah KFC di tempat lain tiada masalah pun. Hati kau tenang, hati orang lain pun tak sakit dan sedih.

Kau sedang belajar dalam bilik kuliah dan pensyarah kau sedang mengajar di hadapan. Tiada tercatat dalam undang-undang universiti yang mengatakan tidak boleh makan di dalam bilik kuliah. Tiba-tiba kau rasa lapar, lalu dalam hati kau terdetik nak keluarkan burger McDonalds yang kau beli tadi dari beg kau untuk kau makan, tapi kau tak buat. Sebab apa? Sebab kau hormat pensyarah, rakan-rakan di sekeliling dan sesi ilmu tersebut.

Kita tidak boleh makan babi, tapi orang bukan Islam boleh makan babi. Jika ada orang Cina makan babi di depan aku, aku takkan peduli dan suruh dia makan babi di tempat lain. Tapi jika kerana aku ada di situ maka dia tak makan babi di depan aku sebagai menghormati aku, dia akan dapat penghormatan dari aku kembali.

Kita boleh makan lembu, manakala orang Hindu tidak boleh makan lembu. Jika kita tengah makan di restoran dan ada seorang dua kawan beragama Hindu bersama kita, dan kita pun order daging lembu dan makan depan dia, dia takkan peduli dan marah pun walaupun dalam hati kecil dia mungkin akan terasa, tapi jika kerana dia ada bersama maka aku tidak makan daging lembu kerana menghormati kepercayaannya, aku percaya aku akan mendapat penghormatan daripadanya kembali.

Ia sebenarnya bukan isu boleh atau tidak, atau tentang kita berhak atau tidak.
Ia adalah tentang adab sopan.
Tentang toleransi.
Tentang hormat-menghormati.
Tentang respek.
Tentang memberi contoh tauladan yang baik.

Dan seriously, kami faham kaum wanita itu memang ada masa tidak boleh berpuasa kerana datang haid. Ya, kami lelaki faham semua itu, tapi tak perlulah obvious sangat sampai orang lain pun perlu tahu yang seseorang wanita itu sedang datang bulan.

Seperti mana kami faham sistem biologi kaum wanita yang juga perlu kencing dan berak seperti mana orang lelaki, tapi tak manislah jika setiap kali kau nak berak, kau beritahu orang lain yang kau nak berak. Sama juga seperti kentut. Kami tahu perempuan juga kentut, dan anda berhak kentut di tempat awam, tapi ia akan mengundang ketidakselesaan kepada orang sekeliling. Ia suatu yang berkaitan dengan sifat malu.

Hal ini lebih kurang sama dengan isu menyusu di tempat awam. Boleh je kaum ibu nak menyusu di tempat terbuka, dan orang lelaki sepatutnya menundukkan pandangan, tetapi ia tetap boleh mendatangkan ketidakselesaan pada orang sekeliling. Apa yang harus disembunyi, biarlah kekal tersembunyi.

Maka kalau ada orang memberi nasihat kepada kaum wanita tentang tidak kewajaran untuk melakukan perkara-perkara tertentu secara terbuka di tempat awam, ia sebenarnya tiada kaitan pun dengan merendahkan martabat dan maruah kaum wanita, malah ia sebenarnya lebih kepada mahu memelihara dan menjaga maruah kaum wanita.





P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik. Klik pada gambar di bawah untuk melihat preview komik. Untuk membeli boleh hubungi kami melalui:

Email: princeofnoob[at]gmail[dot]com
PM Facebook: https://www.facebook.com/prince.nub 
Whatsapp/SMS agen kami: SangKancil - 013-9313541

Buasir Otak: The Komik




tags: mrym maryam lee aktivis feminis fb status makan tempat terbuka awam bulan ramadhan restoran marah ditegur menuntut kewajaran

12 ulasan:

  1. Ia sebenarnya bukan isu boleh atau tidak, atau tentang kita berhak atau tidak.
    Ia adalah tentang adab sopan.
    Tentang toleransi.
    Tentang hormat-menghormati.
    Tentang respek.
    Tentang memberi contoh tauladan yang baik.

    part ni sy setuju sangat sangat..

    BalasPadam
  2. nilai peradaban dan tata susila

    BalasPadam
  3. Kita tak seharusnya mengelabah cepat, pabila orang bukan islam makan depan kita di bulan ramadhan. Ditegah juga nak tuntut mereka hormat dengan tidak makan depan kita. Sikap tahap iman rendah ini buat sebilangan besar rakyat malaysia menentang hudud, samaada orang islam atau bukan islam. Kita sewajarnya patut bagi kelonggaran pada bukan islam untuk mereka menikmati hidangan mereka dengan tenang.



    Dalam kes FB Mrym Lee ni, lebih nak tunjukkan ego dari sudi kompromi keadaan. (Pada masa yang sama, saya nak ucap syabas atas ketabahan mempertahankan prinsip beliau)

    "Maka tindakan peniaga itu melarang wanita itu makan di restoran mungkin kerana dia tahu akan kewujudan undang-undang ini, manakala wanita itu pula mungkin tidak tahu akan undang-undang ini, "

    dalam hal ini Akta 559 > 'human right' cik Mrym Lee. (i bet you're not even in dire state at all)


    "Tambah Mrym, ia lebih menyedihkan apabila mereka menghukum wanita kerana biologi mereka.

    "Tiada apa masalah langsung dengan wanita yang tidak boleh puasa," jawab Mrym terhadap kecaman lelaki itu.
    "

    damn.. dia nak jadikan isu wanita pula, hal wanita haid boleh berbuka awal ini dah dibincang lama oleh ulama terdahulu. Juga pasti dibincangkan di sekolah agama dan di sekolah kebangsaan. Malahan sejak zaman nabi Muhammad lagi, wanita uzur boleh tidak berpuasa. (rujuk HR. Al-Bukhari no. 304) Bukanlah sesuatu baru pun.



    "“Berilah perhatian kepada isu yang lebih besar. Banyak perkara yang perlu diberi perhatian. Tinggalkan amalan agama sebagai peribadi orang, sokong satu sama lain untuk berbuat baik, barulah kita akan melihat kemajuan," ujar Mrym."

    Dia sendiri yang muatnaik kisah sensasi dia, takkan takle terima akibatnya? pastu keluarkan falasi red herring dia pula, aiseh.... Macamlah orang lain tak tumpu isu lain juga, yang mana penting untuk maslahat awam. Contohnya isu zakat, bukankah masyarakat + beberapa golongan professional + Dr MAZA sering desak pusat Zakat? yang sering disentuh dan dipertikaikan adalah integriti dan cara agihan.


    Mungkin saya lebih cenderung untuk bela cik Mrym Lee sekiranya ada di tempat kejadian. Agak kesal juga cara pekerja Chicken Rice Shop, Quill City Mall itu menangani pelanggan, boleh rasa kekasaran intonasi dia. Sama juga dengan pelanggan lain yang menegur cik Mrym Lee.

    Oleh kerana, wanita adalah kaum yang lemah (berdasarkan taksiran cik Mrym Lee), kita seharusnya berurusan dengan cara yang lebih diplomatik, gunakan akta sedia ada sebagai jawapan tegas kepada pelanggan. Yang lemah lembut adalah intonasi suara, bahasa gerak geri, serta ayat yang diguna pakai.


    BalasPadam
    Balasan
    1. Nak tulis pjg2 buatla dkt blog sendiri. Kl x pun pegila komen dkt page mrym lee depan2. Ko ni kira mengumpat belakang tau x?

      Padam
    2. Alahai! apa salahnya Aiskrim.

      Mrs. A baca je komen si Biskut tu.

      #tolongjangankecam

      Padam
  4. yep. gua setuju dgn noooobb. ko nak mkn xnak puasa itu hak kau la. tapi all about respect. hormat. bini aku pun xmakan depan aku time dia uzur. . & masa aku musafir jadi rider 8jam atas jalan raya pun. xda aku kemaruk nak mkn depan org. pandai2 la simpan..

    -masked rider-

    BalasPadam
  5. senang cerita jangan lah buat sesuatu yg blh menimbulkan fitnah..

    BalasPadam
  6. wahaha..artikel ni nasihat ada, analogi lawak tp mudah paham pun ada..
    tolonglah viralkan artikel ni berooo...
    biaq suma org lapang dada sikit..huhu

    BalasPadam
  7. Ia sebenarnya bukan isu boleh atau tidak, atau tentang kita berhak atau tidak.
    Ia adalah tentang adab sopan.
    Tentang toleransi.
    Tentang hormat-menghormati.
    Tentang respek.
    Tentang memberi contoh tauladan yang baik.

    i love this!!!

    BalasPadam
  8. Kalau ibu kita x puasa pun dia senyap2 makan depan anak kecik mereka.....bg sy ini lebih kpd isu respect other people. Xde peruntukan undang2 kalau anda x respect org...tp kita hidup dlm masyarakat, bukan hidup sorg.

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.