Isnin, 26 Jun 2017

5 Secebis memoir di majlis reunion raya sekolah

Memoir Reunion Raya, mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Man yang hadir ke majlis reunion raya bersama rakan-rakan sekolah rendah. Ini kali pertama dia berjumpa dengan rakan sekolah rendahnya setelah terpisah hubungan selama hampir 18 tahun. Pada mulanya majlis reunion tersebut mencetus sebuah kenangan pahit yang dia mahu lupakan, namun semuanya berubah apabila dia bertemu semula dengan seorang rakan perempuan yang juga kawan rapatnya ketika di bangku sekolah dahulu.

Apakah yang bakal berlaku setelah mereka bertemu kembali?



Ahad, 25 Jun 2017

1 Inkramadan Hari 30: Kemenangan

Inkramadan Hari 30: Kemenangan

Hari Raya Aidilfitri hari kemenangan buat umat Islam setelah sebulan berpuasa. Walaupun kita sedih kerana bulan Ramadhan telah meninggalkan kita, namun di hari raya ini kita patut menyambutnya dengan penuh rasa syukur dan gembira. Gunakanlah peluang ini untuk bertemu dengan saudara mara dan sahabat handai agar ukhwah di antara kita akan terus mekar.


Sabtu, 24 Jun 2017

0 Inkramadan Hari 29: Persiapan

Inkramadan Hari 29: Persiapan

Esok Hari Raya, hari ini pasti sibuk dengan pelbagai persiapan akhir untuk menambah seri dan kemeriahan hari raya. Mengemas rumah, menyapu sampah, menggosok baju raya, masak ketupat, lemang dan rendang, masukkan kuih raya dalam balang, pasang langsir, tukar sarung kerusi, sediakan duit raya dalam sampul, pasang pelita dan lampu lip lap serta lain-lain lagi. Kalau yang pulang ke rumah ibu bapa atau mertua, ringankanlah tulang untuk menolong dan membantu, jangan sibuk main mercun, Internet, smartphone, game dan gajet-gajet lain.


Jumaat, 23 Jun 2017

0 Inkramadan Hari 28: Balik Kampung

Inkramadan Hari 28: Balik Kampung

Hari ini ramai orang sudah mula pulang ke kampung halaman masing-masing terutama yang tinggal jauh dari kampung. Ada yang dari utara ke selatan, dari selatan ke utara, dari barat ke timur, dari timur ke barat. Jalan raya dan lebuh raya utama sudah mula sesak. Masa perjalanan pasti akan lebih lama berbanding biasa. Menempuh perjalanan selama 8 ke 15 jam itu perkara biasa, maka bersabar dan bertabahlah. Pastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum bertolak pulang, dan pandulah dengan cermat dan selamat. Elakkan dari menambah statistik kemalangan di musim perayaan ini. Semoga kita semua selamat pulang ke kampung halaman dan selamat kembali semula ke rumah.


Khamis, 22 Jun 2017

0 Inkramadan Hari 27: Mood Raya

Inkramadan Hari 27: Mood Raya

Kita tahu raya tu dah nak dekat bila ramai orang dah dalam mood nak raya walaupun masih ada beberapa lagi hari puasa. Ramai orang dah mula cuti, pejabat dah makin kosong, rasa malas nak bekerja, jalan raya dah kurang sesak, bazar Ramadhan dah semakin kurang gerai, lagu raya dah semakin banyak berkumandang, ucapan raya dah mula di radio, jemaah solat terawih kat masjid dan surau pun sudah semakin kurang orang, bandar dan kedai dah semakin lengang.


Rabu, 21 Jun 2017

1 Inkramadan Hari 26: Lagu Raya

Inkramadan Hari 26: Lagu Raya

Semakin dekat Hari Raya semakin banyak lagu raya diputarkan di corong-corong radio dan pasaraya. Malah setiap tahun pasti meriah dengan kemunculan pelbagai lagu raya yang baru, namun masih ramai yang lebih meminati lagu raya lama, klasik dan evergreen yang tak lekang dek zaman. Kongsikan kepada kami lagu raya yang paling dekat di hati anda.

Selasa, 20 Jun 2017

0 Inkramadan Hari 25: Makanan Yang Ada di bulan Ramadan

Inkramadan Hari 25: Makanan Yang Ada di bulan Ramadan

Bulan Ramadan memang banyak makanan dan minuman yang baru muncul dan senang nak dapat terutama di Bazar Ramadan. Rendang, Nasi Tomato, Ayam Percik, Murtabak, Gulai Kawah, Bubur Lambok, Air Katira dan macam-macam lagi. Apa makanan kegemaran anda di bulan Ramadan ini?


Isnin, 19 Jun 2017

1 Inkramadan Hari 24: Saudara Jauh

Inkramadan Hari 24: Saudara Jauh

Zaman sekarang ahli keluarga sanak saudara ramai yang duduk jauh-jauh. Kadang-kadang dalam setahun, sekali je jumpa masa Hari Raya, itu pun kalau jumpa. Sampaikan ada yang tak kenal dah saudara sendiri sebab jarang sangat berjumpa dan berhubung. Maka gunakanlah Hari Raya ini untuk berjumpa, berkenalan, ziarah menziarahi dan beramah mesra dengan saudara mara agar tidak terputus ikatan kekeluargaan dan silaturahim.


Ahad, 18 Jun 2017

0 Inkramadan Hari 23: Tadarus

Inkramadan Hari 23: Tadarus

Tadarus Al-Qur’an pada asasnya bermaksud membaca Al-Qur’an di hadapan seseorang yang dapat mengawasi bacaan itu daripada sebarang kesilapan dari sudut bacaan, tajwid dan sebagainya yang biasanya dilakukan secara berkumpulan. Amalan tadarus merupakan salah satu ibadat penting yang diberi tumpuan oleh Rasulullah s.a.w. dalam bulan Ramadhan.


Sabtu, 17 Jun 2017

0 Bijak akademik tidak semestinya berakhlak

Bijak akademik tidak semestinya berakhlak dan beradab.
Tidak bijak akademik tidak semestinya tidak berakhlak dan tidak beradab.

Masa sekolah rendah keputusan UPSR 5A, dapat masuk Sekolah Berasrama Penuh, MRSM, tapi masih ada kes buli di situ. SPM dapat keputusan cemerlang, kemudian masuk universiti, masih lagi ada kes buli.

Yang masuk sekolah asrama, MRSM, universiti, semua tu bukan budak-budak tak pandai, semua pandai-pandai, jenis belajar punya orang. Kalau tak belajar punya orang, macam mana boleh masuk semua tu. Tapi walau semua tu budak-budak pandai tapi masih ada kes buli, sama ada buli fizikal, mental, emosi, malah ada yang sampai tahap mendera dan membunuh pun.


0 Inkramadan Hari 22: Malam Lailatul Qadar

Inkramadan Hari 22: Malam Lailatul Qadar

Terdapat satu malam, dalam 10 malam terakhir di bulan Ramadhan iaitu Malam Lailatul Qadar. Malam yang penuh rahmat dan nikmat. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka penuhkanlah 10 malam terakhir bulan Ramadhan dengan amal ibadah dan usah lepaskan peluang ini dengan melakukan perkara yang sia-sia.


Jumaat, 16 Jun 2017

0 Inkramadan Hari 21: Menyantuni yang Kurang

Inkramadan Hari 21: Menyantuni yang Kurang

Jika setiap hari kita mampu bersahur dengan nasi, berbuka puasa dengan pelbagai juadah enak, membeli belah pakaian dan barangan baru untuk menyambut Hari Raya, pasti ada golongan kurang bernasib baik yang hanya mampu bersahur dengan air kosong, berbuka dengan biskut dan memakai pakaian yang sama seperti raya tahun-tahun sebelumnya.

Oleh itu marilah kita ambil peluang bulan Ramadan ini untuk menyantuni golongan ini dengan menghulurkan bantuan, sedekah, amal jariah dan sebagainya agar dapat meringankan beban mereka.


Khamis, 15 Jun 2017

2 Inkramadan Hari 20: Juadah Kegemaran

Inkramadan Hari 20: Juadah Kegemaran

Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan pelbagai jenis makanan dan masakan namun adakalanya agak sukar untuk dicari. Namun menikmati juadah kegemaran pada bulan Ramadan menjadi lebih mudah kerana kebanyakannya boleh didapati di bazar Ramadan seluruh negara. Ada tak juadah kegemaran anda di sini? Kongsikan kepada kami juadah kegemaran anda.


Rabu, 14 Jun 2017

0 Inkramadan Hari 19: Menghulurkan Tangan

Inkramadan Hari 19: Menghulurkan Tangan

Dalam bulan Ramadan ini janganlah kita lupa untuk menghulurkan tangan kepada mereka yang memerlukan, sama ada dalam bentuk wang ringgit, makanan, tenaga, masa dan sebagainya, malah bersedekah dalam bulan puasa ini ganjarannya berlipat kali ganda, maka usah lepaskan peluang. Jangan lupa juga untuk menunaikan zakat fitrah agar golongan susah dapat menyambut hari raya yang bakal tiba ini dengan penuh rasa gembira dan syukur seperti insan yang lain juga.


Selasa, 13 Jun 2017

0 Inkramadan Hari 18: Kenangan

Inkramadan Hari 18: Kenangan

Setiap orang pasti banyak kenangan pada bulan Ramadan ini, kenangan ketika bersahur, berbuka puasa, bertarawih, bermain mercun, berlaku peristiwa kelahiran atau kematian serta macam-macam lagi kenangan sama ada yang manis mahupun pahit, yang gembira atau yang sedih. Walau apa pun kenangan anda bersama keluarga, kawan-kawan dan siapa-siapa sahaja, ia tetap akan kekal terpahat dalam hati dan memori kita sampai bila-bila.


Isnin, 12 Jun 2017

0 Inkramadan Hari 17: Imarahkan Hati

Inkramadan Hari 17: Imarahkan Hati

Imarah membawa erti memakmurkan, membangunkan, menggerakkan atau menghidupkan suasana dengan hal yang berfaedah dan bermanfaat. Namun ramai yang berubah dan membuat kebaikan hanya pada bulan Ramadan semata-mata, namun kembali kepada sikap asal setelah bulan Ramadan pergi. Maka penting untuk kita imarahkanlah hati kita agar kita dapat terus istiqamah beribadah, berbuat kebaikan dan tidak melanggar perintah Allah bukan sahaja di bulan Ramadan malah juga berterusan ke bulan-bulan yang lain.


Ahad, 11 Jun 2017

0 Inkramadan Hari 16: Selepas Berbuka

Inkramadan Hari 16: Selepas Berbuka

Adalah lebih baik jika kita berbuka puasa dengan kurma dan makan secara ringan kemudian menunaikan solat Maghrib dulu, lepas tu sambung semula makan kalau mahu tapi masih jangan terlalu banyak agar kita tidak terlalu kenyang sehingga timbul rasa malas dan tak larat untuk menunaikan solat Isyak dan solat Tarawih.


Sabtu, 10 Jun 2017

1 Inkramadan Hari 15: Ramadhan di Negara Saya

Inkramadan Hari 15: Ramadhan di Negara Saya

Ramadhan di sambut oleh semua umat Islam di seluruh dunia, namun suasananya mungkin berbeza-beza mengikut budaya di sesebuah negara. Di Malaysia, antara yang sudah menjadi kemestian ketika di bulan Ramadhan adalah aneka juadah berbuka puasa yang dijual di bazar Ramadhan, banyak restoran dan hotel menawarkan buffet berbuka, jualan murah di pasaraya, ramai orang jual kuih raya, lagu raya berkumandang di mana-mana apabila hari raya semakin hampir dan macam-macam lagi. Bagaimana pula suasana Ramadhan anda?


Jumaat, 9 Jun 2017

0 Inkramadan Hari 14: Berat Ideal

Inkramadan Hari 14: Berat Ideal

Kita berpuasa di bulan Ramadan adalah kerana perintah Allah, malah banyak hikmah dan juga manfaat lain dalam kita menunaikan ibadah puasa ini, antaranya adalah mengurang dan mengawal pemakanan ketika berbuka dan bersahur. Oleh itu boleh ambil peluang berpuasa sebulan ini untuk mendapatkan berat yang ideal. Boleh rujuk carta BMI (Body Mass Index) untuk menyemak berat ideal berdasarkan ketinggian kita.


Khamis, 8 Jun 2017

0 Inkramadan Hari 13: Ibadah

Inkramadan Hari 13: Ibadah

Bulan Ramadhan adalah bulan Ibadah, bulan berbuat baik, bulan kebaikan, bulan simpati, bulan pembebasan dari neraka, bulan pahala amalan berlipat ganda,dan bulan kemenangan ke atas nafsu. Maka ambil dan manfaatkan peluang ini untuk membuat lebih banyak amal ibadah dan kebajikan.


Rabu, 7 Jun 2017

0 Inkramadan Hari 12: Jimat Belanja

Inkramadan Hari 12: Jimat Belanja

Sepatutnya bulan Ramadan ini kita menjadi semakin jimat berbelanja, namun seperti sudah menjadi kebiasaan kita perlu banyak berbelanja pula ketika bulan puasa. Banyak belanja di pasar Ramadan untuk membeli juadah berbuka, banyak belanja nak beli baju raya, kuih raya, langsir raya, sofa raya, kereta raya dan macam-macam lagi.

Tak salah nak berbelanja, tapi ikutlah pada keperluan dan kemampuan, jangan ikutkan sangat pada kemahuan, kerana bukan sahaja boleh mengundang pembaziran, malah silap hari bulan terpaksa menanggung pula hutang sebab dah tak cukup duit.


Selasa, 6 Jun 2017

0 Inkramadan Hari 11: Tarawih

Inkramadan Hari 11: Tarawih

Dalam bulan Ramadan ini sudah menjadi amalan umat Islam untuk menunaikan solat sunat Tarawih sebanyak 8 atau 20 rakaat di surau atau masjid pada malam hari selepas solat Isyak. Harap kita terus istiqamah mengerjakan solat Tarawih walaupun hari raya sudah semakin hampir.

Dan diharap juga yang pergi ke surau dan masjid itu memang nak tunaikan solat Tarawih, bukan nak main mercun, nak bersembang dengan kawan, nak makan moreh semata-mata, nak curi kasut selipar orang dan yang sewaktu dengannya. Janganlah jadi orang yang dalam kerugian.


1 Sebuah kenangan cinta di bazar Ramadan

Cinta Bazar Ramadan, mengisahkan tentang seorang penjual air minuman di bazar Ramadan yang berjumpa semula dengan rakan lamanya dari kecil, seorang gadis Cina yang telah terpisah hubungan dengannya selama lebih dari 10 tahun, lalu mengusik kembali kenangan lalu.

Adakah perasaan cinta lama mereka akan berputik kembali?


Isnin, 5 Jun 2017

1 Inkramadan Hari 10: Makanan Seimbang

Inkramadan Hari 10: Makanan Seimbang

Di bulan puasa ini pastikan kita makan makanan yang seimbang ketika berbuka dan bersahur untuk pastikan badan kita mendapat khasiat yang secukupnya. Jangan makan terlalu banyak makanan yang boleh memudaratkan kesihatan kita. Nak tau apa itu makanan seimbang boleh rujuk piramid makanan.


Ahad, 4 Jun 2017

0 Inkramadan Hari 09: Membazir

Inkramadan Hari 09: Membazir

Masa puasa bila tengok macam-macam jenis makanan kat bazar Ramadan kalau ikut nafsu memang akan nak beli je pelbagai jenis juadah, tapi bila berbuka biasanya tak habis pun, akhirnya sama ada masuk peti ais simpan sampai berhari-hari atau masuk tong sampah.


Sabtu, 3 Jun 2017

0 Inkramadan Hari 08: Istiqamah

Inkramadan Hari 08: Istiqamah

Nak berazam dan berniat untuk melakukan kebaikan itu mudah. Nak lakukan amal ibadah itu mudah. Nak berhijrah meninggalkan kemungkaran itu juga mudah. Namun cabaran sebenar yang paling sukar adalah kekal istiqamah melakukan amal ibadah dan kebaikan secara berterusan serta tidak kembali melakukan kemungkaran yang telah ditinggalkan itu. Bersamalah kita berusaha untuk istiqamah.


Jumaat, 2 Jun 2017

0 Inkramadan Hari 07: Sabar

Inkramadan Hari 07: Sabar

Berpuasa ini bukan sahaja menguji kesabaran kita untuk menahan diri dari makan di siang hari, malah menguji kesabaran kita dalam segala hal. Kalau sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga tapi masih membuat dosa, mengeji, mengumpat, memaki hamun, bergaduh dan sebagainya, maka tiada maknalah puasa kita. Dan jangan juga kita hanya bersabar di siang hari tetapi lepas berbuka terus hilang sabar itu.


Khamis, 1 Jun 2017

1 Inkramadan Hari 06: Tips Puasa

Inkramadan Hari 06: Tips Puasa

Tips untuk kekal cergas dan bertenaga serta kurangkan rasa lapar ketika berpuasa ini salah satunya adalah jangan terlepas untuk bersahur. Bersahur tak perlu makan berat-berat sangat, yang penting makan kurma kerana ia kaya dengan serat dan mengandungi khasiat yang banyak. Jangan lupa juga minum banyak air putih untuk mengelakkan dehidrasi.