Pernahkah anda rasa kesedihan, kesakitan, kesepian, kekecewaan yang teramat dalam sehingga anda tidak mampu lagi untuk mengukir senyuman di wajah anda?
Pernahkah anda rasa putus asa dengan masyarakat, orang sekeliling dan tidak mahu lagi berbuat kebaikan kerana anda jarang menerima kebaikan dari orang lain?
Pernahkah anda rasa sangat benci pada orang lain hingga anda rasa lebih baik anda hidup mementingkan diri daripada terpaksa menyusahkan diri membantu orang lain?
1. Dalam dunia ini manusia wujud dalam pelbagai sifat, sikap, perangai, mentaliti, dan mereka semua ini ada di sekeliling kita. Tiada seorang pun manusia yang sama dengan manusia yang lain, kerana kita mempunyai akal, naluri, jiwa yang berbeza-beza, yang menjalani kehidupan yang berlainan antara satu sama lain.
2. Ada orang yang membawa aura positif, yang baik, yang naif, yang lurus, yang berakhlak, yang ramah, yang pendiam, yang empati, yang bertolak ansur, yang menjaga hati dan sebagainya.
3. Namun akan ada juga orang yang negatif, yang jahat, yang nakal, yang pentingkan diri, yang tiada empati, yang panas baran, yang mulut celupar, yang suka cakap belakang dan sebagainya, yang pasti akan mendatangkan kesakitan dan merosakkan hari kita.
4. Bukan mudah untuk berhadapan dan berurusan dengan orang yang negatif. Kita tidak mampu untuk mengawal dan mengubah orang lain, jadi cara paling baik untuk menangani mereka adalah dengan mengelak dan menjauhkan diri daripada mereka.
5. Cuba elakkan dari sekumpulan dengan mereka, bekerja dengan mereka, keluar dengan mereka, berbual dengan mereka, berbincang dengan mereka, berdebat dengan mereka, malah block sahaja mereka dari media sosial kita. Cari jalan untuk kurangkan peluang mereka untuk menyakiti kita.
6. Namun sejauh mana kita cuba mahu mengelak dari berjumpa orang yang negatif, mereka ini tetap akan kita jumpa dalam kehidupan seharian dan tak boleh lari dari berurusan dengan mereka. Kita akan jumpa mereka di sekolah, di universiti, di kelas, di tempat kerja, di kawasan perumahan, di tempat awam, di jalan raya, malah mungkin di dalam rumah kita sendiri.
7. Mereka boleh jadi kawan kelas kita, rakan sekerja kita, ketua kita, anak buah kita, pelanggan perniagaan kita, anak murid kita, guru kita, jiran kita, orang asing yang kita jumpa di media sosial, malah mungkin ahli keluarga kita sendiri.
8. Malah tanpa kita sedari, mungkin orang negatif yang orang lain cuba elak itu, adalah diri kita sendiri.
9. Itulah realiti dunia yang terpaksa kita faham dan hadap. Walaupun kita sentiasa berbuat kebaikan, namun pasti ada yang melakukan kerosakan. Walaupun kita sentiasa mahu menghulurkan tangan, pasti ada yang membalas dengan menghulurkan mata pisau.
10. Bayangkan sedang kau dalam perjalanan ke tempat kerja, kau terserempak dengan orang yang jatuh motor. Atas rasa belas kasihan dan kebaikan dalam diri, kau berhenti dan hulurkan bantuan.
11. Namun insiden itu membuatkan kau tiba lambat di tempat kerja. Sampai sahaja di pejabat kau terus dimarahi oleh bos kau. Walaupun kau dah cuba memberikan sebab yang kukuh, kau terus dimaki. Padanya sifat perikemanusiaan kau tiada nilai dan tempat dalam syarikat. Kau berada di tempat kerja awal itu lebih penting dari kau berada di jalan raya membantu orang yang tidak dikenali dalam kesusahan.
12. Lalu di sinilah mulanya tercetus konflik dalam diri. Kau boleh terus tersenyum dan membuat kebaikan, atau berubah menjadi insan yang teruk dan pentingkan diri.
13. Aku yakin tidak ramai yang akan memilih pilihan pertama dan lebih ramai memilih pilihan kedua, lebih-lebih lagi apa ia melibatkan periuk nasi kita. Siapa yang sanggup korbankan punca pendapatan kita semata-mata untuk membantu orang yang tidak dikenali yang sedang dalam kesusahan?
14. Hanya disebabkan satu aura negatif dari seorang bos yang tiada empati dan tidak berperikemanusiaan, ia terus merebak dan menjangkiti anak buahnya, dan kemudian turut menjangkiti orang lain. Amat malang bukan?
15. Kadang-kadang kita lihat seseorang itu gembira, bahagia dan sentiasa tersenyum di depan kita, namun siapa tahu di sebalik senyumannya itu terselindung seribu satu kesedihan, kesakitan dan kepedihan. Tatkala tiada orang melihatnya, hanya air mata yang menemani hari-harinya.
16. Lebih malang lagi jika kitalah yang menjadi penyebab dan punca kepada kesusahan dan kesakitan orang lain. Kau mungkin tak rasa apa, tapi kau akan tinggalkan kesan yang sangat dalam pada orang yang kau sakiti, yang mungkin akan terpahat dalam ingatan untuk sepanjang hayatnya.
17. Sebab itu aku harap, walau macam mana kejamnya pun dunia ini, janganlah kita terus terpedaya dan mengikuti arus negatif yang sentiasa ada di sekeliling kita. Ia dah terlalu banyak, kita tak perlu menambahkan lagi bilangannya.
18. Apa yang kita perlu adalah sebarkan aura yang positif. Pengaruh orang sekeliling kita agat menjadi orang yang baik. Tunjukkan sikap yang baik agar ia menjadi contoh dan ikutan, walaupun mungkin akan ada orang yang membenci dan mengkeji.
19. Kalau kita seorang ibu bapa, jadilah ibu bapa yang boleh menjadi role model yang baik pada anak-anak. Jika kita seorang guru, jadilah guru yang boleh menjadi inspirasi pada anak murid. Jika kita seorang bos, jadilah bos yang boleh disenangi dan disegani pekerja bawahan.
20. Ibu bapa yang baik akan melahirkan ibu bapa yang baik. Cikgu yang baik akan mewariskan insan yang baik. Bos yang baik akan membentuk bos yang baik, pada masa akan datang, oleh generasi akan datang, dan seterusnya. Begitu juga sebaliknya, jika kita berbuat jahat pada orang, kita hanya akan melahirkan lebih ramai orang yang jahat di muka bumi ini.
21. Walau apa jua dugaan yang melanda, teruskanlah berbuat baik kepada orang lain walaupun hati kita sedang tersakiti, kerana kita tidak perlu pun sakiti hati mereka juga hanya kerana hati kita sakit.
22. Kita tidak mampu untuk mengawal dan ubah orang lain, tapi kita mampu untuk kawal dan ubah diri kita menjadi insan yang baik.
23. Jadilah manusia yang menjadi sinar cahaya kepada orang lain, yang sentiasa diingati kerana kebaikan, bukan manusia yang menjadi titik hitam dalam hati orang lain, yang sentiasa didendami kerana kejahatan kita.
24. Akhir kata, usah biarkan dunia mengubah senyuman dan kebaikanmu, sebaliknya biarlah senyuman dan kebaikanmu mengubah dunia ini.
P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.
tags: manusia dunia ubah senyuman kebaikan kejahatan quota mutiara kata hikmah arus aura negatif positif kejam
nak bisjut?
BalasPadamTerbaik..terima kasih atas penulisannya...sgt bermotivasi..
BalasPadam