1. Sukacita ingin saya kongsikan yang setakat ini channel Youtube Buasir Otak TV telah mencapai milestone 32K Subs, 7.5M Views dan 350 Uploads.
2. Saya sendiri tak sangka saya dah buat 350 video animasi sejak saya mula buat channel Youtube hampir 2 tahun lepas pada 25 Ogos 2019. Nak sampai tahap ini bukannya mudah. Untuk membuat content secara konsisten, ia perlukan terlalu banyak kegigihan dan kesabaran.
3. Imbas kembali, saya masih ingat lagi masa awal-awal dulu saya biasa terima komen yang berupa ejekan dan hinaan terutama dari budak-budak seperti "kartun bodoh" atau "kartun kau cringe" dan sebagainya.
4. Ya, sejujurnya bila saya tonton balik video yang saya buat masa awal-awal dulu, saya sendiri rasa sangat cringe. Malahan video yang baru dibuat semalam pun, hari ini saya tengok balik dah rasa cringe.
5. Tak dinafikan juga kartun yang saya buat ni memang kartun bodoh. Ye lah, dah lah lawak merepek merabu meraban, animasi pula cuma boleh gerak muka dan kepala je. Badan, tangan dan kaki, semua tak boleh gerak.
6. Jadi bila ada budak komen "bang, tangan memang tak boleh gerak ke?", atau "bang, nanti buat la kartun macam Upin Ipin", saya rasa macam nak menangis. Nak gerak apanya, buat kartun pakai app AR Emoji je. Dengan situasi saya sekarang, itu je cara yang bagi saya paling senang dan cepat nak buat sebuah animasi pendek dengan cerita yang simple.
7. Dari dulu lagi saya suka buat cerita, sebab tu dulu saya rajin menulis. Lepas tu saya mula buat cerita melalui komik. Tapi kemahiran melukis saya sangat rendah, jadi saya lebih selesa menjadi penulis cerita komik yang dilukis pelukis lain.
8. Jadi bila saya mula nak berjinak membuat Youtube, content yang saya terfikir nak buat adalah buat cerita sketsa pendek seperti LuqmanPodolski, Kokom, MTAS, ASA, Syahmi Sazli, Alieff Irfan, Asyraf Rozami dan sebagainya.
9. Cuma isunya, saya tak pandai berlakon, takde bakat berlakon, takde penampilan dan perwatakan yang menarik, dan tak mahu tunjuk muka. Jadi solusinya, buat cerita dalam bentuk animasi.
10. Tetapi nak buat animasi pula bukan mudah. Kalau nak buat animasi 2D boleh je guna software macam Animate CC atau app yang free macam FlipaClip, cuma isunya kena lukis frame by frame yang perlu mengambil masa panjang.
11. Nak buat animasi 3D pula ada macam-macam app dan software seperti Blender, Maya dan sebagainya, tapi still ambil masa yang panjang untuk buat animasi, tambah pula nak belajar semua tools tu juga dah ambil masa yang panjang.
12. At the end, saya memilih guna app AR Emoji Samsung je memandangkan ia guna teknologi face tracking yang membolehkan saya menyiapkan cerita dengan cepat.
13. Malah disebabkan nak cepat lagi, kebanyakan video saya sendiri lah yang buat skrip, berlakon, rakam suara dan edit video. Cepat memang cepat, tapi hasilnya terlahirlah animasi cringe dengan tangan kaki semua tak boleh gerak dan suara watak semau pelat R.
14. Masa mula-mula dulu rasa malu juga dengan hasil kerja sendiri, apatah lagi bila baca komen-komen negatif dari budak-budak pula tu, tapi bila fikir balik, budak-budak tu bukan audien sasaran saya, lagipun lantak lah orang nak cakap apa, hidup kita bukan ditentukan oleh mereka. Malah kalau kita tak mula buat, sampai bila-bila kita takkan belajar sesuatu dan takkan peroleh pengalaman.
15. Pada peringkat permulaan, banyak cerita yang saya buat bertemakan lawak orang dewasa, kerana target audien pada asalnya adalah orang dewasa. Tapi dah nama pun kartun, lama kelamaan budak-budak yang lebih ramai tertarik untuk tonton.
16. Maka saya pun ubah direction untuk buat lebih banyak cerita yang lawaknya lebih kebudak-budakan untuk menarik lebih ramai audien budak-budak. Cuma tak sangka juga ada ramai budak-budak yang boleh menerima "kartun bodoh dan cringe" yang saya buat.
17. Ya, memang ada orang yang memandang rendah sebab kita buat content untuk budak-budak, tapi bila fikir-fikir balik, kebanyakan content budak-budak memanglah orang dewasa yang buat.
18. Buku cerita kanak-kanak, orang dewasa yang tulis. Komik budak-budak macam Doraemon, orang dewasa yang buat. Kartun macam Upin Ipin, Boboiboy dan Ejen Ali, orang dewasa yang hasilkan. Jadi apa masalahnya kalau buat content budak-budak pun?
19. Cuma apa yang saya belajar dalam beberapa minggu ini, kalau nak buat Youtube, anda buat lah content apa pun yang anda selesa. Nak buat content campur-campur ke, content niche ke, terpulang.
20. Tapi kalau dalam banyak-banyak video yang anda hasilkan, tiba-tiba ada satu video yang dapat banyak secara luar biasa views, anda kena fokus untuk hasilkan content yang related dengan video tu, sebab ramai audien mula berminat pada content video yang anda hasilkan tu.
21. Seperti contoh dalam video anda ada content memasak, memancing, review produk, sketsa, vlog, gaming, tutorial dan sebagainya, tapi tiba-tiba ada satu video pasal anda cerita teknik jimat elektrik tiba-tiba meletup banyak views, maka itu lah yang menjadi kekuatan content anda yang sebenar, dan anda kena banyakkan content yang berkaitan dengan teknik jimat elektrik.
22. Macam saya sendiri walaupun saya buat animasi, tapi views video-video saya tak sekata. Ada yang sampai boleh mencapai ratusan dan puluhan ribu views, ada juga yang nak dapat 3 ribu views pun merangkak.
23. Jadi bila tiba-tiba ada video animasi saya yang tiba-tiba secara luar biasanya dapat banyak views, saya kena banyakkan topik cerita seperti itu dengan buat Part 2, Part 3, Part 4 dan seterusnya, sebab saya tahu ramai orang yang datang channel saya ada yang semata-mata nak tengok cerita pasal topik je, topik lain dia tak peduli.
24. Sebelum saya mengakhiri penulisan ini, kita ada 7.6 billion penduduk bumi. Kalau kita buat content berbentuk antarabangsa yang boleh difahami oleh semua penduduk bumi, audien sasaran kita lebih besar, namun persaingan kita juga semakin besar dan sengit.
25. Jadi kita boleh je buat content dalam Bahasa Melayu, tapi jangan sasarkan content kita setakat untuk market audien di Malaysia sahaja, kerana populasi Malaysia hanya ada 32 juta orang sahaja.
26. Ingat, bukan kita sahaja yang boleh bertutur dan memahami Bahasa Melayu, tetapi juga seluruh alam Nusantara iaitu orang Indonesia, Singapura, Brunei dan sebahagian besar Thailand. Jadi kalau campur populasi semua negara tu, kita sebenarnya boleh dapat market audien yang jauh lebih besar.
27. Ambil contoh animasi Upin dan Ipin yang dihasilkan oleh Les' Copaque. Yang menjadikan fan-based mereka sangat besar sehingga mereka menjadi channel Malaysia pertama yang memperoleh Diamond Play Button dari Youtube dengan mencapai 10 juta Subscribers, adalah peminat dari Malaysia, Indonesia dan seantero Nusantara.
28. Ya, saya tahu bukan mudah nak memperoleh pencapaian seperti Upin Ipin. Jangan kata Upin Ipin, nak dapat sebaris dengan Big 3 Youtuber Animasi Malaysia iaitu Wan Animation, Sumie Azil dan Wanmars pun rasanya jauh sangat lagi.
29. Impian saya dalam Youtube ini asal dapat merasa Silver Play Button dengan pencapaian 100 ribu Subscribers pun dah cukup bermakna, tapi tak tahu lah sempat dapat atau tidak, memandangkan umur saya pun dah 40 tahun. Entah 10 tahun lagi ke, entah mungkin tak sempat langsung nak merasa, saya pun tak tahu.
30. Akhir kata, kepada yang berjaya baca sampai point ke-30 ini, saya harap anda dapat sesuatu dari penulisan saya ini. Saya ucapkan terima kasih kepada sesiapa yang masih sudi menyokong saya sehingga kini, dan selamat maju jaya kepada anda semua juga.
Sekian.
P/S: Mohon
rakan-rakan dapat bagi sokongan dan semangat kepada saya untuk buat
lebih banyak video dengan Subscribe channel Buasir Otak TV di Youtube (klik gambar di bawah):
tags: video
buasir otak tv animasi animation
anime cartoon parodi parody lawak kartun bodoh cringe pencapaian subscribers views uploads tubebuddy tutorial tips teknik perjalanan kisah channel youtube
Terbaik bro. Tahniah
BalasPadamterima kasih ya
Padam