Khamis, 24 Februari 2022

0 Pengalaman barang sendiri dibakar depan mata

1. Isu ni dah berlalu beberapa hari lepas. Kejadian ini bukanlah berlaku di Malaysia tetapi di negara lain. Tapi bila tengok video ini, ia mengimbas kembali perasaan anxiety aku zaman sekolah dulu. Ya, aku faham sangat perasaan itu.

2. Terlebih dahulu apa yang aku tulis ini bukanlah aku nak kecam sangat tindakan guru tu atau backing murid yang bawa phone tu, cuma sekadar nak berkongsi sebuah pengalaman pahit aku sebagai seseorang yang pernah menjadi pelajar.

3. Masa kat sekolah asrama zaman 90-an dulu, aku dan kawan-kawan ramai yang bawak komik dan majalah pergi prep malam macam komik Dewata Raya, Pendekar Laut, Alam Perwira, Dragon Ball, Slam Dunk, majalah Ujang, majalah game dan sebagainya.

4. Biasalah kehidupan asrama zaman pasca millenium, zaman sebelum telefon bimbit menjadi kebiasaan dan zaman sewaktu Internet baru nak bermula, apa sangatlah yang kami boleh buat untuk menghiburkan diri selain dari belajar, belajar dan belajar. Jadi baca komik inilah antara hiburan kami untuk meredakan stress belajar.

5. Suatu hari, cikgu warden buat spot check masa prep malam, semua komik dan majalah yang kami bawa kena rampas. Lepas tu dia buat pula spot check kat asrama selongkar semua beg pakaian. Semua seluar jeans yang ada dalam beg kena rampas.

6. Seluar jeans memang tak boleh dipakai kat sekolah atau asrama. Biasanya pelajar akan pakai bila waktu nak balik rumah waktu cuti sekolah, sebab kebanyakan pelajar duduk beratus kilometer dari sekolah asrama, kena naik tukar bas berkali-kali, naik keretapi dan sebagainya, jadi mereka takkan nak pakai baju batik dari sekolah sampai rumah. Silap-silap sampai stesen bas Pekeliling atau Puduraya habis terus kena pau.

7. Berbalik kepada rampasan tadi, kami harap warden akan simpan dan pulangkan balik bila waktu cuti sekolah. Sebaliknya, semua pelajar dipanggil berkumpul di dataran, kemudian segala komik, majalah dan seluar jeans hasil rampasan dilonggokkan lalu dibakar depan mata kami, seolah-olah semua benda tu suatu yang sangat negatif dan memberi pengaruh buruk pada kami. Ya, memang yang dibakar itu sekadar buku dan pakaian, tapi semua tu dibeli dengan wang sendiri yang diberi ibu bapa.

8. Sejujurnya, kejadian itu tak pernah memberi apa-apa pengajaran kepada aku. Aku tak pernah rasa berterima kasih kepada beliau atas tindakan itu, malah ia hanya membuatkan kami tak suka pada guru warden tersebut sahaja. Dan aku juga tak pernah rasa peristiwa itu suatu yang aku boleh bangga untuk di"brag" kepada generasi muda seperti "Alah budak sekarang manja sangat baru kena sikit tak tahan. Zaman aku dulu bla bla bla...".

9. Budak zaman sekarang ada banyak platform tempat mengadu. Zaman dulu tak banyak tempat nak mengadu dan luah masalah. Adakalanya kawan-kawan rapat yang jadi pendengar setia, tapi kebanyakannya cuma sekadar simpan dalam hati. Aku yakin kalau pada zaman 80-an, 90-an pun dah wujudnya smartphone, Internet, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan sebagainya, nescaya kita akan buat juga apa yang budak generasi sekarang buat.

10. Tapi ini bukan bermakna aku tak suka pada semua cikgu. Ramai cikgu zaman sekolah dulu yang aku suka dan sangat berterima kasih sebab mendidik aku. Cuma ada lah seorang dua individu cikgu yang meninggalkan parut dalam hati yang mungkin aku boleh maafkan tapi sukar untuk aku lupakan.

Sekian.


P/S: Mohon rakan-rakan dapat bagi sokongan dan semangat kepada saya untuk buat lebih banyak video dengan Subscribe channel Buasir Otak TV di Youtube (klik gambar di bawah):






tags: cikgu guru bakar phone telefon bimbit smartphone iphone komik majalah seluar jeans spot check prep malam

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.