Halaman

Rabu, 22 November 2017

Pendidikan itu kewajipan bukan pertandingan

Cuti sekolah bakal menjelma tak lama lagi. Semua pelajar sekolah telah menduduki peperiksaan akhir tahun beberapa minggu lepas dan telah pun memperoleh keputusan. Ada yang cemerlang dapat banyak A, ada yang corot dapat banyak E. Ada yang mendapat nombor depan dalam kelas, ada yang dapat nombor belakang dalam kelas. Ada yang dah naik pentas dapat hadiah, ada yang tak datang majlis anugerah kecemerlangan pun sebab tak dapat hadiah. Dari dulu lagi pun sistem pendidikan kita memang macam ni, sejak zaman mak bapak kita masih budak-budak, zaman kita masih kanak-kanak sekolah sehingga zaman anak-anak kita.

Menariknya, ada orang kongsikan di media sosial keputusan peperiksaan akhir tahun anaknya yang memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran, namun masih mendapat nombor 22/32 dalam kelas, dan nombor 93/357 dalam darjah. Kalau semua A pun masih dapat nombor belakang-belakang, rasanya yang dapat nombor 1 dalam kelas dan darjah markahnya semua 100 mungkin. Boleh jadi murid yang mendapat nombor 200 dalam darjah pun masih banyak bilangan A.



Aku agak sekolah murid tersebut kemungkinan besar sekolah di kawasan bandar, atau sekolah bestari, atau sekolah cemerlang dan yang sewaktu dengannya, di mana nak masuk sekolah tu memang dia buat ujian tapisan, hanya yang lepas ujian dengan cemerlang je boleh masuk. Malah kebanyakan ibu bapa mungkin dari golongan pertengahan atas dan kaya yang sangat menitik beratkan pendidikan akademik dan mampu menghantar anaknya ke kelas tusyen.

Sekarang perhatikan keputusan peperiksan akhir tahun murid lain di sekolah lain berikut yang dikongsikan juga di media sosial. Keputusan yang sederhana dan cukup makan, namun masih boleh memperoleh tempat 3/35 dalam kelas dan nombor 103/301 dalam darjah. Kemungkinan sekolah pelajar berikut adalah sekolah pinggir bandar atau luar bandar, yang murid-muridnya rata-rata datang dari keluarga yang susah dan pertengahan rendah, yang ibu bapanya tidak begitu kisah tentang pencapaian akademik anaknya, atau tidak mampu untuk menghantar anak-anaknya ke kelas tusyen.


Dua keputusan, murid yang berbeza, sekolah yang berbeza, kisah yang berbeza. Kedudukan dalam darjah pelajar ini tidak jauh beza dengan pelajar yang sebelum ini. Seorang mendapat nombor 93 dalam darjah, seorang lagi memperoleh nombor 103 dalam darjah, tetapi keputusan dan gred yang diperoleh sangat jauh berbeza. Boleh kata kalau murid yang pertama itu masuk sekolah murid kedua, dia mesti boleh dapat nombor depan-depan, sekurang-kurangnya 10 nombor terdepan dalam darjah. Dalam kelas mungkin senang-senang boleh dapat nombor 1 hingga 3, boleh naik pentas dapat hadiah.

Maka apa sebenarnya masalah di sini?

Aku taknak sentuh pasal hal dasar dan sistem pendidikan itu ini, kepentingan bilangan A itu ini, relevan peperiksaan sebagai ukuran dan penanda aras itu ini, kerana benda itu agak kompleks dan aku sudah pun banyak kali tulis sebelum ini. Untuk artikel ini, kita lihat pada masalah dan solusi jangka pendek ini sahaja dulu.

Masalah sebenar di sini adalah sistem nombor dan kedudukan murid mengikut markah dan gred.

Kerana apa?

Kerana sistem kedudukan ini tak memberi makna dan gambaran apa-apa pun kepada seseorang pelajar. Malah ia tak menggambarkan pencapaian akademik sebenar seseorang murid. Kewujudan sistem nombor ini bukan untuk mengukur prestasi seseorang murid, sebaliknya hanya untuk membandingkan antara seorang murid dengan murid yang lain.

Maka kenapa kita perlu membandingkan murid antara satu sama lain, sedang kita seharusnya tidak wajar membandingkan diri seseorang dengan seseorang yang lain. Mengambil peperiksaan sepatutnya adalah untuk mengukur kemampuan seorang individu, bukan demi untuk mengalahkan orang lain. Kita tak suka orang bandingkan kita dengan orang lain, tak suka bandingkan anak kita dengan anak orang lain, tapi sistem nombor ini bertujuan sebaliknya.

Malah sistem nombor langsung tidak relevan kepada tahap pencapaian pelajar di sekolah. Kalau ada 100 orang yang sangat cemerlang, maka seharusnya semua 100 orang ini layak diiktiraf pencapaian mereka, tanpa perlu ada yang terpaksa diletak di nombor terakhir walau dia juga sangat cemerlang dalam peperiksaan. Bayangkan apa perasaan orang yang bersusah payah berusaha mendapat keputusan cemerlang namun diiktiraf sebagai nombor terakhir. Dia pasti akan sedih dan boleh membawa kepada kekecewaan dan putus asa kerana semua pesaingnya pun sangat hebat-hebat belaka.

Kalau ada 100 orang pula yang sangat lemah, maka apa guna diiktiraf orang yang paling sikit corotnya dari yang corot mendapat nombor 1, sedangkan keputusannya pun memang corot? Bayangkan apa pula perasaan orang yang corot tetapi mendapat nombor 1 hanya kerana corotnya kurang sedikit sahaja dari orang lain? Dia pasti akan berpuas hati dan merasa selesa hingga tidak lagi perlu berusaha kerana bersaing dengan orang-orang yang sama corot, malah dengan keputusannya yang teruk itu pun dia tetap boleh memperoleh kedudukan yang tinggi.

Ya, kita mungkin boleh cakap, nombor tak penting, yang penting gred. Tapi dengan kewujudan sistem kedudukan, ia akan menjadi elemen yang sangat penting untuk membanding-bandingkan murid-murid sekolah.

Seorang murid bila berjumpa murid yang lain, mereka akan tanya nombor berapa mereka dapat.
Seorang pakcik akan tanya pada anak saudaranya nombor berapa mereka dapat di sekolah.
Seorang jiran akan tanya pada jirannya, anak dia dapat nombor berapa.
Jarang orang tanya budak-budak selain yang mengambil peperiksaan utama seperti UPSR, PT3 dan SPM, berapa A yang mereka dapat, sebaliknya mereka akan tanya dapat nombor berapa kat sekolah.

Bayangkan murid yang dapat keputusan semua A tapi dapat nombor 30 dalam kelas, bila dia beritahu dia nombor 30, pasti orang terus memandang rendah, mungkin ada yang mengejek dan memperlekehkannya. Malah dia yang seharusnya layak bergembira dan meraikan kejayaan mereka tak pasal-pasal berduka dan bersedih kerana mendapat nombor corot.

Bayangkan pula murid yang dapat nombor 1 dalam kelas tapi keputusan penuh D, bila dia beritahu dia dapat nombor 1, terus orang akan rasa kagum dan puji dia, sedangkan kalau diikutkan tiada apa yang perlu dibanggakan pun sebenarnya dengan keputusannya. Malah dia yang sepatutnya kecewa dan menyesali kerana tidak belajar bersungguh-sungguh tak pasal-pasal gembira dan bangga kerana dapat nombor 1.

Ingat, pendidikan tidak seharusnya dijadikan perlumbaan atau pertandingan. Sekolah bukan pentas, stadium atau gelanggang pertandingan. Sekolah adalah tempat untuk menimba ilmu. Pendidikan bukan tentang mengalahkan orang lain, bukan tentang mengatasi orang lain untuk menang. Ia semata-mata untuk diri sendiri. Pelajar pun seharusnya belajar demi diri mereka sendiri, bukan belajar semata-mata agar dia lebih dari orang lain dan tidak kurang dari orang lain.

Ini kerana pendidikan adalah perkara yang mandatori dan wajib diambil dan dijalani oleh semua orang tanpa ada pilihan. Di sekolah semua orang akan belajar hal yang sama, subjek yang sama, silibus yang sama, di seluruh negara, tanpa mengira kemampuan dan minat mereka. Orang bijak ke, orang kurang bijak ke, orang yang minat akademik ke, orang yang tak minat ke, semua akan melalui sistem pendidikan yang sama, maka tidak adil jika kita menjadikan ia sebagai medan pertandingan.

Lainlah kalau pertandingan sukan, melukis, nyanyian dan sebagainya, kerana ia adalah pilihan, bukan mandatori pada semua orang. Hanya orang yang mahu dan berminat untuk bertanding sahaja yang bertanding, dan kemenangan juga diperoleh dengan mengatasi dan mengalahkan pihak lawan. Yang berjaya mengalahkan semua orang, akan dapat kedudukan pertama, kedua, ketiga dan seterusnya.

Maka kerana itu sistem kedudukan nombor berdasarkan keputusan peperiksaan ini harus dimansuh dan dihapuskan terus di semua peringkat sekolah, atau sekurang-kurangnya dari pengetahuan ibu bapa dan murid. Yang tahu kedudukan murid hanya pihak sekolah, kerana mungkin pihak sekolah perlukan maklumat nombor ini bagi penentuan kelas atau untuk bagi anugerah kepada pelajar cemerlang. Itu pun bukan hanya pelajar yang dapat nombor 1, 2 dan 3 sahaja yang diraikan, tetapi semua pelajar yang cemerlang juga. Kalau ada 50 orang murid dapat semua A dalam apa jua peperiksaan, raikan juga mereka walaupun mereka dapat nombor terakhir dalam kelas.

Selain dari itu, tidak perlu dimaklumkan kepada orang luar. Ibu bapa dan murid cukup sekadar mereka tahu markah dan gred sahaja, sama seperti peperiksaan utama seperti UPSR, PT3 dan SPM. Malah bila masuk kolej atau universiti pun, pelajar cuma tahu keputusan ujian mereka sahaja, mana diberitahu berapa kedudukan mereka dalam kelas atau seluruh batch dalam jurusannya?

Pernah ke orang tanya, UPSR dapat nombor berapa dalam negara? Bayangkan pula kalau UPSR ada sistem kedudukan dan ia diwar-warkan kepada umum, pasti akan ada orang yang dapat 6A tapi dapat nombor 10,000 dari 100,000 calon UPSR seluruh negara. Itu belum lagi pelajar yang tahu dirinya mendapat nombor 100,000, tempat terakhir dalam peperiksaan UPSR di seluruh negara. Tak ke down?

Oleh itu aku menyeru kepada pihak sekolah dan badan berkaitan, untuk langkah pertama ini tak perlu nak ubah dasar pendidikan secara drastik dan besar-besaran sangat, cukup dengan mansuhkan sistem nombor di sekolah dulu, kemudian baru disusuli dengan yang lain. Ia dah tak relevan langsung di zaman sekarang, malah sebenarnya dah tak relevan sejak dulu lagi.

Dengan sistem nombor, orang yang bijak akan percaya selamanya yang dia bodoh, dan orang yang bodoh akan percaya selamanya yang dia bijak.

Baca juga artikel lain berkaitan hal pendidikan di negara kita:


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.





tags: sistem pendidikan keputusan peperiksaan akhir tahun ujian sekolah rendah menengah cemerlang bilangan a nombor depan belakang tinggi rendah corot

7 ulasan:

  1. Menteri pendidikan siapa menteri pendidikan? Dia pikir ke semua ni?

    BalasPadam
  2. haha.. dulu darjah aku ada 60++ murid je, kelas aku dlm 20 murid.... kalu ratus2 ni dah peringkat U student utk satu bidang...

    BalasPadam
  3. Deep.
    Suka perbandingan dan fakta yang Noob kongsikan.
    Thanks :-)

    BalasPadam
  4. Mungkin boleh guna sistem pointer macam di ipt.

    BalasPadam
  5. Sat lagi aku tweet suh menteri baca..

    http://bankami.blogspot.com

    BalasPadam
  6. Nombor dalam kelas ni dah jadi budaya. kalau no 1 dianggap pandai, yang last dikatakan kurang pandai. Tapi hakikatnya setiap pelajar ada kelebihan masing-masing.

    Anak yang pandai mungkin dah besar nanti lupakan mak bapak..anak yang kurang pandai ni yang untung dapat jaga mak bapak..

    Sebab tu la mak bapak pun kene fikir sama..gred dalam pelajaran tak menjamin mendapat anak yang soleh dan solehah..

    Banyak lagi perkara yang menjadikan seorang anak itu 'berjaya'.

    Berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. IsyaAllah.

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.