Iklan Leaderboard

Khamis, 12 Mei 2016

3 Pembentukan mentaliti kita bermula dari rumah

Seorang lelaki muda menghadiri temuduga untuk satu jawatan penting di sebuah syarikat percetakan yang besar. Beliau lulus temuduga pada peringkat awal dan akan bertemu pengarah untuk temuduga peringkat akhir. Pengarah itu melihat resume beliau yang mana sangat baik dan berkata,

"Adakah kamu mendapat biasiswa untuk belajar?" Lelaki muda itu menjawab, "Tidak".
"Adakah ayah kamu yang menanggung pengajian kamu?" "Ya." Dia menjawab.
"Apakah pekerjaan ayah kamu? "Ayah saya seorang tukang besi di bengkel".


Pengarah itu meminta lelaki itu menunjukkan tangannya. Pemuda itu menunjukkan sepasang tangan yang lembut dan sempurna.

"Adakah kamu pernah membantu ibu bapa anda di tempat kerja mereka?"

"Tidak pernah sesekali, ibu bapa saya sentiasa mahu saya belajar dan membaca lebih banyak buku. Lagipun, mereka boleh melakukan kerja itu jauh lebih baik daripada saya.

Pengarah itu berkata,

"Saya ada satu permintaan. Apabila kamu pulang ke rumah hari ini, jumpa bapa kamu dan basuh tangan bapa kamu, kemudian datang jumpa saya kembali pagi esok."

Pemuda itu merasakan peluangnya untuk mendapatkan jawatan itu amat cerah.

Apabila dia kembali ke rumah, dia meminta kepada bapanya untuk membasuh tangan bapanya.

Ayahnya berasa pelik, gembira, tetapi dengan perasaan bercampur-baur dia menunjukkan tangannya kepada anaknya. Pemuda itu pun membasuh tangannya sedikit demi sedikit. waktu itu adalah kali pertama dia sedar betapa tangan bapanya telah berkedut dan mempunyai begitu banyak parut. Terdapat juga kesan lebam yang dia merasa ngeri setiap kali menyentuhnya.

Untuk kali pertama lelaki muda itu sedar akan tangan itu yang bekerja setiap hari agar dapat membayar pengajiannya. Lebam dan parut di tangan adalah harga yang telah bapanya bayar demi pendidikan, aktiviti sekolah dan masa depannya.

Selepas membersihkan tangan bapanya, orang muda itu berdiri dan dalam diam mula mengemas dan membersihkan bengkel ayahnya. Pada malam itu, bapa dan anak itu berbual-bual dengan masa yang lama.

Keesokan harinya, orang muda itu kembali ke pejabat pengarah.

Pengarah tersebut perasan genangan air mata di mata pemuda itu apabila dia bertanyakan kepadanya,

"Boleh kamu beritahu saya apa yang kamu telah lakukan dan apa yang dapat kamu belajar?'

Budak itu menjawab, "Saya membasuh tangan ayah saya dan kemudian saya membersihkan bengkel beliau."

"Sekarang saya tahu apa yang perlu saya hargai dan saya sedar tanpa ibu bapa saya, saya tidak akan menjadi siapa saya pada hari ini. Dengan membantu bapa saya, saya kini sedar betapa susah dan sukarnya dia melakukan pekerjaan itu sendirian. Saya sedar kepentingan untuk menghargai dan betapa besarnya nilai dalam membantu keluarga saya untuk membalas jasa mereka.

Pengarah itu berkata, "Inilah ciri-ciri yang saya cari untuk menjadi pekerja saya. Saya mahu mengupah seseorang yang boleh menghargai bantuan orang lain, orang yang tahu kesusahan orang lain yang mereka lalui untuk mencapai sesuatu, dan seseorang yang menyedari bahawa matlamat hidupnya bukan semata-mata kerana wang ringgit".

"Anda diterima."

Seorang kanak-kanak yang telah dijaga, dilindungi dan diberikan segala-galanya yang dia mahukan, telah melahirkan mentaliti "Saya mempunyai hak dan saya berhak memperolehinya" akan sentiasa meletakkan kepentingan dirinya di depan sekali, lalu mengabaikan usaha-usaha ibu bapa dalam membesarkannya, keluarga dan rakan-rakan. Jika kita adalah ibu bapa yang terlalu protektif dan memberikan apa sahaja yang mereka mahukan, adakah ia menunjukkan kasih sayang kita atau hanya membantu memusnahkan masa depan anak-anak kita?

Anda boleh memberi anak anda bilik mereka sendiri di sebuah rumah yang besar, makanan yang baik, komputer, tablet, telefon bimbit dan TV skrin besar, tetapi apabila anda mencuci lantai, membersihkan rumah atau mengecat dinding, anak anda perlu turut serta untuk memperolehi pengalaman itu juga.

Selepas makan, suruh mereka membasuh pinggan mangkuk mereka sendiri dengan adik beradik mereka, biarkan mereka melipat pakaian mereka sendiri atau suruh mereka membantu memasak, memotong rumput dan membasuh kereta dengan anda. Anda minta mereka melakukan semua itu bukan kerana anda miskin dan tidak mampu untuk mengupah orang gaji untuk membuatnya. Anda lakukan semua ini kerana anda menyayangi mereka dan mahu mereka memahami dan belajar perkara-perkara tertentu dalam kehidupan.

Kanak-kanak perlu belajar untuk menghargai jumlah usaha yang diperlukan dalam melakukan sesebuah kerja. Mereka perlu mengalami kesukaran dalam kehidupan yang perlu diatasi untuk berjaya. Mereka perlu belajar tentang kegagalan untuk berjaya.

Kanak-kanak juga perlu belajar bagaimana untuk bekerja dan bermain dengan orang lain, dan memahami bahawa mereka tidak akan selalu menang dan mendapat apa yang mereka mahukan, tetapi mereka sentiasa berpeluang untuk bekerja dan berusaha dengan lebih keras untuk mencapai matlamat mereka. Jika mereka telah melakukan suatu dengan baik, maka mereka boleh berbangga dengan semua yang telah mereka usahakan.

Hidup adalah tentang memberi dan berkhidmat, dan kualiti ini diperolehi bermula dari rumah.

Diterjemahkan daripada kisah pendek bahasa Inggeris "The Interview" yang tidak diketahui penulis asalnya.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik. Klik pada gambar di bawah untuk melihat preview komik. Untuk membeli boleh hubungi kami melalui:

Email: princeofnoob[at]gmail[dot]com
PM Facebook: https://www.facebook.com/prince.nub 
Whatsapp/SMS agen kami: SangKancil - 013-9313541

Buasir Otak: The Komik




tags: short story the interview child son of blacksmith anak tukang besi pengimpal manja didik ajar pendidikan pengajaran

3 ulasan:

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...