Isnin, 30 April 2018

1 Elakkan dari dihukum Akta Antiberita Tidak Benar

Sidang parlimen yang terakhir sebelum pembubaran parlimen pada 7 April 2018 menyaksikan satu Rang Undang-undang baru telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan telah pun wartakan susulan perkenan YDP Agong iaitu RUU Anti-Berita Tidak Benar atau Anti-Berita Palsu, yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 dan penjara sehingga enam tahun terhadap sesiapa yang mendapati 'dengan sengaja membuat, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedar atau menyebarkan' sebarang berita palsu atau penerbitan.


RUU ini bertujuan mengekang penyebaran berita palsu dan mewujudkan langkah-langkah pencegahan serta untuk melindungi orang ramai terhadap penyebaran berita palsu di samping dapat memastikan hak kebebasan bersuara dan ekpsresi di bawah Perlembagaan Persekutuan. Dengan wujudnya RUU ini adalah dengan harapan masyarakat akan lebih bertanggungjawab dan berhati-hati dalam mengongsikan berita dan maklumat.
Dan hari ini seorang pelancong Yemen menjadi individu pertama bakal dituduh di bawah Akta Antibe­rita Tidak Benar 2018 di Mahkamah Sesyen di Jalan Tuanku Abdul Halim di sini hari ini gara-gara membuat tohmahan di laman sosial dengan menuduh polis lambat bertindak atas pembunuhan seorang imam Palestin pada 21 April lalu,

Salem Saleh Sulaiman, 46, yang mempunyai kewarganegaraan Denmark akan dituduh mengikut Seksyen 4(1) Antiberita Tidak Benar 2018 kerana mengeluarkan satu kenya­taan palsu menerusi satu klip video yang mendakwa pihak polis lewat bertindak dalam kejadian pembunuhan Dr. Fadi M. R Albatsh di Medan Idaman, Setapak pada 21 April lalu.

Jika anda tidak setuju pun dengan akta ini, suka atau tidak, ia sudah pun sah menjadi undang-undang dan peraturan dalam negara kita, dan anda terpaksalah mematuhinya. Kalau anda langgar, hukuman boleh dikenakan pada anda.

Maka bagaimana kita di zaman media sosial ini boleh mengelakkan diri daripada dikenakan Akta Antiberita Tidak Benar ini?

1. Jangan membuat andaian, tuduhan atau tohmahan

Zaman sekarang memang susah nak menahan diri dari memviral atau menularkan sesuatu di media sosial. Maka perkara pertama yang perlu lakukan adalah jangan suka-suka buat andaian, tuduhan, tohmahan dan dakwaan terhadap orang lain terutama di media sosial.

Nampak laki bini gaduh, terus viralkan sambil menuduh laki dia curang. Nampak seorang budak duduk seorang diri tepi jalan, terus tularkan dengan andaian mak bapak dia abaikan dia. Nampak ada kemalangan berlaku, terus upload kat media sosial tuduh penunggang motosikal cuai.

Kalau tak boleh menahan diri sangat nak viralkan di media sosial jugak, laporkan butiran kejadian sahaja tanpa disertakan dengan andaian, tuduhan, tohmahan dan dakwaan kerana ia boleh mengundang fitnah.

Contohnya kalau nampak ada kemalangan, cuma perlu tulis "Tadi aku nampak ada kemalangan telah berlaku di lebuhraya PLUS di antara sebuah kereta dan juga motor". Cukup, tak perlu nak tokok tambah buat cerita sebab kita bukan tahu pun perkara sebenar. 

Tapi kalau rasa ada perkara yang tak betul, boleh laporkan terus kepada polis atau pihak berkuasa, tak perlu laporkan pada media sosial.


2. Biarkan akhbar dan TV yang melaporkan berita

Kadang-kadang kita ni suka sangat ambil alih kerja wartawan dan pemberita akhbar dan TV. Mereka tu takpelah dibayar gaji untuk melaporkan berita, kita ni suka sangat jadi wartawan dan pemberita tak bertauliah.

Nampak suatu kejadian sikit, nak laporkan. Dapat tahu suatu khabar angin, nak viralkan. Dapat maklumat yang belum tahu kesahihannya, terus nak hebohkan kat media sosial. Terima mesej ntah apa-apa ntah betul ke tidak, terus nak forward dan kongsikan kat orang lain.

Kalau kau terima suatu benda yang tak betul, dan kau pun menyebarkan kepada orang lain, dengan kau-kau pun boleh dikenakan tindakan.


3. Sentiasa menyertakan sumber asal

Setiap kali kita rasa nak kongsikan sesuatu berita, artikel dan maklumat terutama yang ada kat Internet seperti laman akhbar online, blog, forum, FB, Twitter dan lain-lain media sosial, pastikan anda sertakan sekali alamat URL sumber asal. Tidak cukup sekadar tulis kredit nama penulis atau website yang anda ambil, tetapi alamat URL penuh dari mana anda ambil maklumat tersebut.

Ini kerana jika anda main copy paste sahaja suatu artikel di Internet dan kongsikan di FB atau Whatsapp, artikel itu boleh dipertanggungjawabkan kepada anda. Jika ada maklumat yang salah dalam artikel atau berita itu, maka anda boleh dipersalahkan.

Tapi jika anda sertakan alamat URL sumber asal artikel/berita, maka anda boleh beritahu yang maklumat tersebut diambil dari URL tersebut, dengan itu penulis asal artikel/berita yang akan dipertanggungjawabkan terhadap penulisannya. Tak kisahlah kalau anda petik maklumat tu dari akhbar pro kerajaan ke, pro pembangkang ke, neutral ke, selagi anda beritahu sumber asalnya, anda boleh pertahankan diri anda yang anda dapat maklumat tersebut dari sekian-sekian tempat.

Takde apa yang masalah pun kalau anda letak sumber asal maklumat tu, imej dan reputasi anda takkan terjejas apa-apa pun. Tapi tak tahu kenapa benda ini yang paling ramai orang tak peduli dan ambil mudah, mungkin syok dapat klaim penulisan orang lain sebagai penulisan sendiri.


4. Menulis hantaran berbentuk pandangan

Negara kita mengamalkan kebebasan bersuara, semua orang berhak memberi pandangan masing-masing terhadap sesuatu perkara, namun ia bukanlah bermaksud kita boleh membuat cerita tak betul, membuat fitnah dan menyakiti hati orang lain dengan andaian, sangka buruk, tuduhan, tohmahan dan caci makian.

Maka kalau nak menulis tentang sesuatu isu, nyatakan dengan jelas yang ia adalah sekadar pendapat dan pandangan peribadi, buah fikiran, idea, tanggapan, jangkaan dan analisa anda sahaja, bukan suatu berita yang direka-reka.

Contohnya kalau nak tulis pasal suatu masalah kelambatan yang anda hadapi di sebuah hospital kerajaan, jangan tulis sesuatu yang berbentuk tuduhan seperti "Servis lembab betul. Ni mesti doktor tengah tidur malas nak buat kerja", sebaliknya tulis pandangan seperti "Lama betul tunggu giliran doktor. Pada pandangan aku mungkin sistem menunggu giliran boleh ditambahbaik dengan meningkatkan bilangan doktor atau kurangkan had temujanji dalam sehari".

Paling tidak pun gunakan kaedah bertanyakan soalan seperti, "Kenapa servis lambat sangat? Bagaimana hospital kerajaan boleh tingkatkan mutu sistem giliran hospital? Harap-harap ia dapat diselesaikan dengan segera".


5. Tidak pasti jangan kongsi

Kadang-kadang kita ni bukanlah tahu kisah sebenar di sebalik sesuatu perkara atau peristiwa, tapi rasa macam nak jugak reka cerita, mungkin kerana memang berniat jahat nak memburuk dan menjatuhkan seseorang, atau saja-saja nak bagi gempak cerita.

So senang cerita, kalau anda tak pasti dengan sesuatu perkara, dan malas pula nak ambil tahu atau  mengkaji hal sebenar, maka tak payah sibuk-sibuk nak kongsikan kat media sosial dan orang lain. Orang lain tak susah, diri anda sendiri pun tak susah.

Simple.

Ini kalau anda buat cerita palsu, sebar fitnah kat Whatsapp, last-last kena tangkap, kena dakwa, kena penjara, kena bayar denda, serius tak berbaloi langsung. Akhirnya anda kena tanggung sorang-sorang, orang lain tak peduli pun.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.





tags: tips cara panduan cegah elak diri dari dihukum hukuman akta antiberita anti berita tidak benar palsu rang undang-undang peraturan 

1 ulasan:

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.