Selasa, 12 Mac 2019

1 Ulasan terhadap tuntutan di perarakan Hari Wanita

Sempena Hari Wanita Antarabangsa pada Sabtu lalu, lebih 300 orang berhimpun dan berarak di ibu kota Kuala Lumpur bagi menyambut Hari Wanita. Perarakan yang bertemakan "Hentikan Keganasan, Hormati Perempuan" dianjurkan oleh para aktivis wanita bertujuan untuk membuat beberapa tuntuan berkaitan wanita. Malangnya perhimpunan ini turut dicemari oleh golongan LGBT, aktivis yang menuntut benda pelik-pelik seperti kebebasan pekerja seks, free nips dan sebagainya yang mengambil kesempatan seperti parasit untuk memperjuangkan agenda songsang mereka.

Tidak mahu menyentuh panjang tentang pejuang LGBT dan aktivis-aktivis merepek lain, aku hanya mahu mengulas sedikit tentang tuntutan utama yang dibuat oleh sempena perhimpunan ini.


Lima tuntutan tersebut adalah:
  • Menamatkan semua keganasan berdasarkan jantina dan orientasi seksual.
  • Menghapuskan perkahwinan kanak-kanak.
  • Memastikan hak dan kebebasan wanita untuk membuat pilihan atas tubuh badan dan nyawa mereka sendiri.
  • Memastikan gaji minimum RM1,800.
  • Menghapuskan sikap patriarki dan membina demokrasi tulen di semua peringkat masyarakat.
Aku tiada sebarang isu dengan kaum wanita, dan tiada juga sebarang masalah dengan golongan feminis yang mahu memperjuang hak dan keadilan untuk kaum wanita, namun aku tidak berapa gemar dengan golongan feminis yang benci kaum lelaki, yang mahu kesamarataan dengan kaum lelaki dalam segala jenis hal atau mereka yang menganggap lelaki itu di bawah mereka.

Berbalik kepada 5 tuntutan sempena Hari Wanita 2019:

1. Menamatkan semua keganasan berdasarkan jantina dan orientasi seksual

Aku setuju dengan point ini, namun aku tak pasti apa yang mahu dituntut. Biasanya kita menuntut sesuatu yang tidak termaktub dalam undang-undang agar ia dijadikan undang-undang. Masalahnya peraturan dan undang-undang di negara kita memang tidak membenarkan semua jenis keganasan berdasarkan jantina dan orientasi seksual.

Isteri kena belasah suami, suami kena dera isteri, bapok kena pukul, kalau ikutkan undang-undang semua bentuk keganasan tu salah dan boleh dihukum. Jadi nak tuntutan yang macam mana lagi? Ketatkan lagi hukuman kepada pesalah?

Keganasan ini akan tetap berlaku walau seketat mana pun hukuman. Samalah macam jenayah lain seperti mencuri, merompak, membunuh, merogol dan sebagainya, walaupun ada undang-undang dan hukuman, tetap ada orang yang melakukan perbuatan tersebut.

Jadi aku fikir mungkin keganasan dan apa jua jenis jenayah boleh dikurangkan dengan kempen yang berterusan, pendidikan, kursus dan sebagainya.


2. Menghapuskan perkahwinan kanak-kanak

Ini lebih kepada isu kanak-kanak berbanding isu wanita, tapi mungkin sebab Hari Kanak-Kanak lama lagi, jadi mereka selit sekali isu ini pada Hari Wanita.

Cuma untuk isu ini, aku dulu agak skeptikal juga dengan perkahwinan kanak-kanak, tapi kini aku ada pandangan yang berbeza. Pada aku asalkan seseorang itu sudah akil baligh, mereka dah layak kahwin. Layak bukan bermaksud mesti kahwin, tapi layak.

Sebab pertama, Islam sendiri tidak menetapkan umur tertentu untuk berkahwin, sama ada di pihak suami atau isteri. Kedua, ia sebenarnya banyak bergantung pada masa, tempat, persekitaran, kepercayaan, tradisi dan budaya yang berbeza.

Mengambil contoh pada zaman atuk nenek kita dahulu, rata-rata ramai kahwin muda. Nenek aku sendiri berkahwin masa umurnya 14 atau 15 tahun kerana keadaan pada masa itu berkahwin muda memang suatu kebiasaan.

Namun di zaman moden ini, perkahwinan pada usia muda adalah suatu yang janggal kerana sudah tidak ramai yang buat. Kalau ada pun biasanya orang-orang yang tinggal di luar bandar, kampung dan kawasan pedalaman.

Kalau di Malaysia, orang yang kahwin muda ini biasanya berlaku di negeri-negeri pantai timur, Sabah dan Sarawak. Ada juga yang berkahwin di selatan Siam. Malah yang kahwin muda itu tidak semestinya orang Melayu Islam, malah orang kaum dan agama lain juga ada berlaku.

Hal ini aku kira lebih kepada budaya setempat. Seperti contoh di pantai timur, apabila salah seorang dari ibu bapa yang sudah tua meninggal, menjadi kebiasaan anak-anak sendiri akan carikan pasangan baru untuk ibu atau bapanya agar mereka ada teman.

Berbeza keadaannya di pantai barat, apabila salah seorang dari ibu atau bapa yang sudah tua meninggal, anak-anak tidak akan carikan pasangan untuk ibu bapanya. Malah kalau ibu atau bapanya mahu kahwin lain, akan timbul isu yang kurang enak dalam keluarga. Pasangan baru ibu atau bapanya sukar diterima anak-anak, dan mungkin ada anak yang berprasangka bapa atau ibu barunya berkahwin kerana mahukan harta.

Perkahwinan kanak-kanak ini menjadi isu mungkin kerana kita sudah hidup di zaman moden dan dunia sudah menjadikan apa jua ideologi barat sebagai panduan kepada cara hidup kita. Jika ideologi barat mengatakan perkahwinan kanak-kanak ini salah, kita pun ambil dan jadikan sebagai panduan. Sedangkan tradisi perkahwinan muda ini banyak pun berlaku dalam masyarakat, budaya dan tradisi pelbagai kaum dan etnik seluruh dunia.

Tapi kalau kerajaan nak naikkan juga had umur perkahwinan dari 16 tahun ke 18 tahun, kalau majoriti setuju maka teruskan sahaja. Nama pun negara demokrasi.

Cuma pada aku kalau ada ibu bapa yang mahu kahwinkan anak mereka di usia muda, aku tak peduli. Ia hal dan urusan keluarga masing-masing, Kalau ibu bapa sendiri dah setuju, mereka sendiri pun setuju (sama ada rela atau terpaksa), nak kahwin kahwin lah. Kita bising-bising pun akhirnya bukan kita pun yang tanggung keluarga tu.

3. Memastikan hak dan kebebasan wanita untuk membuat pilihan atas tubuh badan dan nyawa mereka sendiri.

Selama ini memang semua orang pun diberi hak dan kebebasan tak kira lah lelaki atau perempuan untuk membuat pilihan atas tubuh badan dan nyawa mereka sendiri.

Selain di tempat yang ada etika pemakaian, orang perempuan nak pakai tudung labuh ke, seksi ke, free nips tak nak pakai bra ke, lantaklah. Tak kira lah kau agama apa, kau nak pakai macam mana pun itu antara kau dengan peraturan agama masing-masing.

Kalau kau pakai seksi, paling tidak orang lelaki akan toleh tengok kau, sama macam orang perempuan tengok orang lelaki kacak berbadan sasa tak pakai baju sambil tayang peha.

Undang-undang Malaysia pun tak melarang kau nak pakai apa-apa, kecuali yang tak sopan dan lucah di khalayak ramai. Macam perempuan tak pakai baju tayang payudara, berbogel di tempat awam ke, memang tak bolehlah sebab benda tu salah atas melakukan perbuatan lucah di tempat awam.


4. Memastikan gaji minimum RM1,800.

Aku tak faham. Ini bukan isu wanita, tapi isu pekerja. Boleh nak tuntut gaji minimum RM1,800, tapi tuntutan tu bukan hanya untuk pekerja wanita sahaja tapi juga lelaki. Dan ia juga bergantung kepada dasar kerajaan, tahap ekonomi dan juga kemampuan majikan.

Kau kerja lah orang gaji sekalipun, alau majikan kau kaya mampu bagi sampai RM1,800, dia bagi. Kalau tak, dia boleh bagi apa yang dia mampu je. Tak nak, sila cari kerja lain.

Tapi kalau nak cakap pasal kesamarataan pekerja wanita dan lelaki, benda ini lebih bersifat peribadi. Kalau ikut kepada peraturan dalam pekerjaan, tak pernah aku jumpa peraturan bertulis yang mengatakan gaji lelaki harus lebih tinggi dari wanita, wanita kena buat kerja lebih dari lelaki, lelaki diberi keistimewaan lebih dan sebagainya.

Yang ada cuma dasar dan peraturan yang membela hak pekerja wanita seperti pekerja wanita yang melahirkan anak diberi cuti bergaji penuh selama 2 atau 3 bulan, larangan dan hukuman kepada pekerja yang melakukan gangguan seksual terutama kepada pekerja wanita, pekerja wanita di sektor pertanian dan perindustrian tidak boleh bekerja lewat malam dari jam 10 malam hingga 5 pagi dan sebagainya.

Malah bagi jawatan yang sama, gaji kepada pekerja lelaki dan wanita sama sahaja walaupun bila ada kerja-kerja yang berat kebiasaannya orang lelaki yang disuruh laksanakan. Jadi apa yang tidak adil lagi?

Kalau ada berlaku diskriminasi jantina, itu adalah disebabkan individu seperti bos lelaki yang suka menindas pekerja wanita, rakan sekerja lelaki yang suka melakukan gangguan seksual kepada rakan sekerja wanita dan sebagainya. Jadi kalau rasa berlaku diskriminasi dan penindasan di tempat kerja, laporkan kepada majikan dan badan kerajaan yang berkaitan.


5. Menghapuskan sikap patriarki dan membina demokrasi tulen di semua peringkat masyarakat.

Apa itu patriarki?

Patriarki bermaksud sistem masyarakat yang sebahagian besar kekuasaannya dipegang oleh kaum lelaki, sama ada dalam politik, autoriti, hak sosial, hartanah, perniagaan, institusi keluarga dan sebagainya.

Ada wanita merasakan sistem patriarki ini tidak adil dan menindas kaum wanita, namun sebenarnya patriarki ini banyak dipengaruhi oleh agama, budaya, tradisi, tamadun, peradaban manusia dan norma kehidupan.

Sebagai contoh dalam keluarga Islam, bapa berperanan sebagai ketua keluarga dan diberi tanggungjawab besar dalam memberi nafkah kepada isteri, anak serta menjadi wali kepada anak perempuan.

Dalam Islam juga meletakkan syarat orang lelaki boleh menjadi imam solat kepada jemaah lelaki dan perempuan, manakala wanita hanya boleh menjadi imam solat kepada jemaah wanita sahaja.

Orang lelaki juga sejak dulu mendominasi peranan dalam masyarakat adalah kerana kemampuan fizikal lelaki itu sendiri melebih wanita. Sejak zaman dulu lagi kelebihan fizikal ini menjadikan orang lelaki harus keluar bekerja membanting tulang manakala kaum wanita menguruskan hal-hal rumah membuat kerja-kerja yang lebih ringan. Jadi secara tak langsung sistem patriarki ini terbentuk dalam tamadun manusia.

Namun di zaman moden ini, kaum wanita lebih banyak diberikan tempat dan peluang dalam memegang jawatan dan peranan besar dalam sesebuah organisasi dan masyarakat, apatah lagi peranan yang hanya memerlukan otak untuk berfikir dan tidak memerlukan terlalu banyak kudrat.

Walau bagaimanapun, masih banyak sektor yang memerlukan dominasi orang lelaki untuk memenuhi keperluannya seperti bidang tentera, industri berat, perkapalan, pembinaan, pertanian, perikanan, loji kumbahan dan sebagainya. Malah bila peluang pekerjaan ini dibuka kepada semua, tidak ramai pun kaum wanita yang berminat nak kerja dalam sektor tersebut. Jadi tidak mungkin sistem patriarki ini dapat dimansuhkan sepenuhnya.

Malah kalau kita pergi ke sekolah, universiti, jabatan kerajaan, kita akan nampak pekerja wanita lebih ramai dari wanita. Jadi adakah ia masih patriarki? Berapa ramai cikgu lelaki berbanding wanita? Berapa ramai pensyarah lelaki berbanding wanita? Berapa ramai pelajar lelaki berbanding wanita? Berapa ramai kakitangan kerajaan lelaki berbanding wanita?

Lagipun lelaki dan wanita ini dicipta dengan peranan masing-masing. Memang kadang kala kita nampak macam tidak adil kerana tiada kesamarataan antara kaum lelaki dan wanita, namun kita kena faham yang keadilan itu bukan samarata sebaliknya meletakkan sesuatu di tempat yang betul.

Adil ke kalau lelaki dan perempuan bertanding dalam sebuah pertandingan sukan yang sama?
Adil ke kalau isteri beranak suami dapat cuti 3 bulan?
Adil ke kalau isteri datang bulan suami pun tak payah solat dan puasa?

Kalau kita ni orang Islam, apa yang dah ada dalam Islam tu cantik dah, ikut je lah. Melainkan kalau kita lebih percaya pada pemikiran barat berbanding agama kita sendiri.

Cuma apa yang aku harap jadilah sistem patriarki yang menghormati, membela dan melindung hak kaum wanita, bukan yang menindas dan menjatuhkan maruah kaum wanita.

Dan tahu apa yang lebih wajar dituntut? Hak untuk warga OKU.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.

https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: hari wanita sedunia perarakan demo himpunan tuntutan tuntut lgbt lesbian gay transgender

1 ulasan:

  1. Baik nooob...🚻🚺♿🚰🚮🛂🛃🚱🚯🚭🚳🚸☣

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.