Rabu, 12 Mei 2021

1 Rogol, lawak lucah, gangguan seksual salah siapa?

1. Sejak dua menjak ni timbul macam-macam isu pasal rogol, lawak lucah, gangguan seksual dan sebagainya. Seperti biasa, ramai orang yang menyalahkan mangsa kerana mendatangkan syahwat pada pemangsa, malah tak kurang juga yang tanpa segan silu tulis komen lucah walaupun kat gambar profile terpampang gambar anak bini.  

2. Benda macam ni nak faham mudah je. Perbuatan rogol, mencabul, gangguan seksual dan yang sewaktu dengannya, itu adalah kesalahan jenayah antara manusia dengan manusia. Cakap la macam mana pun, perempuan tu mencetuskan rasa ke apa, kau tetap takde hak untuk merogol orang itu, malah di sisi undang-undang yang salah tetap perogol. Orang yang dirogol adalah mangsa. Noktah.


3. Dia sama sahaja seperti kesalahan jenayah antara manusia dengan manusia yang lain seperti mencuri, merompak, memukul, meragut, membunuh, menipu dan sebagainya. Di sisi undang-undang yang salah tetap adalah pelakunya. Kau bagilah alasan apa pun, kau mencuri sebab miskin ke, kau pukul junior kat sekolah sebab nak bagi pengajaran ke, yang salah tetap kau sebab kau takde hak untuk ambil barang orang, kau tetap takde hak untuk pukul orang lain.

4. Sebab itu sebarang kesalahan jenayah yang dilakukan antara manusia dengan manusia, kesalahan itu perlu dibicarakan, dinilai dan dijatuhkan hukuman kepada pelaku agar dapat memberi keadilan pada mangsa dan juga keluarga mangsa. Pelaku juga perlu memohon kemafaan dari mangsa yang telah dia zalimi itu.

5. Manakala kesalahan individu seperti tak tutup aurat, tak solat, tak puasa dan yang sewaktu dengannya, itu adalah kesalahan antara manusia dengan Tuhan. Manusia yang lain boleh sekadar menasihati dan berdakwah, tapi tak boleh paksa untuk orang tu berubah dan menghukum dia. Agama Islam tak zalim. Kita tak denda orang yang tak tutup aurat, kita tak kompaun orang yang tak solat, sebab yang selayaknya menilai dan menghukum kesalahan tersebut hanyalah Allah. Untuk kesalahan ini dia tak berhutang dengan manusia lain kerana taubatnya hanya untuk Allah.

6. Kalau lah hanya kerana orang itu tak bertudung boleh membenarkan dia kena rogol, dah penuh orang bukan Islam kat negara barat tu kena rogol. Inikan pula kita orang Islam. Jangan kata kes rogol orang yang tak dikenali, malah ada kes rogol kawan, kes rogol anak, kes rogol cucu, kes rogol murid, kes rogol bayi. Semua tu salah mangsa ke? Salah pakaian ke? Salah tubuh badan mangsa ke?

7. Di negara barat walaupun mereka kurang beragama, tapi dalam bab hubungan intim mereka ada sempadan iaitu consent. Consent ni dalam bahasa Melayunya adalah persetujuan, keizinan dan  kerelaan. Kalau nak mengadakan hubungan intim, kedua-dua pihak kena ada persetujuan dan memberi keizinan. Kalau ia dilakukan dengan satu pihak tidak memberi izin, ia adalah perbuatan rogol. Oh kecuali kalau pelakunya bawah umur, walaupun dilakukan dengan persetujuan kedua-dua pihak, ia tetap dikira rogol.

8. Maka konsep moraliti ini terpakai di mana-mana sekali pun. Kau tengok perempuan tak pakai tudung ke, perempuan seksi ke, kau tetap tak boleh rogol atau cabul dia. Kau takde hak ke atas dia. Dia pun tak bagi persetujuan atau keizinan pun untuk kau rogol dia. Jadi yang salah tetap si perogol dan pencabul.

9. Itu baru cerita pasal moral. Kita ni umat Islam sudah ada moral dan juga ada didikan agama, patut kita lah yang lebih kuat dan kental menahan nafsu dari orang barat. Ini tidak, takkan kita selemah itu tengok perempuan terus rasa nak rogol, nak cabul, nak buat gangguan seksual, nak komen lucah-lucah kat media sosial tanpa rasa malu?

10. Bayangkan kau masa tengah puasa tertengok makanan atas meja menyebabkan kau tak tahan dan terus makan, takkan nak salahkan makanan sebab mencetus rasa nafsu makan kau? Cuba kalau kau ternampak sebuah kereta yang kau minat menyebabkan kau tak tahan dan terus curi kereta tu, takkan nak salahkan kereta tu sebab mencetus rasa nak curi kereta tu?

11. Masalah nafsu kuda kau bukan tanggungjawab orang lain yang kena selesaikan. Itu adalah tanggungjawab kau sendiri untuk uruskan nafsu kuda kau. Kau nak uruskan macam mana suka hati kau lah, dengan cara yang baik ke, yang tak baik ke, janji tidak menyusah dan melibatkan orang lain.

12. Namun sebagai umat Islam, kita tetap kena terus memberi nasihat dan berdakwah terutama orang-orang di sekeliling kita. Cuma kena ingat, berdakwah itu sifatnya mengajak, bukan memaksa, menilai atau menghukum.

13. Tapi kalau sudah berdakwah tapi orang itu tidak mahu berubah, kita tak boleh paksa sebab kehidupan orang lain adalah suatu yang di luar kawalan kita. Jika kita terlalu keras dan memaksa, mungkin kita pula akhirnya akan membuatkan orang lebih menjauhi agama.

14. Cuma kalau nak berdakwah kita kena pandai sesuaikan dengan keadaan. Orang bila dalam kesusahan, benda pertama yang kita kena buat adalah bantu dia, bukan terus bagi nasihat itu ini. Bayangkan kau jumpa orang susah yang tengah lapar, benda pertama yang kau kena buat adalah sedekah makanan untuk isi perut dia dulu, bukan terus nasihat dia suruh berubah lah, jangan malas lah, suruh cari kerja lah. Sekarang kau nak salahkan orang tu sebab dia miskin ke apa?

15. Akhir sekali, perkara yang paling penting dalam mengajak orang membuat kebaikan dan melakukan perkara yang betul di sisi agama, adalah ia perlu seiring dengan perbuatan kita. Kalau setakat sembang pasal agama punya berdekah-dekah, tapi dekat gambar perempuan seksi kantoi asyik komen lucah-lucah, manusia hipokrit macam inilah yang paling memberi imej buruk pada agama.

Tammat.


P/S: Mohon rakan-rakan dapat bagi sokongan dan semangat kepada saya untuk buat lebih banyak video dengan Subscribe channel Buasir Otak TV di Youtube (klik gambar di bawah):






tags: rogol lawak lucah gangguan seksual sexual harrassment cabul liwat salah siapa mangsa pemangsa perogol pencabul pelaku 


1 ulasan:

  1. Entah apa-apa punya cikgu...kalau selalu cakap macam ni memang otak dia suka dengan kelucahan

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.