Jumaat, 30 Disember 2016

3 Setiap orang mempunyai lingkaran yang tersendiri

Setiap orang hidup dalam lingkaran mereka sendiri atau apa yang disebut sebagai circles, antaranya lingkaran keluarga, lingkaran rakan, lingkaran kerja, lingkaran minat, lingkaran hobi, lingkaran ideologi dan sebagainya.

Lingkaran keluarga, rakan dan kerja biasanya terjalin melalui hubungan secara terus dengan seseorang sama ada melalui pertalian darah, menjalin hubungan kawan atas faktor lokasi yang sama seperti sekolah, universiti, tempat kerja dan sebagainya.

Selain itu, seseorang itu boleh berada dalam lingkaran sesebuah kelompok masyarakat disebabkan mempunyai minat, hobi dan ideologi yang sama. Dengan wujudnya Internet dan media sosial, lebih mudah untuk kita berada dalam circle ini bersama orang lain yang mempunyai kegemaran yang sama.


Oleh kerana kita mempunyai pelbagai minat, hobi dan ideologi pada waktu yang sama, maka kita mungkin boleh berada dalam circle yang banyak, seperti contoh lingkaran bisnes, politik, agama, hiburan, hobi, akademik, IT dan sebagainya.


Kemungkinan juga kita akan mendapat lebih ramai kenalan dan kawan dalam lingkaran yang sama dengan kita, seperti contoh jika kita minat bola sepak, kita akan mendapat ramai kawan dalam lingkaran bola sepak. Jika kita minat IT, kita akan mendapat ramai kenalan dalam lingkaran IT. Jika kita minat main game, kita akan mendapat lebih ramai kawan dalam lingkaran game.

Namun begitu walaupun kita sudah berada dalam banyak lingkaran, namun hakikatnya terdapat lebih banyak lingkaran di luar sana yang kita sendiri tak tahu kewujudannya kerana ia bukanlah minat kita. Seperti contoh kita bukan seorang peminat travel, maka kita tak tahu dan tak ambil peduli pun tentang apa yang berlaku dalam lingkaran tersebut, malah kita tak kenal pun siapa-siapa dalam lingkaran travel, walaupun lingkaran tersebut sebenarnya agak besar dan luas.

Hanya kerana kita tidak berada dalam lingkaran tersebut tidak bermakna ia tidak wujud, malah ia sebenarnya lebih besar dan luas dari apa yang kita sangkakan, cuma kita tidak tahu kerana ia bukanlah suatu yang menjadi minat kita.


Walaupun kita berada dalam sesebuah lingkaran, namun kita sebenarnya berada dalam lingkaran yang lebih kecil. Seperti contoh kita minat politik, maka kita sudah berada dalam lingkaran orang-orang yang juga sukakan politik, namun dalam lingkaran politik juga masih ada lingkaran yang lebih kecil iaitu lingkaran orang yang pro-kerajaan, lingkaran orang yang anti-kerajaan, lingkaran orang yang pro-pembangkang dan sebagainya.

Begitu juga dengan lingkaran hiburan. Walaupun kita minat kepada hiburan, tetapi cabang hiburan itu ada banyak, dan kita mungkin hanya berada dalam cabang yang lebih kecil seperti komik, novel, muzik, filem dan sebagainya.


Dan dalam lingkaran hiburan yang kecil ini, kita sebenarnya berada dalam lingkaran yang lebih kecil dan khusus, seperti contoh lingkaran muzik. Walaupun kita minat muzik secara amnya, namun kita hanya minat pada lagu rock. Maka lingkaran kita hanya di kalangan peminat lagu rock sahaja. Itu pun boleh dikhususkan di mana kita mungkin hanya berada dalam lingkaran band muzik rock yang kita betul-betul minat sahaja.

Dalam lingkaran kita itu, kita rasa macam lingkaran kita dah besar, namun sebenarnya ia hanya secebis lingkaran daripada beribu-ribu lingkaran yang wujud. Kita mungkin tahu dan pakar dalam apa jua dalam lingkaran kita sendiri seperti contoh lingkaran lagu rock, tapi kita tak pernah tahu pun apa yang berlaku dalam lingkaran lagu k-pop, sebab kita tak pernah berada pun dalam lingkaran tersebut.


Apabila kita berada dalam sesebuah lingkaran, kita boleh menjadi orang yang popular dalam lingkaran tersebut, dengan menjadi seseorang yang sentiasa memberi dan menyuap apa yang menjadi kesukaan dan keinginan orang-orang di dalam lingkaran tersebut. Seperti contoh, dalam lingkaran peminat komik jenaka kotor, kita boleh menjadi popular dengan sentiasa melukis komik jenaka kotor yang sentiasa didahagakan oleh peminat komik dakwah. Lama kelamaan, kita akan menjadi popular dan sentiasa disokong oleh orang yang dalam lingkaran kita sendiri.

Namun begitu, popular dalam lingkaran sendiri tidak semestinya kita akan popular dalam lingkaran orang lain, bahkan orang lain yang bukan berada dalam lingkaran kita tak kenal malah takkan tahu pun kewujudan kita, walaupun kita memang seorang yang popular dalam lingkaran kita sendiri.

Seperti contoh seorang yang popular dalam lingkaran game DOTA2, belum tentu dikenali oleh orang yang tidak pernah tahu tentang game DOTA2. Orang yang popular dalam lingkaran selebriti Youtube, belum tentu popular bagi orang yang langsung tak peduli dan ambil tahu dalam lingkaran selebriti Youtube. Sebab itu kalau kita rasa kita ini sangat popular, tak perlu nak merasa terlalu megah diri kerana kita hanya popular di kalangan lingkaran kita sendiri sahaja, sedang ada orang lain yang langsung tak kenal pun siapa diri kita.

Terdapat juga lingkaran yang saling bermusuh atau berseteru yang langsung tidak boleh campur antara satu sama lain disebabkan wujudnya perbezaan yang sangat kontra antara satu sama lain seperti perbezaan ideologi, pandangan, politik dan sebagainya walaupun lingkaran asasnya adalah sama.

Seperti contoh, dalam lingkaran peminat komik, sukar untuk seseorang yang berada dalam lingkaran peminat komik dakwah akan juga berada dalam lingkaran komik jenaka kotor, kerana ideologi yang didokongnya adalah bertentangan antara satu sama lain. Seseorang yang popular di kalangan lingkaran komik dakwah, mungkin menjadi seseorang yang sangat dibenci oleh mereka yang berada dalam lingkaran komik jenaka kotor, begitu juga sebaliknya.


Salah satu cara juga untuk menjadi popular dalam sesebuah lingkaran adalah dengan membuat provokasi atau menjadi seseorang yang mewakili suara sesebuah lingkaran terhadap lingkaran lain yang dibencinya. Seperti contoh, kita menjadi seorang yang kuat menghentam peminat K-Pop. Lama-kelamaan kita akan disukai, sentiasa disokong dan dipertahan oleh orang yang turut sama anti kepada K-Pop lalu akhirnya menjadi popular dalam lingkaran tersebut. Maka selagi mana kita dengan kuat terus menghentam K-Pop, semakin kuatlah orang-orang dalam lingkaran anti K-Pop menyokong kita.

Namun begitu walaupun kita disukai dalam lingkaran kita, kita akan turut dibenci oleh lingkaran peminat K-Pop. Ia adalah suatu harga yang perlu dibayar apabila kita menjadi popular disebabkan kita menanam kebencian terhadap suatu lingkaran yang lain. You win some, you lose some.

Contoh lain, dalam lingkaran politik, seseorang yang begitu kuat menghentam pembangkang akan menjadi popular dalam kalangan penyokong kerajaan, namun amat dibenci sekali dalam kalangan penyokong pembangkang. Seseorang yang begitu kuat mempertahankan hak LGBT akan menjadi popular dan disukai dalam lingkaran pro-LGBT dan lingkaran ideologi liberal, tetapi tidak akan disukai oleh lingkaran orang kuat agama.

Jika anda seorang peniaga, elakkan berbuat sesuatu yang boleh mencetuskan kebencian sesuatu lingkaran, ini kerana walaupun anda mungkin boleh menambah kesukaan orang dari sesebuah lingkaran, anda juga akan membuatkan orang dari sesebuah lingkaran yang lain benci dan lari dari anda, secara tak langsung anda sudah menghilangkan ramai potential customer dari lingkaran yang bencikan anda.

Sepert contoh, anda seorang penjual Pomade. Namun anda sering mengutuk, mengkeji dan memaki hamun kerajaan secara terang-terangan di laman media sosial anda. Ya, anda mungkin akan dapat menambah sedikit pelanggan dari kalangan orang yang anti-kerajaan, namun dalam masa yang sama anda telah kehilangan pelanggan dari kalangan orang yang pro-kerajaan atas sikap anda.


Maka di sinilah apa yang aku sebenarnya cuba lakukan selama ini dengan rangkaian Buasir Otak. Jika aku menyokong atau mengkritik sesuatu, aku akan cuba buat tanpa sebarang provokasi melampau yang boleh membuatkan orang lain terlalu merasa jelek dan benci. Aku tak mahu menjadi popular dalam sesebuah lingkaran tetapi turut dibenci oleh sesebuah lingkaran yang lain.

Aku tak mahu duduk dalam sebuah lingkaran yang begitu ramai orang menyokong dan mempertahankan secara membabi buta sahaja walaupun terhadap perkara yang salah kerana aku sudah nampak begitu ramai orang yang popular dalam lingkaran mereka sendiri menjadi buta dan tenggelam dalam lautan syok sendiri serta tidak pernah merasa salah disebabkan sokongan pengikut dan peminat mereka sendiri.

Oleh itu apa yang aku cuba buat adalah cuba untuk menarik minat segelintir orang yang berada dalam pelbagai lingkaran dengan menulis atau melukis pelbagai topik, tidak terhad untuk tatapan dan bacaan satu dua lingkaran sahaja. Dalam masa yang sama aku cuba explore lingkaran-lingkaran yang baru yang mungkin aku tak sedar pun kewujudannya selama ini. Kalau tak boleh tarik semua, tarik sedikit pun ok. Dengan cara ini maka kita dapat kekalkan check and balance.


Dengan ini kita tidak begitu popular, dan juga tidak begitu dibenci.
Orang tidak akan begitu dekat dengan kita, dan orang tidak akan lari dengan kita.
Kita tidak akan merasa dimiliki peminat, dan orang tidak akan rasa memiliki kita.

Orang akan menilai kita berdasarkan kandungan dan buah fikiran kita, bukanlah kerana siapa diri kita. Aku bebas untuk menyatakan pendapat dan pandangan aku sendiri tanpa perlu menjaga hati sesiapa, orang lain juga bebas menyatakan pendapat dan pandangan mereka sendiri tanpa perlu menjaga hati kita. Orang lain juga tidak akan merasa serba salah jika mahu menegur kesalahan kita.

Aku tidak mahu merasakan aku kepunyaan mana-mana lingkaran dan aku tidak mahu merasakan dimiliki oleh mana-mana orang dalam sesebuah lingkaran. Aku tidak ada obligasi untuk menyuap mana-mana lingkaran dengan suatu yang mereka suka, dan mereka tiada obligasi untuk menyokong aku.

Kalau suka dengan sesuatu yang aku hasilkan dan rasa mendapat manfaat daripadanya, korang boleh sokong. Jika tidak suka, tidak perlu sokong. Kita semua tiada obligasi antara satu sama lain.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (Awakening). Klik pada gambar di bawah untuk maklumat lanjut. Untuk membeli boleh hubungi kami melalui:

Email: princeofnoob[at]gmail[dot]com
PM Facebook: https://www.facebook.com/prince.nub 
Whatsapp/SMS agen kami: SangKancil - 013-9313541

http://buasirotak.blogspot.com/2016/11/buasir-otak-komik-awakening.html



tags: lingkaran bulatan kalangan lingkungan kalangan circle of friends family interest minat hobi kesukaan kegemaran

3 ulasan:

  1. analisa yg menarik. tp kalau aku buat seluruh circle yg dipenuhi org2 bodoh benci kat aku aku rasa ia berbaloi kot... contohnya circle budak2 mlm atau dr mickey mouse kah kah kah

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.