Selasa, 26 Jun 2018

4 Jurang kuasa antara golongan atasan dan bawahan

Dalam suatu organisasi atau hierarki sesebuah negara, masyarakat, budaya, syarikat, pasukan dan sebagainya, biasanya terdapat 2 kelompok utama iaitu golongan atasan dan bawahan. Golongan atasan biasanya adalah terdiri dari para pemimpin atau bangsawan yang mempunyai kuasa, pengaruh, gelaran serta darjat yang tinggi dalam hierarki tersebut, manakala golongan bawahan pula adalah para pengikut, penyokong, rakyat atau pekerja kepada golongan atasan ini.

Di antara kedua-dua golongan ini terdapat jurang (gap) yang menjadi pemisahan antara golongan atasan dan bawahan ini. Jurang pemisahan ini boleh diukur dengan menggunakan Indeks Jurang Kuasa atau Power Distance Index (PDI).


Apakah ciri-ciri dan perbezaan di antara budaya masyarakat yang mempunyai Jurang Kuasa yang Tinggi/Besar dan juga masyarakat yang mengamalkan Jurang Kuasa yang Rendah/Kecil?
Ciri-ciri budaya Jurang Kuasa Tinggi/Besar:
  • Kebergantungan; Orang ramai terlalu bergantung kepada pemegang kuasa. Ini boleh menyebabkan golongan bawahan menjadi kurang berdikari, kurang berdaya saing, kuat mengampu dan jarang mengambil inisiatif sendiri, sebaliknya hanya menunggu arahan atau keputusan dari pemegang kuasa.
  • Hierarki wujud kerana ia wujud; Dalam erti kata lain, kewujudannya tidak perlu dipertikaikan. Ia wujud, bagus, normal dan diterima masyarakat.
  • Keistimewaan khas; Biasanya ada banyak keistimewaan untuk orang yang berkuasa, seperti tempat letak kereta di hadapan pejabat, bilik khas, tandas khas, tempat makan khas dan sebagainya.
  • Penjaga pintu; Terdapat orang-orang yang menjaga pemegang kuasa dari didekati oleh orang-orang yang tidak mempunyai kuasa serta memastikan jurang yang besar di antara mereka sentiasa wujud.

Ciri-ciri budaya Jurang Kuasa Rendah/Kecil:
  • Kebebasan; Orang ramai biasanya lebih bebas, berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada arahan dan keputusan pemegang kuasa.
  • Hierarki yang wujud perlukan sebab; Mewujudkan jawatan dalam suatu organisasi tidak akan diterima begitu sahaja. Apabila suatu lapisan hierarki diwujudkan, ia mesti ada sebab yang baik dan kukuh kenapa ia perlu wujud.
  • Kesaksamaan;  Jika seseorang itu dibenarkan untuk melakukan sesuatu atau mempunyai hak terhadap sesuatu, maka saya juga harus dibenarkan melakukan perkara yang sama dan mempunyai hak yang sama tanpa mengira status atau darjat.
  • Dasar pintu terbuka; Ruang dan capaian kepada golongan atasan atau pemegang kuasa sentiasa terbuka dan lebih mudah tanpa perlu melalui penjaga pintu atau pelbagai protokol dan karenah birokrasi yang rumit. 

Malaysia sebagai negara berindeks jurang kuasa yang tinggi

Negara Malaysia pula, adalah antara negara yang mempunyai PDI yang tinggi dalam dunia. Maka mengapa negara kita mempunyai PDI yang tinggi?

Ia adalah kerana secara budaya dan tradisinya negara kita sejak dahulu lagi mempunyai jurang dan perbezaan di antara golongan atasan dan bawahan yang amat besar. PDI yang tinggi adalah apabila orang atasan merasakan bahawa status dan darjat mereka lebih tinggi (superior) berbanding orang bawahan, mereka harus menjalani kehidupan yang asing dari golongan bawahan, mereka boleh memandang rendah, memarahi dan mencerca orang bawahan, mereka layak untuk mendapat kemudahan yang lebih serta mereka mesti dihormati dan disegani oleh orang bawahan.

Dalam waktu yang sama orang bawahan juga memiliki persepsi bahawa orang atasan memang perlu memiliki kuasa, darjat dan status yang lebih besar dan tinggi berbanding mereka (inferior). Golongan atasan ini juga wajib dihormati dan dilebihkan dalam segala banyak hal, contohnya pengasingan kemudahan yang khas untuk mereka seperti meja makan VIP, tempat letak kereta VIP, tandas VIP, lif VIP dan sebagainya, diberikan keistimewaan lain seperti kenderaan, pemandu, rumah, elaun, malah haruslah dihormati dengan pelbagai panggilan seperti Tan Sri, Dato', Datin, Dr., Haji, Tuan dan sebagainya bergantung kepada gelaran yang dimiliknya.

Sumber infomasi.

Dengan PDI yang tinggi dalam sesebuah kumpulan masyarakat, ia membuatkan jarak hubungan emosi di antara golongan atasan dan bawahan menjadi jauh, kurang bercampur dan tidak mesra, seperti orang yang berada di kedudukan tinggi tidak akan makan tengahari di kafeteria dan duduk bersama orang yang berada di posisi yang lebih rendah. Mereka akan makan bersama orang yang lebih kurang taraf dengannya di kawasan khas atau di tempat yang lain, atau paling tidak mengarahkan orang bawahan untuk membelikan makanan untuknya.

Malah tahap ketidaksamaan (inequality) di antara golongan atasan dan bawahan juga amat tinggi di mana mereka tidak mempunyai peluang yang sama. Golongan atasan sentiasa mempunyai lebih banyak peluang dan kelebihan manakala golongan bawahan mempunyai banyak kekurangan dan peluang yang sedikit. Penghormatan juga dinilai berdasarkan status, darjat dan gelaran seseorang. Semakin tinggi kedudukannya di dalam hierarki masyarakat, semakin tinggi penghormatan yang dia harus terima dari orang yang kedudukannya lebih bawah daripadanya.


Sebab itu di Malaysia, ramai orang yang berada di golongan bawahan berebut-rebut mahu menempatkan diri ke dalam kelompok golongan atasan dalam hierarki masyarakat, bergegas-gegas mahu mendapatkan gelaran, berlumba-lumba mahu mencipta nama dan mendapatkan pengaruh agar mereka lebih dihormati, disegani dan yang paling penting, mendapat lebih banyak peluang.

Selain Malaysia, antara negara lain yang mempunyai budaya PDI yang tinggi adalah Belgium, Perancis, Singura, Indonesia, China, Filipina dan negara-negara Arab.


Budaya negara yang mempunyai indeks jurang kuasa yang rendah

Berbeza dengan negara yang mempunyai PDI yang rendah seperti Belanda, UK, USA, Jerman, Austria, Sweden, New Zealand dan sebagainya, di mana jurang di antara golongan atasan dengan bawahan amat rendah dan kecil.

Kedudukan seseorang dalam hierarki tidak menentukan tahap penghormatan yang harus diterima oleh setiap orang. Penghormatan adalah suatu perlu diperolehi dengan usaha dan kepercayaan, bukan suatu yang diminta-minta atau datang berpakej sekali dengan kedudukan. Orang bawahan layak untuk dihormati sama seperti orang atasan.

Malah golongan atasan dan bawahan layak untuk bercampur dan bergaul mesra serta mendapat layanan yang sama rata tanpa ada jurang, protokol, prejudis dan berat sebelah. Setiap orang dalam lapisan hierarki tidak dipisah atau dibeza-bezakan dengan gelaran. Orang bawahan boleh memanggil orang atasan dengan nama sahaja tanpa perlu didahulukan dengan pelbagai gelaran seperti Mr, Sir, Dr dan sebagainya yang menjarakkan jurang perhubungan antara mereka.


Golongan pekerja atau rakyat boleh memberikan kritikan, pandangan dan buah fikiran dengan telus dan terus terang kepada majikan atau golongan atasan tanpa wujud rasa gusar terguris hati mereka atau takut dikenakan tindakan kerana memberikan kritikan atau pandangan yang bertentangan. Rakyat boleh terus melawat rumah atau pejabat pemimpin tanpa banyak sekatan dan protokol untuk menyuarakan suatu isu. CEO sebuah syarikat boleh duduk satu meja dan berbual dengan pekerja bawahan di kafeteria tanpa ada rasa kekok dan janggal.

Orang atasan atau pemegang kuasa tidak mendapat begitu banyak layanan istimewa dan kemudahan. Malah mereka juga tidak kebal dari undang-undang. Segala undang-undang yang dikenakan kepada golongan bawahan adalah terpakai juga kepada golongan atasan. Kesalahan rasuah yang dilakukan sama ada pekerja bawahan mahupun pegawai tinggi akan disiasat dan dihukum sama sahaja tanpa keistimewaan.


Jurang kuasa dan politik di Malaysia

Walaupun PDI di negara kita tinggi dan boleh dianggap normal, namun hakikatnya golongan bawahan tidak gemar dengan jurang kuasa yang terlalu besar di antara mereka dan golongan atasan. Mereka lebih suka dan akan gembira jika jurang kuasa di antara mereka dan pemegang kuasa tidak begitu jauh lebih-lebih lagi jika mereka sendiri merasai dan melihat golongan atasan mencampuri, menyantuni dan bergaul dengan mesra dengan golongan rendah.

Semakin dilihat kehidupan golongan atasan ini sama seperti kehidupan mereka, semakin kuat sokongan mereka kepada golongan atasan tersebut. Biarlah apa masalah dan skandal yang dilakukan di belakang mata mereka pun, tetapi jika mereka melihat imej orang atasan tak jauh berbeza dengan mereka, mereka akan gembira dan menyokongnya.

Seperti contoh seorang pemimpin politik walaupun dalam bank mungkin banyak duit, tetapi nak ambil hati rakyat bukannya susah sangat, tak perlu tabur duit atau bagi bantuan macam-macam, cuma perlu dilihat sebagai seorang yang berimej sederhana dan low profile, tidak bermewah-mewah, tinggal di rumah teres, pakai kereta biasa, makan pakai tangan, duduk makan atas lantai bersama anak-anak yatim, memakai pakaian yang murah, rakyat mudah nak jumpa dan bersalaman, tidak begitu formal dan berprotokol, turun ke padang bersama-sama rakyat untuk memperjuangkan sesuatu isu, rajin balas komen di media sosial, tidak keluarkan kenyataan merepek-repek, ambil tahu isu semasa dan hal yang menjadi bualan orang, mudah mesra dengan masyarakat dan sebagainya, secara tidak langsung ia sebenarnya dapat mengambil hati orang dan membuatkan ramai orang untuk menyokongnya.

Malah pemimpin yang mudah didekati dan disayangi orang bawahan, mereka nak bagi sebarang kenyataan dan nasihat pun mudah. Bayangkan jika seorang pemimpin yang hidup sederhana memberi nasihat kepada orang ramai agar berjimat cermat, nasihat tersebut pasti boleh diterima oleh masyarakat. Namun jika seorang pemimpin yang dilihat kaya raya dan mewah memberi nasihat kepada orang ramai agar berjimat cermat, nasihat tersebut pasti sukar diterima oleh rakyat marhaen kerana mereka akan membandingkan kehidupan mereka dengan pemimpin tersebut.

Begitu juga dengan orang yang berjawatan tinggi di sesebuah organisasi pejabat. Jika dia dilihat sebagai seorang yang sangat baik dan mesra dengan pekerja bawahan, tak kisah untuk lepak bersama, tidak buat perangai bossy, sentiasa mengambil berat kebajikan pekerja, tak kedekut untuk belanja orang bawahan, berkawan dengan pekerja bawahan, nescaya dia pasti akan menjadi ketua yang digemari dan disayangi anak buah. Bila pekerja bawahan dah suka, kita nak bekerja dengan mereka pun senang, nak minta mereka buat apa-apa tugas pun mudah.

Berbeza dengan golongan atasan yang tetap mahu menjaga status quo dengan menjarakkan hubungan di antara mereka dengan golongan bawahan, yang sentiasa menonjolkan kehidupan yang serba mewah, yang melihat golongan bawahan sebagai golongan yang berkasta rendah, yang tidak mahu bercampur dengan orang bawahan, yang gemar memperolehi gelaran agar darjatnya dapat dibezakan dengan orang lain, mereka mungkin juga dihormati golongan bawahan, malah akan ada orang bawahan yang terlalu memuja, menjilat, mengampu dan mendewa-dewakan orang atasan mereka. Namun semuanya berlaku kerana kuasa, jawatan, pangkat atau gelaran yang sedang mereka miliki sahaja. Tatkala mereka hilang kuasa, jawatan dan pangkat, penghormatan itu akan turut hilang sekali.


Maka sebab itu andai kita menjadi golongan atasan kepada sesebuah golongan bawahan, cuba kurangkan jurang kuasa antara kita dan mereka, sebab kita pun bukannya sentiasa di atas. Suatu masa kita akan di bawah juga. Biarlah orang lain menghormati dan menyayangi diri kita kerana diri kita, bukan semata-mata kerana kuasa yang kita miliki, agar apabila suatu hari nanti kita sudah tiada dan hilang kuasa, orang masih menghormati kita dan tidak membenci kita.


Baca juga artikel berkaitan:


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.





tags: maksud definisi power distance index malaysia ranking jurang jarak kuasa indeks tinggi rendah golongan atasan bawahan

4 ulasan:

  1. https://www.youtube.com/watch?v=-FC1BlURgGE

    BalasPadam
  2. PDI kita tinggi sebab ada dewata kayangan, yang sibuk bagi pangkat macam-macam dekat orang ramai.

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.