Isnin, 15 Ogos 2016

4 Manusia cenderung untuk memilih yang di tengah

Aku pernah terbaca ada satu kajian yang mengatakan manusia cenderung untuk memilih sesuatu yang berada di tengah. Dalam kajian tersebut, penyelidik ini menunjukkan 5 gambar yang disusun secara mendatar dalam satu barisan yang mengandungi objek yang sama dan meminta peserta memilih gambar mana yang mereka lebih suka. Hasil kajian menunjukkan bahawa ramai peserta cenderung untuk memilih gambar yang terletak di tengah berbanding yang berada di tepi sekali. Fenomena psikologi ini dipanggil "Centre-Stage Effect".

Disebabkan aku rasa tertarik dan berminat dengan hal ini, maka aku mahu cuba sendiri untuk membuat ujikaji ini di media sosial. Pertama sekali aku tunjukkan 3 keping gambar kucing yang sama dan meminta orang memilih salah satu dari 3 gambar ini. Aku tidak beritahu pun yang gambar ketiga-tiga ini sebenarnya semuanya sama sahaja, tiada langsung sebarang perbezaan dari segi warna, kecerahan, contrast dan ketajaman.


Setelah seharian, terdapat 38 responden yang telah membuat pilihan, dan agak mengejutkan apabila ramai yang memilih gambar kucing di tengah iaitu B.


Aku masih tidak berpuas hati. Aku cuba kali kedua, kali ini menggunakan gambar secawan teh ais. Sama seperti gambar kucing di atas, ketiga-tiga gambar ini tiada beza pun, aku cuma copy and paste sahaja.


Daripada 57 responden, walaupun mendapat persaingan hebat dari gambar di sebelah kanan, namun majoriti cenderung memilih gambar di tengah juga.


Dengan ini nampaknya fenomena ini ada juga benarnya. Manusia memang cenderung untuk memilih yang di tengah. Maka kenapa begitu?

Berikut adalah beberapa faktor yang aku rasakan berdasarkan pemerhatian dan pengalaman aku:

1. Tengah lebih rasa selamat

Perasan tak kenapa di jalan atau lebuh raya yang mempunyai 3 lorong, lebih banyak kenderaan yang guna lorong di tengah, sampai ada kereta yang bawak perlahan pun nak duduk kat tengah juga menyebabkan ada yang terpaksa memotong guna lorong sebelah kiri?

Kerana di tengah menimbulkan rasa lebih selamat. Jika berlaku apa-apa, mereka masih mempunyai ruang yang besar di sebelah kanan dan kiri. Berada di hujung membuatkan rasa selamat itu berkurangan.

Malah kalau kita naik kereta, bas, roller coaster, kapal terbang dan sebagainya, kita akan rasa berada di tengah itu lebih selamat berbanding berada di tepi.


2. Tengah lebih rasa selesa

Jika kita tidur seorang diri di atas katil, kita cenderung untuk tidur di tengah. Jika kita duduk atas sofa untuk menonton TV, kita cenderung untuk di tengah. Jika kita pergi panggung wayang, tempat duduk tengah lebih cepat penuh berbanding tempat duduk di tepi. Kenapa?

Kerana posisi di tengah menimbulkan rasa lebih selesa. Kita selesa tidur di tengah kerana banyak ruang yang luas di sebelah kanan dan kiri. Kita selesa duduk di tengah menonton TV atau wayang kerana ia betul-betul menghadap skrin.

Malah jika kita membeli belah, jika kita mahu ambil barang yang telah disusun di atas rak, kita tidak akan ambil barang di hujung sebaliknya cenderung mengambil barang di tengah, kerana kita rasa barang di hujung telah banyak kali dipegang dan dicuba oleh orang lain, maka kita rasa lebih selesa untuk mengambil barang di tengah yang tidak diusik lagi.



3. Tengah lebih menonjol

Kedudukan tengah itu sifatnya lebih menonjol berbanding kedudukan di hujung. Bila ambil gambar kelas, guru kelas, ketua kelas dan penolong ketua kelas akan duduk di tengah kerana tengah itu lebih menonjol. Jika kita ambil gambar beramai-ramai pun, orang di tengah akan nampak lebih menonjol. Sama seperti gambar kucing dan teh ais di atas, walaupun gambar yang sama tetapi gambar di tengah secara tidak langsung nampak lebih menonjol berbanding yang lain.

Sebab itu dalam pemasaran dan pengiklanan, ada yang mengekploitasikan psikologi manusia ini dengan meletakkan produk yang mereka mahu tingkatkan jualan di tengah-tengah seperti di pam minyak ini. Mereka tidak susun mengikut jenis minyak, sebaliknya meletakkan minyak paling berkualiti dan mahal di tengah-tengah untuk menarik pelanggan untuk memilihnya.

Sumber gambar

Teknik yang sama juga aku guna untuk ujikaji di atas. Walaupun gambar kucing dan teh ais itu sama, tapi sebenarnya gambar di tengah mempunyai kelebaran lebih 10px berbanding yang lain  supaya ia nampak lebih menonjol dan seterusnya dipilih ramai responden.

4. Lebih seimbang

Terakhir sekali, kerana tengah itu sinonim dengan keseimbangan. Berada di kedudukan tengah menandakan suatu yang seimbang, termasuk dalam membuat keputusan dan pilihan. Biasanya jika kita berada di persimpangan dilema, kita akhirnya cenderung untuk memilih jalan tengah. Seperti contoh ada 3 produk, 1 terlalu murah, 1 lagi terlalu mahal, 1 harganya di antara kedua-duanya, maka kita akan pilih yang di tengah-tengah.

Otak kita akan memproses jika kita pilih yang paling murah, ia pasti mempunyai kualiti yang paling rendah. Jika kita pilih yang paling mahal pula, ia pasti mempunyai kualiti yang paling tinggi, tapi terlalu mahal pula. Akhirnya kita pilih yang di tengah kerana merasakan ia tak murah tak mahal, kualiti pun tak terlalu rendah dan tak terlalu tinggi.


* * * * * * * * * *

Maka disebabkan kita sudah biasa dengan faktor-faktor "cetre-stage effect" ini, maka secara tidak langsung ia sebenarnya telah pun mempengaruhi manusia lebih mudah cenderung untuk memilih yang di tengah.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik. Klik pada gambar di bawah untuk melihat preview komik. Untuk membeli boleh hubungi kami melalui:

Email: princeofnoob[at]gmail[dot]com
PM Facebook: https://www.facebook.com/prince.nub 
Whatsapp/SMS agen kami: SangKancil - 013-9313541

Buasir Otak: The Komik




tags: manusia cenderung untuk memilih yang di tengah psikologi center centre stage effect ujian ujikaji eksperimen pilih gambar object

4 ulasan:

  1. Dah agak dahh... mesti ada kaitan dgn center... memang piluh tengah sebab mmg rasa nak pilih tengah.. kalau main kad, confirm kalah.. XD tapi yg air tu, kalau ikutlah.. I will choose nombor 3 sebabnya tu number favor ahhahahaha... XD kalau tade letak 6be bawah tu, mungkin akan pilih tengah.. or kiri..

    BalasPadam
  2. hahaha ingatkan pasal apa tadi..berpinar mata tengok gambar kucing ngan teh ais tu apa yg specialnya yg tengah2..krik krik

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.