Ahad, 18 Mac 2018

2 SPM bukan penentu masa depan tetapi titik perubahan

Keputusan SPM baru sahaja keluar minggu lepas. Seperti kebiasaan setiap tahun, media sosial penuh dengan ucapan tahniah untuk mereka yang berjaya, tidak kurang juga dengan ucapan jangan putus asa untuk mereka yang kurang berjaya, dari golongan-golongan lepasan SPM tua kepada para penerima keputusan SPM untuk tahun tersebut.

Tidak kurang juga yang memperlekeh kejayaan orang yang cemerlang seperti "Dapat banyak A pun belum tentu berjaya", "Bill Gates dengan Steve Jobs drop out college jadi bos, ambik orang banyak A jadi pekerja dia", "Orang dapat A belajar tinggi-tinggi kerja makan gaji tak guna jugak" dan sebagainya semata-mata untuk sedapkan hati orang yang dapat keputusan kurang cemerlang.

Dan nasihat yang paling biasa kita dengar, "Keputusan SPM tak penting, ia bukanlah penentu segala-galanya".


Ya, memang keputusan SPM bukanlah penentu masa depan kita, bukan penentu kehidupan kita, bukan penentu segala-galanya, tetapi ia penting kerana ia adalah antara titik perubahan yang penting dalam hidup kita.

Dalam hidup kita ni ada banyak titik-titik perubahan yang bakal merubah laluan hidup kita. Dalam bidang pendidikan, semua peperiksaan utama seperti UPSR, PT3 (PMR), SPM/STPM adalah antara titik perubahan yang besar dalam hidup kita. Ia memainkan peranan yang begitu penting dan besar dalam halatuju hidup kita.

Dengan keputusan UPSR, ia boleh menentukan adakah kita layak untuk masuk ke sekolah berasrama penuh, sekolah sains menengah, sekolah agama menengah, MRSM dan sekolah-sekolah menengah lain yang memerlukan keputusan yang baik untuk memasukinya.

Dengan keputusan PT3, ia boleh menentukan sekolah menengah tinggi apa dan aliran apa yang kita layak dan mahu ambil. Seperti contoh jika mahu masuk aliran sains, kalau keputusan PT3 bagi subjek berkaitan sains dan matematik tidak cemerlang, belum tentu boleh masuk aliran sains.

Dengan keputusan SPM pula, ia bakal menentukan arah tuju kita untuk di peringkat pendidikan tinggi. Kalau kita minat nak ambil bidang perubatan, nak tak nak kena ada banyak A dalam keputusan SPM bagi subjek aliran sains. Malah kebanyakan jurusan profesional seperti semuna cabang kejuruteraan (mekanikal, elektrik, elektronik, awam, kimia dan sebagainya), sains komputer dan yang sewaktu dengannya memerlukan keputusan SPM yang baik untuk memasukinya.

Sama juga kalau nak ambil sarjana dalam bidang akaun, perniagaan, sastera, seni dan sebagainya, perlu ada keputusan SPM yang baik dalam subjek-subjek yang berkaitan dengan kursus yang kita mahu ceburi.

Malah dengan keputusan SPM yang cemerlang juga, anda layak untuk membuat permohonan biasiswa, dan jika permohonan berjaya, anda tidak perlu menanggung hutang yang perlu ditanggung walaupun anda belum lagi bekerja.

Memang keputusan SPM, bilangan A bukan penentu segala-galanya, tetapi rasa-rasa dengan keputusan yang kurang baik, adakah kita boleh menceburi bidang yang kita mahu sertai? Adakah dengan keputusan SPM yang teruk, kita boleh jadi doktor, pakar bedah, jurutera, arkitek dan sebagainya? Adakah dengan keputusan SPM yang teruk, kita boleh mohon biasiswa pendidikan?

Ya mungkin boleh, tapi laluannya akan jadi lebih susah, panjang dan berliku.

Mungkin anda kena belajar dan ambil lagi peperiksaan khas untuk meluluskan anda mengambil jurusan-jurusan itu.

Atau mungkin anda kena mengambil sijil, diploma, kemudian bekerja beberapa tahun dulu, kemudian baru sambung kursus sarjana muda secara part time.

Atau mungkin anda kena masuk kolej dan universiti swasta dengan yuran yang mahal kerana keputusan SPM tidak melayakkan anda untuk masuk universiti awam, lalu menyebabkan anda terpaksa membuat pinjaman PTPTN yang banyak dan terpaksa menanggung hutang yang banyak yang perlu memakan masa bertahun-tahun lamanya untuk membuat bayaran balik selepas anda tamat belajar.

So nampak tak?

Memang SPM bukan penentu segala-galanya, tapi ia adalah salah satu titik perubahan yang memainkan peranan besar dalam hidup kita.

Kepada yang dah tua tu, percayalah, apa yang membentuk dan menjadikan kita pada hari ini, adalah kerana kita yang dulu.

Keputusan SPM adalah salah satu titik perubahan yang menjadikan diri kita pada hari ini, kita.
Bidang yang kita ceburi pada hari ini, kerjaya yang kita perolehi pada hari ini, kawan yang kita kenali pada hari ini, pasangan yang kita hidup bersama pada hari ini, keluarga yang kita bina pada hari ini, boleh jadi dicetuskan dengan keputusan SPM kita yang dulu.

Sebagai contoh, Amin seorang pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 10A dalam SPM. Dia kemudian mendapat tawaran belajar di universiti luar negara dengan tajaan biasiswa penuh dalam jurusan perubatan. Dia kemudiannya belajar bersungguh-sungguh, mendapat kawan di negara luar, berjumpa jodoh dengan penuntut di sana, mendapat keputusan yang baik dan akhirnya bekerja sebagai doktor di sebuah hospital kerajaan di Malaysia.

Bayangkan jika Amin tidak belajar bersungguh-sungguh ketika SPM lalu mendapat keputusan yang biasa-biasa sahaja, maka jalan cerita hidupnya pasti berbeza. Dia mungkin tidak akan dapat belajar bidang perubatan di luar negara, tidak mendapat biasiswa, tidak bertemu dengan kawan-kawan di luar negara, jodohnya pun mungkin orang lain, dan bekerja dalam bidang lain.

Belum lagi cerita kalau Amin masa zaman sekolahnya memilih untuk ambil dadah, suka buli orang, merempit sana sini, ambik dadah, berjudi sana sini, maka sudah pasti jalan ceritanya berbeza.

Maka anda nampak tak? SPM memang bukan penentu masa depan, ia adalah sebuah titik perubahan yang besar dalam hidup kita.

Namun begitu, SPM bukanlah satu-satunya titik perubahan dalam hidup kita. Banyak lagi perkara lain yang boleh menjadi titik perubahan hidup, yang mana kebanyakannya adalah atas pilihan dan keputusan kita juga.

Kalau SPM kita bagus pun, tapi bila masuk universiti kita jadi malas, maka malas itu akan menjadi titik perubahan dalam hidup kita yang mungkin akan menjadikan hidup kita lebih teruk.

Kalau SPM kita tak bagus pun, tapi lepas tu kita belajar berniaga dan bekerja bersungguh-sungguh untuk kembangkan perniagaan kita, maka kesungguhan itu akan menjadi titik perubahan dalam hidup yang mungkin akan menjadikan hidup kita lebih baik.

Sama je macam kisah Bill Gates atau Steve Jobs yang sentiasa dicanang-canang bahawasanya orang yang tak habis belajar pun boleh jadi berjaya dan kaya, yang menjadi titik perubahan kepada kejayaannya bukanlah keputusannya untuk berhenti belajar, sebaliknya kesungguhan mereka untuk mengubah hidup mereka selepas mereka berhenti.

Yalah, nak cerita pasal drop out, berapa ramai je drop out yang berjaya menjadi insan luar biasa berbanding drop out yang menjadi biasa-biasa je. Kau drop out ke, graduan universiti ke, yang penting adalah pilihan yang kau sendiri buat untuk menentukan hidup kau. Kalau kau drop out lepas tu malas jugak, tak ke mana jugak. Kalau kau graduan universiti tapi lepas tu tak kerja bagus, tak guna jugak.

Akhir kata, SPM bukanlah segala-galanya, yang penting anda harus sentiasa buat pilihan yang betul dalam hidup agar ia menjadi titik perubahan yang positif dalam hidup anda.

Baca juga artikel berkaitan di sini:


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.





tags: ujian peperiksaan spm 2017 keputusan keluar bukan penentu masa depan segala-galanya titik perubahan 

2 ulasan:

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.