Sabtu, 18 Ogos 2018

1 Kerajaan Pakatan Harapan selepas 100 hari

Maka semalam genaplah 100 hari pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan sejak 9 Mei 2018. Seperti yang umum tahu, semasa PRU14 PH ada mengeluarkan manifesto 10 Janji 100 Hari dalam Buku Harapan.  Selama 100 hari ini banyak yang telah kita lalui, dari hal-hal yang menggembirakan, hinggalah isu-isu yang mengecewakan.

Antara yang menggembirakan sudah pasti apabila kes dan skandal yang berkaitan bekas PM terdahulu Dato' Seri Najib Razak dibongkar satu persatu seperti kes 1MDB, rampasan duit dan barangan bernilai jutaan ringgit, penamatan dan peletakan jawatan pengurusan tertinggi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan, penangkapan Dato Jamal, penyitaan kapal mewah Equanimity yang terkait dengan Jho Low dan sebagainya.


Yang pasti, antara hal yang agak menyedih dan mengecewakan sudah pasti tentang tiada kenaikan gaji untuk penjawat awam, penamatan serta merta kakitangan kerajaan berstatus kontrak, pemberhentian petugas RELA, isu tentang Bahasa Melayu, pengiktirafan UEC, hal berkaitan liberalisasi, LGBT dan sebagainya, serta kegagalan kerajaan untuk melunaskan manifesto 10 Janji 100 Hari.

Selepas 100 hari, maka apakah janji yang sudah tertunai, dalam proses dan juga ditangguh atau dibatalkan?

Berikut adalah 10 perkara yang dijanjikan akan dilaksanakan dalam 100 hari pertama pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan:
  1. Menghapuskan GST dan mengurangkan kos sara hidup dengan pelbagai inisiatif peduli rakyat.
  2. Menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar
  3. Menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka FELDA
  4. Memperkenalkan skim caruman KWSP untuk suri rumah
  5. Menyamaratakan gaji minimum seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum.
  6. Menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.
  7. Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja 1MDB, FELDA, MARA dan Tabung Haji, dan merombak semula struktur kepimpinan mereka.
  8. Menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera menyemak dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963
  9. Memperkenalkan Skim Peduli Sihat dengan memberi RM500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan B40.
  10. Melancarkan kajian terperinci mengenai projek-projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing.

Dan berdasarkan Penjejak Kemajuan 10 Janji yang disediakan oleh Malaysiakini, berikut adalah keputusan 10 janji tersebut serta ulasan dari Pengerusi jawatankuasa manifesto HARAPAN, Datuk Rais Hussin Mohamed:


Janji 1: Menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan mengambil langkah-langkah mengurangkan kos sara hidup.

Status: Berjaya dipenuhi.

Janji ini dipenuhi apabila GST diletakkan kadar sifar pada 1 Jun.

Walaupun pemansuhan akhir Akta GST hanya akan berlaku selepas 100 hari, ia adalah perjanjian yang dibuat kerana Perlembagaan Persekutuan membenarkan kerajaan membentangkan akta tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong, walaupun Dewan Negara tidak meluluskan pemansuhan Akta GST.

Kenyataan Rais: Secara berkesan, kita telah menghapuskan GST. Mengurangkan kos sara hidup adalah proses berterusan yang tidak dapat diselesaikan dengan hanya menghapuskan GST.

Kamu juga perlu menyederhanakan ringgit yang telah susut nilai, suatu peninggalan pentadbiran lama dan terjejas oleh isu keyakinan terdahulu dan faktor luaran seperti perdagangan AS-China.

Janji 2: Stabilkan harga petrol dan memperkenalkan subsidi petrol.

Status: Sebahagian dipenuhi.

Putrajaya memutuskan untuk mengekalkan harga RON95 dan diesel pada harga RM2.20 dan RM2.18 seliter.

Walau bagaimanapun, belum ada pengumuman mengenai subsidi petrol bersasar, perkembangan terbaru kerajaan sedang mengkaji mekanisme mengenai perkara itu.

Kenyataan Rais: Kami berusaha keras mencari kaedah terbaik bagi melaksanakan pemberian subsidi petrol bersasar. Ia akan mengambil sedikit masa.

Ia tidak akan mengambil masa bertahun-tahun, tetapi akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Janji 3: Menghapuskan hutang peneroka Felda.

Status: Dalam pelaksanaan.

Tidak ada pengumuman dibuat mengenainya kecuali kerajaan melihat pelbagai cara untuk mengurangkan hutang yang dikenakan oleh peneroka Felda.

Kenyataan Rais: Ia memeningkan kepala kita dan kita masih lagi mengkaji perkara ini. Wujud hutang yang tidak perlu. Butiran itu terdapat dalam penyata akaun, jumlahnya antara RM4 hingga RM5 bilion. Tetapi tiada siapa yang tahu ini (hutang siapa), kecuali hutang Felda.

Pengurusan kanan Felda berkata hutang tersebut sudah berada dalam akaun dan tidak pernah ada usaha untuk mendapatkan wang itu kembali. Ia akan mengambil sedikit masa, ini adalah kerja yang sangat kompleks.

Janji 4: Memperkenalkan KWSP untuk suri rumah

Status: Sebahagian dipenuhi.

Bermula Rabu lalu, suri rumah yang mendaftar di bawah program e-kasih boleh membuka akaun KWSP dan menyumbang sekurang-kurangnya RM5 sebulan, yang mana kerajaan akan menambah RM40 sebulan.

Walau bagaimanapun, sumbangan dua peratus daripada akaun KWSP suami seperti yang digariskan dalam manifesto hanya dijangka akan dilaksanakan pada tahun 2020.

Kenyataan Rais: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memperjuangkan perkara ini berkata usaha ini memerlukan usaha dan penglibatan daripada banyak agensi seperti KWSP, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan kementerian lain. Ia akan dilakukan, hanya soal masa untuk dilaksanakan sahaja.

Janji 5: Menyamaratakan gaji minimum dan memulakan proses untuk meningkatkan gaji minimum.

Status: Sebahagian dipenuhi.

Putrajaya belum menyamakan perbezaan RM80 di antara rakyat Malaysia Timur yang memperoleh gaji minimum RM920 sebulan berbanding dengan RM1,000 bagi rakan sejawatan mereka di Semenanjung.

Walau bagaimanapun, kerajaan telah memulakan proses untuk meningkatkan gaji minimum, yang akan dijalankan secara beransur-ansur.

Kenyataan Rais: Terdapat bantahan terhadap perkara ini, malah bangkangan dalam usaha untuk menyelaraskan upah. Mereka mengatakan kos tempat bekerja untuk pekerja adalah berbeza.

Ia mungkin akan mengambil masa 50 hari untuk dipenuhi. Ia dalam peringkat akhir pelaksanaan.

Janji 6: Penangguhan bayaran balik PTPTN kepada graduan gaji bawah RM4,000

Status: Sebahagian dipenuhi.

PTPTN telah menghapuskan peminjam PTPTN daripada senarai hitam Jabatan Imigresen.

Walau bagaimanapun, usaha untuk menangguhkan bayaran balik bagi mereka yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 belum dapat direalisasikan kerana institusi itu sedang melakukan pembersihan pangkalan data peminjamnya.

Kenyataan Rais: Senarai hitam PTPTN telah dimansuhkan. Yang tinggal adalah penangguhan pembayaran bagi mereka yang berpendapatan di bawah RM4,000.

Pangkalan data PTPTN berada dalam keadaan kucar-kacir. Mereka tidak tahu di mana pinjaman itu berada sekarang. Adakah mereka bekerja? Berkahwin? Alamat terkini? Tiada apa-apa pun! Jadi pembersihan perlu dilakukan.

Ia memerlukan kerja keras dan kami masih memerlukan semua agensi untuk bekerjasama dengan kami. Rakyat harus memahami bahawa usaha ini sedang berjalan.

Janji 7: Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji dan memperbaharui pentadbiran agensi-agensi ini.

Status: Dalam pelaksanaan.

Terdapat banyak kemajuan mengenai penyiasatan 1MDB tetapi tidak ada RCI lagi kerana ia akan bertentangan dengan siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Begitu juga, SPRM memulakan siasatan ke Tabung Haji pada 23 Mei lalu manakala Mara dan Felda disiasat tahun lepas, namun keputusan siasatan itu tidak diumumkan.

Tiada pengumuman RCI yang diumumkan untuk siasatan institusi ini.

Kenyataan Rais: Mengapa kita memerlukan RCI apabila siasatan menjadi perkara yang lebih penting lagi?

Perkara yang paling penting adalah membawa pihak yang terbabit ke muka pengadilan. Biarkan penyiasatan tersebut berjalan.

Sekiranya kita mendapati mereka yang bertanggungjawab terhadap kes ini melepaskan diri daripada pertuduhan mahkamah, maka kita akan pergi (buat) RCI.

Kami sudah bergerak jauh ke hadapan ... RCI hanya sekiranya kita gagal membawa ini ke mahkamah.

Janji 8: Menubuhkan jawatankuasa khas kabinet bagi menyemak Perjanjian Malaysia 1963.

Status: Sebahagian dipenuhi.

Kabinet telah bersetuju untuk membentuk jawatankuasa khas. Bagaimanapun, anggota jawatankuasanya belum diumumkan.

Kenyataan Rais: Individu yang tepat perlu dipilih bagi menganggotai jawatankuasa tersebut. Individu yang dimaksdukan perlu memahami semangat Perjanjian Malaysia 1963.

Janji 9: Memperkenalkan "Skim Peduli Sihat" dengan memberi RM500 pembiayaan rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan isi rumah berpendapatan B40

Status: Dalam pelaksanaan.

Skim kesihatan tersebut berkemungkinan akan diperkenalkan sebagai skim insurans. Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata cadangan tersebut tidak dapat dipenuhi dalam tempoh 100 hari pentadbiran Pakatan Harapan.

Kenyataan Rais: Beberapa negeri telah melaksanakannya, seperti di Selangor (nota editor: program di Selangor diperkenalkan sejak tahun 2017) dan ia masih berterusan.

Janji 10: Menjalankan kajian terperinci mengenai projek-projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing.

Status: Berjaya dipenuhi.

Kenyataan Rais: Beberapa projek telah dihentikan dan separuh daripadanya sedang dikaji semula. Jadi, okay lah.

Sumber Malaysiakini.

Manakala dari keseluruhan Manifesto Pakatan Harapan, PM Tun Mahathir menyatakan kerajaan sudah penuhi 21 dari 60 janji manifesto.

UMNO pula menyenaraikan sebab mengapa kerajaan PH gagal dalam 100 hari pentadbiran mereka.

Aku percaya, ada yang tak berapa kisah pun pasal manifesto 10 janji 100 hari kerajaan PH dapat terlaksana atau tidak, kerana bagi mereka asal Najib dan BN jatuh sudahlah.

Aku yakin, ada juga pengundi yang dahulunya mengundi PH masa PRU14 rasa kesal dan kecewa apabila mereka ditamatkan kerja, hilang kerja kerana projek dibatalkan, kenaikan gaji dibatalkan, timbul pula pelbagai isu seperti LGBT dan sebagainya.

Aku juga pasti, ada penyokong pembangkang sekarang yang suka menganjing penyokong PH kerana mengundi PH, seperti mana penyokong PH dahulu menganjing pengundi BN.

Namun bagi aku, walau apa pun yang berlaku pada hari ini, usahlah rasa kesal kerana mengundi parti selain BN pada PRU14 tempoh hari, kerana mahu tidak mahu, perubahan itu perlu. Pemimpin dan ahli politik perlu diajar.

Andai BN masih menjadi kerajaan pada hari ini, isu yang sama juga yang kita akan hadap seperti banyak tahun sebelum ini. Segala jenis isu dan skandal pemimpin akan masih tersimpan rapi tanpa diketahui rakyat.

Sekurang-kurangnya dengan perubahan kerajaan ini, barulah kes 1MDB disiasat, barulah kita tahu harta PM terdahulu banyak mana, barulah kita tahu gaji CEO syarikat berkaitan kerajaan ini banyak mana, barulah orang yang dulunya nampak kebal ditangkap dan didakwa, dan barulah ahli-ahli politik ini rasa takut nak buat salah. Kalau BN masih jadi kerajaan, pasti hal-hal ini kita tidak akan tahu.

Namun begitu, ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk kerajaan hari ini melakukan hal yang tidak digemari rakyat. Sebab itu kita harus terus menegur, mengkritik dan menyatakan suara terhadap segala apa yang kerajaan baru ini lakukan, agar mereka tak tersasar dan terus mengotakan janji mereka.

Dan kalau mereka masih tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan sehingga PRU15 nanti, kita tukar pula undi parti lain. BN kita sudah rasa, PH pun sudah cuba, PAS je belum. Cuba kali itu kita menangkan PAS pulak tengok macam mana, apa susah.

Lain-lain artikel berkaitan:


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ADRENALINE) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk5.



tags: kerajaan pakatan harapan selepas 100 hari 10 janji manifesto prestasi keputusan result gagal batal berjaya lulus

1 ulasan:

  1. ak paling sedih isu lgbt ni.... asik2 trending kat "twitter malaysia" sakit pala...

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.