Iklan Leaderboard

Selasa, 8 Mei 2018

1 Rakyat adalah majikan, ahli politik adalah pekerja

Rakyat kena faham, kita mengundi untuk pilih orang yang boleh bekerja untuk kita, bukan kita nak bekerja dengan siapa. Kita kena ada mindset yang kita adalah majikan dan calon PRU adalah calon pekerja.

Maka kalau kita jadi majikan, biasanya nak pilih pekerja ada 2 cara:

1. Ambil orang lama sebab mereka lebih berpengalaman. Namun begitu orang lama ni biasanya lebih demand, kurang semangat, lay back, susah nak dikawal, pandai macam mana nak manipulate kerja dan orang dan sebagainya.

2. Ambil orang baru sebab walaupun mereka kurang pengalaman, namun mereka kurang demand, lebih rajin dan bersemangat nak kerja, passionate nak belajar benda baru, mudah ikut cakap majikan, takut nak buat salah dan sebagainya.


Dalam pilihan raya kita dah banyak kali guna cara 1 dan hasilnya sama. So kali ini aku nak menyeru semua orang guna cara 2. Kita pilih orang yang baru di semua tempat, lantaklah dari parti mana pun, asalkan berbeza dari parti yang menang di tempat itu sebelum ini.

Kalau kat tempat tu sebelum ni BN menang, undi PH atau GS.
Kalau kat tempat tu sebelum ni PH menang, undi BN atau GS.
Kalau kat tempat tu sebelum ni PAS menang, undi BN atau PH.

So no Najib, no Mahathir, no Hadi, no Lim Guan Eng, no Zahid, no Muhyiddin, semua muka-muka baru.

Nak kata orang baru takde pengalaman? Nak cerita pengalaman, Najib pun tak pernah ada pengalaman jadi PM masa baru jadi PM. Azmin pun tak pernah ada pengalaman jadi MB masa baru jadi MB.

Kalau tak diberi peluang, macam mana orang baru nak dapat pengalaman? Pengalaman tu boleh belajar dan diperolehi, lagipun yang tukar cuma jawatan menteri dan wakil rakyat dalam dewan je, tapi pakar-pakar yang menggerakkan ekonomi, pembangunan, pendidikan, sukan, seni budaya dan sebagainya masih sama, siapa lagi kalau bukan kita.

Maka jom UNDI TERBALIK!

Namun...

Aku faham ia tidak akan mendapat sambutan, dan ada yang menyatakan tidak persetujuan atas 2 sebab:

1. Masyarakat kita masih tidak boleh mengelak daripada mengamalkan politik kepartian dan rasa sayang pada parti politik masing-masing.

2. Ada yang masih tidak sanggup nak mengundi selain wakil rakyat yang mewakili tempat mereka sebelumnya kerana dikatakan beliau bagus dan menjaga kawasannya dengan baik maka buat apa nak tukar.

Atas sebab ini kita masih tidak mampu nak mencetuskan revolusi, resolusi, transformasi dan perubahan besar-besaran. Sebab masih rasa sayang, masih rasa terhutang budi, masih rasa yang kita memerlukan ahli politik, bukan mereka yang memerlukan kita.

Nak kata wakil rakyat ada banyak jasa dan jaga tempat dia baik, benda tu subjektif. Rata-rata memang akan cakap mereka jaga kawasan mereka dengan baik.

Penyokong BN di Pekan akan cakap Najib jaga kawasan mereka dengan baik.
Penyokong PKR di Gombak akan cakap Azmin Ali jaga kawasan mereka dengan baik.
Penyokong DAP di Gelang Patah akan cakap Lim Kit Siang jaga kawasan mereka dengan baik.
Penyokong PAS di Marang akan cakap Hadi Awang jaga kawasan mereka dengan baik.

Penyokong BN di Sabah cakap BN dah jaga negeri mereka dengan baik, buat apa nak tukar.
Penyokong PR di Selangor cakap PR dah jaga negeri mereka dengan baik, buat apa nak tukar.
Penyokong PAS di Kelantan cakap PAS dah jaga negeri mereka dengan baik, buat apa nak tukar.
Penyokong DAP di Pulau Pinang cakap DAP dah jaga negeri mereka dengan baik, buat apa nak tukar.

Namun penyokong parti lawan akan cakap mereka tidak jaga kawasan dengan baik, dan merasakan calon mereka boleh buat lebih baik dari itu. Politik ini bukan objektif, benda ini subjektif bergantung kepada penerimaan dan pandangan orang.

Apa kita ingat BN, PH atau GS itu sempurna sangat, tidak pernah buat salah, tidak ada salah laku dalam urus tadbir, tiada mengamalkan kronisme dan nepotisme?
Namun tidak semestinya juga semua yang BN, PH dan GS buat sebelum ini buruk. Masing-masing ada kebaikan dan kelebihannya mengikut cara masing-masing.

Kena faham pemimpin ini juga manusia, bukannya sempurna, sama macam kita. Kalau kau rasa ahli politik BN, PH, GS tu bersih dan bijak sangat, kau silap. Mereka dengan kita sama je, bezanya mereka ada kuasa perintah dan kita tiada. Malah kalau kau ikut je flow yang biasa, kau akan dapat dan hadap drama yang sama.

Dulu orang BN sanjung gila Mahathir, pusing-pusing sekarang benci gila Mahathir.
Dulu orang PKR dan DAP benci gila Mahathir, pusing-pusing dapat Mahathir balik.
Dulu orang PAS tak suka gila UMNO, pusing-pusing sekarang dah boleh berkawan pulak.
Dulu orang PAS, PKR dan DAP berkawan, pusing-pusing sekarang bergaduh pulak.

PRU ini ibarat temuduga kerja. Kita nak ambil orang untuk bekerja untuk kita. Dan pekerja ini pula, seperti mana kita di tempat kerja juga, saling berganti dan boleh digantikan. Kita rasa kita ni macam penting sangat pada majikan kita, rasa kalau kita takde, majikan kita akan susah.

Tidak, jangan rasa kita ini penting sangat pada majikan. Kita takde pun, mereka bila-bila masa boleh cari pengganti lain yang boleh buat kerja kita. Sama juga dengan ahli politik. Kita majikan mereka, jangan rasa mereka ini penting sangat pada kita. Jangan sampai mereka pijak kepala kita dan membuatkan kita rasa mereka itu sangat penting malah sampai tak boleh digantikan dengan siapa-siapa.

Masa Mahathir turun jadi PM, orang rasa macam satu kehilangan, rasa siapa la boleh gantikan dia jadi PM.
Masa Khalid Ibrahim turun jadi MB, orang rasa macam satu kehilangan, rasa siapa la boleh gantikan dia jadi MB.
Masa arwak Tok Guru Nik Aziz meninggal, orang rasa maca satu kehilangan, rasa siapa la boleh gantikan dia jadi MB.

Namun kita masih di sini, menempuhi cabaran hidup seperti biasa. Bagus atau tidak pengganti mereka, kita terus move on dengan perubahan.

Sebab tu kalau nak mencetuskan revolusi politik, rakyat kena semua bersatu buang sentimen politik kepartian, sentimen sayang, sentimen terhutang budi dan lain-lain sentimen, bak kata Mark Twain,
“Politicians and diapers must be changed often, and for the same reason"
Ya, kita tak perlu sebab yang kukuh pun untuk kita tukarkan ahli politik. Yang penting mereka perlu selalu ditukarkan.

Kita tak mampu nak cetuskan gelombang revolusi macam Arab Spring sebab kita pun tak sukakan keganasan dan tak suka nak gulingkan kerajaan bukan dengan saluran yang betul.
Kita tak mampu nak tukar dan pilih Perdana Menteri kita sebab sistem pemerintahan dan pilihan raya kita bukan macam negara US yang rakyat boleh memilih presiden mereka.
Kita takkan dapat mengubah apa-apa dengan membuat protes kempen Undi Rosak.

Maka dengan Undi Terbalik lah kita boleh mencetuskan revolusi, dapat buat pembersihan politik di Malaysia, dapat bagi isyarat kepada semua ahli politik yang kita boleh tukarkan mereka pada bila-bila masa. Malah kita akan dapat satu set pemimpin yang baru baik dari blok kerajaan mahupun pembangkang.

Tapi aku pun sedar yang ia takkan menjadi kenyataan dan mendapat sambutan, sebab masyarakat kita masih dibelenggu dengan politik kepartian dan juga pelbagai sentimen. Aku sendiri pun tak mampu nak jadi pencetus dan penggerak kepada kempen ini seperti mana orang menggerakkan kempen BERSIH atau Undi Rosak. Ia hanya sekadar satu pandangan aku yang idealistik tapi tidak realistik. Lagipun dah terlambat pun untuk buat kempen Undi Terbalik sebab esok dah mengundi, hanya sekadar untuk membuka mata sahaja.

Akhir kata, Selamat Hari Pilihan Raya.

Selamat mengundi buat semua dan semoga apa jua keputusan, rakyat dapat menerima dengan hati terbuka dan teruskan hidup seperti biasa.

Baca juga - Sekilas pandang tentang politik Malaysia hari ini.

Lain-lain artikel berkaitan:


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.





tags: rakyat majikan ahli politik pekerja calon pru parti undi rosak terbalik pru14

1 ulasan:

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...