Jumaat, 13 April 2018

3 Tukar semua ahli politik dengan Undi Terbalik

Semakin ramai orang sudah bosan dengan ahli politik, baik di blok parti pemerintah mahupun parti pembangkang. Namun masih ramai rakyat yang masih rela duduk di bawah pemimpin dan parti politik walaupun dah terang-terang majoriti pemimpin politik sama ada di pihak pemerintah mahupun pembangkang lebih mementingkan periuk nasi mereka sendiri.

Dulu aku pernah tulis kat artike "Mari mengajar politikus dengan Kuasa Rakyat!" tentang satu idea, idea yang paling ideal nak mengajar ahli politik bahawa negara ini adalah hak rakyat dan rakyat mempunyai KUASA dan LESEN BESAR untuk memilih dan menolak mana-mana ahli politik. Satu idea yang memberi isyarat bahawa yang mereka terikat pada rakyat, bukan rakyat yang terikat pada mereka. Idea yang seharusnya lebih berkesan dari kempen undi rosak / #undirosak yang tak mendatangkan apa-apa makna.

Gambar hiasan.

Tapi cara ini lebih kepada idealistik, hakikatnya memang agak kurang realistik sebab nak bagi ramai rakyat ikut idea ini memang susah dan hampir mustahil. Sebab nak ikut idea ini, pertama sekali kau kena sanggup buang segala sokongan, ketaksuban dan kekaguman kau terhadap mana-mana parti dan tokoh politik. Kena buang rasa sayang kau pada UMNO, PKR, PAS, DAP, PPBM, DS Najib, Tun Mahathir, DS Anwar, DS Hadi, Lim Guan Eng dan semua politikus. Kau kena buang semangat kepartian dan perasaan seolah-olah kita berhutang dengan mereka, sebaliknya perlu merasakan yang sebenarnya merekalah yang berhutang dengan rakyat.

Kempen ini aku gelar kempen Undi Terbalik / #unditerbalik. Caranya adalah dengan kau terbalikkan undi di tempat kau mengundi. Kalau di tempat kau sebelum ini BN yang pegang, kau undi parti lain. Kalau sebelum ini PKR pegang, kau undi parti lain. Kalau sebelum ini PAS pegang, kau undi parti lain. Lantaklah parti mana pun yang pegang sebelum ini, pangkah je parti yang berlainan.

Hantar signal dan isyarat kepada mereka yang mereka boleh ditumbang dan ditukarkan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja tak kira siapa walaupun di kubu kuat mereka. Kita beritahu mereka yang kuasa rakyat lebih atas dari kuasa politik mereka. Kita beritahu mereka yang kita pilih mereka untuk bekerja dan berkhidmat untuk rakyat, bukan rakyat yang bekerja dan berkhidmat demi mereka.

Kebaikan undi terbalik ini adalah habis je pilihan raya, kau akan dapat kerajaan, pembangkang, PM, menteri kabinet, ahli politik, wakil rakyat dan ahli dewan rakyat yang baru dan fresh. Biasanya orang kalau dah terlalu lama pegang jawatan dia akan cenderung untuk jadi malas, rasa terlalu berkuasa, rasa kebal, lupa untuk belajar dari sejarah dan tahu banyak loophole yang dia boleh guna untuk salah guna kuasa, tapi bila orang fresh ni dia lebih semangat bekerja, tak tahu loophole, takut untuk buat salah dan tak biasa nak jadi monyet dalam sidang parlimen. Malah dalam tempoh 5 tahun dia pegang jawatan, pasti dia akan bekerja dengan lebih baik untuk mempergunakan tempoh 5 tahun yang dia ada dengan sebaik-baiknya, malah akan lebih berhati-hati sebab dia tahu selepas 5 tahun, rakyat mampu dah tak takut untuk tukarkan dia.

Satu lagi kelebihan adalah rakyat akan tahu hidden story dan kisah sebenar apa yang berlaku pada pemerintahan orang sebelum sebab ia pasti akan disiasat dan dibongkar oleh pemerintah baru, seperti mana yang berlaku pada bekas Menteri Besar Selangor, DS Dr. Khir Toyo selepas pentadbiran Selangor tukar kerajaan. Kalau di peringkat kerajaan persekutuan, rakyat akan dapat tahu apa sebenarnya cerita di sebalik kontroversi 1MDB, Felda, Tabung Haji, Mara, KWSP dan sebagainya. Kalau di peringkat negeri, rakyat dapat tahu cerita sebenar di sebalik semua isu kerajaan negeri seperti kes pembelian banglo, kes balak, isu air, isu tanah dan lain-lain tak kira parti mana yang memerintah sebelum ini.

Jangan risau, negara maju lain pun dah berkali-kali terbalikkan undi, negara masih boleh terus bergerak maju kehadapan. Di Malaysia sendiri ada je negeri yang dah bertukar-tukar kerajaan, masih boleh meningkat maju dan bergerak macam biasa. Paling tidak pun cuma ada orang pakai tuala depan pejabat. Malah kalau kau selalu tukar kepimpinan, kau akan sentiasa dapat suatu yang baru dan fresh. Macam zaman Tun Mahathir dulu kita ada Wawasan 2020, zaman Pak Lah perkenal Islam Hadhari, zaman DS Najib perkenal 1Malaysia, kalau orang baru naik nanti pun nanti ada je benda baru yang diperkenalkan. Kita rakyat layankan jelah, cukup tahun terbalikkan undi dapat pemimpin baru dapat benda baru lagi.

Tak perlu nak fikirkan sangat perasaan orang politik, nak kenang jasa lah nak rasa terhutang budi bagailah, tak kira la dari parti mana pun, sebaliknya fikirkan perasaan kita. Diorang pun mana nak fikir perasaan kita, kenal kita pun tidak. Malah merekalah yang sepatutnya merasa terhutang budi pada kita kerana telah memenangkan mereka dan membolehkan mereka merasa jawatan itu. Kita tidak perlu ada rasa terikat dengan siapa-siapa. Ada orang naik jadi wakil rakyat kita, kita gunakan sepenuhnya. Cukup tahun kita gantikan orang lain. Apa susah? Kita bukannya takde ramai orang yang berkaliber untuk jadi pemimpin. Bukan satu keperluan dan kemestian pun untuk orang lama masih kekal jadi pemimpin.

Lagipun yang bertukar cuma pemimpin dan ahli politik, tetapi jentera penggerak kemajuan negara masih sama. Kakitangan kerajaan, para guru, kakitangan hospital, para cendekiawan, professor, jurutera, ilmuwan, pakar ekonomi dan ramai lagi golongan pakar dan profesional, semua masih sama dan masih ada untuk terus bekerja demi memajukan negara. Maka jangan takut untuk terbalikkan pemimpin dan ahli politik, sebab tak kiralah siapa yang memimpin, yang melaksanakan segala kemajuan, kita jugak.

Inilah masa untuk kita move on dari politik kepartian ke politik kekitaan. Biar ahli politik je berpecah, kita rakyat bersatu untuk sama-sama undi terbalik. Kita ubah dan terbalikkan je semua undi. Kita ubah undi, kita #unditerbalik, kita ajar mereka sampai mereka terperanjat beruk dan tak sangka benda tu boleh berlaku. Kita ajar mereka yang mereka perlukan kita, bukan kita perlukan mereka.

Tidak setuju?
Masih sayang pada parti dan pemimpin politik korang?

Ok sila teruskan jadi macai.


Lain-lain artikel berkaitan:


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.





tags: kempen undi terbalik #unditerbalik cara mengundi pilihanraya pru14 kertas peti

3 ulasan:

  1. Menarik idea tu tapi betul pun payah nk dipraktiskan

    BalasPadam
  2. Aku tengah bayangkan apa jadi jika penyokong PAS pangkah DAP, penyokong DAP pangkah PAS.

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.