Iklan Leaderboard

Isnin, 28 Mei 2018

4 Terjemah ilmu dalam bahasa asing ke bahasa ibunda

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ialah nama rasmi bagi satu dasar pendidikan Malaysia yang menetapkan bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan/ibunda sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan.

Dasar PPSMI sering menjadi isu perdebatan yang hangat semenjak dilaksanakan oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir bin Mohamad pada tahun 2003. Akhirnya pada 8 Julai 2009 dasar ini akan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012 seperti yang diumumkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah kajian mendalam dilakukan.


Namun selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya, terdapat kemungkinan yang PPSMI akan dikembali dan diperkenalkan semula, namun banyak pihak yang menggesa agar pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris ini tidak dilaksanakan semula.

Pandangan aku pula adalah seperti berikut:
  • Semua pembelajaran di peringkat sekolah rendah dan menengah selain subjek Bahasa Inggeris perlu menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya termasuk Sains dan Matematik.
  • PPSMI boleh dilaksanakan secara pilihan bagi murid yang lebih biasa menggunakan Bahasa Inggeris dalam komunikasi kehidupan seharian.
  • Buku teks dan kertas peperiksaan bagi subjek Sains dan Matematik ditulis dalam dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
  • Kebanyakan istilah dan terma Sains dan Matematik termasuk Teknologi Maklumat yang biasanya menggunakan Bahasa Inggeris dikekalkan penggunaannya di samping ditulis terjemahannya. Murid boleh jawab soalan peperiksaan dengan mencampurkan kedua-duanya.
  • Memperbanyakkan lagi perterjemahan buku berkaitan ilmu pengetahuan, buku kesusasteraan, jurnal dan bahan-bahan pembelajaran serta rujukan dari bahasa asing ke bahasa ibunda.

Bagi aku dalam mengajari dan mempelajari ilmu pengetahuan selain daripada ilmu bahasa, ia perlu dilakukan dalam bahasa yang paling difahami oleh seseorang dan sekumpulan masyarakat. Jika murid itu lebih biasa menggunakan BM, ajar dia menggunakan BM. Jika dia lebih biasa dengan BI, ajar guna BI. Sebab ada murid di rumah dalam keluarga dah biasa guna BM, ada biasa guna BI.

Waktu menuntut ilmu pengetahuan bukannya masanya untuk memperkasakan BM lah, mempertingkatkan penguasaan dalam BI lah. Nak memperkasakan BM waktu kelas Bahasa Melayu, malah dengan komunikasi harian dan rasmi pun boleh memperkasakan BM. Nak mempertingkatkan penguasaan BI, manfaatkan sepenuhnya kelas subjek Bahasa Inggeris. Malah boleh dipelajari melalui medium dan program-program tertentu.

Masa menuntut ilmu adalah waktu di mana kita belajar menggunakan bahasa pengantar yang kita biasa dan faham agar ilmu itu dapat diperoleh dan difahami sepenuhnya. Kalau kita lebih faham BM, maka belajar ilmu pengetahuan dalam BM adalah yang terbaik bagi kita. Jika kita lebih biasa dengan BI, maka belajar ilmu pengetahuan dalam BI adalah yang terbaik bagi kita.

Namun kita perlu menerima hakikat walaupun bahasa Inggeris itu penting dan merupakan bahasa pengantar dunia, namun ia bukanlah bahasa ibunda kita yang banyak digunapakai oleh rakyat Malaysia. Jika kita rasa ada ramai yang sudah mahir dalam bahasa Inggeris, masih terdapat lebih ramai lagi yang tidak mahir terutama di kawasan-kawasan luar bandar.

Ini kalau ada murid belum mahir dan menguasai Bahasa Inggeris tapi dipaksa juga belajar Sains dan Matematik dalam BI, aku yakin murid tersebut bukan sahaja hilang minat malah gagal menguasai subjek tersebut. Jangan kata murid, cikgu Sains dan Metematik sendiri pun ramai yang tak mahir dalam Bahasa Inggeris. Bila cikgu tak berjaya menyampaikan  pembelajaran dengan berkesan, dan murid pun tak ramai yang faham, maka matlamat menuntut ilmu itu sudah gagal.

Ia sama seperti murid masuk Tahun 1 tapi belum pandai membaca, kau suruhlah dia baca apa-apa dalam buku teks tu, nescaya dia takkan dapat tangkap dan faham apa-apa yang dipelajari.

Tahu tak apa rahsia negara yang bukan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda seperti Jepun, Korea, Jerman, Russia dan sebagainya boleh berkembang maju? Kerana perkara pertama yang mereka tekankan kepada rakyatnya adalah menuntut ilmu pengetahuan dan mempelajari kemahiran terlebih dahulu, bukan mempelajari asing seperti Bahasa Inggeris.

Bahasa boleh dipelajari kemudian, malah siapa yang mahu hanya fokus mempelajari Bahasa Inggeris pun boleh, tetapi secara keseluruhannya rakyat mesti ada ilmu dan kemahiran dulu.


Maka bagaimana mereka mahu rakyat mereka menuntut ilmu sedangkan pada ketika itu kebanyakan buku dan bahan rujukan adalah dalam Bahasa Inggeris? Ya, mereka bukan paksa rakyatnya belajar Bahasa Inggeris dahulu kerana mereka tahu ia akan memakan masa, sebaliknya mereka menterjemah banyak buku ilmu dan bahan rujukan ke bahasa ibunda mereka yang difahami oleh segenap lapisan masyarakat.

Untuk tujuan itu mereka sama ada menggunakan penterjemah warga tempatan yang mahir berbahasa Inggeris untuk menterjemahkan ilmu tersebut ke bahasa ibunda mereka, atau mereka menggunakan khidmat penterjemah warga asing yang mahir berbahasa ibunda mereka untuk menterjemahkan ilmu-ilmu tersebut untuk dipelajari rakyat mereka.

Sebab itu jangan pelik kalau kita tengok banyak negara yang tidak mahir berbahasa Inggeris masih dapat mencapai kemajuan yang membanggakan. Ini berlaku bukan hanya dengan sekadar mahu memartabatkan bahasa ibunda mereka, sebaliknya kesungguhan mereka membawa ilmu yang ditulis dalam bahasa luar ke bahasa ibunda mereka.

Kalau rujuk pada senarai Index Translationum, iaitu indeks yang direkodkan secara kasar oleh UNESCO jumlah buku yang telah diterjemah dari bahasa asing ke bahasa ibunda sejak beribu-ribu tahun lamanya, negara Jerman adalah negara yang paling banyak membuat terjemahan buku, diikuti dengan Sepanyol, Perancis dan Jepun.


Bahasa asing yang paling banyak diterjemah adalah bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, Russia dan Itali, manakala yang paling banyak diterjemah ke bahasa ibunda adalah Jerman, Perancis, Sepanyol, Inggeris dan Jepun.


Malah kalau tengok kat senarai 50 negara tertinggi dalam indeks ini, negara Indonesia tersenarai di tempat ke-50, dan bahasa Indonesia pula merupakan bahasa ibunda ke-40 yang paling banyak diterjemah dari bahasa asing. Negara Malaysia pula tiada dalam senarai itu.

Sebab itu kita mudah jumpa buku dan bahan rujukan negara asing yang telah diterjamah ke dalam Bahasa Indonesia berbanding Bahasa Melayu, kerana rakyat dan komuniti mereka memang aktif membuat penterjamahan agar ia dapat dibaca dan dinikmati oleh lebih ramai orang di negara mereka.

Ambil contoh industri manga dan anime sahaja. Mereka ada komuniti yang rajin membuat penterjemahan komik-komik Jepun dan juga subtitle serta dubbing bagi anime-anime Jepun.



Kerana itu manga, anime malah termasuk filem dan drama-drama asing lebih mudah didapati dalam bahasa Indonesia berbanding bahasa Malaysia, kerana komuniti mereka rajin menterjemahkan karya-karya asing ini ke bahasa ibunda mereka. Mereka sanggup memberi sumbangan dengan membuat terjemahan agar komuniti mereka dapat berkembang dengan lebih luas dan karya-karya ini dapat dinikmati dan diminati lebih ramai dari kalangan warga mereka. Malah dengan penterjemahan ini juga dapat mempopularkan industri manga dan anime di negara mereka.

Penterjemahan ini bukan sekadar dari Bahasa Inggeris ke bahasa ibunda sahaja, sebaliknya mana-mana bahasa asing ke bahasa ibunda. Malah ia bukan sekadar memberi sumbangan terhadap perkembangan ilmu dan kemajuan, namun dari dulu pun penterjemahan ini juga memainkan peranan penting dalam perluasan agama.

Agama Krisitian dapat diluaskan bukan dengan menyuruh orang lain mempelajari bahasa Hebrew, sebaliknya kitab Bible itu diterjemah ke bahasa yang difahami masyarakat setempat. Begitu juga dengan Islam, orang Melayu bukan belajar bahasa Arab dulu baru dapat belajar dan faham isi kandungan Al-Quran, sebaliknya Al-Quran diterjemah ke bahasa Melayu agar ia lebih mudah difahami dan lebih mudah diperluaskan kepada masyarakat setempat.

Kenapa banyak karya-karya buku luar negara yang sangat popular di seluruh dunia tetapi kurang popular di Malaysia? Kerana tidak banyak buku-buku ini diterjemah ke Bahasa Malaysia.

Kenapa tak banyak karya-karya kita pula yang popular di luar negara? Kerana tak banyak hasil karya negara kita yang berbahasa Melayu yang diterjemah ke bahasa ibunda negara lain.

Maka sebab itu aku harap selain daripada pandangan aku tentang PPSMI di atas, agar sistem pendidikan, industri perbukuan, perfileman, seni kreatif dan apa-apa yang berkaitan selepas ini dapat bawa lebih banyak buku, bahan dan karya dari luar untuk diterjemah ke bahasa kita, dan kita dapat bawa juga lebih banyak buku, bahan dan karya negara kita untuk diterjemah ke negara luar.

Baca artikel berkaitan:

Baca juga artikel berkaitan pendidikan di sini:



P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.





tags: ppsmi diwujudkan diperkenalkan semula cadangan gesaan mansuh batal jangan kebaikan keburukan pembelajaran sains matematik bahasa inggeris penterjemahan translation index

4 ulasan:

  1. Balasan
    1. Tahniah! Ni hadiahnya prOoTt arghh lega baq hang

      Padam
  2. nak bisjut?

    BalasPadam
  3. Betullah tu. Kadang2 dah ajar dalam bahasa melayu pun susah nak faham. Inikan pulak nak belajar dalam bahasa inggeris. Lagipun subjek sains dengan matematik memang susah kan. Bukan subjek yang senang untuk skor. Jepun tak pandai bahasa inggeris boleh je maju. Tak faham kenapa malaysia ni nak sangat kuasai bahasa inggeris. Bila pandai speaking kononnye nampak hebat. Bahasa Melayu pun hebat ape masa zaman kegemilangan Melaka. Jadi bahasa perantaraan "Lingua Franca" kan masa tu.

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...