Iklan Leaderboard

Khamis, 31 Mei 2018

5 Tindakan kerajaan baharu 3 minggu selepas PRU14

Sudah 3 minggu sejak kerajaan Malaysia ditadbir Pakatan Harapan selepas PRU14. Banyak perkara dan peristiwa yang telah berlaku sejak dari itu, suatu yang kita sendiri tak pernah menjangkakan. Banyak pengumuman dilaksanakan, banyak pendedahan dibuat, banyak perubahan dilakukan, demi untuk mengejar manifesto 100 hari Pakatan Harapan.

Dan berikut, merupakan intipati dan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sebuah sidang media selepas mesyuarat kabinet kali kedua semalam serta sedikit komen dan ulasan aku tentang pengumuman ini:


1. Saguhati Aidilfitri kepada penjawat awam Gred 41 dan ke bawah ialah RM400 serta bagi pesara RM200.

Walaupun ada juga saguhati Hari Raya kepada kakitangan awam selepas timbulnya kebimbangan dan keresahan, namun ramai juga kakitangan awam Gred 41 ke atas yang menyatakan kekecewaannya kerana tidak dapat apa-apa sehingga ramai yang kongsikan jenaka berikut di group Whatsapp dan media sosial.


Ini kerana kalau ikutkan pengumuman saguhati hari raya berjumlah RM500 telah pun dibuat pada pengumuman Bajet 2018 tahun lepas, bermakna peruntukan perbelanjaan untuk tujuan itu telah ada pun sebenarnya, namun mungkin kerajaan baharu ini terpaksa memotongnya untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan atau mungkin nak bayar hutang kerajaan.

Takpelah nak buat macam mana, terpaksa lah berkorban sikit demi negara ye.


2. Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi menggantikan GST (kadar sifar mulai 1 Jun 2018) akan dilaksanakan mulai 1 September 2018.

Dengan pengumuman ini, maka kita ada tempoh bebas cukai segala pembelian barangan dan perkhidmatan selama 3 bulan dari 1 Jun 2018 sehingga 1 September 2018. Oleh itu tempoh 3 bulan ini adalah masa terbaik untuk berbelanja. Malah kalau nak beli kereta baru pun amat digalakkan kerana penjual kereta sudah pun mula menurunkan harga jualan kereta sempena GST 0% ini.

Cuma aku harap dalam tempoh 3 bulan bebas cukai ini, peniaga jujur dalam menurunkan harga barangan dan perkhidmatan sebab kalau ikutkan mereka bukan sekadar kena turunkan 6% tetapi lebih dari itu kerana setiap lapisan transaksi sebenarnya ada dikenakan cukai 6% sebelum ini. So kalau tak turun harga jugak memang palat la.


3. Projek MRT bagi laluan MRT3 tidak akan diteruskan.

Untuk makluman, laluan MRT1 sudah pun siap dan beroperasi, manakala MRT2 sedang dalam proses pembinaan. Tidak pasti kenapa laluan MRT3 tidak diteruskan, mungkin kerana kos yang agak tinggi, namun sekurang-kurangnya projek tu tak bermula lagi.

Nasib baik projek MRT2 masih diteruskan, kalau tak naya nak kena bayar pampasan lagi pula pada kontraktor sebab projek pun dah banyak berjalan. Yang penting akan ada laluan ke Cyberjaya dan Putrajaya sebab kalau nak naik ERL dari Putrajaya ke KL bapak la mahal. Cuma aku harap dengan pembatalan MRT3, kerajaan dapat sambung balik projek Monorel Putrajaya yang dah lama ditangguh.



4. Harga diesel dan petrol RON95 dikekalkan manakala RON97 diapung ikut pasaran.

Buat masa ni untuk harga minyak, kerajaan kembali ke sistem sebelum harga minyak berubah setiap hari Rabu iaitu Diesel dan RON95 kekal dan jarang berubah manakala RON97 diapung ikut harga pasaran dunia. Bezanya mungkin harga Diesel dan RON95 akan kekal dalam tempoh yang agak lama sebab kerajaan sudah berjanji nak memberi subsidi minyak sekiranya harga pasaran minyak dunia meningkat lebih dari harga yang dijual di Malaysia.


5. BR1M digantikan dengan bantuan sara hidup kepada rakyat dan dibayar pada 6 Jun serta kadar bayaran dikekalkan.

Seperti yang ada dalam manifesto Pakatan Harapan, bantuan BR1M akan dikekalkan namun diubah nama kerana ada slogan 1Malaysia di situ. Kalau nak ubah juga nama, aku cadangkan guna nama Bantuan Subsidi Sara Hidup.

Ya, perkataan "Subsidi" perlu ada kerana ia adalah teknik psikologi untuk memberitahu rakyat yang bantuan yang diterima mereka bukanlah bantuan semata-mata sebaliknya subsidi yang diberi kerajaan, memandangkan mentaliti kita masih berharap pada subsidi.


6. Diskaun tol 50 peratus untuk semua lebuhraya dua hari sebelum Aidilfitri.

Kalau BN menang dulu, DS Najib nak bagi tol percuma 5 hari bermula 2 hari sebelum Hari Raya. Tapi sebab dia kalah, kita dapatlah diskaun tol 50% selama 2 hari sebelum Hari Raya.

Ok takpe move on.


7. Jemaah Menteri setuju batal projek High Speed Railway (HSR) KL - Singapura, tertakluk perbincangan dengan Singapura kerana implikasi kewangan yang tinggi.

Ada pihak yang bersetuju dengan pembatalan projek ini, malah ada juga rakyat Singapura sendiri yang berterima kasih kepada Tun Mahathir atas pembatalan projek ini kerana memakan kos yang tinggi serta tiada keperluan, namun terdapat juga pihak yang tidak bersetuju dan berkata ia adalah kesilapan yang besar kerana projek HSR ini dapat membantu merangsang pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup rakyat, menambah baik jaringan perniagaan dan menghubungkan rakyat kedua-dua negara lebih dekat.

Bagi aku projek ini ada kebaikan dan keburukannya. Antara kebaikannya:
  • Masa perjalanan dari KL ke Singapura dan stesen-stesen di antaranya akan jadi lebih pendek.
  • Mewujudkan peluang pekerjaan sepanjang tempoh pembinaan serta peluang pekerjaan dan perniagaan selepas siap.
  • Merancakkan ekonomi dan pembangunan terutama di kawasan berdekatan hentian HSR iaitu Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Nusajaya.
  • Mewujudkan satu lagi alternatif pengangkutan selain dari menaiki kenderaan darat, kereta api dan kapal terbang.
  • Menjadi salah satu tarikan pelancong asing untuk datang ke Malaysia dan Singapura.
Manakala keburukannya pula:
  • Kos pembinaan yang agak tinggi dan tempoh pulangan yang mungkin akan memakan masa lama. 
  • Mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak kepada warga asing ketika tempoh pembinaan.
  • Dengan kecanggihan teknologi serta kos operasi yang tinggi, tambang dijangka agak mahal. Naik ERL dari KLIA ke KL Sentral yang taklah laju sangat tu dalam 57km pun dah RM55 sehala, agak-agak berapa tambang kalau dari KL ke Singapura? Sehala RM200 ke atas mungkin?
  • Lebih menguntungkan warga Singapura berbanding Malaysia kerana mereka lebih mudah nak pergi Malaysia untuk berbelanja, beli rumah di Malaysia dan sebagainya. Berapa ramai sangat orang Malaysia nak pergi melancong ke Singapura dengan kos sara hidup yang tinggi di sana?
  • Tidak akan menjadi pengangkutan awam utama untuk tugas seharian. Tidak dinafikan ramai warga Malaysia yang bekerja di Singapura, tapi nak ulang alik setiap hari naik HSR dengan tambang yang mahal? Tak balik modal beb, baik naik motor atau bas je.
  • Dan warga Singapura sendiri, aku rasa ramai yang lebih rela datang Malaysia naik kereta. Yelah kat mana lagi diorang nak test power kereta-kereta mahal mereka kalau bukan di Lebuhraya Utara Selatan?
Namun walau apa pun pilihan, kalau buat kena keluar banyak duit, kalau batalkan pun kena keluar duit bayar pampasan. Mungkin bila ekonomi negara dah stabil dan hutang kerajaan dah kurang sikit boleh lah sambung projek ni, tapi biasanya projek yang diberhentikan harapan untuk disambung balik tu sangat tipis macam projek Jambatan Bengkok dan Monorel Putrajaya.

Cadangan aku, daripada buat HSR lebih baik kerajaan teruskan buat Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) untuk sambung ke Kelantan cepat sikit. Orang nak pergi balik antara KL dan pantai timur lebih ramai jumlahnya daripada orang nak pergi balik antara KL dan Singapura. Utamakan rakyat Malaysia dulu daripada rakyat negara lain.


8. Majlis Penasihat Pertanian ditubuhkan kerajaan.

No komen.


9. Tabung Harapan Malaysia akan diwujudkan untuk terima bantuan rakyat membayar hutang negara. Derma daripada orang ramai ini akan diserahkan kepada Kementerian Kewangan.

Melalui sebuah perkongsian yang bertulis;

Kita ada 32 juta orang rakyat Malaysia. Jika seorang menderma RM10 sebulan, kita dapat kumpulkan RM320 juta sebulan. Kerajaan dulu pun minta derma dari rakyat juga. Wajib bayar lagi. Cuma nama dia bukan derma lah. Nama dia GST

Kerajaan sekarang bagus. Dia tak paksa kita derma. Siapa nak derma, derma lah. Tak nak derma sudah. Apa masalahnya?


Aku takde apa bantahan sangat pasal tabung ni walaupun rasa macam kelakar. Tak dinafikan GST cara paling efektif nak jana pendapatan yang banyak pada negara. Duit yang banyak tu boleh guna untuk perbelanjaan dan peruntukan kerajaan, kemajuan, pembangunan, bayar gaji kakitangan awam dan bayar hutang kerajaan. Cuma itulah, GST ni masalahnya orang kaya ke miskin ke semua kena bayar cukai. Asal dia beli barang atau guna sebarang perkhidmatan, kena bayar cukai.

Berbeza dengan tabung sumbangan ni, rakyat boleh memberi sumbangan secara ikhlas dan patriotik kepada kerajaan secara sukarela tak kira miskin atau kaya. Siapa nak derma boleh derma, tak nak derma takde masalah. Sumbangan kepada kerajaan ni sebenarnya dah biasa malah di US pun rakyatnya boleh memberi derma kepada kerajaan. Tabung ni bolehlah nak tampung untuk bayar sikit hutang kerajaan, cuma tak boleh nak dapat hasil banyak macam GST la sebab nama pun derma bukan cukai.

Maklumat Tabung Harapan Malaysia:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 566010626452
Nama Pemegang Akaun: TABUNG HARAPAN M'SIA
Mungkin kerajaan bukan nak sangat wujudkan tabung derma ni, sebab asalnya ada orang awam yang secara sukarela nak buka tabung sumbang membantu kerajaan menyelesaikan hutang negara, maka untuk mengelakkan daripada wujud terlalu banyak tabung awam dan juga mengelakkan daripada sebarang penipuan atau scam, maka kerajaan wujudkan satu tabung amanah terpusat sahaja terus masuk ke kantung kerajaan tanpa melalui pihak ketiga.

Dan yang penting sekurang-kurangnya derma tu masuk kantung kerajaan tak kira la yang derma tu rakyat Malaysia ke peniaga besar ke warga asing ke kerabat Arab ke, bukan masuk akaun peribadi siapa-siapa.


10. Biro Tata Negara (BTN) sedang dikaji.

Baguslah tutup. Aku pernah sertai kursus program BTN ni taulah yang program ini ada lah sikit untuk menyemarakkan rasa patriotik dan kecintaan kita pada negara, cuma selebihnya nak brainwash orang Malaysia terutama orang Melayu untuk terus sokong UMNO dan menyemai rasa takut untuk sokong DAP.


11. Skim Kawalan Harga sempena Hari Raya akan dilaksanakan.

No komen. Harap-harap kawalan tu betul-betul dilaksanakanlah.


12. Kedudukan kewangan Malaysia perlu diurus berhati-hati untuk kurangkan kos pentadbiran Negara.

No komen.


13. Sayangi Malaysiaku – Tema Hari Kebangsaan.

Tema yang baik dan tidak berbaur politik. Harap kita semua sayangkan negara kita sendiri.


14. Program PERMATA dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri ke Kementerian Pendidikan.

Baguslah pindah. PERMATA ni nama pun untuk pendidikan awal kanak-kanak, lebih baik biar Kementerian Pendidikan yang uruskan. Entah kenapa letak bawah JPM pun dulu tak tau la, mungkin senang nak dapat peruntukan kot.


15. Projek East Coast Rail Line (ECRL) belum batal, masih dalam kajian.

Komen aku lebih kurang dengan HSR, tetap ada kebaikan dan keburukannya. Cuma sekali lagi aku tekankan, kalau kos nak buat tren bagai ni lebih mahal dari nak buat jalan dan lebuhraya, lebih baik batalkan je ECRL dan buat jalan atau lebuhraya je la.


Satu benda yang kita perlu terima hakikat adalah pengangkutan awam bukanlah budaya kita, sebaliknya naik kenderaan sendiri adalah budaya kita. 

Sebab apa?

Sebab majoriti orang Malaysia memang suka naik kenderaan sendiri berbanding pengangkutan awam. Tu yang kat rumah ada beberapa buah kereta, dengan motor lagi. Mak ada kereta sendiri, bapak ada kereta sendiri, anak-anak semua ada kereta sendiri. Masa nak pergi kerja masing-masing bawak kereta sendiri, jarang sangat la dengar ada orang carpool. Lagipun senang nak hantar anak pergi sekolah, nak singgah kedai. Nak balik kampung pun lebih selesa bawak kereta sendiri, nak bawak barang senang, nak pergi mana-mana pun senang.

Kalau naik pengangkutan awam nak kena menunggu lama, nak kena banyak berjalan, tukar transit pengangkutan, susah nak angkut banyak barang, tak boleh nak ikut masa sendiri sebab kena ikut masa tren/bas dan sebagainya. Maka naiklah kenderaan sendiri, senang dan tak payah terikat dengan masa orang lain.

Oleh itu aku berharap agar kerajaan dapat teruskan projek Lebuhraya Pantai Timur fasa 3 (LPT3) ini. ECRL tu nak batalkan pun batalkan lah, janji LPT3 buat. Kesian la asal raya je orang Kelantan bersesak-sesak balik kampung.



16. Pencarian pesawat MH370 tidak diteruskan kecuali menemui bukti baru.

Walaupun kesian pada keluarga mangsa tapi nak tak nak terpaksa diberhentikan sebab tak praktikal sebab terlalu banyak menelan belanja untuk cari. Lagipun beberapa serpihan sudah pun ditemui memberitahu kita apa sebenarnya pengakhiran bagi pesawat tersebut.


17. Perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 akan disiarkan secara langsung menerusi RTM dengan peruntukan 40 juta dari kerajaan dan syarikat penaja.

Tindakan ini mewujudkan banyak persoalan, kerana tatkala kerajaan dikatakan terlalu banyak hutang sehingga terpaksa membatalkan banyak projek, mengurangkan saguhati Hari Raya kepada penjawat awam serta terpaksa menubuhkan tabung membantu kerajaan, mereka mengambil keputusan untuk mendapatkan hak penyiaran perlawanan bola sepak Piada Dunia 2018 secara langsung di RTM dengan peruntukan 40 juta.

Kalau nak kata keputusan ini untuk rakyat, bukan keseluruhan rakyat dapat dan mahu menikmatinya kerana bukan semua orang pun di Malaysia ini minat bola dan sanggup berjaga malam semata-mata nak tengok World Cup. Lainlah kalau pasukan negara masuk Piala Dunia, mungkin ada justifikasi yang kuat di situ. Peminat bola kalau dia nak tengok bola, dia sanggup lagi tengok kat Astro atau kedai mamak yang salurannya HD.

Tapi aku ada terbaca juga yang ia adalah antara strategi untuk menarik syarikat dan pelabur untuk menempah slot iklan di RTM ketika siaran Piala Dunia yang boleh memberi keuntungan berlipat ganda pada kantung kerajaan. Aku harap betul lah, dan kalau betul pun, aku harap kenyataan ini dikeluarkan sendiri oleh Menteri secara rasmi, bukan sekadar andaian dan rekaan orang di Whatsapp atau Facebook. Penat la asyik baca cerita rekaan je, pasal Mat Sabu la, pasal Tun M menangis la.


18. Satu kumpulan ulama dan mereka yang berpengetahuan dalam bidang agama akan dibentuk bagi membincangkan peranan JAKIM.

Baguslah kalau nak menambahbaik dan menjenamakan semula JAKIM, tapi macam yang aku pernah beritahu sebelum ini, bila jadi kerajaan baru ini hal berkaitan orang Melayu dan agama Islam jangan nak ubah dan mansuh sangat. Perkara ini hal yang sangat sensitif bagi orang Melayu, silap langkah memang satu penggal je lah PH jadi kerajaan.

Baru je keluar kenyataan ini, ada orang dah buat petition "Kami Bantah JAKIM Dihapuskan" dan setakat ini dah ada lebih 30,000 yang menandatangani petition tersebut, dan aku yakin ada di kalangan orang yang tandatangan tu adalah pengundi PH juga sewaktu PRU14.

Kalau ada orang yang buat petition "Kami Mahu JAKIM Dihapuskan" dan ia boleh mendapat sokongan lebih ramai dari yang membantah, maka bolehlah kalau kerajaan nak pertimbangkan untuk tutup JAKIM.

Namun selagi ia tiada, dengarlah suara rakyat ye?


Baca juga artikel berkaitan pasca PRU14:

P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.





tags: rentetan peristiwa penting 3 minggu satu minggu selepas pru14 petadbiran tun mahathir pakatan harapan intipati keputusan mesyuarat jemaah menteri tun mahathir

5 ulasan:

  1. Ok..ulasan yg baikk noob..👍👍💯💐

    BalasPadam
  2. Emm...makin aktif ko tulis sekarang ni ek..pape pun aku sokong LPT3 sambung, sakit ati je bila time cuti..

    BalasPadam
  3. lama xkomen sini. kerajaan dah berubah. malas nk layan pesbuk sgt. aku harap blog ko maintain mcm dulu, mindset atas pagar, bukan penganut parti. Cuma 1 je la noob yg kau xpna sentuh lagi dari dulu, soal medical marijuana. Kerajaan dah berubah, apa perubahan mentaliti orang ramai pasal isu ni.. =D

    BalasPadam
  4. nak bisjut?

    BalasPadam
  5. Komen sy:

    1. Ramai yg bising sbb RM400 saguhati bagi kat gred41 dan ke bawah iaitu 70% staff kerajaan. Kenapa x bagi semua? Ramai x puas hati even mereka yg gred44 ke atas pun perlukan duit tu nak beraya

    2. Pasal Tabung tu bg sy x perlu nak pekenalkan, pelik kalau kerajaan bukak tabung khas utk byr hutang negara. Walaupun xde paksaan tp x profesiaonal sbgi kerajaan dgn alasan nak tolong byr hutung gov yg menimbun. Mmg tanggungjawab kerajaan yg kena fikir nak setelkan hutang dgn cara collect tax lebih atau batalkan mana2 mega project yg belum dilaksana..tp x perlu smpi bukak tabung. Kalau Najib as PM bukak tabung semua maki, kalai LGE bukak tabung semua happy menyumbang

    3. Ada certain projek boleh diteruskan..tp x perlu nak hapus semua sbb projek idea najib. mana yg bawak kepentingan rakyat better teruskan. Tp biasanya bila tukar PM mesti projek lama berhenti, buat projek baru...fhm2 je la

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...