Rabu, 1 November 2017

0 Hubungan ketua dan orang bawahan hanya sementara

Ketika di alam pekerjaan, dalam apa jua organisasi seperti syarikat swasta, jabatan kerajaan, parti politik, badan NGO dan sebagainya, pasti akan ada orang yang jadi ketua, ada orang jadi yang orang bawahan.

Ada yang jadi ketua tanpa ketua di atasnya, ada yang jadi orang bawahan yang paling terbawah.
Ada yang jadi ketua kepada orang lain tapi menjadi orang bawahan kepada orang lain.
Ada juga yang jadi orang bawahan kepada orang lain tapi jadi ketua kepada orang yang lain.


Orang bawahan akan melapor kepada ketuanya. Ketuanya melapor kepada ketua ketuanya. Ketua kepada ketuanya pula akan melapor kepada ketua ketua ketuanya pula dan seterusnya.

Begitu juga seorang bos memberi arahan kepada orang bawahannya. Orang bawahannya memberi arahan kepada orang bawahan bawahannya. Orang bawahan bawahan akan beri pula arahan kepada orang bawahan bawahan bawahannya dan seterusnya.

Akan tetapi ada ketua melayan orang bawahannya sangat teruk seolah-olah mereka itu hamba.
Ada orang bawahan sangat kuat memuja dan menjilat ketuanya seolah-olah mereka itu Tuhan.

Namun ramai orang lupa, yang ketua itu bukan selamanya ketua pada orang bawahannya, dan orang bawahan bukan selamanya orang bawahan kepada ketuanya.

Ketua yang kau jilat-jilat tu, satu hari nanti mereka akan berpindah ke tempat lain atau bersara juga. Sekarang bolehlah kau jilat-jilat mereka demi keuntungan dan kepentingan kau, sampai orang lain pun rasa jelek dan menyampah. Sekarang bolehlah ketua yang kau jilat tu pertahankan segala perbuatan kau dan jadikan kau anak emas kau, tengoklah nanti bila mereka bukan lagi jadi ketua kau, baru terkapai-kapai hilang punca tak tentu arah.

Dan orang bawahan yang kau caci, maki hamun, hina itu, satu hari nanti kau atau mereka akan berpindah ke tempat lain, atau kau akan bersara dulu sebelum mereka. Sekarang bolehlah teruk kau kerjakan orang bawahan kau, tengoklah nanti bila mereka bukan lagi menjadi orang bawahan kau, kalau kau berjumpa mereka semula tengok muka kau pun mereka tak mahu.

Ingatlah hubungan ketua-orang bawahan itu bersifat sementara, malah termasuk juga hubungan di antara seorang pekerja dengan pekerja yang lain. Hubungan ini bukan seperti hubungan kekeluargaan atau persahabatan. Ia hanya satu hubungan sementara yang terbina atas dasar profesionalisme, hubungan yang terikat oleh sebuah carta organisasi. Andai tiada lagi sebarang ikatan profesionalisme di antara kedua-dua mereka, maka terputuslah hubungan antara ketua dan orang bawahan. Kau bukan lagi ketua dia, dia bukan lagi orang bawahan kau, masing-masing membawa haluan dan kehidupan masing-masing.

Apa yang mengekalkan hubungan ketua-orang bawahan setelah terputusnya ikatan profesionalisme adalah hubungan persahabatan. Bekas ketua dan bekas orang bawahan, pekerja dengan bekas pekerja yang lain masih boleh lagi kekal berhubungan tetapi bukan lagi atas dasar profesionalisme tetapi atas dasar dan nilai persahabatan. Kau tiada sebarang kuasa pada dia, dan dia tiada keperluan untuk mematuhi arahan kau.

Sebab itu waktu kau sedang dalam sesebuah organisasi, penting untuk kau membina imej dan hubungan yang baik bersama kakitangan lain, sama ada orang itu ketua kau, atau orang bawahan kau, atau pekerja lain yang sama taraf, lebih tinggi dan lebih rendah taraf, kalau kau nak hubungan persaudaraan kau berkekalan sampai bila-bila. Jadikan mereka sebagai kawan asal tidak melanggar batasan profesionalisme.

Kalau kau buat perangai dan sikap yang orang lain semua benci, percayalah yang kau mungkin boleh pergi jauh dalam organisasi itu, tapi kau akan menjadi orang yang sangat dibenci dan langsung tidak akan dihormati oleh ramai orang dalam kehidupan luar pekerjaan kau.

Seoran ketua yang dibenci oleh orang bawahan, lepas kau berpindah tempat kerja atau bersara, jangan harap orang bawahan kau akan kenang dan ingat kau. Kau tegur bekas orang bawahan kau di Facebook, kalau dia tak unfriend, dia akan block dan ban kau terus. Kau buat kenduri kahwin anak kau ke apa jangan harap mereka akan datang. Kalau kau berselisih dengan mereka di luar, mereka nak tengok muka kau pun dah loya apatah lagi nak bertegur sapa.

Sama juga orang bawahan yang kuat menjilat ketua. Lepas ketua kau berpindah tempat kerja atau bersara, jangan harap penggantinya akan bagi kau layanan yang sama, dan jangan harap bekas ketua kau akan tolong kau sebab dia dah tiada kuasa pun. Kalau kau tak dapat jilat ketua yang baru, dalam masa yang sama pekerja lain pun naik loya tengok muka kau, maka mereput jelah kau kat kubikel kau sampai kau sendiri akhirnya berpindah atau pencen.

Hal ini bukan terpakai dalam sektor pekerjaan malah lain-lain juga termasuk politik. Ingat, pemimpin bukan selamanya di atas, macai bukan selamanya pencacai. Hari ini kau rasa hebat dengan jawatan tinggi kau, sampai masa kau akan turun juga. Hari ini kau ada ramai macai, bila kau sudah hilang kuasa macai kau akan berhenti menjilat juga. Macai juga hari ini kau kuat menjilat pemimpin kau, kelak bila dia dah hilang kuasa kau ludah dia dan jilat pula pemimpin yang baru.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.







tags: hubungan ketua orang bawahan bawah bos kuli pemimpin macai sementara kerja dasar profesionalisme tak kekal jilat relationship

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.