Selasa, 24 Julai 2018

7 Amalan tawar menawar aniaya pendapatan penjual

Dulu kalau aku beli barang kat gerai, pasar, bazar, tapak niaga, uptown, downtown dan yang sewaktu dengannya, mesti nak tawar menawar mintak diskaun mintak kurang. Tak dapat kurang RM10, dapat kurang 2 3 ringgit pun jadilah. Kadang-kadang barang yang kita nak beli tu pun bukannya mahal mana pun, tak sampai 50 60 ringgit pun.

Tapi yelah sebab nak bayar murah juga, kita pun berusahalah untuk tawar menawar sampailah akhirnya peniaga tu terpaksa akur untuk kurangkan harga dengan hati yang berat, memandangkan pelanggannya pun tak ramai dan jualannya pun tak begitu banyak.


Namun bila usia dah meningkat, dah lama kerja makan gaji, aku mula mempersoalkan kenapa aku perlu sangat berkira bila beli barang sampai nak tawar menawar bagai apatah lagi dengan peniaga Melayu?

Kenapa bila kita beli barang dengan peniaga kecil-kecilan ni kita nak kena tawar menawar, sedangkan kalau kita beli barang kat kedai runcit, pasaraya atau restoran, kita tak pernah nak tawar menawar dan menerima sahaja apa jua harga yang sudah tertera pada produk dan barangan tersebut?

Pernah kau pergi Tesco, kau cakap kat cashier "Adik, beras ni nak mintak kurang boleh?", atau pergi ke McDonalds cakap "Bang, yang set Big Mac tu bagi kurang lah bang. Kurang seringgit dua pun jadi lah". Kalau kau cakap juga, sama ada cashier tu memandang jengkel kat kau atas bawah, atau kena maki dengan orang belakang yang tengah beratur.

Amalan tawar menawar ni bukanlah amalan yang baru malah sudah lama pun menjadi budaya dalam masyarakat kita, dan mungkin bukan sekadar masyarakat kita tapi di mana-mana pun masyarakat dalam dunia. Asal boleh nak mintak kurang mintak diskaun, kita mintak bersungguh-sungguh sampai ada yang mengugut "Kalau tak nak kasi murah saya pergi kedai lain", membuatkan peniaga tersebut rasa serba salah dan terpaksa juga turunkan harga sikit demi sesuap nasi.

Orang yang kerja makan gaji ni sedaplah, kalau gaji tak banyak mana pun sekurang-kurangnya gaji tu tetap tiap-tiap bulan, kita dah boleh buat bajet untuk perbelanjaan setiap bulan. Tapi orang yang  berniaga apatah lagi peniaga kecil-kecilan ni, pendapatan bulanan mereka tak tetap sebab bergantung kepada jualan dan keuntungan.

Kalau jualan banyak, banyaklah pendapatan mereka. Kalau jualan sikit, sikitlah pendapatan mereka, membuatkan mereka nak rancang perbelanjaan bulanan dan tahunan pun susah sebab pendapatan mereka tak tetap. Dan kita, boleh pula nak main tawar menawar dengan pendapatan mereka yang tak menentu tu. Maka sedikit sebanyak, dengan tawar menawar ini sebenarnya kita sudah menganiaya pendapatan penjual tersebut.

Bayangkan kalau majikan kau pun main tawar menawar dengan gaji bulanan kau, apa kau rasa? Bila bos kau nak bagi slip gaji, dia cakap "Kalau nak diikutkan gaji bulanan kamu RM2,000, tapi bulan ni saya nak bayar kurang RM100. Boleh lah kurang sikit ye? Ok lah tu dari takde gaji langsung." Kita mungkin terpaksa terima sebab dia tu majikan kita, tapi hati kita masih berat nak terima, bukan?

Sebab tu lepas ni kalau nak beli barang tu tak payah lah nak tawar menawar sangat. Biasa kalau kau tawar menawar pun, peniaga tu cuma mampu bagi kurang 2 3 ringgit, takkan setakat 2 3 ringgit tu pun kau nak berkira? Entah-entah keuntungan dari barang yang dia jual tu cuma RM5, dan kau potong lagi pendapatan dia tinggal RM2 sebab kau nak murah jugak.

Kalau kau rasa harga yang dia jual terlalu mahal dan tak padan dengan barang yang dijual, baik kau tak payah beli dari kau mintak murah sampai untung dia cukup-cukup balik modal je. Kalau kau rasa kau memang perlu beli, kau beli je dengan harga yang telah ditetapkan, melainkan kalau peniaga sendiri yang tawarkan diskaun, itu lain cerita. Tapi still, kalau diskaun setakat 4 5 ringgit tu, kau bayar jelah penuh, bagi rezeki lebih sikit kat orang apa salahnya.

Aku sekarang ni pun dah tak berkira sangat nak bayar harga penuh bila beli barang atau bayaran perkhidmatan, sebab aku tahu aku bukan sekadar bayar untuk membeli barang atau menggunakan perkhidmatan dia, tapi bayaran aku juga merupakan punca pendapatan dia. Malah kalau kau nak sedekah bagi lebih beberapa ringgit pun takpe. Nampak 2 3 ringgit memang macam sikit tapi dengan sikit-sikit tu pun dah boleh buat mereka gembira.

Bila aku pergi kedai cuci kereta, harga basuh biasa RM10, tapi dia cakap kalau tambah buat itu ini sikit RM20, aku ambik je yang RM20. Aku dapat perkhidmatan lebih, dia pun dapat pendapatan lebih sikit.

Bila naik perkhidmatan Grab, tambang perjalanan RM16, tapi bila tengok dengan jalan sesak, guna pulak jalan jauh sikit untuk elak jem, bagi RM20 suruh dia simpan baki. Aku pun senang hati dapat tiba dengan cepat dan selamat, dia pun gembira dapat pendapatan lebih.

Bila aku cari pelukis atau designer untuk buat lukisan atau design, bila aku tanya harga dia cakap RM100, tak perlu pertikai kenapa mahal sangat atau tawar menawar mintak kurang harga, apatah lagi nak mintak percuma, bayar sahaja harga penuh RM100. Dia senang hati nak buat kerja, aku pun senang hati dapat hasil kerja yang dibuat dengan hati yang ikhlas dan gembira. Malah kalau rasa hasil kerjanya melebihi jangkaan, bagilah duit lebih sikit tanda penghargaan.

Bab jual beli ni tak perlulah berkira sangat, cubalah bantu dan permudahkan urusan orang lain sikit. Tak rugi pun jadi orang yang baik dan pemurah. Hari ini kita tolong orang, mana tahu hari lain orang lain pula tolong kita.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.





tags: amalan tawar menawar haggle haggling street flea market peniaga pelanggan penjual pembeli aniaya pendapatan

7 ulasan:

  1. Ok..⚖⚖⚖☪

    BalasPadam
  2. Thanks noob..betul apa kau cakap tu..tak terfikir pulak aku selama ni..kadang rasa kedekut je nak bayar..artikel kau buat aku sedar..kita mudahkan urusan orang, Allah mudahkan urusan kita pula

    BalasPadam
  3. terpulang pd diri masing2
    tngok tmpt dn brpada2 la kn.,

    aku pernh bli barang dpt diskaun kt rm50., ikt kn aku saja2 je tnya mntak diskaun.,
    masa nak blik tu dpt free gift lg
    bayang kn klu aku tak gatal mulut tnya mntak kurang tu.,

    sbb kadang ada pniaga ni dah letak harga lbih sbgai tarikan pmbeli ada tawar-menawar
    klu ada yg xnk mntak diskaun tu kira luck pniaga tu la kn., jgn ckp pniaga tu jual mhal sgt.,

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.