Selasa, 6 Oktober 2020

1 Menyelesai masalah lebih utama dari jaga air muka

1. Dulu masa zaman aku belajar kat universiti, satu benda yang aku ingat adalah setiap kali mula atau habis semester, macam mana kau nak datang universiti atau balik kampung, semua pandai-pandai sendiri.

2. Kau nak naik bas ke, keretapi ke, kereta ke, motor ke, teksi ke, pergi sendiri ke, mak bapak hantarkan ke, tumpang kawan ke, semua atas kau. Kau pun tak perlu lapor atau maklumkan pada siapa-siapa kau datang atau balik naik apa.

3. Pihak pengurusan universiti tak peduli pun kau nak datang atau pulang naik apa, janji kehadiran kuliah cantik, keputusan peperiksaan bagus, yuran bayar, disiplin baik, tak langgar peraturan dan sebagainya. Sekali sekala ada lah pihak kolej sediakan bas, tapi itu pun tetap pilihan dan masih kena bayar juga.

4. Majlis Perwakilan Pelajar lagi lah, aku sedar kewujudan diorang pun bila ada pilihan raya kampus, yang mana sorang calon pun aku tak kenal tapi aku mengundi jugak sebab siapa mengundi dapat ubat gigi free.

5. Jadi bila ada isu baru-baru ni pasal seorang aktivis kebajikan dan kemanusiaan kena sound dengan pihak Universiti dan MPP malah disuruh minta maaf secara terbuka hanya kerana dia bawa bas nak bantu pelajar yang terkandas untuk balik kampung, aku jadi bingung.

6. Aku bingung sebab sejak bila pihak Universiti dan MPP ni nak ambil tahu sangat pasal pelajar nak balik naik apa? Diorang nak naik bas ekspress ke, nak naik Grab ke, nak tidur kat stesen bas ke, nak suruh mak bapak datang ambik ke, suka hati lah kan? Jadi bila ada orang baik hati nak tawar bantuan nak bagi naik bas percuma pun, suka hati lah kan? Kenapa kena minta kebenaran bagai pulak nak bantu orang?

7. Itulah masalahnya bila menjaga air muka dan ego itu lebih penting dari menyelesaikan masalah. Mentaliti macam ni sebenarnya dah jadi kebiasaan dalam diri ramai manusia. Bila sesuatu benda tu sepatutnya kita yang kena buat atau di bawah tanggungjawab kita namun kita tak laksanakan dengan baik, tapi bila ada orang lain yang cuba hulurkan bantuan untuk buat benda yang sepatutnya kita buat, kita rasa ego kita tercalar dan timbul jadi insecure.

8. Contohnya, bila ada orang susah nak dapat line Internet kat kawasan pedalaman lepas tu ada orang lain tolong bantu upgrade infrastruktur, wakil rakyat kawasan tu jadi insecure sebab nampak macam dia tak buat kerja.

9. Bila ada kisah seorang pelajar sekolah miskin viral kat Internet lalu ramailah orang nak bantu pelajar tersebut, pihak sekolah akan rasa insecure sebab nampak macam selama ni pihak sekolah tak bagi bantuan apa-apa pada pelajar miskin tu.

10. Bila ada jalan yang selalu sangat rosak dan kerap berlubang sana sini, lalu ada aktivis yang baik hati sudi baiki kerosakan tersebut dengan kos sendiri, pihak berwajib yang sepatutnya selenggara jalan tu akan rasa insecure sebab nampak macam mereka tak buat kerja.

11. Bila ada ibu bapa yang selama ni tak peduli sangat kat anak, biar je anak jadi liar kat luar, bila tiba-tiba ada orang datang nak hulurkan bantuan pada anak-anak terbiar ini, ibu bapa ni mula lah tak keruan, rasa tercabar, rasa tak puas, hati insecure sebab nampak macam mereka jadi ibu bapa yang tak bertanggungjawab.

12. Jadi orang bila dah rasa sangat insecure sampai tak boleh kawal, mereka akan mula hidup dalam penafian atau denial mode, lalu memarahi atau menyalahkan orang lain yang dia rasa cuba ambil alih kerja dia atau tanggungjawab dia, sedangkan orang itu langsung tiada niat nak burukkan sesiapa sebaliknya sekadar mahu menghulurkan bantuan pada orang yang perlu.

13. Dalam hal ini, orang yang sepatutnya bertanggungjawab perlu lebih berlapang dada. Bila ada orang dalam kesusahan, nak jaga air muka kau tu bukan lagi keutamaan, kerana yang lebih penting adalah orang yang perlu dibantu itu dapat dibantu, tak kiralah siapa yang bantu. Kalau ada orang lapar, air muka kau takkan buat mereka kenyang.

14. Kalau ada orang nak bantu selesaikan suatu masalah, adalah lebih baik kau berterima kasih dan turut bekerjasama menyelesaikan masalah tersebut, kan tak timbulkan apa-apa masalah pada diri kau. Ini kau lebih pentingkan air muka dan ego kau, pergi pula kecam orang yang membantu tu, memang mendapat la dengan orang ramai.


 P/S: Mohon rakan-rakan dapat bagi sokongan dan semangat kepada saya untuk buat lebih banyak video dengan Subscribe channel Buasir Otak TV di Youtube (klik gambar di bawah):






tags: upsi vc vice cansellor naib canselor ebit liew bantu bawa bas pelajar balik kampung kandas terkandas minta maaf sop mohon kebenaran



1 ulasan:

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.