Jumaat, 22 Mei 2015

10 Menghargai guru tidak perlu hadiah yang mahal

Saya merupakan seorang cikgu sekolah rendah di sebuah kawasan bandar yang muridnya terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ada yang tinggal bersama keluarga di rumah banglo, ada juga yang tinggal di rumah flat PPRT. Saya sudah 6 tahun bertugas mengajar subjek Matematik di sekolah saya. Saya cuma nak berkongsi sedikit cerita saya dan saya harap encik rahsiakan nama saya.

Hari ini sekolah saya mengadakan sambutan Hari Guru. Seperti sambutan-sambutan Hari Guru yang sebelumnya, para guru kena buat persembahan pentas, menyanyi, menari, berpakaian uniform sekolah dan lain-lain aktiviti untuk menghiburkan anak murid, namun saya bukan nak cerita pasal sambutan tu.

Gambar hiasan

Apa yang saya perhatikan, setiap kali tiba Hari Guru, ramai murid berebut-rebut bawa hadiah ke sekolah untuk diberi kepada cikgu kesayangan mereka. Bukanlah saya nak menghalang murid bagi hadiah pada guru, tapi pada hari ini memberi hadiah kepada cikgu pada Hari Guru seolah-olah sudah menjadi suatu kewajipan kepada murid sehingga masing-masing seolah-olah berlumba-lumba untuk memberi hadiah apa yang paling cantik dan mahal kepada cikgu.

Dan saya tahu, semua hadiah-hadiah ini bukan datang dari duit murid itu sendiri tapi sudah pasti dari ibu bapa mereka. Ada yang bagi cup cake, kek lapis, buku nota, bunga hidup, cenderamata, jam tangan dan macam-macam lagi yang kebanyakannya pasti bukan dibuat oleh mereka sendiri dan sudah pasti tidak murah.

Malah saya lihat ada juga murid yang saya tahu datang daripada keluarga susah tapi membawa hadiah yang saya tahu ia tidaklah murah hanya semata-mata kerana mahu bersaing dengan hadiah kawan lain dan tidak mahu merasa malu jika memberi hadiah murah atau tidak membawa hadiah langsung.

Baru-baru ini saya ada terbaca juga di Facebook satu kisah murid miskin yang memberi hadiah telur itik kepada gurunya sempena Hari Guru kerana tidak mampu memberi hadiah yang mahal-mahal. Persoalannya adakah mereka perlu juga memberi hadiah kepada guru mereka dalam keadaan mereka sendiri datang dari keluarga yang susah?

Memberi hadiah kepada guru pada Hari Guru seolah-olah sudah menjadi budaya dan kewajipan kepada anak murid. Siapa sebenarnya yang menetapkan untuk menyambut hari guru mesti beri hadiah? Malah ada juga rakan guru saya yang merungut apabila tidak mendapat banyak hadiah berbanding guru yang lain sehingga langsung tidak senyum kepada murid yang tidak memberikan hadiah kepadanya.

Belum apa-apa kita sudah mendidik murid dengan nilai materialistik dan kapitalis. Dalam pemikiran mereka siapa yang membawa hadiah paling cantik dan mahal akan lebih disayangi oleh guru. Ibu bapa pula turut berlumba-lumba membelikan hadiah yang mahal atau membuat makanan untuk diberikan kepada guru seolah-olah mahu merasuah guru yang mengajar anaknya.

Budak-budak yang hanya mampu membeli hadiah di kedai RM2 akan rasa terhina apabila melihat rakan yang lain mampu membeli dan memberi hadiah yang mahal-mahal buat cikgu. Sudah macam pertandingan ayah siapa yang paling kaya.

Oleh itu bagi saya budaya murid memberi hadiah kepada cikgu itu harus diubah. Bagaimana mahu ubah? Para pendidik sendiri perlu mengingatkan anak murid mereka agar tidak membeli hadiah atau membawa apa-apa masakan yang dimasak oleh ibu untuk diberikan kepada mereka pada sambutan Hari Guru.

Saya yakin pasti ramai juga guru yang seperti saya tidak mengharapkan apa-apa hadiah daripada murid-murid, malah sekadar ucapan Terima Kasih Cikgu sudah cukup jadi penghargaan yang besar buat saya.

Namun jika ada yang mahu juga memberi hadiah, galakkan mereka untuk membuat hadiah tersebut dengan hasil tangan mereka sendiri. Galakkan mereka membuat kad ucapan sendiri, arca yang disusun sendiri menggunakan batang aiskrim, anak patung yang dijahit sendiri, kuih yang mereka buat sendiri, lukisan yang dilukis sendiri, nukilan sajak yang ditulis sendiri dan sebagainya.

Didiklah anak-anak muda ini bahawa nilai sebuah penghargaan itu bukanlah semata-mata terletak pada harga dan wang ringgit sebaliknya hasil usaha dan titik peluh sendiri itu lebih bernilai dan memberi seribu satu makna.

Ikhlas daripada Cikgu Kecik.

* * * * * * * * * *

P/S: Pandangan ini dihantar kepada aku oleh seorang guru yang ingin namanya dirahsiakan dan beliau meminta aku untuk kongsikan pandangannya di sini. Beliau juga ingin meminta pendapat orang lain mengenai hal ini dan memohon agar anda semua dapat berkongsikan pandangannya. Terima kasih.

Berikut adalah komen2 pilihan daripada pembaca di Facebook:


Dan berikut adalah komen pilihan yang paling sadis:


Semoga tabah.




tags: sifat sikap materialistik kapitalis hadiah hari guru murid kepada cikgu penghargaan cerita kisah

10 ulasan:

  1. Setuju :)
    zaman aku dulu bagi kad je... takde bunga hadiah2 bagai... aku malas beli.. kad senang... guna kad manila je :D

    BalasPadam
  2. Hadiah aku. Ak nk mnta guru2 pamer result upsr-spm dan gambar terbaru dorg di ppn kenyataan sekolah je. Baru aku bermotivasi sket nk dpt straight As upsr. Bak kata pepatah guru kencing berdiri murid kencing berlari.

    BalasPadam
  3. Saya setuju dengan pendapat guru ni.

    Saya sendiri segan apabila ada murid yang datang kepada saya memberikan hadiah, lebih-lebih lagi hadiah dari murid yang latar belakang keluarganya susah...

    BalasPadam
  4. Ingat dulu sekolah rendah cikgu math aku dok cerita die dapat jersi ori bagai dari ank murid die...

    Budak2 lain semua ala2 terpesona ngan cerita tuh and maybe diorang bagilah something utk hari guru...

    Aku?
    Fark that.. Hari guru adalah hari dimana kita tak yah study and boleh lepak kelas lain berbual sampai balik...

    Maybe koramg akan cakap aku tak berhati perut and asshole...

    Tak semua orang suka cari perhatian mcm kanak2 10 tahun yang lain...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Patut buta perut :)

      Padam
    2. Sory... Perutku yang buncit tak leh handle benda2 emotional cam nih...

      Padam
  5. Setiap manusia hatta seekor lalat pun dicipta Tuhan ada fungsi dan rezeki masing2. Begitu juga dengan tumbuhan yg menjadi makanan manusia dan binatang.

    Hanya takwa adalah medium kita untuk berurusan berbisnes dan berjualbeli dan inilah satu2nya yg akan dinilai Tuhan kelak.

    Tiada manusia dan binatang serta jin akan selamat melainkan hanya dgn ihsan dari Tuhan.

    BalasPadam
  6. hadiah tak penting..yang penting tanda ingatan. jumpa cikgu, ucap terima kasih pun cikgu dah berbesar hati :)

    BalasPadam
  7. hadiah tbaik buat guru adlh mndapat kptsan yg cemerlng dlm mtpljrn... =)

    BalasPadam
  8. Bersyukurlah jika murid2 tahu menghargai..atau memberi hadiah. Itu tanda mereka suka dn sayangkan guru tersebut. Ada guru langsung Tak dpt penghargaan anak2 murid wpun dah berusaha buat yg terbaik. Tp Tak mengapalah. Biar Allah sj yg menilai.

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.